Perkhabaran duka. Hilang satu lagi permata yang mendidik kita tentang agama. Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Perkara itu disahkan menerusi Facebook rasmi pendakwah berkenaan.
“Dukacita dimaklumkan Tuan Guru Datuk Ismail Kamus meninggal dunia sebentar tadi. Al-Fatihah,” menurut kenyataan di Facebook itu.
Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
Ia turut memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman di Ampang, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam tadi.
“Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di tempat yang mulia di sisi Allah SWT,” katanya.
Menurut EXCO Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah.
Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Ads
Pendakwah itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.
Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.
Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.
Ads
Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.
Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.
Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan anak murid Allahyarham.
Ads
“Semoga sabar dan reda dengan ujian ini.
“Rasa sedih menyelubungi suasana tengah malam ini di bulan Ramadan al-Mubarak, tatkala mendapat perkhabaran pemergian ustaz Datuk Ismail Kamus ke rahmatullah.
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Ismail.
Di akaun Twitternya, Azmin mendoakan agar Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan diberikan ganjaran syurga Allah SWT.
Difahamkan, jenazah akan disolatkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan As-Sobirin, pagi ini.
Sumber: Berita Harian Online
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sebut aje durian, pastinya kita terbayangkan isi durian yang kekuningan dengan aroma buah yang menyelerakan.
Bayangan buah yang besar dan dengan isi yang tebal pastinya membuatkan ada yang sanggup berhabis ratus ringgit hanya untuk menikmati buah ini.
Namun tahukah anda bahawa buah durian ada bersaiz kecil. Baru-baru ini tular menerusi perkongsian foto menerusi Twitter yang dimuat naik pengguna fendymojo.
Ekorannya itu ramai netizen meluahkan terkejut melihat durian bersaiz mini. Ada yang menyatakan ia seakan rambutan dan seakan ‘keychain!. Ada juga tidak menyangka mempunyai isi di dalamnya.
Bagaimana seorang youtuber daripada Singapura pula menyatakan pendapatnya bahawa durian mini itu mempunyai rasa seakan musang king dan durian D24.
Dalam pada itu, memetik daripada info sebuah food detik durian mini ini didakwa mempunyai rasa yang sedap dan isi yang tebal. Malah dikatakan dapat dibuka dengan mudah.
Menurut website berkenaan, seorang youtuber berasal dari Singapora membuat ulasan mengenai rasa durian mini yang dikatakan seakan musang king.
“Aromanya mirip seperti aroma durian D24 daripada aroma Mao Shang Wang (Musang King). Jadi, saya prediksi kalau rasanya seperti rasa D24 dan Mao Shang Wang.”
Kejayaan tidak datang bergolek, pasti disusuli dengan usaha gigih. Demi ingin mengubah kehidupan mereka sekeluarga, personaliti yang cukup lemah lembut dan tersusun tutur katanya, tidak lelah dalam mengejar kejayaan.
Bercerita mengenai pengalaman sewaktu belajar dahulu, Profesor Dr Sidek Baba. mengakui, dek kerana ketidakcukupan wang untuk menaiki bas, beliau sanggup mengayuh basikal yang jaraknya 60 kilometer dari rumah.
Meski jauh dan keletihan namun tekad untuk berjaya tak pernah padam membuatkan beliau kuat. Tidak malu mengakui pernah mendapat keputusan MCE gred 3. Malah, ayah kepada 8 cahaya mata ini pernah mengambil peperiksaan STPM sebanyak 7 kali.
“Saya merasakan pendidikan dan ilmu adalah landasan terbaik untuk maju ke hadapan. Selepas tamat pengajian Sekolah Menengah, saya ditawarkan jawatan guru sementara. Selepas setahun, saya ditawarkan menjadi guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim selama 2 tahun. Di sini saya belajar erti perjuangan selain turut aktif berpersatuan dan juga dalam bidang penulisan.
“Di maktab, saya membuat persiapan mengambil STPM bagi membolehkan saya memasuki universiti. Saya menjadi guru pada tahun 1968 dan mengambil STPM secara persendirian. Saya mencuba sebanyak 7 kali untuk mendapat sijil penuh bagi membolehkan saya memohon masuk ke universiti.
“Saya belajar sendiri tiada sebarang kelas tambahan sebaliknya berpandukan buku semata-mata. Sambil mengajar saya belajar, hujung minggu saya akan duduk belajar. Waktu itu memang susah nak lulus.
“Dulu jika ada pelajar yang lulus nama akan tersiar di akhbar. Jadi bila tengok nama tak ada saya tahu tak lulus. Kebetulan saya seorang di kampung itu yang masuk sekolah menengah. Duit tak ada kerana ayah hanya penoreh getah dapat belanja RM2.50 sen sehari.
“Jadi, saya nekad dan cakap pada ayah biar saya kayuh basikal ke sekolah yang jaraknya 60 kilometer. Yang banyak beri inspirasi ibu bapa dan datuk saya kerana mereka yang selalu beri galakan dan semangat. Disebabkan masalah kewangan, saya tak ada duit nak bayar yuran. Cikgu selalu desak dan tanya bila nak bayar yuran.
“Jadi saya berasa malu bila orang pandang, jadi saya gunakan duit untuk beli buku bagi bayar yuran sekolah. Pun begitu saya tidak patah semangat, sekali melangkah saya teruskan.
“Semangat ada tapi kemudahan tiada jadi saya hanya mampu dapat gred 3 untuk MCE waktu itu,”ujar Cikgu Sidek yang mengakui rahsia hidupnya adalah tidak give up dan sentiasa berkobar-kobar untuk terus belajar
Pentingkan belajar dan keluarga
Mengulas lanjut mengenai 7 kali gagal dalam STPM, beliau akhirnya berjaya dan berjaya menggenggam phd dalam usia 45 tahun.
“Kali pertama gagal saya cuba kali kedua dengan tekad saya berjaya, namun gagal juga. Tak dapat sijil penuh, sehingga kali keenam saya tidak berhenti setiap tahun ambil. Selepas itu, tahun ketujuh saya berkahwin dan ambil peperiksaan sekali lagi.
“Alhamdulillah berjaya dapat sijil penuh dan memasuki Universiti Malaya. Waktu itu, jadi cikgu sekolah rendah gaji kecil RM250. Daripada RM100 bagi ibu ayah di kampung. RM100 untuk biaya adik-adik saya sekolah manakala RM50 untuk belanja hidup saya sebulan.
“Mungkin kerana saya jenis tak macam orang muda lain waktu itu, yang penting saya utamakan belajar dan juga keluarga. Saya disiplin diri belajar, belajar dan ulang kaji.
“Saya tak macam orang muda lain yang ke bandar untuk tengok wayang dan sebagainya,” ungkap beliau yang cukup selesa membahasakan dirinya sebagai Cikgu Sidek sejak dahulu hingga sekarang.
Anak 8 kewangan terbatas
Usai berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu, Cikgu Sidek kemudiannya menyambung pengajian di UKM dalam Diploma Pengajian Islam. Seterusnya ke Amerika Syarikat dalam bidang Sarjana Sains Pendidikan dan Doktor Pendidikan dalam bidang Kajian Dasar Pendidikan.
“Ketika di luar negara, saya mengambil kesempatan memberi kesedaran dan dakwah kepada pelajar Melayu di seluruh Amerika, Kanada dan United Kingdom supaya mereka memelihara jati diri, mendapat ilmu pegetahuan dan bina tekad untuk kembali ke Malaysia bagi menyumbang ke arah pembangunan negara.
“Ketika itu Jabatan Penuntut Malaysia di Washington menerusia perakuan Kementerian Pelajaran menawarkan kepada saya menyambung pengajian di peringkta Doktor Falsafah.
“Awalnya saya keberatan memandangkan anak saya 8 orang dan kewangan terbatas. Namun akhirnya sokongan keluarga dan isteri yang sanggup berhenti kerja membuatkan saya menerima tawaran tersebut.
“Pada tahun 1988 saya berpindah ke Universiti Northern Illinois tidak jauh dari Chicago untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Doktor Pendidikan. Kami sekeluarga waktu itu tinggal di masjid kerana sukar mendapat tempat tinggal memandangkan anak yang ramai. Di masjid tempat kami tinggal menjadi pusat dakwah.
“Ini memberi kesempatan pada saya untuk berdakwah di seluruh Amerika Syarikat dan Amerika Selatan selain kerap diundang ke United Kingdom dan Scotland menyantuni pelajar.
“Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan ijazah Doktor Pendidikan pada tahun 1990 sewaktu umur 45 tahun,” cerita Cikgu Sidek lagi yang berpengalaman sebagai guru selama 18 tahun dan pensyarah di Institut Aminuddin Baki selama 5 tahun
Anak-anak ‘menjadi’
Hasil didikan dan pesanan si ayah selain menyaksikan kesusahan yang ditempuhi bersama ayah membolehkan anak-anaknya ‘menjadi’. Ada yang bekerja sebagai Peguam, Pensyarah, Pegawai Kewangan, Pegawai PTD, dan Jurutera. Malah ada yang sedang kini sedang mengikuti kursus kedoktoran.
“Kesukaran hidup sewaktu berada di luar negara dengan kewangan terhad membuatkan kami sekeluarga kena ikat perut. Ada satu ketika anak meminta pakaian raya, saya cakap tak ada duit dan tunjukkan buku akaun saya yang tertera RM14. 50 sen pada anak-anak. Jadi, saya beli pakaian di jualan garaj untuk ahli keluarga. Walaupun murah tetapi masih elok. Saya beritahu anak kita kena berjimat dan alhamdulillah mereka memahami.
“Saya juga mengutip barang-barang terpakai seperti televisyen lalu ambik dan guna. Banyak kenangan kami sekeluarga di sana waktu itu. Walaupun susah tapi saya tak ralat atau kesal. Dalam hidup kena ‘humble’ jangan tinggi diri, sombong dan sebagainya. Alhamdulillah, sehingga sekarang saya lebih selesa dipanggil Cikgu Sidek.
“Alhamdulillah, anak-anak saya mengikut jejak langkah dan pesanan saya. Dalam hidup ini jangan main-main, buang masa dan jangan sombong serta takbur. Mesti merendah diri. Saya rasa bersyukur dan gembira kerana walaupun anak-anak sudah ada kerjaya dan keluarga masing-masing namun masih punya masa untuk saya dan isteri.
“Hujung minggu rumah ini akan dipenuhi dengan anak-anak dan cucu. Bayangkan 8 keluarga pulang dengan cucu seramai 23 orang memang riuh rendah.
“Setiap minggu mereka akan pulang bergilir-gilir ke rumah saya,”jelas Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 ini yang sangat meminati bidang penulisan. Sehingga kini hampir 50 buah buku sudah beliau terbitkan.
Isteri tulang belakang kejayaan
Berkongsi tip dalam rumah tangga, akui Cikgu Sidek isterinya adalah tulang belakang dalam membantu kejayaan beliau selama ini. Dia sanggup berhenti kerja dalam bidang perakaunan dan mengikut saya ke luar negara.
“Rahsia yang baik dalam keluarga adalah apabila isteri bekerja, beri masa untuk suami dan anak-anak. Kena disiplin dan jangan hanya fokus pada kerjaya semata-mata sehingga anak terbiar rosak nanti. Kedua adalah kena ada isteri yang berilmu.
“Apabila ada ilmu boleh didik anak-anak. Ternyata 8 anak saya sangat sayang dan ambil berat akan kesihatan kami suami isteri,”cerita Cikgu Sidek lagi sebelum menutup perbualan bersama penulis.
Sumber: Majalah Keluarga
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Menanam pokok cili tidaklah rumit jika tahu cara yang betul. Biasanya kita akan menggunakan biji benih untuk menyemai pokok cili, namun cara ini memerlukan masa yang agak lama untuk menunggu anak benih membesar dan berbuah.
Sebenarnya tahukah anda, menanam pokok cili dengan menggunakan keratan batang boleh mempercepatkan masa pokok yang ditanam untuk tumbuh. Ini sebagaimana cara yang dikongsikan oleh Sentuhan Kidal IV di group facebook Kebun Tepi Rumah.
Tidak dengan itu, turut dikongsikan cara untuk menghasilkan penggalak akar dengan menggunakan bawang yang pastinya cara ini cukup mudah dan jimat kos.
Nak tahu lanjut ini perkongsiannya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Keratan batang pokok cili
Bawang merah
Tanam Cili Agar Cepat Berbuah
Langkah 1 : Ambil keratan batang atau dahan yang elok
Langkah 2 : Cucukkan batang tersebut ke dalam bawang dan tunggu dalam masa satu ke dua minit. Bawang ini bertindak sebagai agen penggalak akar dan dalam masa yang sama mengelakkan batang daripada terkena jangkitan atau fungus.
Langkah 3 : Selepas itu terus tanam dan letakkan di tempat yang redup. Seelok jangan terkena cahaya matahari yang kuat.
Meninjau di ruangan komen, ada yang teruja untuk mencuba teknik menanam pokok cili dengan keratan batang, memandangkan selama ini apa yang biasa dilakukan adalah menyemai daripada biji benih.
Selain itu, ada juga yang berkongsi cara untuk menghasilkan penggalak akar poko cili yang ditanam seperti komen Maiza Musa, tulisnya :Kaedah ni sy xpernah Cuba..tapi sy guna air lendaman kulit bawang merah yg sya rendam 2..3 hari kemudian airnya sy siram pada pokok chili dn tanaman lain..lebihan kulit2 bawang rendaman tadi sy tabur je kt batang2 pokok tanaman…alhamdulillah xda hama2 atau serangga perosak..skrang pokok cili sy sdng brbuah..happy sngt
Manakala Wan Nurhasni pula meninggalkan komen yang dia ada pernah baca bawang ada macam penggalak pertumbuhan dan menurutnya dia pernah melihat video youtube Indonesia yang ajar perlu rendam biji benih bersama air dan sedikit hirisan bawang. Bila di cuba untuk biji benih terung, hasilnya Alhamdulillah.
Yusra Roshada Uwais turut berkongsi cara lain dengan berkongsi info di bahagian komen : Bawang. Belacan. Aloe vera. Madu. Tu semua pgalak akar. Gosok2 atau tenyeh2 dulu kt btg dia sebelum tanam.