
Kasih seorang anak terhadap bapa tiada penghujungnya. Bekas peserta Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Azwan Satar, 43, sanggup mengetepikan hasrat mendirikan rumah tangga demi menjaga bapa tercinta yang semakin uzur.
Seawal jam 5 pagi, Azwan sudah memulakan rutin menguruskan keperluan bapanya, Satar Mohd Sahar, 88, yang tidak lagi mampu berdikari selepas mengalami patah kaki kira-kira empat tahun lalu.
Anak kesembilan daripada 10 beradik yang berasal dari Parit Sulong, Johor itu turut menyediakan makanan, mencuci pakaian dan menguruskan rumah selain mencari rezeki menerusi jualan minyak wangi secara langsung di media sosial.
Azwan Satar Pilih Jaga Bapa, “Kalau Ada Jodoh Tak Ke Mana…”
Memetik Harian Metro, Azwan mengakui tanggungjawab menjaga bapa bukan mudah, malah pada awalnya dia sering berdepan tekanan emosi dan perlu belajar mengawal kesabaran.
“Waktu mula dulu, ada saja benda yang buat saya cepat marah sebab ayah sudah tidak boleh berjalan.
“Nak lepaskan kemarahan dekat ayah tak boleh kerana berdosa jadi kena tahan emosi,” katanya.
Bagaimanapun, Azwan tidak pernah menyesali keputusannya untuk terus membujang kerana baginya, kebajikan bapa lebih utama.

“Ikutkan hati memang nak kahwin tapi jika berumah tangga, saya kena menjaga hati isteri dan juga ayah.
“Jadi biarlah saya hidup sendiri buat masa ini. Insya-Allah kalau ada jodoh tak ke mana tapi bapa hanya satu dan tiada pengganti,” luahnya.
Pernah Kehilangan Ibu Di Pangkuan Sendiri
Lebih menyentuh hati, Azwan turut berkongsi kenangan kehilangan ibu tercinta yang menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya, kira-kira setengah jam selepas dia menyuapkan makanan.
Pengalaman itu membuatkan Azwan semakin menghargai peluang berbakti kepada bapanya selagi masih ada kesempatan.
“Sekarang masa untuk saya berbakti kepada ayah pula dan percaya ada rezeki menjaga orang tua. Selagi panjang umur, saya akan menjaga ayah dan semoga ia menjadi tiket untuk ke syurga nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Azwan tidak menolak kemungkinan kembali aktif dalam dunia seni kerana minatnya terhadap nyanyian masih belum pudar. Namun buat masa ini, dia memilih menetap di kampung demi memastikan bapanya mendapat penjagaan sewajarnya.
Kisah Azwan cukup menyentuh hati dan menjadi peringatan bahawa selagi ibu bapa masih ada, hargailah setiap peluang untuk berbakti. Soal jodoh dan kerjaya boleh diusahakan, tetapi masa bersama insan tersayang tidak mungkin dapat diulang.
BACA SINI : “Kini Giliran Saya Berkorban Untuk Ayah”, Anak Tunggal Tangguh Pengajian Demi Jaga Bapa Hidap Kanser
Sumber: Harian Metro

