Ada sesetengah orang suka sangat kunyah ais, kruk krak kruk krak bunyinya macam sedang makan keropok dibuatnya.
Pun begitu, jangan terlalu seronok hingga ‘ketagih’ mengunyah ais, ada kesannya pada kesihatan. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh doktor ini.
TABIAT MENGUNYAH AIS BATU
Mengunyah ais mungkin kelihatan tidak berbahaya. Malah, ia mungkin menjadi tabiat yang tidak boleh dihentikan. Kebanyakan yang mengunyah ais ini ingin berasa lebih segar dan membantu mengelakkan mulut kering. Walau bagaimanapun, tanpa anda sedari tabiat itu mungkin menyebabkan masalah kesihatan tertentu.
Pagophagia adalah istilah untuk seseorang yang sentiasa inginkan ais. Keinginan boleh berterusan dan sering berlangsung selama lebih daripada sebulan. Pagophagia adalah gangguan makan jarang berlaku yang dikenali sebagai pica. ‘Pica’ adalah satu terma perubatan yang membuatkan kita ingin mengunyah atau makan sesuatu yang tiada nilai nutrisi seperti ais, kapur, kertas, pasir, batu dan sebagainya. Walaupun kanak-kanak pada umumnya lebih cenderung untuk mengidap nafsu pica, pagophagia boleh menjejaskan juga kepada orang dewasa dan kanak-kanak.
FAKTOR KEINGINAN MENGUNYAH AIS
1) Kekurangan zat besi (Anemia)
Beberapa kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil cukup zat besi (8-18 mg zat besi sehari) jarang mengalami pagophagia. Orang yang kekurangan zat besi didapati mengalami keradangan lidah dan ais dapat mengurangkan keradangan ini. Kajian juga menunjukkan bahawa apabila kekurangan zat besi dirawat, katagihan ais juga akan pulih.
2) Masalah emosi
Beberapa isu emosi juga boleh mendorong kepada tabiat mengunyah ais. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami tekanan boleh mengunyah ais untuk menenangkannya. Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) juga boleh menjadi puncanya. OCD adalah keadaan kesihatan mental yang membawa kepada tingkah laku kompulsif atau fikiran yang obsesif.
3) Dehidrasi
Dehidrasi ringan juga boleh menyebabkan orang mengidamkan ais ais. Kiub ais sejuk boleh melembapkan mulut dan bibir kering selain menghilangkan rasa dahaga. Ia juga boleh membantu menurunkan suhu badan pada hari yang panas. Simptom dehidrasi ringan adalah dahaga dan air kecil berwarna gelap. Sesiapa yang mengalami simptom dehidrasi yang lebih teruk, seperti kejang atau rasa pening perlu mendapatkan rawatan segera.
KESAN SAMPINGAN PAGOPHAGIA
Mengunyah dan menghisap ais tidak mempunyai apa-apa kesan negatif ke atas organ-organ badan ataupun menyebabkan apa-apa jenis penyakit serius. Walau bagaimanapun apabila ianya menjadi tabiat dan obsesi, tentu ada masalah sampingan yang boleh dialami. Terdapat sekurang-kurangnya 4 kesan sampingan akibat ketagihan ais ini:
1. Mengunyah dan menghisap ais secara berpanjangan boleh memberi tekanan kepada gigi dan gusi anda. Ia boleh menipiskan lapisan enamel dan juga menyebabkan gigi berlubang dan pecah. Anda boleh mengalami kerosakan gigi. Apabila anda melakukan rawatan gigi seperti “fillings” dan “crowns”, ais yang anda kunyah boleh menjejaskan rawatan ini. Bahagian kiub ais yang tajam juga boleh mencederakan mulut, gusi dan lidah.
2. Anda berisiko tersedak kiub ais masuk ke dalam paru-paru (choking)
3. Seperti yang dinyatakan di atas, salah satu sebab seseorang itu ketagih kiub ais adalah supaya ia dapat mengurangkan pengambilan makanan. Ini jika berlaku dalam masa yang panjang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan ataupun malnutrisi.
4. Tabiat mengunyah dan menghisap ais yang kerap dan dilakukan di tempat-tempat awam ini dianggap sebagai tabiat buruk. Mengunyah ais akan mengeluarkan bunyi yang mengganggu orang sekeliling dan orang lain akan menganggap ianya satu tabiat yang pelik.
Mengambil air ais dalam kuantiti yang sederhana tidak memudaratkan badan. Kepercayaan bahawa meminum air ais menyebabkan pelbagai penyakit lelaki dan wanita adalah tidak benar sama sekali. Malahan ais boleh digunakan untuk mengurangkan banyak gejala-gejala seperti bengkak, kesakitan, keradangan, sakit mulut, loya dan muntah.
Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada diri kita dan ahli keluarga. Ia termasuk penjagaan pemakanan ahli keluarga. Kini selain makanan tambahan, ramai yang gemar mengamalkan penjagaan kesihatan secara natural.
Baru-baru ini suatu perkongsian yang amat bermanfaat untuk kita selidiki. Ia memaparkan khasiat daun mulberry. Paling menarik dia jadikan seakan makanan ringan cara sihat dengan menjadikan daunnya dicelup tepung.
Patut la ramai yang duk viral DAUN MULBERRY CELUP TEPUNG ni. Sedap rupanya. Krup krap krup krap anak duk makan. Dah macam makan keropok keping. Kalau korang buat, sure tak menyesal lah. Khasiat pun banyak daun mulberry ni.
.
Resepi mudah sangat-sangat. Sukatan tepung sama banyak.
* 2 sudu besar tepung jagung
* 2 sudu besar tepung beras
* 1 sudu kecil serbuk kari (suka hati nak kari ayam daging ke, ikan ke) nak bagi rasa spicy skit.
* secubit serbuk lada putih & garam
* air suam
Bancuh agak² tak pekat, tak cair. Celup daun,dan goreng sehingga garing(guna api sederhana).
Sedia untuk dimakan.
Antara khasiat Daun Mulberry ini adalah ideal untuk membantu mengatasi atau mengurangkan penyakit berikut :
.
1. Penawar dan mencegah penyakit kencing manis (diabetes)
2. Mengawal serta mengurangkan kolesterol dalam pembuluh darah
3. Mengawal serta mengurangkan tekanan darah tinggi
4. Membantu mengelakkan serangan sakit jantung
5. Membantu dalam kehilangan berat badan
6. Mengurangkan keadaan asma yang teruk
7. Melambatkan proses penuaan dan meremajakan kekuatan anda
8. Mengurangkan risiko kerapuhan tulang kerana kandungan kalsium yang tinggi
9. Meredakan batuk, perasaan cemas dan kegelisahan
10. Mengurangkan kesakitan ketika datang haid
11. Membantu perjalanan haid yang tidak teratur
12. Menambahkan tenaga
13. Meningkatkan produksi susu badan
14. Membantu mengurangkan migraine, sukar tidur malam (insomnia) dan hipertensi
15. Memiliki semua 18 asid amino dan mengandungi vitamin B, B1, B2, C, asid folik, potassium yang amat diperlukan
16. Membantu, mencegah dan mengurangkan risiko penyakit kanser (antioksidan)
.
Rugi sangat-sangat kalau tak cuba. Banyak betul khasiatnya.
Sumber: Sumaiyah Abdullah via Petua Ibu
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kegagalan itu adalah permulaan kepada sebuah kejayaan. Mungkin ada yang setuju atau sebaliknya. Namun andai dilihat pada nama-nama besar di dunia ini, ramai antara mereka sebelum mencapai kejayaan tersebut, pernah lalui banyak kegagalan dalam hidup. Antaranya perjalanan hidup yang dilalui oleh William Henry Gates III, atau yang lebih dikenal Bill Gates adalah CEO Microsoft. Ia juga merupakan seorang yang dermawan melalui kegiatannya di Yayasan Bill & Melinda Gates. Ia adalah pertama dalam orang terkaya di dunia versi majalah Forbes selama 13 tahun (1995 hingga 2007). Siapa sangka dia sebelumnya pernah dibuang dari Harvard dan bekerja sebagai Office Boy. Kesukaran dan rintangan yang dilalui, akhirnya menjadikan diri mereka orang yang luar biasa hebat.
Dan ini satu lagi kisah menarik perjalanan seorang anak Melayu yang juga pernah gagal dalam pelajaran. Namun siapa sanga kini insan ini berjaya mencipta kejayaan di dalam bidang pendidikan. Jom ikuti perkongsian hidupnya, semoga dapat menyuntik inspirasi buat anak-anak kita untuk terus memajukan diri dan diharapkan tidak pernah kenal erti putus asa dalam mencari ilmu.
THE STORY OF MY LIFE.
Alhamdullilah, telah genap tempoh 2 tahun semenjak kisah latar belakang akademikku menjadi viral di media-media sosial. Posting asal tu kini telah mendapat lebih daripada 38k likes dan 42k shares.
Masih lagi ku teringat, ketika hendak berkongsikan nukilanku itu, jam telah menunjukkan pukul 3.30 pagi pada 18 haribulan November 2016. Ketika itu, saya baru sahaja selesai menyemak satu tesis Sarjana, yang mana saya akan menjadi pemeriksa dalaman bagi calon tersebut.
Kebetulan pula, tarikh tersebut adalah sehari selepas tarikh keputusan peperiksaan UPSR 2016 telah diumumkan. Ketika melayari FB, saya mendapati sebilangan pengguna FB berkongsi tentang keputusan UPSR yang mana, bilangan calon yang memperolehi keseluruhan bilangan A bagi semua subjek adalah sangat berkurangan berbanding dengan keputusan UPSR pada tahun sebelum itu.
Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah latarbelakang akademikku yang tidak cemerlang, malah pernah dibuang universiti, tetapi dengan azam dan semangat yang tidak pernah berputus asa boleh mencapai keputusan yang cemerlang, Insya-Allah…
Saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah pengalaman belajar saya terdahulu. Ramai dikalangan pelajar saya sendiri di universiti ini menyangkakan bahawa saya adalah seorang yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi realitinya adalah tidak.
Buat permulaan, keputusan UPSR saya adalah baik, di mana saya memperolehi 2A dan 2C. Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada diri saya. Untuk keputusan PMR, saya hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekaligus meranapkan impian saya untuk memasuki aliran Sains.
Dengan berat hatinya, saya meneruskan belajar di aliran Perakaunan. Tetapi nasib menyebelahi saya tidak lama selepas itu, di mana pihak sekolah membuka peluang kepada pelajar aliran lain yang ingin bertukar ke aliran Sains. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pelajar aliran Sains di sekolah saya. Setelah berjumpa dengan Guru Besar untuk menyatakan hasrat saya untuk bertukar aliran, beliau pada mulanya tidak bersetuju untuk saya mengikuti aliran Sains disebabkan oleh faktor keputusan PMR yang tidak memberangsangkan. Saya bersungguh-sungguh berjanji kepadanya untuk belajar sebaik mungkin dan akhirnya beliau bersetuju untuk membenarkan saya memasuki aliran Sains.
Sebaik mengikuti aliran Sains, saya telah merasakan bahawa saya telah membuat satu keputusan yang silap, di mana subjek-subjek Sains Tulen yang saya ambil adalah terlalu sukar untuk saya ikuti. Ditambah pula dengan subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai ‘killer subject’ oleh semua pelajar aliran Sains. Setiap kali peperiksaan tahunan, saya akan mendapat antara keputusan yang tercorot di dalam kelas dan ini mengundang perasaan risau kepada cikgu tingkatan saya (untuk subjek Matematik Tambahan, sekalipun tak pernah lulus).
Akhirnya, apabila keputusan SPM sebenar telah diumumkan, keputusan yang diperolehi adalah sangat teruk (tiada satu A pun yang telah saya perolehi jika mengikut kepada sistem penggredan SPM terkini). Cikgu tingkatan yang menyerahkan slip keputusan tersebut menyatakan bahawa saya memang tiada masa hadapan yang cerah disebabkan oleh sikap saya yang tidak mahu berubah langsung dan di dalam hati saya mengakui akan pendapatnya.
Selepas itu, saya cuba untuk mohon sambung belajar di pelbagai institusi, malangnya semua telah ditolak. Maka bermulalah episod saya sebagai seorang operator pengeluaran di kilang Denso di Bangi. Selepas 6 bulan, saya telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi Guardian, Kajang.
Tidak lama selepas itu, saya mendapat maklumat bahawa bagi sesiapa yang tidak cemerlang semasa SPM, boleh menyambung belajar di peringkat Pra-Sains di UiTM. Kursus Pra-Sains ini akan menggilap kembali pengetahuan subjek-subjek Sains Tulen sebelum diterima masuk ke program Diploma UiTM. Jika berjaya memperolehi CGPA 3.00 dan ke atas bagi semester pertama kursus Pra-Sains, layak untuk mengikuti program-program Diploma di UiTM. Tetapi jika CGPA kurang dari 3.00, maka terpaksa mengikuti semester kedua kursus Pra-Sains.
Alhamdullilah, saya telah diterima masuk ke program ini di UiTM Jengka, Pahang. Malangnya, CGPA bagi semester pertama saya adalah 1.92 dan saya telah mendapat keputusan Gagal dan Diberhentikan. Apabila membaca keputusan tersebut, terus rasa dunia saya gelap gelita. Maka, saya kembali membuat kerja sambilan selepas itu.
Ibubapa pun berasa sangat kecewa dan berputus asa dengan saya. Tetapi selang seminggu selepas itu, ibu saya telah mendapat satu panggilan dari pihak UiTM Jengka yang memaklumkan bahawa mereka ingin membenarkan saya untuk mengikuti pengajian semetser kedua Kursus Pra-Sains, memandangkan CGPA saya adalah kurang sedikit sahaja di bawah 2.00 Mendengar berita ini, saya telah berjanji di hadapan ibubapa saya untuk benar-benar berubah dan tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang lepas.
Oleh itu, saya telah mengikuti semester kedua tersebut dan Alhamdullilah saya telah memperolehi GPA 3.25 Banyak perubahan yang telah saya lakukan, seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai ‘study group’.
Semenjak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan mengekalkan momentum tersebut. Saya sambung pula pengajian di peringkat Diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis.
Selepas itu, saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan telah berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut (pinjaman PTPTN tak perlu bayar balik).
Kemudian mengikuti Masters di dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, UK dan setelah menjadi antara 2 pelajar terbaik bagi program tersebut, terus ditawarkan tempat untuk pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama. Alhamdullilah, telah menamatkan pengajian PhD di dalam tempoh 4 tahun dan tesis telah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.
Jadi, tidak mustahil jika kita tidak berjaya pada masa kini, kita tidak boleh berjaya di kemudian hari. Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa. Insya-Allah kalau saya boleh berjaya, anda semua pun pasti boleh melakukannya. Saya berpegang teguh dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R’ad (ayat 11) yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Alhamdullilah, sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu di atas segala nikmat yang telah Kau berikan kepadaku selama ini, Amin. Akhir kata, jangan pernah mempersiakan peluang yang telah diberikan kepada kita, mungkin kita tidak akan merasai peluang kedua.
Coretan jujur penulis yang suatu ketika dahulu pernah tidak diberikan apa-apa harapan oleh sesiapapun.
Ikhlas,
Prof. Madya Dr. Midhat Nabil (AMIChemE)
p/s: Terima kasih tak terhingga kepada UiTM kerana menjadikan saya sebagaimana hari ini dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kerana tempatku mencari rezeki, Syukur…
Kamatian itu pasti, itu semua kita maklum. Pun begitu, jarang sekali antara suami isteri membincangkan persiapan melalui detik itu agar yang ditinggalkan tidak berasa kesempitan kewangan umpamanya.
Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh Cikgu Tg ini. Nak tahu lanjut, jom semak perkongsian bermanfaat ini.
“Sayang kena hafal Password Maybank2U Abang ni,” pesan Cikgu Tg lembut dalam kereta semasa perjalanan pulang ke Port Dickson dari kampung halaman semalam.
“Kalau abang meninggal nanti, perkara pertama Sayang kena buat sebelum menangis adalah keluarkan sebanyak mungkin limit harian abang,” tambah Cikgu Tg.
“Iya insyaAllah bang,” jawapannya bersahaja, mungkin memikirkan benarnya kata-kata Cikgu Tg ini tetapi berat untuk difikirkan.
“Sayang faham kalau meninggal nanti semua akaun bank, KWSP, Tabung Haji, ASB dan semua institusi kewangan yang ada akan freeze,” semestinya dia arif, semasa di USIM dulu dia mengambil jurusan Financial Math dan belajar tentang Muamalat dan Takaful ini.
“Pernah terjadi satu kes, arwah suami seorang isteri ini meninggal, si isteri dapat keluarkan setiap hari RM5,000 selama 3 hari berturut-turut sebelum akaun bank itu freeze. Alhamdulillah sekurang-kurangnya si isteri ini telah punyai RM15,000 dalam tangan untuk urusan pengebumian, langsaikan hutang-hutang arwah dan diagihkan secara faraid duit lebihan itu sebagai harta pusaka kepada yang berhak.
“Ada jugalah dapat duit sedikit sebelum menunggu DUIT HIBAH TAKAFUL RM100,000 yang ditinggalkan oleh arwah suami beliau diserahkan 4 bulan selepas itu,” Cikgu Tg memberikan contoh agar si dia ini betul-betul memahami apa yang Cikgu Tg ingin sampaikan.
Bicara ini adalah kisah benar semalam, kami berbincang dalam nada bersahaja namun betul-betul mengambil serius tentang hal ini.
Buat para isteri di luar sana, berapa ramai dikalangan kalian mengetahui ID dan PASSWORD akaun bank suami kalian? Jika belum, bincangkanlah tentang hal ini.
Hal tentang masa depan bukan setakat bincang anak-anak akan datang nak sekolah di mana? Raya tahun ini nak pakai baju warna apa? Hujung minggu nanti nak beli barang dapur berapa bajetnya?
Hal tentang PENINGGALAN perlu difikirkan sama, saat Allah masih lagi beri peluang kita tidur atas katil bersama. Kerana apabila kita dijemput Ilahi, sangat berbeza mereka yang punyai PERANCANGAN dan mereka yang tiada langsung PERBINCANGAN.
Ramai yang terkejut tidak terkata dan terus buntu tidak tahu ingin buat apa jika sewaktu hayat ini tidak pernah mereka berbicara tentang KEMATIAN. Walhal ia adalah suatu KEPASTIAN.
Fikirkan teman-teman, telah ramai kawan-kawan kita pergi pada usia sebaya kita. Kita tidak terkecuali, suatu hari nanti pasti akan mengadapNya jua.
Mengingat Untuk Sama-sama Beringat
– Cikgu Tg –
Calon Jenazah
Aaron Aziz mengakui berdepan rasa sunyi apabila anak-anak semakin dewasa dan melanjutkan pengajian di luar negara. Luahan menyentuh hati ini dekat dengan pengalaman ramai ibu bapa.