
Ibu maut nahas jalan raya selepas pulang ambil anak dari sekolah. Seorang wanita yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menjemput anak-anak dari sekolah dilaporkan maut dalam kemalangan yang berlaku di daerah Lipis, Pahang.
Seorang suri rumah, Zainab Mamat, 51, dari Kampung Persit, Merapoh, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam semak di Kilometer 37, Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU), berhampiran Kampung Sungai Yu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan yang berlaku sekitar jam 5 petang itu turut melibatkan dua anak mangsa, Rosnani Ruzlan, 19, dan Rosmadiha Ruzlan, 14, yang hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati wanita berkenaan sedang memandu pulang selepas menjemput kedua-dua anaknya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lipis.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Myvi dipandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan melanggar longkang sebelum terbalik dalam semak berhampiran,” katanya.
Tambah beliau lagi, jenazah Zainab telah dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat manakala anak-anaknya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merapoh.
Kes kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Pengantin Baharu Maut Kemalangan Motosikal Berkuasa Tinggi, Hasrat Ziarah Keluarga Nurly Sahirah Tak Kesampaian
Anak Bongsu Menyusul Pergi Sebulan Selepas Isteri Dan Anak Sulung Terkorban Kemalangan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my