
Ibu Zara Qairina menangis ketika proses pengecaman, peguam nafi video tular dan kutipan dana. Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata ketika melihat wajah anak tunggalnya dalam proses pengecaman sebelum bedah siasat dijalankan.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Hamid Ismail, yang berkongsi perkembangan terkini berhubung proses bedah siasat yang sedang berlangsung di Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
“Proses bedah siasat masih lagi berlangsung, kita masih menunggu keputusannya. Jadi kita terpaksa bersabar.
“Memang mengambil masa yang lama. Kami tidak boleh masuk untuk tahu peringkat mana, tetapi pasukan peguam, Shahlan Jufri, berada di dalam.
“Suasana di dalam sayu, ibunya tadi sedih. Dia menitiskan air mata ketika proses pengecaman tetapi dia kuat,” katanya.
Hamid turut menegaskan bahawa beberapa perkara yang sedang berlegar di media sosial ketika ini tidak benar, termasuk sebuah video di TikTok yang memaparkan seorang wanita menjerit-jerit.
“Saya mahu menyampaikan satu perkara, ada tular di TikTok video wanita menjerit-jerit, itu bukan ibu Zara. Saya harap penonton semua jangan sebar perkara-perkara fitnah. Kita tidak mahu ada orang yang difitnah.
“Kalau boleh, sokonglah ibu Zara yang sekarang ini emosinya dalam keadaan tertekan. Saya harap mereka faham,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan kononnya ada pihak mengumpulkan dana untuk membayar kos guaman mereka.
“Saya baru tahu ini daripada TikTok yang meminta sumbangan bagi bayaran guaman kepada kami. Kami tidak ada membuat sebarang kutipan sumbangan kerana kes ini adalah pro bono.
“Kami tidak ada membuat sebarang sumbangan kerana kes ini adalah pro bono iaitu khidmat guaman percuma. Jika ada pihak membuka tabung untuk tujuan itu, ia adalah palsu dan tidak benar,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan daripada kes berkenaan.
Terdahulu, proses bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina bermula jam 9 pagi ini dan dijangka mengambil masa lama. Jenazah akan dibawa ke Sipitang untuk dikebumikan semula sebaik proses itu selesai.
Sumber: Sinar Harian Berita Harian Online
Baca artikel lain juga: Kronologi Kes Zara Qairina, Tragedi Yang Meruntun Jiwa
Himpunan Solidariti Buat Zara Qairina Dapat Sokongan Padu, Bergema Laungan Tuntut Keadilan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE