Ekspedisi menjadi tragedi apabila dihempap pokok tumbang. Seorang pendaki wanita, Wan Nurulhuda Mior Abdullah, 49, maut selepas dihempap pokok tumbang ketika sedang tidur.
Kejadian itu berlaku di dalam khemah di Kem Seputih, berdekatan Gunung Rajah, Kuala Tahan, Jerantut pada Ahad.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada jam 8.55 malam.
Ads
Menurut Zukri, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggul dan tidak sedarkan diri semasa insiden berlaku.
Ads
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Muhammad
“Kejadian berlaku ketika mangsa bersama kumpulan 10 pendaki dan seorang malim gunung yang memulakan pendakian pada Isnin lalu. Mereka dijadualkan turun pada Ahad, namun sekitar jam 12 tengah hari, pihak polis menerima maklumat bahawa mangsa dihempap pokok tumbang ketika tidur,” katanya.Bagi operasi menyelamat, helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan ke lokasi dan mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selepas tiba di pangkalan udara.
Ads
Pemandangan Gunung Tahan
Pasukan mencari dan menyelamat turut berada dalam keadaan bersiap sedia di Kuala Tahan untuk bantuan melalui jalan darat sekiranya khidmat helikopter tidak dapat diteruskan.
‘Haji Hassan Lapah’ kongsi rahsia pisau lapah berusia 30 tahun. Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam kerja melapah daging korban, Abu Hassan Aji, 64, yang merupakan pesara dalam bidang telekomunikasi, cukup dikenali oleh penduduk Kampung Pengkalan Batu dengan gelaran mesra “Haji Hassan Lapah”.
Bapa kepada enam cahaya mata ini mengakui bahawa kemahirannya dalam melapah bukan sesuatu yang dipelajari secara formal, sebaliknya diwarisi daripada arwah bapanya sejak usia mudanya sekitar awal 20-an.
Menurut Abu Hassan, tidak ramai yang sanggup mendalami bidang ini kerana ia menuntut tahap keberanian yang tinggi, terutama ketika berdepan dengan situasi penyembelihan yang melibatkan darah dan najis haiwan.
“Ada yang pengsan tengok darah, malah ada juga yang rasa mual. Jadi bukan mudah nak cari orang yang betul-betul mampu buat kerja melapah ini kalau jiwa tak kental,” katanya sambil tersenyum.
Abu Hassan turut menekankan pentingnya menggunakan pisau yang benar-benar tajam untuk memastikan kerja melapah berjalan lancar dan tidak memenatkan. Antara senjata utamanya ialah sebilah pisau yang dibelinya lebih tiga dekad lalu dari Terengganu, yang masih digunakan sehingga kini.
“Pisau itu memang selesa dan sangat serasi dengan saya. Walaupun dah berusia lebih 30 tahun, walaupun dah tumpul dan pendek sedikit, saya tetap gunakannya setiap kali Aidiladha. Jenis pisau seperti itu susah nak jumpa sekarang,” jelas beliau.
Sepanjang kariernya membantu urusan korban di kampung, Abu Hassan bersyukur kerana tidak pernah mengalami insiden mencemaskan. Namun, beliau masih ingat satu kejadian yang agak mencuit hati, lembu korban yang sepatutnya disembelih ‘ghaib’ beberapa hari sebelum Hari Raya Haji.
“Kami semua sibuk mencarinya. Rupa-rupanya lembu tu lari sampai ke kawasan kilang di Ayer Keroh dan baru dijumpai selepas empat hari. Malangnya masa tu hari tasyrik pun dah habis. Mujur tuan lembu ganti dengan yang lain,” katanya sambil ketawa mengenang detik tersebut.
Kisah Haji Hassan Lapah bukan sahaja mencerminkan kemahiran tradisi yang diwarisi turun-temurun, tetapi juga satu simbol dedikasi dan semangat gotong-royong yang masih kukuh dalam masyarakat kampung.
Menghidap penyakit saraf kronik dan tidak lagi mampu bekerja, itulah ujian berat yang ditanggung oleh Alias Ismail, 62, dan isterinya, Mahani Mamat, 55, di Kampung Seribong. Lebih menyayat hati, dua daripada lima anak mereka pula adalah orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu.
Alias berkata, anak sulungnya, Siti Nur Fazilah, 37, dan anak bongsunya, Nurul Syafiqah, 19, yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, masing-masing mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sejak kecil.
Namun bagi pasangan ini, kekurangan anak-anak tidak pernah dianggap sebagai beban. Sebaliknya, mereka menerima setiap ketentuan dengan reda dan penuh kesabaran.
“Namun, sejak tiga tahun lalu, saya tidak lagi dapat bekerja akibat penyakit saraf kronik yang menyebabkan saraf tersepit di tulang belakang dan pergerakan saya semakin hari semakin sukar. Doktor memaklumkan ia berisiko menyebabkan saya lumpuh sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sebelum jatuh sakit, Alias aktif melakukan pelbagai kerja kampung dan turut bertugas sebagai siak masjid bagi menampung perbelanjaan keluarga. Kini, segalanya berubah apabila penyakit saraf itu mengehadkan pergerakannya.
Lebih merumitkan keadaan, isterinya, Mahani, turut menghidap penyakit saraf yang sama sejak tahun 2000 akibat masalah autoimun, iaitu sistem imun tubuh menyerang dirinya sendiri.
“Di waktu sihatnya, isteri saya dapat melakukan kerja rumah termasuk mengambil upah mengemas rumah penduduk kampung, namun kini dia tidak lagi mampu untuk melakukan sebarang kerja disebabkan penyakit saraf yang dihidapi semakin serius.
“Sejak itu, isteri disahkan sebagai OKU fizikal dan dia perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan seumur hidup untuk mengurangkan kesakitan sendi. Tanpa ubat, dia berisiko menghadapi serangan sakit yang serius,” katanya.
Pasangan ini perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) setiap tiga bulan. Namun perjalanan ke hospital sering menjadi cabaran apabila kesihatan tidak mengizinkan.
“Kebiasaannya, kami pergi ke hospital menaiki motosikal. Namun, apabila keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya terpaksa meminta bantuan jiran untuk menghantar kami. Ada masanya juga, kami perlu menggunakan perkhidmatan kereta tambang untuk ke hospital,” katanya.
Kini, mereka sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Alias menerima RM600 sebulan, manakala isteri dan dua anak OKU masing-masing memperoleh RM300. Namun, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Dua anak yang bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru ada mengirim wang belanja sekadar yang termampu kerana mereka sudah berkeluarga serta mempunyai tanggungan dan sebolehnya tidak mahu membebankan mereka,” katanya.
Alias mengakui, ada kalanya dia terpaksa berhutang di kedai runcit hanya untuk membeli barang keperluan asas.
“Makan pun biasa-biasa saja, nasi dengan budu dan telur rebus pun kadang sampai seminggu, namun itulah lauk kami sekeluarga. Asalkan boleh alas perut dan kami bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03100-29-00090379-3 atas nama Alias Ismail.
Kisah ini membuktikan bahawa ketabahan dan keikhlasan hati mampu menjadi kekuatan walau dilanda ujian seberat mana sekalipun. Semoga pasangan ini terus diberikan kesembuhan dan ketenangan dalam menempuh kehidupan bersama penyakit saraf kronik yang dihadapi.
Kekosongan jawatan guru, KPM tawar 6,300 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pendekatan baharu bagi mengatasi isu kekurangan guru dengan menawarkan penempatan kepada 6,300 calon program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di seluruh negara bagi mengisi kekosongan jawatan guru tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perjawatan itu ditawarkan kepada golongan berkenaan bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah seliaan KPM di seluruh negara.
“Pada tahun ini, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menawarkan 6,300 slot untuk PISMP, sebelum ini kita tidak benarkan untuk isi 100 peratus.
“Tahun ini, kita berjaya mendapatkan calon dan membuat penawaran 100 peratus kepada 6,300 orang ini untuk semua jenis sekolah seliaan KPM.
“Mereka telah pun ditawarkan dan ditempatkan (sekolah). Ini amat penting untuk memastikan dalam lima tahun hadapan apabila golongan ini keluar, maka isu itu dapat diselesaikan secara berperingkat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai isu kekurangan guru bukan hanya berlaku di Sarawak, malah isu sama di Semenanjung juga masih belum diselesaikan.
Mengulas lanjut, Wong berkata, KPM mengambil pendekatan baharu termasuk memperluaskan pengambilan lantikan kontrak (COS) kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi.
“Seingat saya, apabila kerajaan (Madani) mengambil alih pada 2022, peratusan pengisian guru secara keseluruhan di peringkat kebangsaan dalam lingkungan 95 peratus.
“Dalam dua tahun kebelakangan ini, banyak pendekatan diambil termasuk pengambilan dari COS tahun ini. Kita buka sesetengah pengkhususan dari STPM, STAM dan matrikulasi bertujuan memastikan calon mencukupi untuk menampung keperluan dan mengisi semua kekosongan
“Sebelum ini, PISMP hanya ambil dari SPM sahaja (tetapi) tahun ini (KPM) mula (pengambilan) sesetengah kursus (perluaskan kepada) aliran ada STAM, STPM dan matrikulasi,” katanya.
Adinda kepada Sultan Selangor, Yang Amat Mulia Datin Paduka Tengku Putri Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mangkat di kediaman beliau yang terletak...