
Selepas 15 tahun menanti dengan penuh kesabaran, pelawak dan pelakon terkenal, Achey akhirnya berkongsi berita gembira apabila isterinya, Anne, disahkan hamil.
Perkhabaran penuh bermakna itu nyata menjadi detik paling indah buat pasangan berkenaan selepas sekian lama menyimpan impian untuk menimang cahaya mata.
Berita Achey Anne hamil selepas 15 tahun penantian pastinya menjadi satu khabar yang cukup menggembirakan, bukan sahaja buat pasangan tersebut, malah mereka yang mengikuti perjalanan kehidupan rumah tangga mereka selama ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Achey meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT, malah turut melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran.
Achey Anne Hamil, Penantian 15 Tahun Akhirnya Berakhir
Dalam perkongsian penuh emosi itu, Achey menggambarkan perjalanan panjang mereka yang tidak pernah berhenti berharap meskipun diuji dengan penantian selama 15 tahun.
“Bukan sehari dua kami menunggu. Bukan setahun dua kami berharap. Tetapi selama 15 tahun, kami menyimpan impian yang sama…
“Ada doa yang tidak pernah putus walaupun berkali-kali diuji. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi kami percaya setiap yang Allah aturkan pasti ada hikmahnya.”
Lebih menyentuh hati, Achey menyifatkan kehamilan isterinya sebagai hadiah terindah daripada Allah selepas sekian lama menantikan detik tersebut.
“Alhamdulillah… kami bakal menimang cahaya mata.
“Akhirnya ada nyawa kecil yang sedang membesar dalam rahim ini. Hadiah terindah daripada Allah, yang tidak mampu kami ungkapkan dengan kata-kata.”
Dalam masa sama, Achey turut merakamkan penghargaan kepada Dr Haris Hamzah, Alhaya Fertility serta semua pihak yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan semangat sepanjang perjalanan mereka.
“Terima kasih Ya Allah, kerana tidak pernah mensia-siakan doa hamba-Mu.”
Untuk info, Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada tahun 2011. Pasangan ini turut mengambil seorang anak angkat perempuan, Nur Tiara Zinnirah, pada tahun 2018 yang menjadi penyeri kehidupan mereka.

Kini, selepas 15 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini bakal menyambut kehadiran seorang lagi cahaya mata dalam keluarga kecil mereka.
Semoga segala urusan kehamilan Anne dipermudahkan dan dikurniakan kesihatan yang baik sehingga selamat melahirkan.
BACA LAGI : “Mama Takut Kecewakan Kakak Lagi”, Isteri Achey Kembali Jalani IVF Demi Impian Tambah Zuriat
Sumber: TikTok

