Umum mengetahui setiap pasangan suami isteri akan memiliki sijil nikah sebagai bukti perkahwinan untuk disimpan dengan sebaiknya. Bahkan setiap kali membuat pendaftaran anak ke sekolah dan beberapa urusan lain memerlukan untuk sijil nikah dikepilkan.
Nyata begitu pentingnya sijil nikah ini disimpan di tempat selamat! Namun diakui agak sukar juga jika ingin dibawa ke mana-mana.
Hakikatnya lebih sedekad yang lalu kad perakuan nikah sudah diperkenalkan bagi memudahkan pelbagai urusan. Lantaran saiznya yang lebih kecil, ia mudah dibawa ke mana sahaja.
Kini boleh dikatakan setiap pasangan yang baru berkahwin akan memiliki kad perakauan nikah ini. Namun bagaimana pula buat pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin? Adakah kita juga boleh memohon dan sekali gus memiliki kad tersebut?
Menjawab persoalan ini, diharap perkongsian daripada wanita ini yang baru sahaja memiliki kad perakuan nikah setelah 6 tahun berkahwin gara-gara ingin pastikan suaminya dapat menemaninya di Labour Room terjawab.
Semoga perkongsian ini boleh dijadikan info dan panduan bersama. Terutamanya pada mereka yang masih belum memiliki kad perakuan nikah.
Ini perkoangsiannya;
Buat Sebab Nak Bersalin
Dah 6 tahun kahwin baru nak buat kad perakuan nikah. Kuikuikui. Kalau tak sebab nak bersalin, mungkin 10 tahun lagi baru buat agaknya. Ni bukan pengantin baru tau, ni pengantin lama.
Alkisah bila suami kata masa aku bersalin Mairaa dulu, nurse beriya mintak kad akuan nikah untuk kebenaran teman isteri dekat LR.
Mujuq agaknya dapat nurse ok time tu, dia bagi excuse.
So last week checkup pon nurse ada tanya dan ingatkan aku gak pasal ni.
Tak nak lah kang datang period pain nurse, depa tak bagi suami teman dalam LR sebab tak ade kad ni jur. haruu
Boleh jadi kan?
Sebab mood manusia ni kan turun naik.
So, kebetulan harini suami cuti, settlekan jugak lah hal remeh ni biar lega hati ni.
Fuhh dia punya nak process eh, register kena pi kaunter lain, buat bayaran kena pi building lain, lepastu nak collect kena turun tingkat lain.
Harini aku banyak giler jalan. Besttt! Mudahan mudah aku bersalin nanti
Semakin berusia semakin cantik, itulah pujian yang boleh diberikan kepada pelakon Laila Nasir. Dalam usianya yang sudah memasuki separuh abad, dia sangat rajin dan begitu mementingkan penjagaan kulit wajah.
Tatkala diminta berkongsikan rahsia kecantikan, ibu kepada dua orang anak lelaki ini jujur mengakui tiada petua khusus yang menjadi amalannya. Sebaliknya, dia hanya menggunakan cara biasa seperti iaitu minum air suam setiap pagi.
“Selain itu, saja juga mengamalkan minum sesudu madu yang dicampur dengen air masak setengah gelas.
“Saya juga rajin ambil jus pegaga yang dikisar sendiri. Dalam usia begini juga saya tolak terus untuk minum minuman berais dan air bergas,” ujar Laila yang masih lagi keihatan cantik dan sihat dalam usia begini.
Tambahnya lagi bagi menjaga kesihatan tubuh badan pula, dia rajin lakukan señaman ringan di rumah saja.
Kecantikan anugerah Allah
“Sudah masuk usia 50 an ini kenalah pandai jaga kesihatan. Bagi penjagaan kulit wajah pula, akan pakai masker daripada putih telur yang dicampur dengan madu.
“Selain itu malas sekalipun janganlah sesekali kita skip mencuci wajah dan pakai pelembap. Saya juga turut mengambil suplemen seperti vitamin C dan habbatussauda.
“Bagi saya kecantikan ini adalah anugerah Allah kepada kita, jadi amanah kita menjaga kecantikan diberi sebaik mungkin.
“Jangan menyalah gunakan kecantikan dan hati kita pun kena cantik maksudnya jangan ada sifat dengki dan sebagainya. Ini kerana saya percaya aura cantik seseorang itu datang dari hati yang cantik,” jelasnya memberitahu bukan semua orang ada aura cantik itu.
Jangan bangga dengan paras rupa cantik
Laila turut mengingatkan supaya jangan rasa bangga dgn kecantikan paras rupa kerana kecantikan rupa tidak akan kekal ia akan pudar mengikut usia kita, cuma yang perlu kita jaga adalah kecantikan dari dalam.
Laila yang juga ibu tunggal selepas kematian suami tercinta lapan tahun lalu berkata ia bukanlah perjalanan dan pilihan mudah. Namun bagi dirinya, menjadi kuat ibarat hanya pilihan yang tinggal.
Malah melihat dua anak di sisi membesar, pelakon watak Mona dalam drama rantaian fenomena Nur di TV3 itulah ibu dan pada masa sama bapa untuk heronya.
Anak Suntik Semangat
“Pada awalnya agak sukar sukar untuk saya membahagikan masa antara kerjaya seni dan tanggungjawab. Manalah nak uruskan anak dan ‘shooting’ selain berniaga.
“Menjadi ibu tunggal sekelip mata selepas suami meninggal dunia merubah segala-galanya. Tapi ketika itu saya bernasib baik kedua anak sudah bersekolah menengah. Jadi mereka sudah pandai bawa diri. Saya juga menjaga mereka tanpa bantuan sesiapa.
“Waktu itu ada ketika saya bagai lemah dan ‘lost’. Tapi anak jadi suntikan semangat untuk saya kerja lebih kuat. Tambah pula perjalanan mereka masih jauh dan saya tempat bergantung,” kata wanita kelahiran Machang, Kelantan itu.
Skeptikal gelaran ibu tunggal
Tambah pelakon filem Bayangan Maut dan Harry Boy itu, dia sendiri akur skeptikal gelaran dirinya sebagai ibu tunggal dengan pandangan serong mata masyarakat.
“Bukan senang nak mengharungi hidup tanpa suami. Dengan pandangan itu ini daripada masyarakat. Tapi saya tak larut dengan semua itu. Saya tanamkan semangat positif dalam diri.
“Dalam soal membesarkan anak, saya pasti mahukan yang terbaik untuk mereka tanpa fikir lelah. Kalau kita tak buat itu ini, ibarat takkan ada yang lakukan semua diingini. Maka dengan itu belajarlah buat semua sendirian.
“Keluarga saya terutama emak jadi nadi dan semangat. Mak terutamanya banyak membantu saya menjaga anak dan bagi semangat. Doa ibu itu kan sangat mukjizat,” katanya lagi.
Jadi Pemangkin Semangat
Baru menjadi antara penerima anugerah Kelantan Business Ikon Awards pada 17 Disember lalu yang mengangkat anak jati negeri itu yang berjaya dalam dunia keusahawanan, Laila atau nama sebenarnya Norlaila Nasir bersemangat untuk terus mengukuhkan jenama perniagaan minyak wangi dan pelbagai sambal bilis sejak 2014.
“Dengan dunia berlakon dan berniaga itulah saya dapat membesarkan anak serta meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang mengusahakan T’Lasabella Perfume by Lailanasir dan T’Lasabella Kitchen by Lailanasir.
Rider Grab Usung Anak Berpanas & Berhujan Demi Cari Rezeki, Buat Ramai Yang Sebak!
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya, begitulah perumpamaan yang dapat digambarkan mengenai kesusahan yang dilalui oleh seorang ayah ini apabila terpaksa membawa bersama anak kecil setiap kali keluar bekerja.
Memandangkan desakan hidup yang terpaksa ditanggung dengan pelbagai kos yang semakin tinggi, dia dan isteri harus bekerja kedua-duanya untuk menampung makan minum keluarga tercinta.
Lantaran itu kisahnya yang menggendong anak dalam cuaca panas tular setelah dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai @abamskhai telah menarik perhatian netizen.
Menurut Khairul Fazki, 42, dia yang sedang dalam perjalanan terlihat seorang penunggang motosikal sedang menggendong anaknya yang baru berusia setahun keluar untuk mencari rezeki.
Prihatin dengan nasib rider tersebut, dia menghampiri lelaki tersebut sebelum bertanyakan keadaan yang dialaminya kerana terpaksa membawa anak kecil dalam keadaan cuaca yang panas terik.
“Masa tu saya naik motor. Daripada jauh nampak dia dan ada kaki kecil yang terjuntai. Jadi saya potong motor dia untuk lihat lebih dekat.
“Saya dapati penunggang itu adalah seorang lelaki, sebelah tangan pegang handle motor, sebelah tangan lagi menutup kepala seorang bayi daripada terkena panas matahari.
“Waktu tu dalam pukul 1.30 tengah hari. Saya panggil ketepi untuk temuramah sekejap. Jadi saya pun turut buat video, saya kongsi ke TikTok untuk tunjuk kehebatan seorang bapa.
“Saya cuma nak sampaikan mesej bahawa tak semua orang boleh buat macam dia. Saya kongsikan video itu sebagai motivasi,” katanya.
Dalam pada itu, rider tersebut memaklumkan dia mempunyai tiga orang cahaya mata dan menetap di Jinjang, Kuala Lumpur. Dimaklumkan juga sudah sebulan dia bekerja sebagai rider dengan membawa anak kecil selepas isterinya mula bekerja.
“Wife keluar pukul sembilan, lepas tu saya start kerja. Kadang-kadang sampai petang, kalau tak hujan lambat sikit la,” jelas Amirul dengan tenang.
Tambahnya lagi, anaknya akan diberi nasi ketika bekerja dan hanya meminum susu apabila pulang ke rumah.
“Kalau kat rumah je minum susu. Wife baru kerja. Kalau tak, dia tak kerja. Dekat sebulan (bawa bayi kerja). Anak ada tiga orang, seorang mak jaga, yang satu lagi sekolah,” tambahnya.
Meninjau di ruangan komen dan mengambil salah yang menarik perhatian, @azueizz berkata, “bukan suka-suka dia nak bawa anak. Kemungkinan dia takda duit untuk upah pengasuh sebab bayaran pengasuh pun mahal. Semoga murah rezeki beliau,”tulisnya.
Rata-rata waranet berasa simpati dan mendoakan agar dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki keluarga tersebut.
Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di SINI
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Ramadhan semakin beransur pergi dan Syawal akan menjelma lagi. Aidilfitri adalah perayaan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Aidilfitri adalah hari kejayaan bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa dan mengawal hawa nafsu serta menunaikan ibadah tertentu seperti menunaikan solat terawih, di samping berinfak dan menunaikan zakat.
Ia bukan sahaja merupakan masa untuk bersyukur dan bersuka ria, di samping peluang untuk pulang beraya di kampung bersama sanak saudara, tetapi juga sering kali menjadi masa di mana perbelanjaan meningkat dengan amat ketara. Walaupun adalah penting untuk merayakan dan berkongsi kegembiraan dengan keluarga dan rakan, mengawal perbelanjaan semasa musim ini adalah penting untuk memastikan keseimbangan kewangan dan mengelakkan tekanan beban kewangan selepas perayaan.
Menurut, Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, Profesor Madya, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, jika tidak berhati-hati dengan perbelanjaan menyambut hari raya, kita berkemungkinan besar akan terperangkap dalam bebanan hutang yang mengganggu emosi diri dan malahan keluarga. Pada perayaan kali ini, kita berhadapan dengan tiga perkara yang besar iaitu anak baharu memulakan persekolahan, bulan Ramadhan dan hari raya Aidil Fitri. Kesemuanya memerlukan perbelanjaan yang besar.
Anak-anak baru sahaja memasuki persekolahan, kolej atau universiti, pada masa sama dalam bulan Ramadhan ada yang berbelanja untuk persiapan hari raya. Sewaktu raya, kita sering merayakannya sepanjang bulan Syawal dengan mengadakan rumah terbuka, pulang ke kampung, ada yang menukar perabot baharu, ada yang menukar kereta baharu dan lain-lain. Setidak-tidaknya, kereta perlu diselanggara, tayar perlu dipastikan di dalam keadaan baik untuk perjalanan balik kampung.
Secara amnya, perbelanjaan akan meningkat lebih dari bulan biasa. Justeru, beberapa panduan boleh digunakan untuk menghadapi raya pada kali ini dengan mengambil kira faktor “ukur baju di badan sendiri”.
Tetapkan Anggaran Bajet Perbelanjaan
Sebelum memulakan perbelanjaan untuk Aidilfitri, penting untuk menetapkan anggaran bajet yang munasabah. Ambil kira pendapatan, perbelanjaan sedia ada, dan perbelanjaan tambahan Aidil fitri yang perlu diberikan. Setelah menetapkan jumlah yang sesuai, berusaha untuk mengikuti kepada anggaran bajet tersebut.
Rancang Belanja Hari Raya Lebih Awal
Elakkan daripada membuat pembelian yang terburu-buru. Rancang belanja awal untuk barangan seperti pakaian raya, bahan makanan, dan duit raya yang akan diberikan. Kita juga digalakkan untuk membuat tabungan khusus bagi perbelanjaan seperti ini.
Hadkan Perbelanjaan untuk Pakaian Raya
Pakaian raya sering menjadi salah satu perbelanjaan terbesar semasa Aidilfitri. Tetapkan had yang munasabah untuk perbelanjaan pakaian raya dan cuba untuk tidak melebihi jumlah tersebut. Cuba untuk mempertimbangkan untuk membeli pakaian raya yang lebih sederhana atau menggunakan pakaian yang sedia ada. Yang penting pakaian yang digunakan pada hari raya adalah bersih dan tidak semestinya baharu. Kaum lelaki tidak mempunyai masalah dalam bab pakaian tetapi kaum wanita agak prihatin bab pakaian seperti mahu pakaian hari raya yang sedondon pada hari raya pertama, kedua atau ketiga. Jika mahu melakukan sedemikian, pastikan masih di dalam anggaran bajet yang telah ditetapkan.
Buat Senarai Belanja
Sebelum memulakan belanja, buat senarai yang terperinci mengenai barangan yang diperlukan. Ini membantu mengelakkan pembelian impulsif dan memastikan anda membeli hanya apa yang diperlukan. Pastikan untuk menyemak senarai belanja semasa berada di kedai untuk mengelakkan pembelian impulsif dan pembaziran.
Elakkan Berlebihan dalam Persiapan Rumah
Sering kali, perbelanjaan semasa Aidilfitri tidak terhad kepada pakaian dan makanan sahaja, tetapi juga kepada persiapan rumah seperti hiasan dan perabot baru. Cubalah untuk mengawal perbelanjaan ini dan berfokus pada perkara yang benar-benar diperlukan. Kita perlu memahami konsep perbelanjaan menurut Dharuriyat, Hajiyat dan Tahsiniyat.
Perbelanjaan dharuriyat adalah perbelanjaan kepada keperluan asas, manakala perbelanjaan hajiyat adalah perbelanjaan yang akan memudahkan kita sementara itu perbelanjaan tahsiniyat adalah perbelanjaan barangan mewah. Penuhi keperluan dharuriyat seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, pendidikan yang perlu dikeluarkan setiap bulan tanpa gagal. Jika kita berbelanja sepenuhnya pada hari raya, kemungkinan kita tidak dapat memenuhi keperluan asas pada bulan akan datang.
Berpada-pada Menghias Rumah
Pada hari raya, kita sering menjemput sanak saudara dan rakan taulan untuk bertandang ke rumah. Jangan ragu-ragu untuk menggunakan bahan yang sedia ada untuk hiasan rumah dan kita tidak perlu untuk menggantikan langsir, perabot dan permaidani baharu. Cukup dengan bersederhana dengan menjadi sedikit kreatif tanpa perlu membelanjakan banyak wang.
Sediakan Dana Kecemasan
Walaupun kita berusaha untuk mengawal perbelanjaan sempena Aidilfitri, adalah bijaksana untuk menyediakan dana kecemasan untuk sebarang perbelanjaan tak terduga atau keperluan mendesak selepas perayaan.
Utamakan Kebahagiaan Emosi dan Sosial
Akhirnya, ingatlah bahawa Aidilfitri adalah masa untuk berkumpul dengan keluarga dan rakan. Lebih daripada sekadar perbelanjaan, berikan keutamaan kepada kebahagiaan emosi dan sosial anda. Raikan perayaan yang bermakna tanpa menekan diri dengan perbelanjaan yang berlebihan.
Dengan mengikuti panduan-panduan ini, kita boleh mengawal perbelanjaan sempena Aidilfitri dengan lebih efektif, memastikan keseimbangan kewangan dan membolehkan kita menikmati perayaan dengan lebih tenang. Selamat menyambut Aidilfitri dan semoga perayaan ini membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada anda dan keluarga.
Sumbangan artikel: DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI, Profesor Madya, Fakulti Ekonomi dan Muamalat.
Felo Penyelidik, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)
Universiti Sains Islam Malaysia
Exco Malaysia Consumer and Family Economy Association (MACFEA)
Penulis Buku Saham https://bit.ly/2Ivf1cU