
Kejayaan pasukan Malaysia di Olimpik Matematik Antarabangsa 2026 (International Mathematical Olympiad, IMO) membuktikan negara mampu melahirkan bakat bertaraf dunia dalam bidang matematik. Bersaing dengan peserta terbaik dari 117 negara di Shanghai, China, kontinjen negara mencipta sejarah apabila menduduki tempat ke-19 keseluruhan, sekali gus menembusi kelompok 20 terbaik dunia buat kali pertama sepanjang penyertaan Malaysia.
Pencapaian itu menjadi antara kejayaan terbesar negara dalam pertandingan matematik paling berprestij di dunia. Lebih membanggakan, pasukan Malaysia membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa serta satu penghargaan khas.
Ho Janson muncul sebagai penyumbang pingat emas negara, manakala Tan Rui Xuen, Yeoh Yi Shuen dan Chia Ming Han masing-masing meraih pingat perak. Ivan Chan Guan Yu pula membawa pulang pingat gangsa, sementara Cheng You Seng menerima penghargaan khas.
Malaysia turut mencatatkan jumlah keseluruhan 142 mata, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan terdahulu sebanyak 139 mata yang direkodkan pada tahun lalu.

Olimpik Matematik Antarabangsa 2026 Catat Sejarah Baharu Malaysia
Pencapaian bersejarah ini bukan sahaja membuktikan kemampuan pelajar Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa, malah menunjukkan hasil usaha berterusan dalam pembangunan bakat matematik negara.
Kedudukan dalam kelompok 20 terbaik dunia merupakan pencapaian yang cukup bermakna memandangkan IMO menghimpunkan peserta paling cemerlang dari seluruh dunia yang melalui proses pemilihan serta latihan yang amat ketat.
Penampilan Sulung Tan Rui Xuen Terus Raih Pingat Perak
Antara peserta yang paling mencuri perhatian ialah Tan Rui Xuen yang berjaya meraih pingat perak dalam penampilan sulungnya di pentas IMO.
Pelajar Chong Hwa Independent High School itu menyifatkan pingat berkenaan sebagai lambang segala usaha, pengorbanan dan cabaran yang ditempuh sepanjang mendalami matematik olimpik.
“Memenangi pingat perak pada IMO merupakan sesuatu yang amat saya syukuri. Ia adalah hasil daripada usaha keras dan ketekunan yang saya lakukan selama bertahun-tahun.
Pingat ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah pingat kerana ia mengingatkan saya tentang perjalanan yang telah saya lalui serta segala cabaran yang berjaya saya atasi,” katanya kepada K-Remaja.
Minat Matematik Bermula Sejak Kecil
Menurut Rui Xuen, minatnya terhadap matematik bermula sejak kecil apabila tertarik dengan gabungan elemen logik dan kreativiti dalam subjek tersebut.
Baginya, matematik bukan sekadar mencari jawapan yang tepat, sebaliknya merupakan proses meneroka idea, memahami konsep serta membina penyelesaian yang kreatif.
Pandangannya terhadap matematik berubah selepas mengenali matematik olimpik menerusi Ujian Pemilihan Kebangsaan Olimpik Matematik Antarabangsa (IMONST) ketika di sekolah menengah.
“Berbeza dengan Matematik di sekolah yang banyak bergantung kepada formula, olimpik memerlukan pemikiran lebih mendalam, kemahiran membuat pembuktian serta penyelesaian secara kreatif.
Pengalaman itu membuatkan saya melihat matematik dari sudut berbeza, sekali gus mendorong saya untuk mendalami bidang ini sehingga berjaya melayakkan diri menyertai kem latihan kebangsaan,” jelasnya.
Latihan Intensif Jadi Kunci Kejayaan
Persediaan menghadapi Olimpik Matematik Antarabangsa 2026 memerlukan komitmen yang tinggi. Rui Xuen memperuntukkan sebahagian besar masanya untuk menyelesaikan pelbagai soalan, mengulang kaji teori serta menguasai topik seperti algebra, kombinatorik, geometri dan teori nombor.
Latihan mingguan bersama pasukan kebangsaan turut memberi peluang kepadanya menimba pengalaman daripada jurulatih dan rakan sepasukan.
Dalam masa sama, beliau perlu mengimbangi jadual antara pembelajaran di sekolah, latihan intensif serta waktu rehat bagi memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurut Rui Xuen, kejayaan dalam matematik bukan bergantung kepada bakat semata-mata, tetapi memerlukan rasa ingin tahu, disiplin serta kesabaran untuk terus belajar.
“Kita perlu melihat matematik sebagai satu penerokaan dan bukan sekadar himpunan persamaan serta formula.
Selepas itu, kita akan mula menikmatinya dan mendapati bidang ini cukup bermakna,” katanya.
Proses Pemilihan Wakil Negara
Setiap pelajar yang bercita-cita mewakili Malaysia perlu melalui IMONST sebelum dipilih menyertai Bengkel Olimpik Matematik Antarabangsa Malaysia (BIMO).
Program latihan intensif tersebut bertujuan membimbing serta memilih wakil terbaik negara ke IMO. Lazimnya, proses pembangunan bakat ini mengambil masa beberapa tahun sebelum seseorang peserta benar-benar bersedia bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam pertandingan IMO, peserta perlu menjawab enam soalan sepanjang dua hari pertandingan. Soalan-soalan tersebut menguji kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti serta kebolehan menghasilkan pembuktian matematik yang tepat.
Markah maksimum ialah 42 mata dan pingat diberikan berdasarkan pencapaian individu serta prestasi keseluruhan peserta pada tahun berkenaan.
Disiplin, Kerjasama dan Keyakinan Diri
Jurulatih pasukan IMO Malaysia, Ivan Chan Kai Chin berkata, melatih pasukan negara bukanlah tugas mudah kerana semua peserta yang dipilih mempunyai kemampuan matematik yang sangat tinggi.
Menurut beliau, cabaran utama bukan sekadar meningkatkan penguasaan matematik, tetapi turut membentuk keyakinan diri, disiplin serta sahsiah pelajar.
Program latihan juga menekankan nilai kerjasama melalui sistem mentor-mentee supaya peserta saling berkongsi ilmu dan pengalaman ketika menyelesaikan pelbagai masalah matematik.
“Budaya saling membantu penting kerana bidang penyelidikan matematik lebih menekankan kerjasama berbanding persaingan semata-mata.
Pada akhirnya, mereka melihat IMO sebagai cabaran untuk menguji diri sendiri dalam matematik, bukannya bersaing dengan orang lain,” katanya.
Kai Chin menyifatkan pencapaian Malaysia dalam Olimpik Matematik Antarabangsa 2026 sebagai detik bersejarah yang membuktikan negara mampu melahirkan bakat setanding dengan kuasa besar matematik dunia.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi inspirasi kepada ibu bapa, guru dan pelajar bahawa bakat yang dipupuk melalui latihan berterusan, disiplin tinggi serta sokongan keluarga mampu membawa seseorang melangkah jauh sehingga ke pentas antarabangsa.
BACA LAGI : Michelle Yeoh Anak Malaysia Pertama Menang Oscar, Terus Hubungi Ibu Selepas Terima Anugerah!
Sumber : Kosmo
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




