Hud Aryan ditemukan tidak bernyawa. Pencarian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi berusia 19 bulan yang dilaporkan hilang sejak malam kelmarin akhirnya berakhir apabila mayatnya ditemukan tersangkut pada pokok di muara sungai di Kampung Kerila jam 4.20 petang.
Hud Aryan Ditemukan Tidak Bernyawa
Penemuan mayat mangsa itu selepas 45 jam dilaporkan hilang dan lokasi penemuan adalah tujuh kilometer dari rumah keluarga mangsa.
Difahamkan, lokasi penemuan mayat mangsa sudah dilalui beberapa kali sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan namun gagal mengesan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan keluarga turut diminta ke hospital.
“Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat kita yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan orang awam.
“Ketika kejadian paras air sungai tinggi dan hari ini air sudah surut mendorong kepada penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Ads
Suasana di rumah keluarga mangsa diselubungi kesedihan apabila kedua-dua ibu bapa Hud Aryan dikhabarkan dengan berita penemuan berkenaan.
Ibu mangsa, Azean Nur Atikah Ramley, 34, tidak mampu menahan sebak dan meraung sebelum ditenangkan ahli keluarga yang lain.
Sebelum ini media melaporkan seorang budak lelaki berusia 19 bulan hilang daripada rumah keluarganya dekat Kampung Aira Kuala Tiga.
Anak tunggal, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam oleh ahli keluarga.
Ads
Ibu saudaranya, Azean Irdawati Ramley, 44, berkata sebelum kejadian, Hud berada dalam rumah kerana diberi makan oleh ibunya sebelum wanita terbabit masuk ke dapur selepas selesai menyuap nasi kepada anaknya itu.
“Kebetulan selepas itu seorang saudara datang ke rumah dan ketika berbual, dia bertanyakan di mana Hud, baru kami menyedari Hud hilang.
“Ibunya mendapati pintu pagar rumah turut terbuka dan keadaan semakin kecoh dengan pencarian dibuat di sekitar parit di hadapan rumah serta hutan sekitar,” katanya
Wanita nak bersalin terperangkap banjir, Bomba terpaksa guna perahu bawa ke jalan besar. Anggota bomba terpaksa menggunakan perahu penduduk kampung bagi memindahkan wanita yang sarat hamil selepas kediamannya di Rumah Panjang Engkeng, Sungai Amang di Jalan Selirik, Kapit, Kuching, Sarawak dilanda banjir.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pada awalnya anggota bomba menghubungi Unit Kecemasan Hospital Kapit untuk bantuan mengambil wanita berusia 26 tahun itu.
Bagaimanapun katanya, wanita berkenaan dalam keadaan sakit untuk melahirkan anak, yang menyebabkan anggota bomba terpaksa bergegas menggunakan perahu penduduk untuk keluar ke jalan raya.
“Wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kapit menggunakan van.
“Turut dipindahkan dari rumah panjang itu seorang lagi wanita serta seorang lelaki,” katanya.
Menurutnya lagi, ibu muda itu kemudiannya selamat melahirkan bayi perempuan sejurus tiba di Hospital Kapit.
Terdahulu, katanya, bomba menerima panggilan berhubung banjir di rumah panjang itu 5 pagi, sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diarah ke lokasi.
“Kawasan luar rumah panjang terbabit dinaiki air sehingga tiga meter akibat limpahan Sungai Batang Rajang selepas hujan lebat berterusan.
“Anggota terpaksa menggunakan tali untuk menyeberangi jambatan besi ke rumah panjang berkenaan,” katanya.
Menurutnya lagi, pemantauan sedang dijalankan dan jika keadaan semakin buruk, penduduk akan diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Kasih ayah yang tiada sempadan! Video yang buat ramai tersentuh hati apabila seorang ayah sedang memujuk anaknya merajuk.
Bukan selalu kita jumpa ayah yang jenis suka ‘layan’ kerenah anak, terutama sekali bila anak dah besar dan mula bersekolah. Selalunya, ayah lebih dikenali dengan sikap tegas yang buat anak-anak jadi takut walaupun tak ada apa-apa yang berlaku.
Baru-baru ni, satu video yang memaparkan gelagat anaknya merajuk berjaya mencuri perhatian netizen, dengan lebih 575K tontonan dalam sehari selepas dimuat naik di TikTok @zainehashim82 telah raih perhatian ramai.
Video tersebut menunjukkan seorang anak merajuk kerana ayahnya lewat menjemputnya dari sekolah. Ayah pun segera meminta maaf dan menjelaskan kelewatannya sebab motor habis minyak.
Walaupun merajuk, anak itu tetap berjalan kaki, dan si ayah cuba mengusik dengan menyakatnya sewaktu mereka lalu di tepi kawasan perkuburan. Anak itu, meskipun merajuk, tidak pula bertindak kasar bila si ayah ajak naik motor untuk balik.
Selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya si anak setuju naik motor, terutamanya bila si ayah janji nak singgah ke kedai.
Meninjau ruangan komen pula penuh dengan pujian terhadap si ayah yang pandai memujuk dengan cara lembut dan memberikan penjelasan agar anak lebih memahami. Ada juga yang cemburu, kata mereka, beruntung si anak ni dapat ayah yang penyayang, tak macam sesetengah ayah yang garang sampai anak takut nak dekat.
“Untung ko dek dpt ayah Camni.. klu ayah akk,,tiada gurau senda utk dijadikan kenangan sbb ayah akk terlampau garang.. bila ayah blk Keja.. kitorg dgr je bunyi motor trs brdesup kami lari masuk bilik.”
Anak kena belajar susah, barulah dia jadi lebih kuat. Sebagai ibu bapa, adalah naluri semula jadi untuk ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Namun, dalam usaha memastikan mereka hidup selesa, ada risiko anak-anak menjadi terlalu bergantung atau kurang memahami erti susah dan usaha.
Oleh itu, penting bagi kita mendidik mereka untuk merasai kesusahan, agar mereka membesar sebagai individu yang lebih berdikari, kuat, dan matang.
Berikut perkongsian Mohd Zulkifli Shafie
Kena belajar rasa susah, supaya dia lebih kuat.Pagi tadi anak saya nak ke Balai Seni di KL. Dia nak siapkan assignment universiti katanya.
Dia cek Grab, tambang sehala RM90.00. Itu belum masuk tol. Kos pergi balik boleh cecah RM200.
Jadi saya suruh dia naik MRT dan naik bas sahaja. Lebih jimat.
Dia keluar dua beradik (adik lelaki dia sebagai bodyguard) tak habis pun RM20.00. Kos sebenar cuma RM15.20 untuk dua orang.
Walaupun mampu untuk benarkan dia naik Grab, tapi kena biasakan diri hidup macam mahasiswa yang lain. Yang ibubapa mereka tak mampu sediakan segalanya.
Dia pun kena belajar susah.
Bila dah terbiasa susah, kita tak akan rasa susah lagi bila susah sebenar tu datang.
Hari ni dia anak orang yang ada duit. Yang boleh sediakan segalanya untuk dia belajar dengan selesa. InsyaAllah.
Tapi masa depan dia belum pasti.
Dia kena belajar rasa susah sama macam mahasiswa lain supaya lebih mudah dia bina kejayaan dia sendiri.
Kesenangan yang berpanjangan boleh menjadikan kita lemah. Ibarat hidup tanpa exercise, badan makin lama makin lemah.
Tekanan ketika exercise tu menjadikan otot dan tulang kita makin kuat. Tekanan tu menjadikan tubuh kita lebih kuat.
Daya tahan hadapi tekanan itulah menjadikan diamond sebagai batu pertama yang paling kuat.
Membangunkan Ketahanan Diri
Kesusahan mengajar anak untuk menghadapi cabaran hidup dengan tenang dan berani. Mereka belajar bahawa hidup ini tidak selalu mudah, dan setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Ini membantu mereka mengembangkan daya tahan (resilience) yang penting untuk berjaya dalam kehidupan.
Menghargai Usaha Dan Pengorbanan
Apabila anak mengalami kesusahan, mereka akan lebih memahami nilai usaha dan pengorbanan. Contohnya, jika mereka terlibat membantu kerja rumah atau menabung untuk membeli sesuatu, mereka akan lebih menghargai barang tersebut kerana mereka tahu usaha yang diperlukan untuk mendapatkannya.
Mengelakkan Sikap Manja Atau Bergantung
Anak yang tidak pernah merasai kesusahan cenderung menjadi manja dan kurang berdikari. Mereka mungkin sukar membuat keputusan atau menangani masalah apabila berhadapan dengan realiti kehidupan yang mencabar. Belajar menghadapi kesusahan membantu mereka berdikari dan lebih yakin pada diri sendiri.
Mengajar Nilai Kesyukuran
Kesusahan mengajar anak-anak untuk mensyukuri apa yang mereka miliki. Mereka akan memahami bahawa bukan semua orang bernasib baik, dan ini akan membentuk sifat empati serta keinginan untuk membantu orang lain.
Berikan Tanggungjawab
Libatkan anak-anak dalam tugasan harian seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, atau memasak. Tanggungjawab ini akan mengajar mereka bahawa hidup memerlukan usaha dan kerjasama.
Ajarkan Pengurusan Kewangan
Berikan peluang kepada anak untuk mengurus wang mereka sendiri, contohnya dengan memberi wang saku dan menggalakkan mereka menabung. Apabila mereka perlu menyimpan untuk sesuatu yang mereka inginkan, mereka akan belajar bahawa wang tidak datang dengan mudah.
Jangan Terlalu Cepat Membantu
Biarkan anak-anak menghadapi masalah mereka sendiri sebelum campur tangan. Contohnya, jika mereka tertinggal kerja sekolah, biarkan mereka bertanggungjawab mencari cara untuk menyelesaikannya. Ini akan mengajar mereka menyelesaikan masalah secara sendiri.
Libatkan Mereka Dalam Aktiviti Sukarela
Bawa anak-anak menyertai aktiviti sukarela seperti membantu golongan kurang bernasib baik. Ini akan membuka mata mereka tentang kesusahan orang lain dan mengajar mereka untuk lebih bersyukur.
Beri Galakan, Bukan Kemanjaan
Walaupun menghadapi kesusahan, anak-anak tetap memerlukan sokongan emosi daripada ibu bapa. Berikan galakan untuk mereka terus berusaha, tetapi elakkan memberikan keselesaan berlebihan yang boleh melemahkan semangat mereka.
Kesimpulannya mendidik anak untuk merasai kesusahan bukan bermaksud kita tidak menyayangi mereka. Sebaliknya, ia adalah langkah penting untuk membantu mereka memahami realiti kehidupan dan membentuk keperibadian yang lebih kuat dan berdikari.
Sebagai ibu bapa, tugas kita bukan sekadar memberikan kemewahan atau keselesaan, tetapi juga memastikan anak-anak kita bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan yakin. Ingatlah, anak yang pernah merasai kesusahan akan lebih menghargai apa yang dimilikinya dan mampu menjadi individu yang tabah dan berjaya.