Seorang wanita bergelar isteri dan ibu sanggup mengorbankan segalanya demi mengutamakan keluarga. Ada yang meletakkan kerjaya dan keinginan di tempat kedua demi melebihkan suami dan anak-anak.

Artikel yang cukup indah ini dikongsikan oleh saudara Mohd Fadli Salleh dalam mendedikasikan ucapan terima kasih atas pengorbanan isterinya yang bertungkus lumus serta sanggup menanggung segala penat demi keluarga mereka.

“Cuba Perhati Rutin Isteri Kita. Mereka Sebenarnya Penat. Namun Tetap Senyum Dengan Tabah & Kuat. Itulah Wanita, Isteri & Ibu.


Malam tadi, jam 12 malam puan isteri siapkan bahan-bahan untuk dia masak sahur ini. Setelah itu masuk tidur antara lena dan tidak bila anak merengek.

Jam 4:30 pagi alarm telefonnya berbunyi. Dia bangkit masuk dapur, penuh sabar menyiapkan hidangan sahur pula. Setelah semuanya siap siaga, beliau mengejutkan ahli keluarga.

Usai makan, saat ahli keluarga lain ada yang menyambung tidur, ada yang melayan telefon menantikan azan Subuh, beliau masih didapur. Mengemas dan membasuh pinggan mangkuk dan periuk belanga.

Kemudian beliau bergegas solat Subuh seterusnya siapkan anak untuk ke sekolah pula. Setelah itu baru dia bersiap untuk turun kerja. Tangan aku dikucup memohon keredhaan. Tanpa pernah bosan itulah rutinnya sejak 10 tahun lepas.

Hampir jam 3 petang, baru beliau pulang. Menguruskan anak-anak pula. Memandikan, tukar pakaian, bermain sekejap kemudian menidurkan anak. Beliau turut terlelap kepenatan.

Jam 4, beliau bangun siapkan juadah berbuka. Ramadan pertama, juadah mesti meriah dengan air tangannya sendiri.

IKLAN

Di dapur memasak siakap stim limau, siakap tiga rasa, udang berkuah, sayur, ayam goreng dan apa lagi entah.

Sambil bersilat didapur, sambil itu juga perlu melayan anak-anak yang merengek mahu ibunya.

Dan sebentar tadi, azan Maghrib berkumandang menandakan tamatnya waktu menahan lapar dan dahaga.

Beliau ambil sebiji kurma lantas dimakannya. Diminum seteguk air, sebelum mula menghadap hidangan yang menyelerakan.

Baru hendak menyuap, anak paling kecil merengek lagi. Mengantuk dan tak selesa agarnya.

Dia tinggalkan hidangan nasi yang belum bersentuh itu, lantas berkata.

IKLAN

“Baby tak selesa ya? Baby mengantuk ya? Jom ibu mandikan dan dodoikan.”

Dia berlalu mendukung anak masuk bilik untuk dimandikan, dipakaikan bedak dan disalin baju baru pula. Kemudian disusukan anak bongsu kami penuh kasih dan sayang sehingga anak kecil itu tertidur atas ribanya.

Setelah itu baru dia kembali ke dapur untuk makan. Setelah semua ahli keluarga selesai berbuka. Mengemas pinggan mangkuk dan periuk belanga pula setelah itu.

Aku memerhati semua kejadian dengan kekaguman.

Itulah dia wanita.

Aku yakin bukan puan isteri aku sahaja begini sikapnya. Bahkan majoriti seluruh wanita di dunia pun begini sikap mereka.

IKLAN

“Cuba Perhati Rutin Isteri Kita. Mereka Sebenarnya Penat. Namun Tetap Senyum Dengan Tabah & Kuat. Itulah Wanita, Isteri & Ibu.

Pengorbanan ini tidak kecil. Ia sangat besar, cuma kadangkala ia tidak dihargai.

Cuba kita perhati rutin puan isteri kita. Perhati dan halusi ketekunan, kesabaran dan pengorbanan mereka untuk kita dan keluarga.

Mereka sebenarnya penat. Namun mereka tetap senyum dengan tabah dan kuat.

Itulah wanita. Itulah isteri. Itulah ibu.

Terima kasih atas pengorbanan kalian. Tidak terbalas segala budi dan jasa. Semoga syurga buat kalian semua dan kami juga.

Amin.

#MFS
– Suatu kisah di Ramadan pertama –

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI