
Ibu bapa nahas pelajar UPSI ditaja buat umrah. Semangat prihatin rakyat Malaysia terus terserlah susulan tragedi menyayat hati membabitkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, pada awal pagi Isnin lalu.
Ibu Bapa Nahas Pelajar UPSI Ditaja Buat Umrah
Tragedi yang meragut nyawa 15 pelajar ini telah mengundang pelbagai bentuk sokongan daripada masyarakat. Selain doa yang tidak putus-putus dititipkan, pelbagai bantuan turut disampaikan kepada ahli keluarga mangsa, sama ada yang kehilangan insan tersayang mahupun mereka yang masih dirawat akibat kecederaan.
Antara bantuan paling menyentuh hati datang daripada Syarikat Sinar Suci Travel & Tours yang berpangkalan di Pengkalan Chepa. Syarikat ini tampil dengan inisiatif menaja pakej umrah secara percuma khas untuk ibu bapa kepada empat pelajar yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Perkara ini telah dikongsikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman bin Ibrahim, menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau. Dalam tulisannya, beliau merakamkan penghargaan tinggi kepada syarikat tersebut atas kemurahan hati mereka dalam menghulurkan bantuan bermakna itu.
“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak mampu menenangkan jiwa keluarga mangsa dan menjadi sebab kepada limpahan keberkatan rezeki buat para penyumbang,” catat beliau.
Salah seorang penerima tajaan ialah ibu bapa Allahyarhamah Nurly Shahirah, seorang pelajar yang menjadi tumpuan ramai kerana merupakan hafizah Al-Quran. Abang kepada arwah turut berkongsi di laman Facebook mengenai lawatan pihak syarikat ke rumah mereka, yang disifatkan sangat menyentuh hati.
“Syukur yang tidak terhingga kepada pihak Sinar Suci Travel & Tours atas tajaan umrah buat umi dan abah Nurly serta keluarga mangsa lain. Allahuakbar… sungguh indah aturan Ilahi. Sejak pagi, rumah kami tidak henti-henti diziarahi orang ramai yang ingin bertemu dengan umi dan abah,” tulisnya.
Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu dan mempermudahkan urusan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden tragik ini. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak jelas membuktikan nilai kemanusiaan dan semangat solidariti yang tinggi dalam masyarakat kita.
Sumber: Dr Azman Ibrahim dan Najmuddin Azman
Baca artikel lain juga: Naskhah Al-Quran Tulisan Tangan Nurly Shahirah Buat Ramai Terpukau
Nahas Pelajar UPSI, Saya Masih Teringat-teringat Kejadian Pada Hari Itu, Pemandu Perodua Alza
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my