Seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A H1N1 pada Jumaat lalu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di Sarawak.
Perkara menyedihkan itu dimaklumkan oleh bapa kepada arwah, Nurhan Eshan Nakquiyuddin, menerusi satu hantaran di Facebook pada awal pagi hari kejadian.
Reda Dengan Pemergian Anak Disebabkan Influenza A H1N1
Menerusi perkongsian di akaun bernama Ujan Panas, beliau meluahkan rasa reda atas pemergian anak syurganya yang disahkan meninggal dunia akibat Influenza A H1N1.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan anak kami. Semoga doa itu berbalik menjadi kebaikan buat kalian semua.
“Kita hanya merancang, tetapi ketentuan ALLAH SWT adalah mutlak. Pemergian anak saya disebabkan Influenza A H1N1 berlaku dalam masa yang singkat.
“Belum sempat menemui penawar, saya sudah kehilangan cahaya mata tersayang,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Ads
Keluarga Tetap Reda Dengan Ujian Berat Ini
Bapa arwah turut menambah bahawa meskipun hati terasa hancur, mereka sekeluarga tetap reda dan percaya bahawa setiap yang berlaku telah ditentukan oleh ALLAH SWT sejak azali.
“Terima kasih ya ALLAH kerana meminjamkan adek untuk kami sekeluarga walaupun sekejap.
“Peninggalan yang memberi kesan dalam jiwa, pahit yang terpaksa ditelan.
Ads
“Belum puas kami nak bermain dengannya tapi kami reda ya ALLAH. Ayah, ibu, abang Eiman, mbah, nenek semua sayang adek,” katanya dengan penuh sebak.
Jenazah Kanak-Kanak Influenza A H1N1 Dikebumikan di Sadong
Difahamkan, jenazah Nurhan Eshan yang merupakan pelajar Tabika Kemas Kampung Sadong Jaya A sedang diuruskan di Hospital Umum Sarawak sebelum dibawa ke Kampung Pendam Ulu Sadong untuk dikebumikan.
Insiden menyayat hati ini turut membuka mata masyarakat terhadap bahaya jangkitan Influenza A H1N1, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi lemah.
Ads
Enam Sekolah di Sarawak Laporkan Kes Influenza A
Setakat ini, dilaporkan sebanyak enam sekolah di Sarawak telah mempunyai rekod jangkitan Influenza A, termasuk jenis H1N1. Pihak berkuasa kesihatan negeri sedang memantau situasi bagi mengelakkan penyebaran lebih meluas.
Orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala, dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom demam tinggi atau batuk berterusan yang mungkin berkait dengan Influenza A H1N1.
Wanita nak bersalin terperangkap banjir, Bomba terpaksa guna perahu bawa ke jalan besar. Anggota bomba terpaksa menggunakan perahu penduduk kampung bagi memindahkan wanita yang sarat hamil selepas kediamannya di Rumah Panjang Engkeng, Sungai Amang di Jalan Selirik, Kapit, Kuching, Sarawak dilanda banjir.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pada awalnya anggota bomba menghubungi Unit Kecemasan Hospital Kapit untuk bantuan mengambil wanita berusia 26 tahun itu.
Bagaimanapun katanya, wanita berkenaan dalam keadaan sakit untuk melahirkan anak, yang menyebabkan anggota bomba terpaksa bergegas menggunakan perahu penduduk untuk keluar ke jalan raya.
“Wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kapit menggunakan van.
“Turut dipindahkan dari rumah panjang itu seorang lagi wanita serta seorang lelaki,” katanya.
Menurutnya lagi, ibu muda itu kemudiannya selamat melahirkan bayi perempuan sejurus tiba di Hospital Kapit.
Terdahulu, katanya, bomba menerima panggilan berhubung banjir di rumah panjang itu 5 pagi, sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diarah ke lokasi.
“Kawasan luar rumah panjang terbabit dinaiki air sehingga tiga meter akibat limpahan Sungai Batang Rajang selepas hujan lebat berterusan.
“Anggota terpaksa menggunakan tali untuk menyeberangi jambatan besi ke rumah panjang berkenaan,” katanya.
Menurutnya lagi, pemantauan sedang dijalankan dan jika keadaan semakin buruk, penduduk akan diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pengetua keluar rumah pukul 5.30 pagi sambut pelajar datang sekolah. “Sebelum kamu berjaya, saya dah peluk kamu dulu’ itulah ungkapan penuh makna daripada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Yarl, Dr Ahmad Kamal Ariffin.
Pendidik berusia 50 tahun ini menjadi tular di media sosial kerana rutin hariannya yang unik, di mana beliau menyambut pelajar di pintu pagar sekolah setiap pagi dengan penuh keikhlasan dan sentuhan jiwa.
Setiap pagi, bukan untuk memeriksa pakaian atau menegur pelajar yang datang lambat, tetapi beliau hadir dengan senyuman, pelukan dan kata-kata semangat sebagai motivasi buat mereka.
Video rakaman beliau berdiri di pintu pagar sejak awal pagi bukan sekadar menunjukkan kasih seorang guru, tetapi menggambarkan perjuangan seorang pendidik yang berkorban untuk membentuk generasi berakhlak mulia.
“Sejak terima surat lantikan daripada Ketua Pengarah Pendidikan pada 17 September 2024 untuk menjadi pengetua, saya tak pernah berhenti berusaha.
“Inilah pertama kali saya pegang jawatan pengetua. Saya ditempatkan di sekolah yang menduduki ranking kedua terburuk dari segi prestasi di Kuala Lumpur. Keputusan peperiksaan sangat mengecewakan dan pelbagai masalah lain, termasuk kemudahan yang kurang memuaskan. Ramai kata sekolah ini agak ‘daif’ di bandar,” katanya kepada Harian Metro.
Dengan pengalaman 20 tahun dalam Kementerian Pendidikan, pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Pengurusan Murid dan Hal Ehwal Murid serta Kaunseling, Dr Ahmad Kamal berusaha membawa perubahan berdasarkan pengalaman luasnya.
“Saya cuba buat transformasi. Dasar Sekolah Penyayang memang ada garis panduan untuk meraikan pelajar setiap pagi, jadi saya jadikan itu amalan tetap saya.
“Saya keluar rumah seawal 5.30 pagi dari Putrajaya dan akan solat subuh di surau sekolah. Pada mulanya, saya perhatikan kebanyakan pelajar datang daripada latar belakang mencabar, sekitar 95 peratus dari keluarga B40. Masalah disiplin banyak, kurang motivasi belajar, ada isu keluarga seperti perceraian dan persekitaran yang terdedah kepada dadah. Jadi saya ambil pendekatan meraikan mereka setiap hari,” ujarnya.
Apabila ditanya siapa yang menjadi fokus utama untuk dibentuk terlebih dahulu, guru atau pelajar, beliau menjelaskan pendekatannya adalah serentak.
“Saya tegas dengan guru. Saya tak segan marah kalau perlu sebab mereka orang dewasa. Ada yang datang lambat pun saya nasihat dengan tegas. Tapi dengan pelajar, saya cuba jadi lebih penyayang dan lembut.
“Guru pula nampak disiplin bila pengetua datang paling awal dan balik paling lewat,” katanya.
Selain itu, beliau memperkenalkan solat berjemaah yang melibatkan pelajar, guru, malah pengawal keselamatan, selain mewujudkan sinergi erat antara guru, pelajar dan ibu bapa.
Hasil pendekatan ini, sekolah mencatat peningkatan prestasi yang memberangsangkan. Kehadiran pelajar bertambah baik dan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga meningkat dengan ketara.
“Pengarah Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur baru-baru ini mengiktiraf sekolah dan saya kerana pencapaian meningkat kedua tertinggi di Kuala Lumpur. Saya rasa sangat puas hati.
“Setiap pagi berdiri di pintu pagar untuk menyantuni pelajar selama sejam memang penat, tapi berbaloi. Pelajar pun nampak seronok. Pelajar India, Melayu, Cina semua gembira,” ujarnya.
Menurut Dr Ahmad Kamal, pendekatan menyambut pelajar ini berasaskan dasar Sekolah Penyayang yang beliau sendiri pernah terlibat dalam penggubalannya di Kementerian Pendidikan.
“Dasar Sekolah Penyayang ada empat elemen, salah satunya meraikan pelajar datang ke sekolah. Saya tak ikut jadual giliran seperti guru lain. Saya jadi ‘kapten’ setiap hari berdiri di pintu pagar, ini buat cikgu-cikgu hormat dan cuba ikut cara saya,” jelasnya.
Beliau juga mengubah wajah sekolah dengan menambah kawasan bendera Malaysia dan pelbagai bendera korporat utama di Malaysia.
“Saya mahu pelajar tahu dunia luas dan penuh peluang. Saya tanam semangat berniaga dan motivasi dalam diri mereka. Dana ini datang dari sumbangan masyarakat, wakaf dan bantuan pemimpin,” katanya.
Dengan 95 peratus pelajar berasal dari keluarga B40, sentuhan harian dan pelukan yang diberikan membuat ramai pelajar, terutamanya lelaki, mula berubah dan jadi lebih lembut hati.
“Pelukan saya fokus kepada pelajar lelaki. Lama-kelamaan mereka jadi lebih tenang. Cabaran seorang guru adalah buang ego marah dan tidak sabar. Kita peluk mereka, raikan mereka,” katanya.
Walaupun dulu kerjanya lebih mudah di kementerian dengan hanya enam staf, kini beliau menguruskan lebih 700 pelajar dan lebih 60 guru, termasuk 98 pelajar berkeperluan khas.
“Beban dan cabaran memang banyak, ada pelajar yang pernah ludah guru, masuk kelas sesuka hati. Rasa nak marah dan buang sekolah memang ada, tapi saya sabar. Saya peluk mereka, tunjuk sayang dan buat baik,” katanya.
Beliau menambah, biasanya pelajar hanya dapat pelukan apabila berjaya dalam sesuatu pertandingan atau akademik, tetapi beliau peluk mereka sebelum kejayaan itu datang sebagai restu dan motivasi.
Walaupun tak sempat bertemu pelajar waktu tamat sesi persekolahan, kadang-kadang ada pelajar yang spontan peluk beliau apabila bertemu di kawasan sekolah.
“Mereka rasa dijaga. Tapi selepas keluar pintu pagar, mereka hadapi pelbagai cabaran lagi. Saya tak putus berdoa untuk mereka,” katanya.
Ibu bapa kepada bayi 8 bulan yang maut, Muhammad Al-Fateh Amri, selepas didakwa didera pengasuh di sebuah taman asuhan di Melaka terharu apabila ditawarkan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) percuma oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Selain pasangan tersebut, rawatan IVF percuma ini turut diberikan kepada 64 pasangan lain yang terpilih.
Ibu kepada allahyarham Muhammad Al-Fateh, Pn Sabrina Hakiem Zaini, 40, bersama suaminya, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, meluahkan rasa syukur atas peluang kedua untuk menimang cahaya mata.
Sabrina yang bekerja sebagai guru berkata, tawaran daripada Tunku Azizah membuka jalan untuk mereka menjalani rawatan IVF selepas tragedi menimpa anaknya, Muhammad Al-Fateh Amri, pada 6 September tahun lalu.
“Saya sangat bersyukur kerana selepas kejadian itu, Tuanku terus memberi kami peluang untuk menjalani rawatan IVF.
“Kami berharap rawatan kali ini berjaya dan sekali lagi diberi rezeki untuk menimang cahaya mata,” ujarnya.
Majlis penyampaian surat tawaran tajaan rawatan IVF TAFF yang berlangsung semalam disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur.
Baginda, selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF menyerahkan sendiri surat tawaran tersebut kepada 65 pasangan yang terpilih untuk menjalani rawatan IVF secara percuma.
Dalam pada itu, suami Sabrina, En. Mohd Fikry Amri mengakui terkejut apabila menerima panggilan daripada pegawai Tengku Ampuan Pahang pada Januari lalu, memaklumkan baginda berkenan menaja rawatan IVF mereka melalui TAFF.
“Saya benar-benar tidak menyangka kes pemergian anak kami, Al-Fatih, yang meninggal dunia di rumah pengasuh mendapat perhatian Tengku Ampuan sendiri.
“Kami sangat bersyukur kerana diberikan peluang ini dan menerima tajaan rawatan IVF daripada baginda.
“Selama 13 tahun kami menunggu untuk mendapat zuriat dan sempat menjaga Al-Fateh selama lapan bulan,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia dan isteri bercadang untuk menjalani rawatan IVF percuma itu di Melaka kerana memudahkan segala urusannya dan isteri.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kes bayi tertukar di hospital mencetuskan trauma apabila seorang bapa mendakwa bayi perempuan mereka diserahkan sebagai bayi lelaki selepas rawatan di wad.