Menjaga kesihatan diri adalah kunci kepada kehidupan yang lebih berkualiti. Pemakanan seimbang, rehat yang cukup, dan amalan senaman yang konsisten membantu tubuh kekal cergas serta mengurangkan risiko pelbagai penyakit.
Senaman bukan sekadar untuk kecantikan fizikal, tetapi ia juga penting untuk kesihatan mental, meningkatkan tenaga, dan memperbaiki mood. Luangkan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bergerak – sama ada berjalan, berlari, atau bersenam ringan. Ingat, badan yang sihat membolehkan kita menjalani kehidupan dengan lebih bertenaga dan bahagia
Nak tahu lebih lanjut ikuti perkongsian Dr Zubaidi mengenai brisk walking yang membantu kita menjaga kesihatan diri.
BRISK WALKING AMALAN TERBAIK INDIVIDU BERUSIA 50 TAHUN KE ATAS
Ads
Ramai yang beranggapan bahawa berjalan kaki adalah suatu aktiviti yang biasa, tidak boleh dikategorikan sebagai senaman.
Tetapi banyak kajian menunjukkan berjalan kaki dapat memberikan banyak manfaat jika dilakukan dengan betul. Berjalan laju (brisk walking) 2.5 jam setiap minggu dapat merendahkan risiko untuk mati lebih awal akibat serangan sakit jantung dan stroke. Risiko mendapat kanser tertentu juga menjadi rendah.
Ads
Brisk walking membantu kesihatan otak dan minda. Pemeriksaan MRI selepas melakukan aktiviti anaerobic akan meningkatkan pengaliran darah ke otak dan mengembangkan saluran darah di leher.
Jadi saya mencadangkan pengamalan berjalan kaki laju (brisk walking) 30 minit setiap hari untuk 5 hari dalam seminggu pada individu berusia 50 tahun ke atas.
Ads
Lakukan secara bersederhana dan jangan gopoh. Yang penting sabar dan istiqamah. Lakukan di awal pagi.
Bagi yang ada penyakit kronik dapat pemeriksaan dari doktor sebelum melakukan sebarang aktiviti fizikal.
Suami isteri maut, Ford Mustang terbabas di Jalan Segamat-Kuantan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad. Pemergian pasangan suami isteri yang juga pemilik kedai emas, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya Nur Syamimi Rosli, 36, akibat kemalangan jalan raya pada Isnin lalu memberi kesan yang amat mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada golongan yang pernah menerima bantuan daripada mereka.
Menurut bapa kepada Allahyarhamah Nur Syamimi, iaitu Rosli Ramli, 61, pasangan itu sangat pemurah dan tidak lokek untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan. Malah katanya, mereka sangat mudah tersentuh melihat penderitaan insan lain.
“Mungkin asbab daripada sifat pemurah mereka, ALLAH permudahkan urusan perniagaan barang kemas diusahakan hingga berjaya membuka dua kedai emas termasuk di Pekan.
“Dulu dia (Nur Syamimi) menjual barang kemas termasuk barang perhiasan suasa dan perak secara kecil-kecilan termasuk di pekan sehari.
“Berkat usaha mereka, perniagaan barang kemas yang diusahakan lebih 10 tahun lalu itu semakin maju dan boleh dibanggakan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada Selasa.
Rosli yang merupakan pesara guru turut berkongsi bahawa pasangan itu sering bergerak bersama setiap kali menghantar barang kemas kepada pelanggan. Malah, pertemuan terakhir mereka berlaku dua hari sebelum kejadian, ketika pasangan itu menghantar anak ketiga untuk bermalam di rumahnya.
“Saya cuma dapat tahu mereka ke Segamat semalam (Isnin) untuk bertemu pelanggan sebelum menerima khabar mengejutkan ini,” ujarnya.
Beliau menerima berita kemalangan yang meragut nyawa anak dan menantunya sekitar jam 3 petang daripada anak bongsunya.
“Masa terima panggilan saya baru hendak makan tengah hari.
“Anak beritahu kakak dia dan suami kemalangan dan kedua-duanya maut di tempat kejadian,” katanya lagi.
Rosli menyifatkan kehilangan mereka sebagai satu tamparan hebat kerana perniagaan yang diusahakan bersama kini sedang berkembang pesat.
“Mereka pergi waktu perniagaan sedang maju tapi ALLAH lebih sayangkan mereka,” katanya, sambil mengenang kembali tragedi kehilangan anak keduanya, Allahyarham Mohd Shazwan, dalam kemalangan pada tahun 2011.
Pasangan ini meninggalkan empat orang anak perempuan berusia antara dua hingga 11 tahun, iaitu Nur Izzara Eryna (11), Nur Airaa Eryna (7), Nur Naura Eryna (4), dan Nur Qairaa Eryna (2).
Adik bongsu Nur Syamimi, iaitu Nur Izzah Ezani Rosli, 26, turut berkongsi bahawa kakak dan abang iparnya sangat baik dengan pekerja mereka dan tidak pernah berkira.
“Pada Jumaat lalu mereka sempat belanja kek untuk pekerja kedai emas di Pekan.
“Pada pagi Isnin, mereka singgah di kedai untuk ambil barang kemas yang dipesan pelanggan.
“Masa itu hanya abang ipar yang turun ambil barang manakala kakak hanya tunggu dalam kereta,” katanya.
Berita tentang kemalangan tragis yang menimpa kakak dan abang iparnya itu sangat mengejutkan seluruh ahli keluarga.
Jenazah pasangan ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada kira-kira jam 10.45 pagi, Selasa. Sebelum itu, jenazah dibawa dari kediaman keluarga di Taman Syahbandar menaiki dua van jenazah dan tiba di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Pekan pada jam 9 pagi untuk disolatkan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Mohd Izuddin dan Nur Syamimi maut selepas kereta Ford Mustang yang mereka naiki terbabas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan berhampiran simpang Felda Pemanis, Segamat. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Musim cuti telah bermula, namun khabar duka buat sebuah keluarga apabila kehilangan anak tersayang.
Seorang kanak-kanak berusia enam tahun dilaporkan maut selepas dipercayai lemas akibat tergelincir ke dalam tali air di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok Kelantan pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Bashir Mohd Arman, bersama abangnya, Mohd Iman Baharin, 10, dikatakan berbasikal ke kawasan tersebut, kira-kira 500 meter dari rumah mereka, sekitar jam 9.10 pagi untuk memancing.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian, abang mangsa melihat adiknya itu tergelincir ke dalam sungai dan cuba membantu, namun gagal.
“Abang mangsa balik ke rumah memberitahu ibu mereka bahawa mangsa lemas. Kakak mangsa kemudiannya menghubungi bapanya untuk ke lokasi.
“Mayat mangsa ditemukan empat jam selepas pencarian oleh bomba dan polis di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mayat kanak-kanak itu dibawa dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, untuk bedah siasat.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila ahli keluarga kanak-kanak lelaki terbabit dilihat tidak dapat menahan sebak.
Mereka dilihat meratapi jenazah kanak-kanak malang itu sebaik sahaja mayatnya ditemukan pasukan penyelamat selepas pencarian selama empat jam.
Dalam pada itu, Mohamad Ismail menasihatkan masyarakat supaya cakna keberadaan anak masing-masing pada musim cuti sekolah ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Sumber: Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A H1N1 pada Jumaat lalu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di Sarawak.
Perkara menyedihkan itu dimaklumkan oleh bapa kepada arwah, Nurhan Eshan Nakquiyuddin, menerusi satu hantaran di Facebook pada awal pagi hari kejadian.
Menerusi perkongsian di akaun bernama Ujan Panas, beliau meluahkan rasa reda atas pemergian anak syurganya yang disahkan meninggal dunia akibat Influenza A H1N1.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan anak kami. Semoga doa itu berbalik menjadi kebaikan buat kalian semua.
“Kita hanya merancang, tetapi ketentuan ALLAH SWT adalah mutlak. Pemergian anak saya disebabkan Influenza A H1N1 berlaku dalam masa yang singkat.
“Belum sempat menemui penawar, saya sudah kehilangan cahaya mata tersayang,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Bapa arwah turut menambah bahawa meskipun hati terasa hancur, mereka sekeluarga tetap reda dan percaya bahawa setiap yang berlaku telah ditentukan oleh ALLAH SWT sejak azali.
“Terima kasih ya ALLAH kerana meminjamkan adek untuk kami sekeluarga walaupun sekejap.
“Peninggalan yang memberi kesan dalam jiwa, pahit yang terpaksa ditelan.
“Belum puas kami nak bermain dengannya tapi kami reda ya ALLAH. Ayah, ibu, abang Eiman, mbah, nenek semua sayang adek,” katanya dengan penuh sebak.
Difahamkan, jenazah Nurhan Eshan yang merupakan pelajar Tabika Kemas Kampung Sadong Jaya A sedang diuruskan di Hospital Umum Sarawak sebelum dibawa ke Kampung Pendam Ulu Sadong untuk dikebumikan.
Insiden menyayat hati ini turut membuka mata masyarakat terhadap bahaya jangkitan Influenza A H1N1, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi lemah.
Setakat ini, dilaporkan sebanyak enam sekolah di Sarawak telah mempunyai rekod jangkitan Influenza A, termasuk jenis H1N1. Pihak berkuasa kesihatan negeri sedang memantau situasi bagi mengelakkan penyebaran lebih meluas.
Orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala, dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom demam tinggi atau batuk berterusan yang mungkin berkait dengan Influenza A H1N1.
Sejak sekian lama, gambaran isteri tradisional sering dikaitkan dengan peranan di dapur, mengurus rumah tangga sepenuh masa, taat tanpa soal dan meletakkan keperluan diri...