Berita

“Kini Giliran Saya Jaga Mereka” Pengorbanan Anak Ketepikan Kehendak Diri Demi Emak & Abah

Share

Berbakti kepada ibu bapa yang membesarkan kita sejak kecil sememangnya satu tanggungjawab yang sukar dinilai dengan apa jua balasan. Bagi Zulridza Zulkepli atau Reza, 31, kini tiba masanya untuk dia pula mencurahkan sepenuh perhatian kepada kedua-dua ibu bapanya yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu sanggup mengetepikan kehendak diri termasuk mengehadkan aktiviti kegemarannya demi memastikan emak dan abah terurus sebaik mungkin.

ZULRIDZA kini menjaga ibu, Ainon Sapar dan bapanya, Zulkepli yang kedua-duanya sudah uzur dan tidak mampu menguruskan diri.

Malah jauh di sudut hati, Reza mengakui turut menyimpan impian untuk mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat sendiri. Namun buat masa ini, tanggungjawab terhadap ibu bapanya menjadi keutamaan.

“Jauh di sudut hati saya menyimpan keinginan nak berkahwin dan ada zuriat, cuma soal jodoh saya serahkan kepada Allah SWT.

“Buat masa sekarang, keutamaan saya adalah menjaga emak dengan abah kerana itu yang lebih penting,” katanya.

Berbakti Kepada Ibu Bapa, Emak Terlantar Dan Abah Jalani Dialisis

Reza yang berasal dari Kampung Melayu Batu 9 menjaga bapanya, Zulkepli Katan, 71, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik, manakala ibunya, Ainon Sapar, 68, menghidap dementia serta terlantar selepas diserang angin ahmar.

Menurut Reza, ibunya pernah diserang angin ahmar pada 2015 sebelum kembali pulih dan mampu memasak serta melakukan kerja rumah. Bagaimanapun, dua tahun lalu kesihatan ibunya kembali merosot akibat penyakit sama sehingga terlantar.

Bapanya pula mula mengalami masalah kesihatan sejak 2019. Jari kaki kanannya terpaksa dipotong dan kini perlu menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang kronik.

Kakak dan abangnya yang sudah mempunyai keluarga sendiri turut membantu dari segi kewangan.

Dalam keadaan kedua-dua ibu bapanya memerlukan penjagaan, Reza mengambil tanggungjawab menguruskan keperluan harian mereka. Peluang untuk berbakti kepada ibu bapa itu dilaksanakan sebaik mungkin meskipun dia turut mempunyai komitmen pekerjaan.

Seawal 4 Pagi Sudah Bangun Menguruskan Ibu Bapa

Bekerja sebagai pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), rutin harian Reza bermula seawal jam 4 pagi.

Dia akan menguruskan bapanya terlebih dahulu sebelum menyiapkan segala keperluan ibunya. Sekitar jam 6 pagi, Reza menghantar bapanya ke pusat dialisis sebelum bergerak ke tempat kerja.

Walaupun terpaksa meninggalkan kedua-duanya di rumah ketika bekerja, Reza tetap memastikan keadaan mereka dapat dipantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang disambungkan ke telefon bimbitnya.

Sebaik pulang daripada kerja, tanggungjawab menjaga emak dan abah diteruskan.

“Begitulah rutin setiap hari. Sedih kerana terpaksa tinggalkan emak dan abah kerana terfikir bagaimana keadaan mereka di rumah,” katanya.

Dalam masa sama, Reza perlu kekal profesional ketika bekerja kerana tugasnya menuntut dia berhadapan dengan individu yang turut berdepan pelbagai kesukaran dan memerlukan bantuan.

“Apabila Pegang Tangan Emak, Saya Jadi Sebak”

Bukan mudah menjaga dua insan yang uzur dalam masa sama. Ada ketika tubuh penat dan emosi turut diuji, namun mengenangkan segala pengorbanan ibu bapanya membuatkan Reza terus kuat.

“Apabila tengok wajah abah dan pegang tangan emak, saya jadi sebak kerana mengenangkan pengorbanan mereka membesarkan saya dahulu.

“Abah mencari rezeki dan emak pula pernah memandikan, memimpin tangan ke sekolah dan banyak mengajar memasak serta buat kerja dapur hingga saya boleh berdikari sejak kecil.

“Kini, giliran saya pula menjaga mereka,” katanya.

Kenangan ketika dibesarkan kedua-duanya menjadi antara perkara yang membuatkan Reza terus bertahan. Jika dahulu tangan emak dan abah yang memimpin serta menjaganya, kini dia pula mengambil peranan tersebut apabila mereka semakin uzur.

Ketepikan Aktiviti Kegemaran Demi Emak Dan Abah

Demi tanggungjawab tersebut, Reza turut mengehadkan masa melakukan aktiviti yang diminatinya seperti mendaki, berlari dan bersenam di gimnasium.

Keputusan itu menjadi sebahagian daripada pengorbanannya untuk memastikan masa yang ada dapat diberikan kepada kedua-dua ibu bapanya. Dalam tempoh mereka memerlukan perhatian, Reza memilih untuk mendahulukan keluarga berbanding kehendak peribadi.

Kisah Berbakti Kepada Ibu Bapa Sentuh Hati Warganet

Kisah Reza yang turut mendapat perhatian selepas video dia membantu memandikan ibunya di kerusi roda dikongsikan di media sosial cukup menyentuh hati warganet. Ramai mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan dan dikurniakan kekuatan untuk terus menjaga kedua-dua insan tersayang.

Apa yang dilakukan Reza turut menggambarkan bahawa berbakti kepada ibu bapa boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Bukan sahaja melalui wang ringgit, tetapi juga masa, tenaga, kesabaran dan kesediaan untuk berada di sisi mereka ketika diperlukan.

Dalam kesibukan mengejar kehidupan sendiri, peluang menjaga emak dan abah yang semakin dimamah usia merupakan sesuatu yang tidak semua orang masih miliki.

Sesungguhnya, berbakti kepada ibu bapa bukan sekadar tentang membalas jasa, tetapi menghargai peluang yang masih Allah SWT pinjamkan.

Hari ini mungkin tangan kita yang memimpin mereka, sebagaimana suatu ketika dahulu tangan merekalah yang tidak pernah jemu memimpin kita.

BACA LAGI : “Bukan Mudah Jaga Orang Tua Sakit, Ada Masa Cuma Mampu Menangis”, Nubhan Kongsi Cabaran Jaga Ibu

Sumber : Harian Metro