Berbicara tentang sambutan Hari Ibu, kebiasaan anak-anak akan meraikannya dengan pelbagai cara. Ada yang sekadar menzahirkan ungkapan rasa kasih dan sayang buat ibu tercinta,  malah ada juga yang meraikan dalam suasana meriah sebagai bukti tanda penghargaan anak-anak di atas pengorbanan ibu selama ini.

Namun bagi keluarga Datuk Seri Dr Wan Azizah, setiap hari adalah hari ibu baginya.

“Untuk kami sekeluarga, hari ibu adalah setiap hari. Mungkin ada keluarga lain menjadikan satu hari yang  istimewa untuk anak menghargainya. Tetapi di dalam keluarga kami, telah diserap  nilai pada anak, bahawa ibu ini harus dihargai, dihormati dan disanjung setiap waktu.

Sambutan yang khusus ada juga sekali sekala diraikan. Anak-anak yang buat tapi bukan saya yang rancang. Umpamanya ada satu masa itu, kami pergi makan malam sekeluarga termasuk menantu dan cucu-cucu. Memang ramai dan suasananya cukup meriah.

Bab  hadiah pula itu bukanlah keutamaan. Kadang-kadang anak-anak bagi, kadang-kadang tidak ada pun. Apa yang lebih menyeronokkan saya ketika makan malam tersebut kami dapat berkumpul bersama dan sebelum makan suami membacakan doa untuk kebahagiaan keluarga. Nampak ringkas namun cukup bermakna bagi saya.

Bagi Tun tiada yang istimewa dengan hari Ibu kerana masing-masing sibuk dengan urusan keluarga.

“Tetapi ucapan adalah daripada anak-anak terutama Marina kemudian diikuti oleh yang lain. Itu pun, sudah malam baru saya baca dan balas. Berbeza dengan Ramadan dan Puasa. Kebiasaannya, sepanjang bulan Ramadan akan ada jemputan luar untuk saya dan suami.  Tetapi untuk keluarga, anak-anak akan buat ‘booking’ untuk kami berbuka bersama. Mereka akan bergilir-gilir pilih tarikh yang mana semua tidak sibuk.=

“Biasanya malam terakhir Ramadan, kami akan berkumpul kerana esoknya akan bersolat bersama. Lepas solat akan berkumpul di rumah dan Marina akan memulakan beraya dengan suami dan saya, diikuti oleh adik beradik yang lain, kemudian anak-anak dan akhir sekali cucu mengikut ranking dan yang cucu bongsu paling teruk sebab kena tunggu lama tetapi dia paling beruntung sebab dapat duit raya paling banyak. Selepas bersalaman  kami akan makan bersama.

“Walaupun kami telah tetapkan raya pertama semua anak-anak dan menantu kena sambut di rumah kami, tetapi mereka tidak kisah. Kerana bersalaman dan makan-makan, masing-masing akan pulang ke rumah keluarga.

Walaupun antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai ‘sejarah’ tersendiri, namun bagi bagi ‘tulang belakang’ kedua mereka ini, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail punya ‘chemistry’ yang cukup istimewa.

Bahkan, mungkin ada yang tidak tahu, disebalik kisah istimewa hubungan dua sahabat ini, rupa-rupanya kakak kepada Tun Dr Siti Hasmah, Allahyarham Datuk Paduka Saleha Mohd Ali adalah orang penting dan menjadi penghubung yang menyatukan Datuk Seri  Anwar dan Datuk seri Dr Wan Azizah.

Keakraban Tun  Dr Siti Hasmah dan Datuk Seri Dr Wan Azizah  diibaratkan seperti kakak dan adik. Walaupun berbeza ideologi politik sebelum ini, namun sebenarnya dua wanita hebat ini bersahabat baik.

Segalanya bermula sewaktu Dr Wan Azizah menyertai BAKTI manakala Tun Hasmah pula Yang Dipertua pada waktu itu.

 

“Dia ibarat adik kepada saya, tetapi sebenarnya dia lebih rapat dengan kakak saya kerana kakak menjadi orang tengah antara Azizah dan Anwar.

“Anwar sahabat Kakak Saleha dan kerap melawat suami Saleha, Abang Zain, yang sakit di HBKL. Azizah, sebagai seorang doktor di HBKL kerap juga menjaga Kakak dan Abang Zain.

“Di situlah Anwar telah lihat Dr Wan Azizah dan berkenan dengannya. Kakak dan Osman Awang akhirnya mewakili Anwar pergi meminang Azizah di rumah ibubapa Dr Wan Azizah. Hasil pertemuan di HBKL ini membawa Anwar dan Azizah diijabkabulkan. Selain itu, saya dan Azizah juga sangat suka bermain badminton dan memang seronok waktu itu.

Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017

 

Tinggalkan Komen