
Walaupun sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam industri hiburan, pengacara dan pelakon popular, Awal Ashaari mengakui tidak menggalakkan dua anak perempuannya, Lara Alana, 12, dan Lyla Amina, 5, mengikut jejak langkahnya sebagai selebriti.
Bukan tidak mahu melihat anak-anak berjaya dalam bidang seni, namun Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 44, lebih berharap mereka memilih kerjaya yang mempunyai masa depan lebih terjamin.
Pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia hiburan membuatkan Awal cukup memahami cabaran yang perlu dilalui oleh seseorang selebriti, terutama apabila melibatkan soal kestabilan kerjaya dan pendapatan.

“Scha Kata Jangan Jadi Artis…”
Menurut Awal, anak-anaknya pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi pelakon seperti ibu mereka, Scha Alyahya. Bagaimanapun, isterinya sendiri tidak menggalakkan pilihan tersebut.
“Anak saya sudah kena ‘brainwash’. Kadang-kadang mereka cakap nak jadi pelakon macam Scha, tetapi Scha kata jangan jadi artis, artis tak banyak duit.
“Kadang-kadang benda ini ikut rezeki dan nasib. Dalam Malaysia, bukan saja soal bakat, tetapi dia disertai dengan rezeki dan juga nasib,” katanya.
Awal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran telefilem Like & Latte karya UTV Original.
“Kalau Dah Suam-Suam, Tawaran Akan Kurang…”
Berkongsi pengalaman sebagai anak seni, Awal menjelaskan bahawa kehidupan selebriti tidak menentu kerana tawaran pekerjaan bergantung kepada populariti dan permintaan industri.
“Kehidupan sebagai selebriti ini tidak menentu. Kalau tengah ‘meletup’, tawaran banyak. Selepas itu kalau dah suam-suam, nanti tawaran akan kurang, jadi memang tiada jaminan,” jelasnya.
Malah, pelakon filem Syurga Cinta itu turut mengingatkan kepentingan menguruskan kewangan dan membuat simpanan untuk hari tua.

“Kalau selebriti kena carum sendiri, itu pun kalau ada yang beringat. Kalau yang tidak beringat, masa tengah gembira, berjoli-joli, tiba-tiba bila dah ‘down’, tiada apa-apa,” ujarnya.
Justeru, Awal berharap Lara dan Lyla memilih pekerjaan yang lebih stabil apabila dewasa kelak.
“Bukan nak kata industri kita tidak menjamin, tetapi ia bergantung kepada rezeki dan nasib,” katanya.
Sebagai seorang bapa, Awal hanya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Pengalaman lebih 20 tahun dalam industri seni membuatkan dirinya lebih memahami bahawa populariti tidak semestinya menjamin kesenangan sepanjang hayat.
BACA LAGI : “Bau Baju Anak Jadi Penawar Rindu”, Awal Ashaari Simpan Pakaian Anak Dalam Zip Lock Bila Berjauhan
Sumber : Harian Metro

