Gayanya cukup bersahaja dengan loghat Utaranya yang cukup pekat mengundang tawa sesiapa sahaja yang melihat videonya di laman sosial. Inilah kelebihan yang dimiliki wanita bernama Bella yang cukup tular di laman facebook. Video solekan yang dilakukan secara live mendapat puluhan ribu tontonan pengunjung laman sosial berkenaan.
Anak sulungnya mula menampakkan bakat menjadi seorang model. Menurut Bella, anaknya itu memang banyak mengikut jejaknya lebih-lebih dalam meminati bidang seni solekan.
“Saya dan suami tidak pernah meletakkan sasaran tertentu supaya anak-anak kami memilih bidang yang sama. Sementelah mereka masih kecil dan jauh lagi perjalanan. Kalau boleh kami mahu mereka berjaya dalam pelajaran terlebih dahulu. Tetapi jika besar kelak mereka ingin memilih bidang yang sama seperti apa yang saya lakukan sekarang, saya dan suami tidak menghalang.
“Cuma kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang, sebagai ibu bapa kami hanya mampu memberi ‘guideline’ selebihnya terserah pada pilihan masing-masing. Kalau diikutkan anak sulung saya ini memang suka memakai mekap. Pantang nampak barang-barang mekap saya ada sahaja yang dia nak cuba. Mungkin kerana dia sudah dibiasakan dengan situasi begini, yelah ke mana sahaja pergi, saya akan angkut semua sekali termasuk suami dan anak-anak. Jadi, tidak timbul isu saya abaikan mereka kerana setiap masa anak-anak berada di samping saya dan suami. Malah, Airis walaupun masih kecil, dia pandai bawa diri dan berdikari.
“Waktu awal-awal saya terjun dalam bidang solekan, suami tengok pelik, tetapi lama-lama dia boleh terima. Malah, saya tidak sangka sambutan hangat dari orang ramai membuatkan permintaan untuk saya adakan kelas mekap diterima dari merata tempat. Suami yang sebelum ini bekerja makan gaji kemudiannya memilih untuk berhenti kerja.
“Jadi, sekarang ini suami hanya bekerja sampingan di pejabatnya selebihnya dia akan mengikut saya. Ini memudahkan kami untuk menguruskan anak-anak dan secara tidak langsung kami berempat sentiasa bersama ke mana saja. Selain membawa ketika mengadakan kelas solekan, kami berempat juga selalu bercuti atau hujung minggu keluar makan atau jalan-jalan,”ujar Bella atau nama sebenarnya Nor Nabilah Zulyadaini yang berasal dari Negeri Jelapang Padi.
Bella yang dulunya aktif dalam bidang bakery, kemudian beralih arah kepada solekan setelah mempunyai anak. 2013 adalah permulaan untuknya terjun dalam bidang solekan dengan membuat live di facebook. Tidak sangka, personaliti media sosial ini mendapat sambutan hangat sehinggakan berjaya mengumpul sejumlah besar penonton setiap kali bersiaran secara live. Lebih membanggakan, jumlah pengikutnya kini sudah melebihi sejuta sejak aktif di laman sosial itu tiga tahun lalu
Ads
Kahwin muda
Memiliki dua cahaya mata Airis Alisha, 4 tahun dan Aidil Mikhail, 4 bulan hasil perkongsian hidup bersama Anuar Ahmad, 28 wanita anggun ini mengakui sangat bersyukur dan gembira kerana dalam usianya menjangkau 25 tahun sudah memiliki keluarga yang lengkap.
“Walaupun berkahwin awal, namun saya dan suami tidak menyesal kerana keluarga kami sudah lengkap dengan kehadiran Airis dan Aidil. Walaupun mungkin wanita seusia saya masing enjoy ke sana ke mari, namun saya tidak cemburu, bahkan saya bersyukur kerana Tuhan anugerahkan saya keluarga yang cukup harmoni. Bukan mudah melayari alam rumah tangga dalam usia muda. Banyak cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi. Tetapi saya berpegang kepada ‘sabar’ dalam semua hal.
“Dalam rumah tangga kena banyak sabar, kena yakin jika nak buat sesuatu kerja, sibuk macam mana sekali pun kena ada masa untuk anak-anak dan suami, sentiasa bertolak ansur dengan pasangan jika nak mudahkan hidup. Yang lebih penting, jika berlaku pergeseran atau perselisihan faham, dengan pasangan, jangan mudah naik angin. Tahan amarah tu dan selalu berbincang,”ujar Bella yang namanya kini sudah terkenal bukan sahaja di Malaysia, bahkan Brunei dan Singapura kerana pernah dijemput mengendalikan bengkel solekan wajah di sana.
Ads
Ajar anak kenal huruf
Sementara itu, Anuar yang sedikit pemalu dan tidak banyak cakap memberitahu, keselamatan isteri dan anak-anak antara sebab kenapa dia memilih untuk mengikut ke mana sahaja isterinya pergi.
“Memandangkan sekarang ini macam-macam kes berlaku, rasanya tidak salah jika saya mengambil langkah berjaga-jaga. Lagipun anak-anak kami masih kecil dan sekurang-kurangnya apabila Bella sibuk dengan kelas solekan, saya boleh jaga anak-anak. Sekarang ini mereka masih kecil, tetapi kami tidak mahu memanjakan mereka. Soal pendidikan baik saya mahupun Bella sendiri sudah setuju memang itu yang menjadi keutamaan.
“Walaupun sekarang Airis belum bersekolah, insyaAllah tahun depan kami akan menghantarnya ke Sekolah tadika. Sekarang pun, kami sudah belikan dia buku-buku yang bermanfaat dan sesuai untuk pembacaan dengan tahap usianya sekarang. Yang penting ajar benda asas terlebih dahulu supaya Airis kenal huruf jadi mudah apabila masuk sekolah kelak,” ulas Anuar yang juga merupakan anak kelahiran Negeri Kedah.
Ads
Sumber: Majalah Keluarga Nov-Dis 2017
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Mak ayah jangan ajar anak minta duit raya walaupun anggap gurauan. Sudah menjadi kebiasaan ketika menjelang Hari Raya, selepas sesi kunjung-mengunjung dan bermaafan, kanak-kanak akan menerima duit raya sebagai tanda keceriaan menyambut bulan yang mulia ini.
Mak Ayah Jangan Ajar Anak Minta Duit Raya Walaupun Anggap Gurauan
Namun, pernah tak kita sedar setiap kali tibanya Syawal, pasti kedengaran beberapa dialog daripada ibu bapa kepada anak-anak kecil mereka seperti:
“Pergi salam makcik tu, minta duit raya”
“Cakap kat pakcik nak duit merah, bukan duit hijau”
“Tanya makcik tu, mana duit raya?”
Malah ada juga anak-anak yang tanpa segan berkata:
“Pakcik, ayah saya cakap kalau pakcik baik, mesti pakcik bagi lagi duit raya”
Walhal, kanak-kanak tersebut dan adik-beradiknya sudah pun menerima duit raya sehari sebelumnya. Para ibu bapa, pernah tak anda alami situasi seperti ini?
Walaupun kadang-kadang kita anggap ia hanya sekadar gurauan, namun sebagai ibu bapa, seharusnya timbul rasa malu dan tidak menggalakkan anak untuk meminta-minta duit raya.
Berikut adalah beberapa perkara penting untuk kita renungkan sebagai ibu bapa:
1. Elakkan Mengajar Anak Meminta Duit Raya
Kita tidak tahu keadaan kewangan seseorang. Mungkin mereka sedang berjimat demi keperluan penting lain. Bertemu dengan anak yang diajar meminta duit raya boleh menyebabkan rasa tidak selesa atau tekanan kepada mereka.
2. Pentingnya Menjaga Adab
Kita sebagai orang dewasa pun tidak pernah diajar oleh ibu bapa kita untuk meminta duit daripada orang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga tatasusila. Maka, janganlah kita pula didik anak dengan cara sebaliknya.
3. Jangan Bandingkan Keupayaan Kewangan Kita Dengan Orang Lain
Mungkin kita berada dalam keadaan ekonomi yang stabil dengan gaji yang selesa. Namun, tidak semua orang mempunyai nasib yang sama. Setiap orang diuji dengan rezeki dalam bentuk yang berbeza-beza.
4. Jangan Anggap Semua Yang Bekerja Ada Lebihan Duit
Gaji yang besar tidak semestinya menunjukkan seseorang itu mempunyai banyak wang. Ada yang mempunyai tanggungan besar dan komitmen kewangan tinggi. Jadi, jangan sesuka hati anggap mereka mampu beri lebih.
Zaman sekarang menuntut kita berjimat dalam pelbagai aspek. Jika duit raya anak anda termasuk dalam perkara yang perlu dikurangkan, terimalah dengan hati yang redha. Tak perlu mengidamkan jumlah yang besar atau warna tertentu.
6. Hormati Pemberi Duit Raya
Ajarlah anak-anak supaya tidak membuka sampul duit raya di hadapan orang ramai dan tidak memberi reaksi negatif terhadap amaun yang diterima. Hormatilah niat baik orang yang memberi.
7. Jangan Mengkritik Nilai Duit Raya Anak
Ibu bapa tidak sepatutnya mengeluh atau mengkritik jumlah yang diterima anak-anak. Ini boleh menanam sikap tidak menghargai dan tamak dalam diri mereka sejak kecil.
8. Hargai Setiap Rezeki Yang Diperoleh
Apa pun jumlah yang anak anda dapat, anggaplah itu sebagai rezeki mereka. Tak perlu meminta lebih, dan jangan jadikan semua itu bahan jenaka. Bersyukur dan terus bersyukur. Hari Raya adalah waktu menggembirakan, saat untuk mengeratkan silaturahim. Janganlah rosakkan kemeriahan ini dengan sikap yang tidak wajar.
Ingatlah, didikan hari ini akan membentuk perlakuan anak-anak di masa akan datang. Jika tahun ini kita mula mengajar adab yang baik, InsyaAllah tahun depan mereka akan terus mengamalkannya.
Semoga amalan kita sepanjang Ramadan diterima dan semoga kedatangan Syawal membawa kebahagiaan yang penuh bermakna.
Biarpun kucing menjadi antara haiwan peliharaan yang digemari ramai. Namun tidak dinafikan juga dek kerana tabiat kucing yang suka ‘membuang’ di merata-rata, membuatkan kita sering mencari solusi untuk atasi masalah itu.
Perlbagai cara dicuba dan hinggakan pernah suatu ketika dahulu viral tentang teknik meletakkan air merah di dalam botol sebagai cara terbaik untuk menghindarkan kucing membuang najis merata-rata.
Pun begitu, melalui perkongsian daripada Puan Ella Ahmad ada cara lain digunakannya dan terbukti berkesan.
Untuk itu, jom ketahui detai apa yang telah dilakukannya.
Kencing/tahi kucing bersepah-sepah kat car porch..Pernah tak jadi camni? Yang letak air merah dalam botol dah tak jalan..kucing sekarang dah sekolah..Ok iols nak share apa yang iols buat supaya kucing-kucing ni tidak berak/kencing kat car porch..Resipi buat sendiri je pakai logik akal..jangan risau simple nau-nau..
BAHAN-BAHAN:
7-10 titis cuka makan (pada firasat sis, baunya yang masam so busuk so kucing tak berkenan nak kencing/berak kat tempat yang disembur itu) 1/4 penutup pelembut kain (tak kisah la brand ape sebab nak bagi wangi cikit je, sebab kalau letak cuka saja nanti bau busuk, kalau letak pelembut kain ini wangi la sikit baunya. Air paip (agak-agak sampai penuh bekas spray)
CARA PENYEDIAAN:
1.Isi sumua bahan di dalam botol spray.
2.Goncang-goncangkan dan sudah boleh spray dekat tempat mana yang kucing suka kencing/berak
Alhamdulillah setakat ni car porch sis dah bebas bau kencing kucing. Kalau tak, buka saja sliding door rasa nak pengsan. Sspray la 2 hari sekali. Kalau rajin, spray hari-hari pun tak mengapa. Selamat mencuba guys..
Kelibat figura ini dalam industri fesyen sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Ini membuktikan usaha gigihnya mampu membuahkan hasil sekali gus menjadi inspirasi buat mereka yang bergelar usahawan.
Dinamik, komited, bijak serta kreatif adalah antara keistimewaan yang dmiliki oleh Datuk Jovian Mandagie yang merupakan usahawan dan pereka fesyen ternama di Malaysia. Beliau adalah menantu kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta suami kepada usahawan dan sosialit, Datin Nina Sabri Ismail Sabri. Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan bernama Jeanelle Nika Mandagie yang dilahirkan pada 1 November 2017.
Saat pertama kali bersua muka ketika sesi fotografi yang berlangsung di Hotel Bangi Resort, penulis dapat merasakan aura positif yang dibawa olehnya.
Bicara tegas dan penuh informatif serta kekeluargaan membuatkan sesiapa sahaja terinspirasi caranya.
Jovian sungguh bertuah kerana bukan hanya memilik segalanya bahkan sebuah keluarga yang bahagia sepertimana yang diimpikan oleh setiap pasangan suami isteri. Usia perkahwinan bersama isteri tersayang kini sudah mencecah tujuh tahun.
“Kehidupan keluarga kami simple sahaja. Biasanya selepas solat saya akan tunggu Jeanelle bangun pagi. Saya suka momen waktu ini apabila dapat lihat gelagat Jeanelle yang manja dan suka bercakap Ketika baru bangun tidur.
“Kemudian kami akan bersarapan bersama satu keluarga. Biasanya isteri saya akan sediakan sarapan pagi sebelum saya hantar Jeanelle ke tadika, Peterana Kindergarten milik isteri saya.
“Sebenarnya Jeanelle ni sudah ke tadika pada usia setahun tiga bulan sehingga sekarang. Memang suka ke tadika, ada ramai kawan-kawan,” ujar pereka fesyen popular negara.
Dalam pada itu, walaupun sibuk dengan urusan sebagai usahawan pada masa yang sama pereka fesyen, Jovian tetap menjadikan keluarga sebagai keutamaan dalam hidupnya.
Lantaran itu, memastikan dapat menikmati makan malam bersama keluarga setiap malam.
“Setiap hari rutin saya memang sibuk bermula jam tujuh pagi hingga lapan malam. Namun saya akan pastikan dapat dinner bersama keluarga sekurang-kurangnya tiga atau empat kali seminggu. Pernah saya tundakan meeting lepas dinner demi memastikan masa ada untuk keluarga.
Namun katanya lagi, hanya mempunyai masa satu jam sahaja untuk bermain aktiviti dengan anak kesayangannya sebelum tiba waktu tidur. “Sebelum tidur saya akan bacakan ‘bed time story’. Dulu, suka kisah binatang sehingga menyukai ‘octopus’ dan ‘lion’. Sekarang pula suka kisah ‘princess dan ‘fary tale’.
“Jeanelle tidur di bilik sendiri sejak bayi lagi. Ia supaya mudah untuk anak kami biasakan diri sejak kecil. Saya dan isteri selalu ‘travel’. Jadi cara ini dapat mendidik Jeanelle lebih berdikari jika nanti kami berdua tiada di rumah,” ujarnya mengenai keluarga bahagianya.
Bonding & Bercuti Dengan Mertua
Sebagai menantu kepada anak sulung Menteri Kanan (Keselamatan) Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jovian tidak keberatan berkongsi bonding dengan bapa mertuanya itu yang berdepan tugas berat untuk negara serta pandemik Covid-19.
“Sebenarnya beliau adalah seorang family type of father. Dia tidak pernah lupa ‘keep in touch’ dengan kami dan ahli keluarga yang lain. Dalam grup family memang setiap hari akan bertanya khabar dan hal kekeluargaan lain. Jika hujung minggu sabtu atau ahad akan makan malam bersama kami. Jika tidak sempat, beliau akan datang ke rumah. Beliau memang rapat dengan Jeanelle yang merupakan satu-satunya cucu. Masih ingat lagi, ketika PKP, beliau amat sibuk. facetime sebagai pengubat rindu,” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai masa cuti-cuti bersama keluarga, Jovian mengakui mudah mencari keserasian dengan mertuanya segala urusan percutian diserahkan kepada isterinya yang merupakan anak sulungnya.
“Setiap tahun kami sekeluarga pergi bercuti. Biasanya isteri saya akan buat keputusan untuk pergi bercuti di mana dan aktiviti termasuk menyusun iternari. Lagi pun isteri, anak sulung. Konsep ikut ‘kakak’.
Namun, tetap ada perbincangan untuk makan di mana dan aktiviti yang dilakukan. Menurut isteri, ibu bapanya tidak cerewat hal percutian asalkan dapat meluangkan masa bersama keluarga.
“Juga sebelum PKP, alhamdulillah kami satu keluarga sempat pergi umrah selama 10 hari. Ia merupakan trip yang sangat indah buat kami,” ujarnya melahirkan rasa syukur dapat membawa anaknya buat pertama kali ketika mengerjakan umrah.
Bidang politik dan perniagaan
Penulis mengusik beliau dan bertanyakan bakal mengikut jejak mertuanya menceburi bidang politik. Jawapan yang diberikan cukup mengejutkan bahawa tidak mempunyai impian sebegitu dalam sanubarinya. Sebaliknya dinamik untuk terus mengorak langkah dalam dunia perniagaannya.
“Taklah. Saya suka bisnes. Passion saya! Diawal pembabitan, saya terlibat dalam bisnes untuk menjadi pereka fesyen. Lima tahun pertama, saya fokus mencari kain dan ‘design’ tetapi apabila perniagaan semakin berkembang, pembantu-pembantu saya turut menguruskan hal kreativiti.
“Sekarang saya fokus kepada pemasaran dan meningkatan pembangunan produk seperti membuka kedai, restoran, kedai gunting rambut dan makanan.
Dengan ini, jelas bahawa passion saya kini bukan sahaja dalam bidang fesyen tetapi ke arah bidang perniagaan. J Tambahan pula, tidak boleh menjadi ahli politik dan ahli perniagaan pada masa ysang sama,” ujar Jovian.
Lokasi Bercuti
Menyentuh mengenai percutian pasangan ‘sweet’ ini, Jovian mengakui bahawa dirinya dan isteri suka melancong disebabkan gemar mencuba pelbagai jenis makanan.
“Kami memang suka melancong disebabkan makanannya. Kami boleh mencuba makanan di restoran baru. Dua lokasi percutian yang kami suka adalah London dan Barli. Selain mencuba makanan baru, isteri suka Bali disebabkan pantainya yang indah,” ujarnya.
Dalam pada itu, dalam tempoh pandemik ini, pasangan bahagia ini juga turut pergi bercuti bersama anak. Namun tetap mengamalkan SOP yang ditetapkan serta mengamalkan langkah berjaga-jaga semasa bercuti dalam negara.
“Sekarang ini kita boleh bercuti dalam negara. Terokai tempat-tempat dalam negara yang kita tak tahu. Ambil peluang cuti-cuti Malaysia untuk menyokong bisnes pelancong di Malaysia. Siapa lagi jika bukan kita yang menyokong industri ini.
“Seperti kami, lepas PKP, percutian pertama kami adalah ke Langkawi dengan membawa Jeanelle. Memanglah risau terutama ketika di lapangan terbang. Cuma kami kena lebih berhati-hati. Contohnya akan menyembur sanitizer di kerusi untuk ‘double’ sanitizer dan tidak sentuh sebarangan. Begitu juga dengan penginapan, memilih hotel yang melakukan sanitizer,” jelasnya.
Mendidik Anak
Dalam pada itu, Jovian mengakui sebagai suami, ciri-ciri keibuan yang dimiliki oleh Nina amat penting untuk mendidik Jeanelle dengan lebih baik.
“Isteri saya sendiri membuka tadika sebelum kelahiran Jeanelle.
“Apabila saya melihat cara isteri mengendalikan tadika, saya dapatkan rasakan dia akan menjadi ibu yang baik.
Semua ini, membuatkan saya yakin bahawa datin akan menjadi seorang yang baik dan penyabar.”
Sempat ditanya mengenai keluarga besar, sambil ketawa, Jovian melahirkan keinginan untuk memiliki anak empat orang anak.
“InsyaAllah, jika boleh berhasrat ingin memiliki empat orang anak tapi apabila melihat karenah Jeanelle, mungkin dua atau tiga,” katanya sambil ketawa melihat keletah permata hatinya.
‘Date Night’ Merupakan puteri sulung Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri, mementingkan kualiti masa bersama keluarga terutama bersama suami. Didikan ke dua ibu bapanya tentang kepentingan ‘family first’ sejak kecil lagi, Nina punya cara tersendiri untuk memastikan rumahtangganya kekal ‘sweet’ sepanjang masa.
“Selalunya kami akan ‘date night’ sekurangnya dua kali seminggu. Kami akan pastikan hari ahad adalah waktu tidak bekerja. Lagipun saya sudah didik sejak kecil oleh ayah agar memastikan ada masa untuk keluarga walaupun sibuk dengan urusan kerja.
“Begitu juga saya pesan kepada suami supaya letak ‘family first’. Jika ada bisnes trip pastikan tidak menganggu hari ahad. ‘Lunch Sunday’ adalah untuk kami berdua. Jika pergi bercuti kami akan bawa Jeanelle dan ada juga hanya kami berdua untuk ‘me time’ bersama,” ujarnya sambil tersenyum manis.
Kekal Cantik Memilik tubuh genit, sekali pandang seakan gadis remaja, memberikan kelebihan buat diri Nina. Namun begitu, bergelar seorang ibu menutut dirinya untuk sentiasa peka dengan penjagaan diri.
“Pada saya setiap wanita perlu menjaga penampilan diri walaupun hanya di rumah. Kena pastikan ada masa untuk diri sendiri. Tak perlu cantik tapi kelihatan ‘bersiap’. Kena ada daya usaha untuk kenakan sedikit solekan yang ringkas.
“Pada masa yang sama, semua ini bergantung kepada suami. Supaya menyediakan masa untuk isteri mendapat rehat yang cukup. Semua ini perlu untuk membuatkan diri sendiri rasa lebih gembira dan sihat,” ujarnya dengan ramah.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Ibu sebak anak maut dihempap pokok kelapa sawit -"Dia pakai cantik, wangi sangat." Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menemui ajal selepas ditimpa sebatang pokok kelapa sawit yang telah reput di Kampung Parit Wak Katek, Sanglang, dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi Selasa.