Bermain ketika di usia kanak-kanak adalah fitrah, malah ia merupakan hak seorang anak yang perlu ditunaikan oleh ibu bapanya. Selayaknya sebagai orang tua jangan sekat dan berikan ruang serta peluang untuk anak-anak menerokai dunia mereka mengikut kehendak dan imaginasi mereka.
Hakikatnya, banyak kajian telah dibuat dan keputusan menunjukkan bermain ialah medium pembelajaran yang paling efektif, memberi rangsangan yang positif terhadap perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak tersebut. Bermain pun boleh buat anak jadi bijak!
Bercerita perihal bermain ini, salah satu permainan yang cukup popular di kalangan anak-anak adalah bermain tanah liat, atau juga lebih dikenali dengan nama playdoh.
Perasan atau tidak, jika anak-anak dapat main playdoh ini, mereka akan leka dan asyik dengan dunia mereka. Hinggakan mereka boleh dan dapat menghasilkan satu ‘karya’ yang cukup istimewa. Ini menunjukkan anak-anak setelah bermain tanah liat dilihat begitu kreatif dan berseni.
Menyedari betapa banyaknya kelebihan bila anak-anak bermain tanah liat ini, ada baiknya ibu-ibu pelajari cara buat playdoh sendiri dengan menggunakan bahan yang sedia ada di dapur. Bukankah ini idea yang cukup menarik? Malah apa yang lebih penting, kosnya jauh lebih rendah malah SELAMAT jika termakan!
Nak tahu bahagai mana caranya, jom semak perkongsian daripada Lin Chalo melalui facebooknya.

1/4 cawan garam
1 cawan tepung gandum
1 cawan air suam
2 sudu besar minyak masak
2 sudu besar krim tartar
Sedikit pewarna – terpulang pilihan warna pekat atau cair
*Keseluruhannya, untuk 1 kg tepung gandum boleh buat sehingga 6 bahagian (6 warna)
Langkah 1 : Satukan Bahan.
Masukkan kesemua bahan dalam periuk dan gaul hingga sebati. Sebaiknya gunakan periuk non stick agar adunan tidak melekat dan tak perlu basuh untuk menyediakan doh yang seterusnya.
Langkah 2 : Gaul Rata
Gaul betul-betul sehingga rata dan semua bahan sebati.
Langkah 3 : Masak Seketika
Letakkan periuk di atas api sederhana dan masak seketika.
Langkah 4 : Uli
Setelah masak, keluarkan dan letak atas papan pemotong. Tunggu sejuk sikit dan barulah di uli sehingga nampak smooth.
Cara Simpan
Selepas anak main, masukkan paydoh tersebut dalam plastik yang boleh sealed. Kemudian simpan di dalam peti sejuk. Tahan lebih kurang 3 bulan jika disimpan dengan baik.
Sumber : Lin Chalo dan blog beliau SweetBonda.my