
Ribut, bumbung rumah terangkat – “Saya terketar-ketar sambil memegang erat cucu.” “Saya menggigil sambil mendakap erat cucu,” – Mangsa ribut imbas detik cemas bumbung rumah diterbangkan angin.
Ribut, Bumbung Rumah Terangkat – “Saya Terketar-ketar Sambil Memegang Erat Cucu”
Kejadian ribut petang semalam di Kampung Pak Darus, Bukit Gantang, Perak telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada kediaman penduduk, termasuk rumah Rosnani Che Meh yang kehilangan keseluruhan bumbung. Insiden itu berlaku sekitar jam 4.45 petang ketika beliau berada di dalam bilik utama bersama cucu lelakinya yang baru berusia empat bulan.

Rosnani menceritakan,dia sedang bermain dengan cucunya itu apabila rumahnya tiba-tiba terasa bergoncang kuat. Dalam keadaan cemas, beliau melihat bumbung rumah terangkat beberapa kali sebelum tercabut sepenuhnya.
“Saya peluk cucu yang menangis ketakutan sekuat hati. Ketika itu, hanya Tuhan saja tahu betapa takutnya saya. Saya cuba keluar dari bilik tapi pintunya tidak dapat dibuka kerana angin terlalu kuat,” katanya.
Menurutnya lagi, hanya selepas salah seorang anak melaungkan azan, pintu bilik dapat dibuka, dan mereka segera keluar untuk menyelamatkan diri.
Rosnani merupakan antara kira-kira 100 orang penduduk kawasan Parlimen Bukit Gantang yang terjejas teruk akibat ribut tersebut. Buat masa ini, beliau dan keluarganya berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Taman Kats dan bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.
Beliau juga berharap agar pihak berwajib dapat membantu membaik pulih rumahnya secepat mungkin.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, dalam lawatannya ke kediaman Rosnani, memaklumkan bahawa kontraktor tempatan telah dilantik untuk membaiki rumah-rumah yang terjejas, termasuk menggantikan bumbung yang rosak.
Katanya, hampir 100 buah rumah di kawasan seperti Taman Ria, Taman Kaya, Taman Damai dan Kampung Pak Darus mengalami kerosakan akibat ribut tersebut.
Sementara itu, menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, seramai 27 mangsa daripada 14 keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya. Di Perak Tengah pula, seramai 75 mangsa daripada 17 keluarga kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Penghantar Makanan Maut Dirempuh Pemandu Mabuk- Suami Baru Turun Kereta Bantu Mangsa Kemalangan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my