
Garam Celtic ketika puasa sering dikaitkan dengan dakwaan mampu mengurangkan rasa haus sepanjang hari. Garam Celtic boleh kurangkan rasa haus ketika puasa? Ini penjelasan doktor dan fakta sains yang perlu diketahui sebelum kita mengamalkannya, apatah lagi melibatkan kesihatan seisi keluarga.
Setiap kali Ramadan menjelang, antara cabaran paling besar ialah menahan dahaga terutama apabila cuaca panas dan rutin harian tetap padat seperti biasa. Menjelang tengah hari, tekak mula terasa kering, kepala sedikit berat dan badan jadi kurang bertenaga. Tidak hairanlah pelbagai petua diamalkan demi memastikan puasa berjalan lancar.

Terbaharu, tular di media sosial tentang pengambilan celtic salt atau garam bukit ketika sahur bagi membantu mengurangkan rasa haus sepanjang hari. Ada yang mendakwa hanya dengan secubit garam yang dibancuh bersama air suam, tubuh mampu kekal segar dan kurang kerap membuang air kecil. Benarkah dakwaan tentang garam Celtic ketika puasa ini?
Apa Itu Garam Celtic?
Garam Celtic ialah sejenis garam laut yang diproses secara minimum dan tidak ditapis sepenuhnya. Ia dikatakan mengandungi mineral tambahan seperti magnesium, kalium dan kalsium berbanding garam putih biasa.

Menurut perkongsian seorang doktor di media sosial, kandungan mineral tersebut dipercayai membantu keseimbangan elektrolit dalam badan. Elektrolit berfungsi mengawal keseimbangan cecair, fungsi saraf dan otot. Sebab itu ada yang merasakan pengambilan sedikit garam bukit ketika sahur boleh membantu mengekalkan air dalam badan.
Namun, penting untuk difahami bahawa komponen utama dalam garam Celtic tetap sodium (natrium). Walaupun terdapat mineral tambahan, kandungan sodium masih mendominasi komposisinya seperti garam biasa.
Apa Kata Fakta Sains Tentang Garam Celtic Ketika Puasa?
Perkongsian Public Health Malaysia pula menjelaskan bahawa dari sudut fisiologi, garam Celtic tetap mengandungi sodium yang tinggi sama seperti garam biasa.
Apabila sodium dalam darah meningkat, ia akan meningkatkan kepekatan darah dan menyebabkan air ditarik keluar dari sel badan. Otak akan mengesan perubahan ini lalu menghantar isyarat haus. Inilah sebabnya makanan terlalu masin boleh membuatkan kita cepat dahaga, termasuk jika berlebihan mengambil garam Celtic ketika puasa.
Secara asasnya, tiada bukti saintifik kukuh yang menunjukkan garam Celtic mempunyai kelebihan istimewa untuk menghilangkan rasa haus ketika berpuasa. Sedikit garam mungkin membantu keseimbangan elektrolit dalam keadaan tertentu, tetapi jika diambil secara berlebihan, kesannya boleh jadi sebaliknya dan meningkatkan rasa haus.

Kesan Pengambilan Sodium Berlebihan
Pengambilan sodium yang tinggi bukan sahaja boleh mencetuskan rasa haus, malah berisiko meningkatkan tekanan darah. Individu yang mempunyai masalah hipertensi, penyakit buah pinggang, wanita hamil dan warga emas perlu lebih berhati-hati.
Sebelum mengikuti sebarang trend kesihatan termasuk pengambilan garam Celtic ketika puasa, penting untuk menilai keperluan sebenar tubuh. Setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan keperluan nutrisi yang berbeza.
Cara Lebih Selamat Kurangkan Dahaga Ketika Puasa
Sebagai ibu bapa, kita perlu lebih berhati-hati sebelum mencuba trend kesihatan yang tular. Antara langkah yang lebih selamat dan terbukti membantu ialah:
- ✔ Minum 6–8 gelas air secara berperingkat antara waktu berbuka hingga sahur
- ✔ Kurangkan makanan tinggi garam dan makanan diproses
- ✔ Elakkan minuman terlalu manis dan berkafein
- ✔ Ambil makanan tinggi serat dan protein ketika sahur
- ✔ Pilih sumber elektrolit semula jadi seperti pisang, kurma dan air kelapa
Selain itu, elakkan mengambil makanan terlalu masin ketika sahur kerana ia boleh meningkatkan keperluan air badan pada siang hari. Pengambilan air yang konsisten dan pemakanan seimbang jauh lebih penting berbanding bergantung kepada satu bahan tertentu.
Kesimpulan: Perlukah Ambil Garam Celtic Ketika Puasa?
Kesimpulannya, garam Celtic bukanlah solusi magik untuk menghilangkan rasa haus sepanjang berpuasa. Ia tetap natrium klorida seperti garam biasa, cuma mengandungi sedikit mineral tambahan.
Kunci utama kekal cergas sepanjang Ramadan ialah hidrasi mencukupi dan pemilihan makanan yang seimbang. Jangan terlalu mudah terpengaruh dengan trend tanpa memahami fakta sebenar tentang garam Celtic ketika puasa.
Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mendidik kita tentang kesederhanaan. Dalam menjaga ibadah, jangan lupa utamakan kesihatan diri dan keluarga.
BACA LAGI : Garam Epsom Banyak Khasiat Untuk Kesihatan, Biar Anak Berendam Dengan Air Garam Ini
Sumber : Public Health Malaysia, Dr Samhan
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




