
STRES juga bila dah nak mula memasak, tiba-tiba baru teringat ayam masih keras membeku dalam peti sejuk.
Nak tunggu lama sampai ayam cair memang mengambil masa, lebih-lebih lagi kalau waktu makan dah dekat dan satu keluarga sedang menunggu.
Bagi yang tidak mempunyai microwave, antara petua mudah yang boleh dicuba ialah merendam ayam beku menggunakan air bersama sedikit garam.
Menerusi satu perkongsian di Threads, kaedah ini dikatakan membantu ayam mula lembut dalam tempoh sekitar 30 minit, sekali gus memudahkan proses penyediaan sebelum dimasak.
Kaedah merendam ayam dalam air garam mempunyai kaitan dengan teknik brining.
Garam membantu mempengaruhi protein dalam isi ayam, sekali gus membuatkan teksturnya lebih lembut dan membantu mengekalkan kelembapan apabila dimasak.
Namun, tempoh 30 minit bergantung kepada saiz dan ketebalan ayam. Potongan kecil biasanya lebih cepat lembut berbanding ayam seekor atau ketulan yang lebih besar.
Jika proses mengambil masa lebih lama, pastikan air sentiasa sejuk dan elakkan menggunakan air panas.
Menurut USDA, penggunaan air sejuk merupakan salah satu kaedah yang disarankan untuk menyahbekukan ayam, manakala ayam yang sudah dicairkan menggunakan kaedah ini sebaiknya terus dimasak.
Jadi selepas ini, kalau terlupa keluarkan ayam lebih awal, tak perlulah terus panik atau tukar menu. Boleh cuba kaedah air sejuk bersama sedikit garam ini sebagai cara praktikal untuk membantu ayam lebih cepat lembut sebelum dimasak.
BACA LAGI : Suka Makan Ayam Kampung Tapi Keras, Cuba Petua Ini Untuk Lembutkan Ayam Kampung
Sumber: Threads, USDA, FDA