Untuk membina sebuah keluarga umpama membina sebuah rumah. Jika asasnya kuat, maka kukuhlah rumah tersebut. Jadi, asasnya adalah hubungan suami isteri yang bahagia. Ikuti amalan Rasululullah ini moga kita dapat membina sebuah hubungan hingga ke jannah.
1 Suka Memberi Hadiah
Ha, yang ini mesti kaum hawa paling gembira untuk tahu. Ya, sebagai seorang suami anda harus peka dan tahu mengambil hati isteri. Jangan asyik bagi alasan “I tak tahu jadi lelaki romantik”. Kalau tak tahu, BELAJAR.
Jangan asyik isteri je yang perlu jaga anda secara keseluruhan. Cukuplah dia telah mengandung dan melahirkan zuriat untuk anda, cukuplah dia dah menjaga makan dan minum anda selama mana anda telah berkahwin dengannya selama ini, cukuplah dia telah melayan anda meskipun sedang penat tanpa menghiraukan kebajikan diri sendiri kerana suami pun turut memainkan peranan penting dalam membina kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga. Barulah wujud keadilan 🙂
Nabi s.a.w bersabda: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah , nescaya kamu akan saling mencintai.”
(HR. Al-Bukhari )
Tak perlu yang mahal-mahal, ikut pada kemampuan. Belikan dia sekuntum bunga mahupun bungkuskan makanan kegemarannya sahaja pun sudah amat bererti buat si penerima. Yang hawa pun jangan lupa memberi okay?
2 Suka Memuji
Ads
Kita semua suka dipuji. Bagaimana marah pun seseorang itu tetapi kalau dipuji, pasti hatinya akan sejuk serta-merta.
Nabi gemar memuji isterinya dan baginda juga suka menggunakan bahasa-bahasa yang romantis apabila berkomunikasi dengan isterinya. Contohnya nama panggilan yang sering digunakan oleh nabi terhadap isterinya Aisyah r.a adalah “Aish” yang bermaksud ‘Hidup’ atau “Humairah” yang bermaksud ‘Yang berpipi kemerah-merahan’.
3 Saling Membantu Pasangan
Bukankah sebelum berkahwin anda telah berjanji dengan pasangan bahawa anda sanggup bersusah dan bersenang dengannya? Jadi apabila salah seorang dari anda susah, pasangan yang satunya harus tampil membantu. Tidak kisah remeh mana sekalipun kesusahan itu, anda mesti bantu untuk ringankan beban pasangan.
Diriwayatkan juga daripada Aisyah r.a, katanya: Aku pernah melihat baginda Rasul s.a.w menaungi aku dari terik matahari dengan kain serban baginda sendiri, kerana pada ketika itu aku sedang asyik menonton orang-orang Habsyah sedang membuat pertunjukan di masjid, akhirnya aku merasa jemu melihat permainan tersebut.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ads
4 Peruntukan Masa Dengan Pasangan
Hanya berdua okay? Kalau dah beranak-pinak tu mintalah tolong sesiapa jagakan anak sebentar. Bawa pasangan pergi bersiar-siar, ambil angin, kongsi kegembiraan dan rasakan nikmat bahagia itu bersama. Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan untuk tidak mempunyai waktu bersama pasangan.
Menurut riwayat lain pula, dikatakan bahawa Aisyah pernah memberitahu: “Tiba-tiba muncul beberapa orang berkulit hitam dan membuat pertunjukan di hadapan baginda Rasul s.a.w pada hari raya. Lalu baginda Rasul s.a.w mengajak aku pergi menonton pertunjukkan itu. Maka aku dibiarkan baginda Rasul menonton dari atas bahunya sehingga aku merasa puas”.
5 Amalkan Sentuhan
Ads
Sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada apa yang bisa menghalang anda dari ‘melebih-lebih’ dengan pasangan. Rajin-rajinkanlah mengucup atau memeluk atau bersentuhan dengan cara apa pun bersama pasangan.
Dari Aisyah r.a: “Rasulullah s.a.w biasa meletakkan kepalanya dipangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca Al-Quran..”
(Hadith Riwayat: Abdurrazaq)
Dari Hafsah, puteri Umar r.a: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa…”
(Hadith Riwayat: Ahmad)
Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya seorang suami melihat isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya pun melihatnya (dengan kasih sayang pula), maka Allah s.w.t melihat kedua-duanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila suami memegang telapak tangan isterinya, maka dosa-dosa mereka keluar dari celah jari-jari tangan mereka”.
(Riwayat Rafi’I dari Abu Sa’id)
Diriwayatkan juga, daripada Aisyah, dia berkata… “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengeluarkan kepalanya ke tempatku saat baginda di masjid, lalu aku menyisirkannya dan selama beriktikaf baginda tidak masuk rumah, kecuali kerana suatu keperluan”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, katanya: “Pada satu hari ketika aku sedang datang bulan, lalu aku minum dari gelas baginda Rasul s.a.w. Apabila baginda Rasul s.a.w melihat perbuatanku tersebut, maka baginda pun meminum air yang ada di gelas itu betul-betul di tempat mulutku meminum dari gelas tersebut. Bahkan ketika aku datang bulan dan dalam keadaan berkeringat, aku pernah memberikan gelas pada baginda Rasul s.a.w kemudian baginda minum darinya betul-betul dari tempat aku minum pada gelas tersebut”.
(Riwayat Muslim)
Moga keluarga yang kita bina ini kekal sehingga till jannah.
Sumber: www.wanista.com
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kanser atau barah sememangnya penyakit yang paling ditakuti kerana merupakan pembunuh nombor satu di dunia. Rawatannya juga mengambil masa yang lama untuk bebas daripada penyakit ini.
Itulah yang dihadapi olrh seorang wanita bernama Kristen Juliet Soh. Sebulan selepas perkahwinannya, Kristen Juliet Soh mendapati dia menghidap barah limfoma, sejenis barah darah yang menjejaskan sistem limfa badan.
Namun atas kecekalannya, dia berjaya menangani ujian luar biasa itu bersama suaminya dan kini mereka dikurniakan dua orang anak.
Menurut Kristen Juliet Soh, ia bermula dengan simptom batuk kering yang ringan pada Mei 2014, sebulan sebelum perkahwinan Kristen Juliet Soh. Pada mulanya, bakal pengantin perempuan berusia 29 tahun itu tidak terlalu memikirkannya dan meneruskan persiapan untuk hari bahagianya itu.
Walau bagaimanapun, dalam beberapa minggu, batuknya semakin teruk. “Ia sampai ke tahap di mana setiap kali saya bercakap atau berjalan, saya akan batuk. Kemudian, saya mula merasakan sakit yang tajam di bahagian belakang badan saya dan saya fikir akibat otot yang tertarik akibat terlalu kerap batuk,” katanya.
Soh telah berjumpa dengan dua orang doktor atau pengamal perubatan (GP) dan diberikan ubat batuk setiap kali berunding. Namun begitu, batuknya berterusan.
“Saya melalui majlis perkahwinan saya tanpa mengetahui apa yang berlaku. Semasa suami berbual dengan tetamu, saya batuk-batuk,” katanya.
Sebulan kemudian, dia mengalami batuk darah. Ini sangat meresahkannya sehingga dia bergegas ke hospital untuk melakukan pemeriksaan X-ray, yang menunjukkan ketumbuhan besar di paru-paru kanannya.
Doktor pada mulanya mengesyaki radang paru-paru dan meletakkan Soh untuk melalui rawatan titisan (drip) antibiotik. Bagaimanapun, Soh mula mengalami demam panas dan selepas imbasan tomografi berkomputer (CT) yang lebih terperinci, doktor menemui tumor besar sebesar sekeping roti di paru-parunya.
Pada tengah malam hari yang sama, Soh dibawa masuk ke dewan bedah untuk proses biopsi bagi mengeluarkan sampel tisu sel untuk ujian. Sekitar pukul 3 pagi, keputusan telah dikeluarkan.
“Doktor meminta ibu bapa, abang dan suami saya keluar dari bilik untuk bercakap dengan mereka secara tertutup terlebih dahulu. Ketika itulah saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dan bersedia secara mental untuk menghadapi yang terburuk,” katanya.
Ia adalah limfoma tahap 3.5, barah kelima paling biasa di Singapura. Dalam kes Soh, dia mengalami limfoma Non-Hodgkin sel B, barah yang disebabkan oleh mutasi dalam DNA sejenis sel darah putih yang membantu tubuh melawan jangkitan.
Barah menjejaskan sistem limfa badan. Oleh kerana barah yang dihidapinya agresif, dia perlu memulakan kemoterapi intensif dengan segera.
“Pada masa itu, saya tidak pernah mendengar tentang limfoma sebelum ini. Tetapi tanggapan saya tentang barah adalah ia menakutkan,” katanya.
Walaupun tahu ia sukar, Soh memberanikan diri untuk berbincang dengan suaminya. “Saya bertanya sama ada dia mahu membatalkan perkahwinan itu. Lagipun, perkahwinan kami baru sebulan dan menjaga orang sakit bukanlah sesuatu yang dikehendakinya. Saya tidak tahu sama ada saya akan sembuh,” katanya.
Tanpa berlengah, suaminya berjanji akan terus bersamanya.
Ini bukan satu-satunya perbualan yang sukar bagi pasangan itu. Memandangkan kemoterapi diketahui menjejaskan kesuburan, mereka turut berbincang tentang pilihan untuk membuat kaedah rawatan pembekuan telur.
Bagaimanapun, berpandukan kepercayaan Katolik mereka dan tidak mahu menangguhkan lagi rawatan, pasangan itu akhirnya memutuskan untuk tidak melakukannya. “Kami memutuskan untuk membiarkan perkara berjalan secara semula jadi dan mempertimbangkan mengambil anak angkat jika saya benar-benar tidak dapat melahirkan bayi,” kata Soh.
Malah, Soh menerima diagnosis dan rancangan perawatannya. Dia berkata: “Saya sangat tenang. Saya fikir baik-baik saja, berserah saja. Saya hanya akan buat yang terbaik.”
Saban hari, Soh sentiasa berfikir secara positif sehinggalah hari dia dihantar ke wad barah.
“Saya berkongsi wad saya dengan tiga orang pesakit lain. Mereka tidak lagi mempunyai rambut. Seorang mengerang kesakitan sepanjang hari dan malam. Seorang lagi benar-benar kembung kerana dimasukkan air – kakinya bengkak sehingga dia sukar berjalan.
“Melihat bagaimana pesakit lain menderita seolah-olah cermin bagi masa depan saya sendiri,” katanya.
“Sepanjang hidup saya sehingga ke tahap ini, saya tidak pernah dimasukkan ke hospital. Apabila jururawat memberi saya bekas air kencing dan membersihkan saya kerana saya mempunyai beberapa tiub dimasukkan dan ia bukan satu idea yang bagus untuk saya berjalan ke tandas, saya berasa sangat malu. Saya berasa teruk. Itulah kali pertama saya benar-benar putus asa,” katanya.
PERJALANAN MELAWAN BARAH
Sepanjang empat bulan berikutnya, Soh menjalani enam kitaran kemoterapi intensif. Dia menghabiskan seminggu di hospital, menjalani kemoterapi sepanjang masa, berehat di rumah selama dua minggu, dan kemudian kembali ke hospital untuk mengulangi kitaran itu.
“Ubat itu dimasukkan melalui titisan (drip), diikuti dengan titis salius di antara setiap pusingan ubat itu. Saya hanya terlantar sepanjang minggu itu sementara jururawat datang untuk menukarkan ‘drip’ untuk saya. Walaupun saya pergi ke tandas, saya akan menarik ‘drip’ itu bersama, “katanya.
Talian kateter pusat (PICC) yang dimasukkan secara periferi, yang pada asasnya adalah tiub panjang, dimasukkan ke dalam lengannya yang menuju ke jantungnya di mana ubat kemoterapi dihantar terus.
Soh juga dimasukkan sejenis alat untuk memasukkan ubat kemoterapi pada lengannya, dikenali ‘peripherally inserted central catheter’ (PICC). PICC adalah sejenis alat yang berfungsi sebagai ‘port’ kemoterapi bagi pesakit barah. Alat itu kekal dalam tubuh Soh selama empat bulan.
“Minggu pertama selepas setiap kitaran kemoterapi adalah yang paling sukar. Saya berasa sangat lemah sehinggakan walaupun saya berjalan dari bilik tidur ke tandas, saya akan rasa tercungap-cungap seolah-olah saya baru selepas berlari. Saya hilang selera makan, mulut dan tekak saya dipenuhi dengan ulser. Saya makan makanan bayi, puri dan jus,” katanya.
“Oleh kerana kemoterapi berfungsi dengan membunuh sel-sel yang merebak cepat dalam badan – sel-sel barah serta sel-sel baik, ia menyebabkan keguguran rambut dan memusnahkan sel darah putih (yang membantu tubuh melawan jangkitan dan penyakit lain).
“Saya terpaksa menyuntik perut saya setiap hari untuk meningkatkan sel darah putih saya. Saya juga menjalani dua transfusi selama empat bulan apabila jumlah darah saya tidak normal,” tambahnya.
Ketidakpastian itu lebih sukar ditanggungnya berbanding kesakitan fizikal. “Oleh kerana kemoterapi memusnahkan sel anda, saya berasa lebih teruk semasa kemoterapi berbanding ketika saya hanya mengalami simptom barah sahaja. Saya tidak tahu sama ada rawatan itu berkesan,” katanya.
“Saya pernah menjadi seorang yang merancang segala-galanya tetapi tiba-tiba, saya rasa seperti tidak dapat mengawal apa-apa yang berlaku kepada tubuh badan saya. Saya tidak tahu bagaimana saya akan bertahan. Ini membuatkan saya berjaga sepanjang malam,” katanya.
DUGAAN HEBAT
Soh juga terpaksa akur dengan kesan rawatan barah yang menyebabkan rambutnya gugur. “Dahulu saya ada rambut yang sangat panjang dan ia amat menakutkan apabila melihatnya terbang bergumpal-gumpal apabila ditiup angin. Saya memutuskan untuk mencukurnya. Saya rasa ia seperti satu cara untuk mengambil semula kawalan ke atas tubuh saya,” katanya.
Perubahan fizikal ini menjejaskan imej dirinya. “Saya rasa saya kelihatan seperti makhluk asing tanpa rambut dan kening. Saya berasa hodoh dan tidak disayangi, walaupun suami saya memulakan sebarang sentuhan keintiman, saya berasa sangat tidak selesa,” katanya sambil menambah bahawa suaminya sangat memahami.
Emosi Soh juga terjejas dengan kemungkinan dia tidak akan mempunyai anak. “Apabila saya menonton video bayi perempuan dengan lesung pipit membuat reaksi comel, saya berasa sangat terharu. Saya terfikir sama ada saya akan mempunyai anak yang mungkin secomel itu?” ceritanya.
Walaupun Soh mengambil cuti sakit daripada kerja sepenuh masanya, sebagai pengurus kandungan sebuah aplikasi berita, dia masih masih meneruskan kerja sampingan pada masa itu, iaitu dengan sebuah majalah kecantikan digital, Daily Vanity. Dia menulis tiga hingga empat rencana mengenai topik kecantikan setiap minggu.
Ia mungkin sesuatu yang amat tidak menyelesakan untuk menulis tentang produk kecantikan seperti maskara dan syampu sedang rambut sendiri mengalami keguguran. Namun, Soh berkata bahawa menulis membantunya mengalihkan fikirannya kepada perkara-perkara lain. Ia membuatkan dirinya berasa produktif dan tidak ubah seperti dirinya sebelum ini.
Apa pun pada akhirnya, kasih sayang dan sokongan daripada ibu bapa, suami, abang dan rakan-rakannya yang membantu Soh tabah dengan ujian itu. “Mereka mengambil giliran untuk membawa saya ke hospital dan membuat jadual untuk memastikan bahawa seboleh-bolehnya, seseorang akan berada di hospital bersama saya,” tambahnya.
BERJUANG LAWAN BARAH
Masih kuat dalam ingatan Soh pada hari dimana dia akan menjalani keputusan imbasan dengan doktornya, lima bulan selepas dia mula batuk darah. “Saya berasa lebih gementar berbanding saat saya mengambil keputusan (peperiksaan peringkat) O,” katanya sambil ketawa.
“Ada juga sedikit keterujaan. Saya tahu jika tiada apa-apa, saya tidak perlu lagi menjalani kemoterapi.”
“Saya masih ingat ketika melangkah masuk ke pejabat doktor dan melihat senyuman besar di wajahnya. Ini adalah kali pertama saya melihat dia tersenyum lebar kepada saya; dia selalu mempunyai kerutan di wajahnya sebelum ini.
Sebaik sahaja saya melihat wajahnya, saya melepaskan rasa beban itu ke dalam hati saya,” katanya.
Soh mendengar penjelasan daripada doktornya. barahnya secara rasmi berada pada tahap mereda.
Ia adalah satu perjalanan yang mengerikan. Tetapi, seperti banyak pengalaman yang telah merubah hidupnya, hubungannya dengan kematian mengubah perspektif dan keutamaan yang harus dikejar.
Soh meninggalkan kerjanya sebagai pengurus kandungan. Dia dan suaminya kini mengendalikan Daily Vanity, di mana dia menjadi pengarah editorial.
Menyedari betapa dia ingin menjadi seorang ibu, dia mula mencuba untuk hamil dua tahun selepas pengalamannya dengan barah. Selepas mengalami keguguran, dia berjaya melahirkan anak sulungnya setahun kemudian.
Hari ini, Soh yang berusia 37 tahun menjadi ibu kepada dua anak lelaki, berusia empat dan satu tahun. Walaupun pengalamannya sebagai ibu sangat memuaskan, rasa takut bahawa barahnya akan berulang lagi masih menyelubungi dirinya.
“Baru-baru ini, saya mula berkongsi dengan anak sulung saya tentang kematian,” katanya.
“Dan apabila mereka lebih tua, saya pasti akan berkongsi perjalanan saya dengan penyakit barah bersama anak-anak saya.”
Pengalaman melawan barah juga membuatkan dia lebih menghargai keluarga dan rakan-rakan.
“Saya tidak pernah menjangkakannya, tetapi rakan-rakan (boleh) meninggalkan kita apabila kita menghidap barah, walaupun kita tidak (pernah) meminjam wang daripada mereka. Sebahagian daripada mereka hilang begitu sahaja.
Yang lain hanya menghantar mesej sokongan kepada saya hanya untuk mengucapkan:
‘Semoga cepat sembuh’.
Menurut Soh lagi: “Hanya segelintir rakan yang setia bersama saya, dan melakukan yang terbaik untuk memudahkan kehidupan saya dan penjaga saya”.
“Sebelum menghidapi barah, saya suka menyibukkan diri di tempat kerja, melepak dengan rakan-rakan dan mengisi kalendar sosial saya. Tetapi saya kini sedar bahawa memandangkan kehidupan hanya singkat, apa yang penting adalah orang yang benar-benar menyayangi kita,” kongsinya.
“Walaupun saya pernah terlalu merancang hidup saya, saya juga kini menyedari bahawa walaupun saya boleh merancang apa yang akan kita mahu buat untuk 10 tahun akan datang, saya mungkin sudah tiada dalam 10 tahun lagi.
“Episod ini mengajar saya untuk tidak terlalu berpegang kepada apa yang kita rancangkan. Sebaliknya biarlah kita menjadi lebih spontan, memberi diri kita sedikit kelonggaran, dan cuba untuk lebih menikmati kehidupan pada saat ini,” jelasnya lagi.
Doa seorang isteri untuk suami memang mustajab agar diberikan keselamatan buat suami tersayang. Itulah yang dilakukan oleh penyanyi Sarah Raisuddin yang merupakan isteri kepada pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu setelah mengetahui suami tercinta mengambil tindakan untuk melakukan cabaran dengan meletakkan 340,000 ekor di badan mereka di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka semalam. Melalui cabaran itu, melayakkan Shuib Sepahtu kejayaan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR). Tahniah Shuib!
Dalam pada itu, melalui instagramnya Siti Sarah melahirkan rasa terkilan dan bimbang apabila mendapati suaminya tidak memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. Hanya menyedari apabila melihat rakan artis memberi komen memberikan ucapan semangat di instagram. Namun, sebagai isteri, Siti Sarah akur dengan kemahuan suami tercinta dan mendoakan cabaran itu berjalan lancar.
Alhamdulillah selesai sudah …. terciptalah lagi satu sejarah Malaysia… saya sangat bersyukur…ini lah dia beeman saya tahniah @shuibsepahtu saya simpan memori tercemas ini dalam hati saya.. i love u sayang.
RISAU KESELAMATAN SHUIB
Semalam rakaman video ini yang dikongsi oleh Siti Sarah memaparkan cabaran apabila badan Suib dipenuhi lebah. Memang mendebarkan buat sesiapa sahaja yang bergelar isteri apabila melihat suami didepan mata dalam keadaan sedemikian.
“dah kene sengat dekat celah peha ???? ya Allah pemudahkan lah….”
Sementara itu menurut laporan Harian Metro, pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu melahirkan rasa bersyukur setelah berjaya menamatkan cabaran dan sekali gus melakar kejayaan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).
“AKHIRNYA saya mampu menarik nafas lega kerana ia berakhir tanpa insiden,” kata pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu selepas melakar nama bagi kategori Bilangan Lebah Terbanyak Pada Badan Manusia (Lelaki) dalam The Malaysia Book Of Records (MBOR), hari ini.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, cabaran terbabit dilakukan bagi mendalami ilmu berkaitan serangga berkenaan memandangkan dia menceburi perniagaan madu.
“Untuk mendekati lebah, saya perlu duduk dekat dan berkomunikasi dengannya, walaupun nampak pelik.
“Sepanjang masa semasa lebah itu hurung badan, amat mencabar bagai dibawa ke alam lain,” kata Shuib.
Shuib berkata demikian ketika ditemui selepas dia bersama seorang lagi rakan artis yang juga pelakon popular Pablo Amirul, mencipta rekod MBOR berjaya dalam cabaran sama dengan meletakkan 340,000 ekor di badan mereka di Taman Botanikal, Ayer Keroh, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.
Suami kepada penyanyi Sarah Raisuddin berkata, walaupun disengat puluhan ekor lebah, namun dia tidak mudah mengalah dan terus bertahan bagi memastikan cabaran itu berjaya.
“Sepanjang waktu itu saya tidak henti bercakap dalam hati agar lebah berkenaan tidak bertindak menyengat.
“Tidak lama selepas lebah itu diletakkan ke badan, saya mula rasakan sengatan di bahagian kaki dan ianya amat sakit, namun saya tidak cepat melatah,” katanya.
Sementara itu, Siti Sarah berkata, pada mulanya dia langsung tidak mengetahui mengenai hasrat suaminya dan hanya menyedari selepas melihat rakan artis memberikan kata semangat.
“Saya mulanya pelik apabila kawan-kawannya memberi kata semangat dan tiada perbincangan antara kami pada awalnya.
“Walau apa pun, saya amat bersyukur cabaran ini berjalan lancar tanpa insiden buruk, sepanjang dia duduk di kerusi itu pelbagai perasaan yang timbul,” katanya.
Katanya, selain doa, dia dan ibu mentuanya melakukan solat hajat bagi mempermudahkan urusan suaminya itu.
Sumber: Instgram Siti Sarah Raissudin dan Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Tentunya bila ada pengisytiharan cuti umum di Malaysia, semua antara kita akan berasa gembira dan teruja mendengar perkhabaran tersebut.
Ini sebagaimana yang dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Kerajaan telah bersetuju untuk meminda Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah daripada 6 Jun kepada 8 Jun 2020 bersamaan hari Isnin
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya itu, Mohd Zuki berkata kerajaan juga telah bersetuju bahawa Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah adalah pada hari Isnin pertama bulan Jun setiap tahun mulai tahun 2021 sepanjang tempoh pemerintahan.
“Hari Keputeraan Rasmi Baginda adalah pada Isnin pertama bulan Jun setiap tahun.
“Hari Keputeraan Rasmi ini adalah diisytiharkan sebagai hari kelepasan am,” kata kenyataan itu.
Tentunya ini bolehlah dianggap satu ‘hadiah’ yang istimewa diberikan kepada rakyat bersempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.
Alhamdulillah. Daulat Tuanku! Jadi bolehlah kita rancang sebaiknya cuti yang ada untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat bersama keluarga.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di