
Bagi seorang ibu, menjaga kesihatan bukan sekadar soal penampilan atau angka di atas penimbang. Apa yang lebih penting adalah memastikan tubuh kekal sihat untuk terus mengurus keluarga dan membesarkan anak-anak.
Begitu juga dengan pelakon Datin Almy Nadia yang kini memberi lebih perhatian kepada kesihatan diri menerusi usaha mengecilkan badan selepas menyertai program kesihatan bersama sebuah klinik baru-baru ini.
Namun menurut Almy, 40, perubahan itu bukan kerana mahu kembali aktif dalam dunia lakonan, sebaliknya kerana mahu lebih sihat untuk dirinya sendiri dan keluarga.
“Saya masih berada di rumah, jaga anak-anak. Saya sedang melalui sesi mengecilkan badan. Saya nak sihat sahaja, tiada hal lain.
“Saya juga tidak amalkan sebarang rawatan lain kecuali rawatan menggunakan mesin tanpa abaikan senaman dan fokus kawal makan,” katanya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.

Almy Nadia bukan turunkan berat sebab mahu kembali berlakon
Almy turut menegaskan usahanya menurunkan berat badan tidak mempunyai kaitan dengan perancangan untuk kembali ke set penggambaran dalam masa terdekat.
Walaupun tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon suatu hari nanti, fokusnya sekarang masih kepada anak-anak yang memerlukan perhatian.
“Saya turunkan berat pun bukan sebab nak kembali berlakon. Nak kata tidak akan berlakon itu tidaklah sama sekali, tetapi buat masa sekarang belum lagi.
“Sebab masih ada anak-anak yang nanti memerlukan perhatian saya. Insya-ALLAH,” ujarnya.
Malah, keputusan untuk lebih serius menjaga kesihatan turut dibuat selepas menerima teguran daripada doktor dan suaminya, Datuk Fizz Fairuz.
“Doktor marah, suami marah,” katanya berseloroh.
Almy atau nama penuhnya Ungku Almy Nadia Aminuddin Shah mendirikan rumah tangga dengan Fizz atau Mohd Fairuz Zainal pada April 2014.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan lima cahaya mata perempuan iaitu Nur Afrina Arianna, 11, Nur Afrina Aurora, 10, Nur Afrina Ayra, 8, Nur Afrina Aisyah, 5, dan Nur Afrina Alisya, 2.

Almy Nadia belajar fahami anak zaman sekarang
Dalam pada itu, Almy turut berkongsi pandangan mengenai isu ‘ibu bapa toksik’ yang sering menjadi perbualan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, dia sendiri tidak pernah melalui pengalaman sedemikian, namun percaya ibu bapa hari ini perlu lebih terbuka untuk memahami perubahan zaman.
“Untuk cakap ibu bapa toksik, saya memang tiada pengalaman. Tetapi untuk zaman Gen Z sekarang memang kita kena ikut peredaran zaman.
“Tidaklah dalam 100 peratus yang kita ikut. Ada yang anak-anak kita ikut dan ada yang kita perlu ikut untuk anak-anak.
“Zaman sekarang tidak sama macam dahulu. Jadi kita kena bertoleransi dan bertolak ansur dengan anak-anak,” jelasnya.
“Semuanya atas diri sendiri”
Bercakap mengenai pengaruh media sosial pula, Almy berpandangan platform tersebut bukan semestinya menjadi punca utama kepada sesuatu tingkah laku.
Sebaliknya, dia percaya setiap individu mempunyai pilihan terhadap apa yang mahu dilihat, diikuti dan diamalkan.
“Untuk media sosial jadi punca, pada saya tidak juga. Semuanya atas diri sendiri. Kalau kau nak ikut, buatlah. Jika tidak, abaikan.
“Kalau awak rasa benda itu tidak elok, jangan tengok. Itu sahaja bagi saya. Kalau diri sendiri toksik, maka toksiklah anda,” katanya.
Buat masa ini, Almy Nadia memilih untuk menikmati kehidupannya sebagai ibu sambil memberi lebih ruang kepada diri sendiri untuk menjaga kesihatan.
Soal kembali berlakon pula, biarlah masa yang menentukan. Apa yang pasti, fokus utamanya sekarang adalah untuk kekal sihat dan terus berada di sisi anak-anak yang sedang membesar.
Kesihatan dan keluarga menjadi keutamaan
Bagi Almy, perjalanan untuk mendapatkan tubuh yang lebih sihat bukan semata-mata mengenai perubahan fizikal. Sebagai ibu kepada lima cahaya mata, kesihatan yang baik membolehkannya terus menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga dan menemani anak-anak melalui fasa kehidupan mereka.
Usaha yang dilakukan juga memperlihatkan pendekatan yang tidak hanya bergantung kepada satu kaedah. Selain menjalani sesi menggunakan mesin, dia tetap memberi perhatian kepada senaman dan kawalan pemakanan sebagai sebahagian daripada rutin menjaga kesihatan.
Pada masa sama, kehidupan sebagai ibu terus menjadi keutamaan. Walaupun dunia lakonan masih mempunyai tempat dalam perjalanan kerjayanya, Almy tidak mahu terburu-buru membuat keputusan untuk kembali ke set selagi anak-anak masih memerlukan perhatian.
Perkongsiannya turut menggambarkan bagaimana kehidupan seorang ibu berubah mengikut fasa keluarga. Daripada soal kesihatan diri hinggalah memahami cara anak-anak membesar dalam zaman yang berbeza, setiap perkara memerlukan penyesuaian.
Bagi Almy Nadia, apa yang penting ketika ini adalah mencari keseimbangan antara menjaga diri sendiri dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu. Kesihatan menjadi salah satu keutamaan supaya dia dapat terus berada bersama keluarga dan menyaksikan lima anak perempuannya membesar.
BACA LAGI : Fizz Fairuz Pasang Hasrat Bawa Almy Nadia Tunai Haji, Hadiah Istimewa Buat Isteri
Sumber : SinarPlus
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

