“Dia Sangat Teruja Untuk Melihat Air Terjun Apabila Sampai Ke Resort.” Keinginan Jadi Petunjuk, Keluarga Sahkan Mayat Ditemui Tanpa Pakaian Adalah Nora Anne
Percutian yang sepatutnya meninggalkan memori indah buat keluarga ini akhirnya bertukar tragedi apabila Nora Anne yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui ditemui di kawasan hutan di Pantai, Seremban, semalam. Selama 10 hari pihak berkuasa melancarkan pencarian, akhirnya menerima khabar duka.
Nora Anne yang dilaporkan sebagai orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.
Pihak keluarga remaja berkenaan mengesahkan mayat tersebut adalah Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu diperoleh selepas keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahkan mayat itu adalah Nora Anne. Proses bedah siasat akan dijalankan oleh Senior Patologi dari Hospital Kuala Lumpur pada 10 pagi esok,” katanya pada sidang media di Unit Forensik HTJS, semalam.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang masih diteruskan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.
“Operasi SAR tidak berhenti lagi untuk kita jalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.
Ads
Terdahulu, ahli keluarga remaja itu dilihat hadir di Unit Forensik HTJS untuk membuat proses pengecaman, pada 8.40 malam.
Mayat Nora Anne ditemui di Gunung Berembun berhampiran sebuah resort di Pantai, Seremban, 1.57 petang hari ini.
Mayat berkenaan ditemui sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi SAR berkenaan.
Ads
Mayat ditemui di kawasan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari resort tempat remaja itu menginap. Ketika ditemui, mayat tidak berpakaian berhampiran anak sungai.
Keinginan Nora Anne Quoirin untuk melawat sebuah air terjun memberi petunjuk kepada pasukan pencari untuk mencari gadis berkenaan di kawasan berkenaan, walaupun pencarian kawasan itu sudah dilaksanakan sebelum ini.
Seorang sukarelawan Shirley Yap dari Kelab Mendaki Seremban memberitahu portal Daily Mail Online bahawa dia terdengar tentang keinginan gadis itu untuk melawat air terjun lantas membuatkan pasukannya bertekad untuk melakukan pencariannya di kawasan berkenaan.
“Kami dengar bahawa dia (Nora) sangat teruja untuk melihat air terjun apabila dia sampai ke resort. Kami mencarinya di kawasan itu dan menuruti aliran sungai.” jelas Shirley kepada portal tersebut.
Ads
Kawasan mayat berkenaan ditemui termasuk dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.
Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.
Pencarian Nora Anne sebelum ini mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.
Pencarian itu juga mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar — antaranya pakar penjejak terdiri anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, penduduk orang asli dan sukarelawan.
Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah kawasan hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.
Sumber: Astro awani, Daily Mail Online, Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Menyimpan wang memerlukan komitmen yang tinggi, dan itu semua diakui ramai. Ianya bukan mudah untuk mendisiplinkan diri bagi menyimpan setiap bulan daripada jumlah gaji yang diterima.
Tapi itu bukan juga suatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan. Ini sepertimana perkongsian daripada Puan Marlia Ramli telah berkongsi tip bagaimana dirinya membuat bajet bulanan dengan cara yang tersendiri dan hasilnya pada usia 39 tahun dia kini menikmati kebabasan kewangan tanpa hutang dan miliki aset yang mampu memberikan kehidupan yang selesa buat dirinya dan keluarga.
BAJET CARA AKAK
Lepas baca post ni, akak bersedia dipandang rendah oleh anda.
Nak kutuk?
Nak kecam?
Nak persoalkan?
Silakan saja.
No hal sebab ini adalah pilihan kisah hidup akak. Kita semua berhak melukiskan kehidupan bagaimana yang kita mahu, bukan?
Meh akak story hakikat permulaan ketika akak membina tapak di KL pada tahun 2004 di usia 22 tahun. Semoga bermanfaat buat adik-adik yang bakal tamat pengajian.
Akak mula apply keja kat Kuala Lumpur, berbulan sebelum habis belajar. Buat resume dan survey kerja tiga hingga enam bulan lebih awal.
Tak tunggu habis study baru mohon kerja. Benda boleh buat awal kenapa nak bertangguh pula?
Akak tak letak expected salary dalam resume sebab tak reti pun nak demand time tu. Akak pikir hentam je la gaji berapa pun, janji ada pekerjaan halal… Mana akak tau nak letak gaji berapa sebab itu kali pertama buat resume kan?
Minggu kedua lepas grad akak dah mula kerja kat Kuala Lumpur. Mak abah hantar temuduga, akak bawak beg siap-siap. Punya la yakin pasti dapat kerja. Self confidence tinggi namatey.
Mana taknya, berbulan-bulan sebelum habis belajar dah ke hulu hilir kat cafe email resume dan baca pelbagai tips hadir temuduga. Waktu tu capaian internet tak semudah hari ini.
Memang lepas terima ijazah akak tak de acah-acah lepak kat umah buang masa konon release stress bagai. Akak tak de buat plan nak pegi Krabi dengan kawan berselfie segala. Buang masa!
Cari kerja seawal sebelum tamat pengajian. Habis belajar? Pegi temuduga dan mula kerja. Alhamdullilah…
Sejak dulu akak kolot dan benci pada trend. Bagi akak trend ni semua mengarut dan membuang masa. #apeni?
Ya, hidup akak tak fun sebab masa akak dianggap amat bernilai. Akak dah ada boyfriend waktu muda dan akak cuma fokus nak hidup bersama beliau sehingga bersara. Itu saja.
Bagi akak masa itu emas. Akak kan penyimpan dan pendidik emas 999. Akak sangat mementingkan masa. Ianya sangat berharga! Masa adalah alat pelaburan yang amat berkuasa.
Akak teringin sangat nak pegang dan urus duit sendiri secepat mungkin. Waktu tu akak dah ada simpanan rahsia empat angka hasil mengikat perut berjimat duit PTPTN masa di university. Akak target nak ada simpanan lima angka sebelum 24 tahun.
Umur – 22 tahun
Jawatan – Sales Support Coordinator
Level Pekerjaan – Atas sikit dari kerani am
PENDAPATAN – RM1,500
EPF + SOCSO – RM180
Zakat – RM30
Hantar kampung – RM400
Parking – RM80
Bilik sewa – RM130
Petrol – RM200
Top up – RM30
JUMLAH PERBELANJAAN – RM1,050
Simpanan tetap – RM250 sebulan bersamaan 16.66%
Baki untuk belanja sebulan – RM200
Akak pinjam kereta Hyundai Getz abah sebab tu akak bagi RM400 untuk menampung sebahagian daripada pembayaran bulanan.
Abah tanya “hang bagi abah RM400, cukup ka duit belanja hang?”
Akak dengan bangga cakap “cukup abah!”. Kembang kempis hidung walaupun hati menangis.
Memanglah seksa, tapi saving akak tak penah miss 16.66% kadang hingga 20% dari pendapatan setiap bulan hingga akak selalu terpaksa berlapar. Sejak kecik, akak adalah manusia yang sanggup berlapar asalkan simpanan wajib ada setiap bulan.
Simpan Melebihi 15% Dari Duit Gaji
Memang sejak gaji pertama akak akan pastikan saving melebihi 15% dari pendapatan walau seazab mana pun hidup. 10% saving adalah terlalu sedikit di mata akak.
So untuk bajet keperluan diri dan makan sepanjang bulan adalah RM200. Anda boleh bayang la purata bajet belanja sehari RM6.60 kat KL camne azabnya.
Isnin dan Khamis puasa sunat dan berbuka dengan roti gardenia disapu kaya.
Hari lain bekfes minum milo dan biskut free kat opis. Lunch beli beras, telur dan sardin. Bawa bekal ke office setiap hari.
Dinner? Tak penah dinner. Solid cam kerengga body akak time tu…
Biar tak makan, janji ada simpanan!
Masa tu tak de fesbok. So tak de la akak meratap komplen nasib hidup. Bila call mak abah akan tanya dah makan? Akak jawab dah makan nasi lauk ayam beli kedai tepi jalan.
Sumpah tak sampai hati nak bagitau mak time tu bajet makan dan belanja lain-lain tak sampai RM7 hengget sehari semalam. Muka anak mak dah cam sardin sebenarnya.. Ehh! Haha…
Kalau ada jamuan di pejabat, akak paling gembira. Sebab dapat makan sedap.
Setahun lepas tu dah dilamar arjuna beta lalu menjadi isteri. Al maklumlah time tu akak ini muda jelita dan pujaan ramai arjuna. Hari-hari boypren ajak kawen sebab beliau cemburu teruks. Boypren gigih bertahun-tahun ikat perut dan berusaha nak halalkan akak.
Umur 25 Tahun Miliki Rumah
Bila dah kahwin kami sambung lagi dua tahun ikat perut semata-semata nak beli rumah pertama sebelum usia 25 tahun. Kami tak nak anak tinggal di rumah sewa. Tak de la akak merungut sebab dah biasa masa bujang. Minda dah kental…
Dan rumah kedua sebelum usia 26 tahun, terus sapu rumah bertanah double story corner lot hasil mengikat perut sejak usia 22 tahun. Deposit hampir RM30,000. Berbaloi bukan?
Umur 28 tahun gaji dah berganda-ganda sebab gila kerja. Bonus lima angka tak pernah sentuh. ASB dua-dua akaun pun dah capai maksimum hasil berpendapatan purata lima angka sebelum usia 30 tahun. Kami suami isteri sentiasa ada dua tiga pekerjaan sejak muda.
Usia 30 tahun bergelar Head of Department. Tak mudah nak capai perjalanan kerjaya seperti ni tapi sesiapa yang mengopi akak boleh la share beberapa tips.
Cuma kekalkan saja sikap, minimum 15% simpanan daripada gaji dan bonus tak pernah guna. Wang pendapatan kedua juga tak pernah guna. Asalkan suami tanya nak hadiah apa, akak akan minta duit cash deposit rumah seterusnya atau emas dinar atau goldbar.
Akak tak de acah romantik minta percutian bagai. Bila suami tanya, minta lah sesuatu yang memberi manfaat di masa depan. Ulangtahun ke-10 suami bawa honeymoon di Korea sebab kesian bini asyik kerja dan kerja.
Sehingga hari ni kami sentiasa konsisten bersama-sama mengejar matlamat. Selepas tiga tahun hidup di KL akak mula capai matlamat kewangan satu persatu.
Di usia 32 tahun akak mampu tersenyum sebab bebas semua hutang jahat dan berjaya mencapai semua matlamat yang akak fokus sejak umur 22 tahun. Akak belajar bahawa hidup ini keras. Kita perlu buat keputusan bagaimana mahu mematahkan cabaran kehidupan.
Akak bukan berasal daripada keluarga miskin. Kami keluarga peniaga yang sederhana. Mak abah sentiasa mewahkan keperluan semua anak-anak dari kecik.
Kiranya selama hidup dengan mak abah, akak tak pernah hidup susah. Tapi kesedaran kewangan datang dengan sendiri. Adik beradik, mak abah dan keluarga faham sangat sikap gila kerja dan kedekut piang akak ni.
Bermula gaji pertama usia 22 tahun start kerja akak dah tak pernah minta duit mak abah. Akak fikir dah la gaji kecik tak mampu nak berbelanja untuk mak abah dan adik-adik, tak kan nak susahkan meminta-minta pada mereka. Akak ingatkan diri bahawa di dunia ni tiada benda percuma.
Akak bersyukur Allah bagi kesedaran kewangan dan keinginan untuk akak menabung sejak muda. Dijodohkan pula dengan arjuna beta yang banyak persamaan. Alhamdulillah dari situ kami mula membina sedikit harta.
Kekadang orang cakap elok cari pasangan berbeza supaya saling melengkapi cam puzzles. Tapi bagi akak jika dijodohkan dengan pasangan yang banyak persamaan adalah lebih mudah.
Sebab langkah akan seiring, pemikiran akan selari, matlamat mudah dicari. Tak perlu cakap, tengok arjuna beta jeling pun akak dah faham apa yang dia nak sampaikan.
Akak harap Double A (sepasang anak akak) belajar mengikat perut suatu hari nanti. Semoga anak-anak sanggup mengadap susah, jimat, makan sardin tapi tetap memilih untuk bertahan dan berdikari.
Bukankah sesuatu yang memuaskan hati jika kita memiliki segala benda hasil sentuhan air tangan sendiri? Tak kisah anak orang kaya ataupun miskin, yang penting kesedaran adalah datang dari dalam diri sendiri.
Secara ringkasnya di permulaan hidup ini BAJET CARA AKAK :
✅ Tidak memilih jenis pekerjaan. Janji halal, keja je lah!
✅ Usah membuang masa lepak rumah sementara tunggu convo.
✅ Paksa mengikat perut demi saving melebihi 15% sebulan.
✅ Menjauhi sikap meratap bahawa nasib akak yang paling malang
✅ Tidak sesekali lari balik kampung sebab give up
✅ Memilih pasangan hidup yang punya ciri-ciri bijak wang
✅ Berpegang kepercayaan bahawa setiap matlamat perlukan pengorbanan
✅ Usah mengajar diri terbiasa sikap meminta-minta
Begitulah kisah benar di awal kehidupan akak. Hari ini selepas 17 tahun, cara akak masih lagi lebih kurang sama.
Hidup 30% hingga 40% di bawah kemampuan agar nilai simpanan bulanan tinggi. Alhamdulillah… akak sekarang sentiasa paksakan minimum saving 50% hingga 100% daripada gaji di pejabat setiap bulan.
Dan ya, anggaplah akak apa saja. Lepas anda baca post ni akak rela dipandang rendah oleh anda semua. Boleh juga jika nak gelar akak kedekut piang.
Bagi akak, seawal usia tak perlulah mempersoalkan, kewangan tanggungjawab siapa? Buat je… Insya’allah bila tiba masa, kita akan menikmati hasilnya…
Hari ni 39 tahun akak sedar akak bukanlah banyak ilmu. Tak selesa sebenarnya dengan gelaran sifu sifir sifar bagai. Akak menulis sebab minat semata-mata.
Anda suka, anda follow. Tak suka tak payah follow. No hal. Itu saja. Simple bukan?
Dan ya… Akak masih hidup dengan boyfriend yang sama sejak hampir 20 tahun lepas. Semoga till Jannah.
Hari ini akak dan boyfriend memiliki :
✅ beberapa rumah pelaburan, ada yang dah habis bayar.
✅ beberapa cabang pelaburan termasuk emas 999
✅ kemampuan untuk mengelilingi dunia
✅ rumah kediaman yang lengkap segala,
✅ memiliki rumah rehat di tepi pantai
✅ kenderaan yang luas buat keluarga
✅ sedikit aset mencukupi untuk bersara selesa
✅ perniagaan dan pendapatan pasif yang auto run
✅ kerjaya yang lebih daripada cukup untuk keperluan kami
✅ dan cinta yang mudah mudahan berpanjangan.
Hendak suburkan tanaman atau pokok bunga pun ada rahsianya. Selain yang biasa kita dengar perlu dibaja, disiram dan dijaga rapi bahkan ada cara yang mudah dan terbukti berkesan.
Ini sepertimana yang dipraktikkan oleh Puan Zaiton Hamid, berkongsi cara untuk memastikan tanaman yang ditanam hidup subur dengan siraman air cucian ikan. Difahamkan, setiap kali selepas mencuci ikan airnya akan di simpan untuk digunakan sebagai siraman pokok dan dalam masa yang sama menjadi baja yang cukup berkesan.
“Ini ialah air basuhan ikan. Setiap kali lepas siang ikan saya akan simpan airnya untuk dijadikan baja organik,” tulisnya di group facebook Berkebun D Rumah.
Rugi Buang Air Basuhan Ikan, Jadikan Baja
Petua ini saya dapat dari arwah ayah dan mak yang selalu jadikan air basuhan ikan sebagai baja pokok.
Alhamdulillah pokok akan tumbuh subur selepas disiram dengan air basuhan ikan.
Sangat rugi kalau kita buang air tersebut begitu sahaja. Kerana,unsur dan kandungan dalam organ ikan itu memberikan kesan positif pada tanaman.
Terdapat zat besi yang wujud semulajadi dalam darah dan organ ikan.
Setiap kali siang ikan,kita simpan dalam bekas siraman.
Apabila waktu petang, kita boleh siram kepada tanaman.
Kenapa waktu petang?
Pagi sehingga tengah hari merupakan waktu pokok aktif melakukan fotosintesis.
Jadi selepas dari waktu itu, keperluan harian tanaman telah mencukupi.
Sebab itu, petua orang-orang tua kalau nak pindah kan pokok, lakukan di waktu petang supaya pokok tak terkejut.
Lagi pun dah nak menjelang senja ke malam, pokok dah mula tidur.
Baru lah ia mudah stabil selepas dipindahkan.
Note: Penulisan saya adalah berdasarkan pengalaman dan petua arwah ayah & mak serta disokong dengan pembacaan dibeberapa blog.
PS : Baja air ikan ini ada baik buruknya,ada kawasan tidak bermasalah menggunakan nya dan ada kawasan akan menghadapi masalah semut,lalat,tikus dan beberapa masalah lagi,boleh cuba sedikit dulu dikawasan tertentu, jika ok teruskan jika tidak abaikan.
Meninjau di ruangan komen, ramai juga warganet turut terpanggil untuk berkongsi petua yang dilakukan untuk memastikan pokok yang ditanam menjadi subur. Bahkan ramai juga yang berkongsi pengalaman yang sama menyiram tanaman dengan air basuhan ikan.
Antaranya adalah seperti komen daripada Ruhidah Rostam, “Saya pun guna air cucian ikan.Selain itu saya juga gunakan air cucian beras,air teh o tanpa gula (teh yg dah guna & rendam)kadang air cucian pakaian & air rendaman nasi basi,serbuk kulit telur (jemur & tumbuk/kisar)kulit kupang (jemur & tumbuk)hampas serbuk teh,hampas serbuk kopi,sayur-sayuran & buah-buahan yang tidak elok ,kulit kentang,kulit bawang putih,kulit bawang merah & kadang saya letak rambut saya yang gugur”
Manakala Dahrom Hashim menyarankan agar ditapis terlebih dahulu air basuhan ikan tersebut. “Tapis dulu air ikan tuu supaya tiada sisa daging yg tinggal..,.baru tiada semut…..”
Ramiza Mb pula berkongsi amalannya, “Selain basuhan ikan air peraman kulit bawang juga sgt bagus..pokok nk mati dh alhamdulillah hidup subur blk..insya allah”
Manakala kongsi Afsah Daud Cha-cha pula tulisnya, “Jiran sy buat siram kat orkid… Ya rabbana… Gemok lepok orkid berbunga”
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk semua.
Adi Putra kini melangkah ke fasa kehidupan yang lebih bermakna apabila figura yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu ini bergelar bapa. “Hadiah paling indah hadir pada hari lahir sendiri..” Itulah berita yang mencuri perhatian ramai apabila insan yang pernah digelar budak genius Matematik ini berkongsi khabar gembira tentang kelahiran puteri tercintanya.
Nama Adi Putra Abdul Ghani bukan asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Sejak kecil lagi, beliau pernah menjadi bualan ramai kerana kebijaksanaan luar biasa dalam bidang Matematik. Keupayaannya menyelesaikan soalan-soalan kompleks pada usia yang sangat muda membuatkan ramai kagum, malah menjadikan Adi antara individu yang pernah membanggakan negara.
Kini, insan yang pernah digelar “budak genius Matematik” itu telah memasuki satu lagi bab penting dalam hidupnya menjadi seorang ayah.
Menerusi satu perkongsian penuh rasa syukur, Adi Putra memaklumkan bahawa pada 27 Januari lalu, bertepatan dengan ulang tahun kelahirannya, beliau menerima hadiah paling indah dalam hidup iaitu kelahiran puteri tercinta yang diberi nama Anais.
Lebih menyentuh hati, Adi Putra turut meluahkan rasa syukur dan bahagia dengan kurniaan tersebut.
“Terima kasih Ya Allah. Tepat pada 27 Januari tanggal kelahiran ku tahun ini, Kau berikan hadiah yang terindah buatku. Suatu permata untuk menyeri & mencahyai hidupku. Sesungguhnya, tiada hadiah yang lebih sempurna selain kurniaan-Mu ini. Selamat datang puteri ku, Anais,” luahnya.
Kelahiran Anais pada tarikh yang sama dengan hari lahir Adi Putra menjadikan momen itu lebih simbolik dan penuh makna. Ia bukan sekadar sambutan ulang tahun biasa, sebaliknya menjadi satu detik yang pasti akan dikenang sepanjang hayat.
Bagi seorang lelaki, bergelar ayah bukan sekadar satu gelaran. Ia adalah tanggungjawab besar, namun dalam masa yang sama membawa kebahagiaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Dalam kehidupan Adi Putra, kehadiran cahaya mata ini pastinya memberi perspektif baharu tentang erti keluarga, kasih sayang dan pengorbanan.
Perjalanan hidup Adi Putra sebelum ini banyak dikaitkan dengan kecemerlangan akademik dan kebijaksanaan luar biasa. Namun kini, peranan sebagai ayah membuka lembaran baharu yang jauh lebih peribadi dan menyentuh hati. Ramai yang melihat perubahan ini sebagai satu fasa kematangan yang indah dalam kehidupan beliau.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai. Tidak kurang juga yang menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan agar Anais membesar menjadi anak yang solehah, sihat, serta membahagiakan kedua ibu bapanya.
Sesungguhnya, kelahiran seorang anak adalah rezeki dan amanah yang sangat besar. Buat Adi Putra dan keluarga kecilnya, detik ini pastinya menjadi kenangan paling berharga yang tidak ternilai harganya.
Semoga keluarga kecil Adi Putra ini sentiasa dilimpahkan rahmat, kasih sayang dan kebahagiaan berpanjangan. Tahniah diucapkan buat Adi Putra dan pasangan atas kelahiran cahaya mata tercinta!
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.