Nama Ahmad Fedtri Yahya, tidak asing lagi dalam dunia penyiaran. Petah berkata-kata, anak kelahiran Pantai Remis ini juga seorang penulis lirik.
Biarpun sibuk dengan kerjaya, namun suami kesayangan Nurul Anati Ismail tidak mengabaikan tanggung jawabnya sebagai ketua dalam rumah tangga. Berpeluang menemu bual bapa kepada empat anak ini, ternyata dia punya aura tersendiri sebagai ayah dan juga suami.
“Saya kahwin dah lewat bila dapat anak syukur sangat. Walaupun sibuk dengan urusan kerja, saya sempat juga belai dan manjakan anak-anak.
“Malah saya cukup rapat dengan anak-anak. Selalu manjakan mereka, sebab tu anak perempuan umur 7 tahun pun nak tidur sama lagi. Puas bagi nasihat dia tetap tak nak dengar.
“Tetapi bila dah besar dia mula faham dan malu- malu. Kalau dulu dia tak kisah kita peluk dan cium tapi sekarang NO terutama sekali depan kawan-kawan.
“Ibunya pun selalu ingatkan dan cukup tegas bab batasan antara anak dan ayah ni. Sebagai ayah memang rasa sedih dan rasa masih nak peluk dia lagi. Tapi faham anak perempuan dah besar. Cuma sesekali bila teringat tu dia akan datang tidur bersama.
“Pernah sekali dia tidur sebelah saya, tapi bangun esoknya tak akan mengaku. Momen itulah yang menjadi ‘point’ untuk saya menyakat anak perempuan dengan adik-beradiknya. itulah yang menjadi keceriaan kami sekeluarga.
Akui Fedtri lagi, kalau dulu dunia anak perempuannya hanyalah dengan daddy, ibu dan adiknya.
“Tetapi sekarang , dia dah ada kawan jadi pergaulan lebih terbuka. Lagipun sekarang ada media sosial seperti Telegram dan sebagainya.” kongsinya lagi.
Malah, anak sulung bernama Indah Sutera Jannah, sangat rapat dengannya. Itu diakui sendiri penyampai radio Buletin fm ni.
Makna indah penuh erti
Selain Indah Sutera Jannah, pasangan ini juga dikurniakan tiga lagi cahaya mata, Ahmad Willdan Arjuna, Indah Rauvda Inaara dan Ahmad Firaas Mevlana.
Mendengar keunikan nama anak-anaknya, akui Fedtri majoriti dipilihnya sendiri sebab nama anak adalah sentuhan peribadi asalkan maknanya indah dan penuh erti.
“Setiap pilihan nama anak-anak, saya akan pastikan isteri suka dan fahami maknanya. Tetapi untuk nama anak kami yang keempat, Ahmad Firaas Mevlana adalah pilihan isteri saya sendiri,” ujar Fedtri dan Nurul Anati yang berkahwin pada Mei 2011.
Bapa cinta pertama anak
Ditanya pandangan tentang jodoh kelak, Fedtri menyerahkan urusan tersebut kepada anaknya untuk memilih teman hidup.
“Kalau anak perempuan bertemu jodoh, saya harapkan lelaki tersebut hargai dan hormati anak perempuan kami. Saya jenis tak pukul dan marah anak sebaliknya didik dengan penuh kasih sayang.
“Nama pun Sutera penuh lemah lembut dan jiwanya sensitif. Jadi kena hargai dan jaga serta hormat sebagai wanita tanpa memainkan perasaannya.
Ayah kongkong anak
Mengulas mengenai isu ayah yang mengongkong anak, jujurnya menurut Fedtri itu satu tamparan hebat buat ayah yang membesarkan anak ikut acuan sendiri.
“Pada saya dalam soal jodoh anak boleh memilih sendiri. Ada waktunya boleh rujuk ibu bapa tetapi lebih baik ikut cara sendiri.
“Saya harap anak bina kehidupan sendiri, bebas dan tinggal di luar negara. Yang penting sentiasa rindu dan ingat dengan ayah bonda.
“Yang utama minta restu, sebagai ayah kena tengok siapa bakal suami atau isteri anak-anak kita. Tak boleh lepas begitu sahaja.
Ayah jenis ‘simpan’ tak suka tunjuk
Fedtri dalam pada itu turut menitipkan doa semoga ibu bapa di luar sana tabah menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
“Sebagai anak, berikan sesuatu. walaupun memang wajib berikan setiap hari terutama doa tetapi untuk hadiah ini, berikan kejutan yang manis untuk seorang ayah. Mereka ni jenis ‘simpan’ dan jarang luahkan.
“Kalau boleh biar mereka sebak dan menangis supaya tahu betapa anak merindui ayah yang banyak sembunyikan rahsia tetapi di dalam hati penuh dengan cinta. Insya-Allah
“Semoga hari ini kita meraikan Hari Bapa dengan bermakna dan penuh dengan penghormatan serta kasih sayang,” ulas Fedtri lagi tatkala diminta memberikan bingkisan ucapan istimewa sempena Hari Bapa.
ARTIKEL MENARIK: “Muka Mummy, Perangai & Cara Cakap Baba.” Berlakon Jadi Doktor, Warganet Puji Bahasa Melayu Jebat Jayden
ARTIKEL POPULAR: “Teruja Nak Kongsi Berita Indah. Saya Hamil!.” Alahan Teruk, Dr Amalina Syukur Suami & Ibu Banyak Bantu
BACA INI JUGA : “Heykal Sakit Ke? Nampak Kurus Betul.Hampir Tak Kenal.” Penampilan Suami Faezah Elai Raih Perhatian
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club