Cukai Jalan, Insurans Kenderaan Mewah, Selebriti Dan Ahli Perniagaan Selalu ‘Mengelat’ Bayar

Share

Cukai jalan, insurans kenderaan mewah, selebriti dan ahli perniagaan selalu ‘mengelat’ bayar. Golongan selebriti dan ahli perniagaan dikenal pasti antara pemilik kenderaan mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Porsche yang didapati enggan memperbaharui cukai jalan serta perlindungan insurans untuk tempoh yang lama.

Cukai Jalan, Insurans Kenderaan Mewah, Selebriti Dan Ahli Perniagaan Selalu ‘Mengelat’ Bayar

Difahamkan, mereka memberi alasan bahawa kenderaan tersebut jarang digunakan dan hanya dipandu pada hujung minggu atau hari tertentu, menyebabkan mereka tidak melihat keperluan untuk memperbaharuinya.

Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, tindakan ini tetap merupakan satu kesalahan meskipun kenderaan tidak digunakan secara harian.

“Namun, perkara ini tetap menjadi satu kesalahan kerana cukai jalan dan insurans tidak diperbaharui dalam tempoh masa yang lama.

“Mungkin bagi individu ini, jarang guna menyebabkan tidak perlu memperbaharui cukai jalan dan insurans sedangkan ia adalah satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Beliau menjelaskan lagi, pihak JPJ tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mendapati kenderaan terbabit berada di atas jalan raya.

“Kita sudah kenal pasti pemilik kenderaan mewah ini, jika kita kesan kenderaan ini dipandu mereka dan berada di atas jalan raya kita akan ambil tindakan,” katanya.

MUHAMMAD Kifli (kanan) menunjukkan kenderaan yang disita pada Ops Luxury 2.0, di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu (gambar fail). FOTO Bernama

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan bahawa JPJ telah mengenal pasti lebih 1,000 buah kenderaan mewah di seluruh negara yang tidak memperbaharui cukai jalan dalam jangka masa yang panjang.

Sebagai tindakan susulan, sebanyak 53 kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit telah disita baru-baru ini melalui Ops Luxury yang dijalankan selama tiga hari bermula 30 Julai lalu di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kenderaan mewah yang telah disita oleh JPJ melalui dua siri Ops Luxury pada bulan Jun dan Julai mencecah 154 buah. Pihak JPJ menegaskan pematuhan undang-undang adalah wajib, tanpa mengira kekerapan penggunaan kenderaan.

Sumber: Harian Metro

Baca artikel lain juga: Mak Ayah Ada Anak OKU, Layak Mohon Cukai Jalan Percuma. Ini Cara Mohon!

Begini Cara Nak Claims Insurans Kereta Kena Banjir.

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE