Kehilangan insan tersayang sudah tentu perit apatah lagi jika pemergiannya secara tiba-tiba. Bahkan, segala rancangan hidup untuk kebahagiaan keluarga di samping anak-anak musnah sekelip mata.
Begitulah, kita yang merancang, namun segalanya susun atur Tuhan yang sudah tertulis kerana Dia tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuan.
Menerusi laporan berita harian metro, seorang wanita bergelar isteri
terlibat di dalam kemalangan jalan raya di lorong kiri Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Subang-Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada awal pagi hari ini (Selasa).
Mangsa dipercayai maut di tempat kejadian akibat pendarahan pada kepala dan kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibedah siasat.
Mohd Nazir Zainuddin, suami mangsa kemalangan jalan raya, Wan Mazlinda Wan Mohamad, melahirkan rasa sedih kehilanga isteri sekelip mata.
“Sedih kerana kehilangannya dalam sekelip mata tetapi saya lihat mukanya cukup berseri seperti sedang tersenyum.”
BEKALAN MAKANAN DAN UCAPAN HARI BAPA
Ads
Kenangan Wan Mazlinda bersama keluarga ketika di Masjidil Haram, Makkah. FOTO Ihsan
Lebih menyedihkan, lokasi kejadian kelihatan bekalan makanan arwah bertaburan di jalan raya. Malah, ucapan dan hadiah terakhir buat suami sempena hari bapa begitu meruntun jiwa. Mata yang melihat pun sudah tidak tertahan rasa hiba, apatah lagi mangsa dan ahli keluarga yang melalui ujian ini.
“Kebiasaannya, saya dan arwah isteri bergerak ke tempat kerja serentak dengan menunggang motosikal masing-masing sebelum berpisah di simpang Seksyen 32, Shah Alam,
“Cuma hari ini, arwah bergerak ke tempat kerja lebih awal dengan membawa bersama bekal makanan, nasi bersama udang masak sambal yang dimasaknya malam tadi.
Ads
“Namun, arwah tidak sempat menjamah makanan itu walaupun dia memberitahu teringin untuk makan sejak semalam. Malah, setibanya di tempat kejadian, saya lihat isi bekas makanan itu sudah bertaburan di jalan raya.”
“Sejak kebelakangan ini, arwah kerap masak makanan untuk bekalan saya ke tempat kerja.
“Arwah juga ada memberi ucapan dan hadiah untuk saya sempena hari bapa, Ahad lalu.”
Mohd Nazir berkata, dia masih tidak sempat menjamah lauk dimasak isterinya malam tadi kerana masih bersedih dengan kehilangan arwah.
Ads
“Walaupun masih sedih dengan kehilangannya, saya akan tetap menjamah makanan itu bersama anak kerana ia hidangan air tangannya yang terakhir sebelum meninggalkan kami.”
Difahamkan arwah meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil yang berusia tiga hingga 12 tahun. Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Soeharto, Kuala Kubu Baru, Selangor.
Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Anak-anak anugerah yang cukup terindah buat ibu bapa. Melihat mereka membesar di depan mata, hilang segala rasa penat dan sebagainya.
Pun begitu, adakalanya kurang kesabaran dalam melayani karenah mereka. Lagi lagi yang mempunyai anak ramai. Ada saja karenah mereka yang membuatkan kita naik angin.
Namun itulah asam garam dunia keibubapaan. Momen ini takkan berulang lagi. Justeru hargai anak-anak. Semoga perkongsian dari Dr Siti Ujila Official bermanfaat buat semua ibu bapa di luar sana.
CEPAT JE RASA NAK MARAH ANAK? SEDIKIT PERKONGSIAN SEMOGA BERMANFAAT .
“Beb… “Aku stress psl kije..”
Luah sahabat baik saya di Whatsapp.
“Bila cuti2 pun… aku ley pikir pasal kije beb.. Urat leher aku slalu rasa sakit…? Mcm rs nk pecah…”
Huuu kesiannya sahabat saya ni. Saya faham kenapa beliau rasa macam tu berdasarkan luahan beliau yang sebelum-sebelum ini. Kes orang atasan bagi kerja banyak then lepas tangan. Hmm saya pula yang geram jadinya. Seorang bos yang baik ialah yang dapat memimpin orang bawahannya dengan baik! Eh, ter-emo plak hehe.
Memang emo jadinya. Tapi kata-kata sahabat saya yang selepas itu buat saya bertambah emosi.
“My life is not happy anymore . Bayangkan… aku mls nk masak.. anak2 tanya.. kdg2 aku nk mrh je..huhu”
Saya baca ayat itu dan saya terdiam.
Saya geram, saya sedih. Sedih bila anak-anak menjadi mangsa situasi. Tapi saya faham, kerana saya juga pernah melaluinya walaupun dengan situasi yang berbeza. Tau apa rasanya bila kita sendiri emosi celaru, kepala serabut, badan penat dan akhirnya anak-anak yang terkena tempiasnya.
Tapi, yang sebetulnya…bila saya baca ayat beliau itu..saya cemburu.
Saya cemburu sahabat saya ini sentiasa ada anak-anak beliau di sisinya. Ketika pulang dari kerja. Ketika makan. Ketika penat, ketika nak tidur.
Setiap hari anak ada di depan mata.
‘Ah, jelesnya’. Tiba-tiba hati rasa dicucuk-cucuk. Air mata minta green light nak mengalir.
Terbayang wajah comel yaya masuk ke dalam kereta saat saya menjemputnya dari sekolah. Terus ambil botol air saya dan minum. Haha penatlah tu main dengan kawan-kawan tadi lepas habis kelas. Then penat sangat sampai tertidur dalam kereta, bila sampai rumah saya kejut dia confirm akan menangis sebab kaki kebas hahaha. Opss sorry yaya, mama tergelakkan yaya plak.
Adik aqif pulak, time makan paling best. Dia tukang baca doa, lepas tu kadang buat mama geram sebab cuma makan 3-4 suap padahal mama dah masak penat-penat. Kadang buat mama happy senyum sampai telinga bila dia makan sampai licin pinggan siap dijilat lagi sampai bersih haha. Nak kata sedap sangat la tu. Saja nak buat mama happy hihi.
Tapi..ya, saat itu saya cuma mampu terbayang. Cuma mampu tersenyum tersengih tergelak sorang-sorang bila terkenangkan telatah mereka, dengan air mata yang sudah mula mengalir perlahan.
‘Sabar okay, mama. Hujung minggu ni dapatla jumpa diorang tu’. Saya pujuk hati walaupun kadang-kadang lagi banjir jadinya.
Ya, saya tiada anak-anak saya setiap hari untuk saya masakkan untuk mereka, untuk saya tidurkan. Untuk saya bebelkan.
‘Untung ko beb, sekurang-kurangnya anak-anak ko ada depan mata setiap hari’, hati kecil saya mengomel. Cemburu.
Memang, ada masanya karenah anak-anak buat kita lagi rasa nak marah.
‘Tapi beb, kau tak tahu macamana rasanya bila kau balik rumah, rumah tu sunyi sepi tanpa gelak tawa gaduh jerit diorang.
Macamana rasanya bila waktu dinner, yang selalunya jadi tukang baca doa tu takde di meja makan. Sebenarnya kau jadi takde selera pun nak makan.
Jangan kata nak marah nak bebel, nak cakap apa pun kau tak tahu. Kau tahu tak macamana rasanya tu?
Macamana rasanya setiap kali kau hantar anak-anak ke kereta babah diorang, dan kau masuk balik rumah tak tahu nak buat apa. 2 jam cuma duduk diam, badan kaku tak mampu nak buat apa-apa. Serius tak mampu beb.
Yang ada hanya air mata yang tak dapat diseka lagi, doa kepada Tuhan agar semuanya baik-baik buat mereka dan semoga hari itu cepat berlalu agar cepat-cepat dapat jumpa mereka semula.
Sakit beb, sakit rindukan anak.
Dan itulah sakit yang aku rasa setiap kali, walau ia sudah menjadi rutin yang perlu dihadap setiap dua minggu. Syukur ada aunty kepada yaya menjadi teman di rumah. Dan ada ramai orang di sekeliling yang sentiasa bersama saat susah dan senang, yang buat aku masih mampu ketawa walau dalam hati menangis rindukan anak. Kalau tak, mau gila lama-lama aku beb.
Terasa seperti ingin membebel seperti itu kepada sahabat baik saya itu. Tapi cuma mampu diluahkan di dalam hati. Tak mahu menambah tekanan emosinya.
Ya jika anda juga seperti saya yang selalu cepat marah dengan karenah anak-anak, cepat melenting cepat menghukum, saya ingin katakan bahawa anak-anak itu tak selamanya di hadapan mata kita.
Satu masa nanti, mungkin mereka duduk di asrama dan hanya pulang ketika cuti sekolah.
Satu masa nanti, mereka sibuk dengan urusan kerja sampaikan nak jumpa sebulan sekali pun susah.
Satu masa nanti, mungkin saja mereka ada di rumah tapi hanya ingin terperap di dalam bilik bahkan tidak mahu berborak-borak dengan kita walau duduk serumah. Kerana mungkin kita yang tidak mahu melayan ceritanya saat mereka kecil yang mahu bercerita itu dan ini.
Bahkan satu masa nanti, entah kita entah mereka yang akan pergi dahulu meninggalkan semua yang ada di dunia ini.
Ya Tuhan, ku tak tahu bagaimana menghadapi perpisahan itu. Seminggu mereka tiada di sisi saja buat aku bingung. Sunyi. Sepi.
Terima kasih kerana mengajarkan aku untuk lebih menghargai mereka saat mereka ada.
Saya hanya ingin mengatakan..hargailah adanya anak-anak di sisi. Walau mereka menguji kesabaran, walau kita penat dan ada banyak masalah dan karenah anak-anak itu menambahkan lagi pening kita.
Takpe. Itulah nikmat menjadi seorang ibu. Seorang ayah.
Memang, kalau mereka salah..tegur dan ajarkan mereka. Tapi ambillah juga masa untuk bergurau bersama tentang apa yang kelakar yang mungkin berlaku sebelumnya.
Petang-petang bawa anak keluar, main lumba lari dan kejar-kejar.
Gelak-gelak bersama. Makan bersama sambil borak-borak apa yang jadi di sekolah tadi. Nyanyikan lagu kegemaran mereka bersama-sama sambil meniru gaya mereka dan akhirnya sama-sama pecah perut sebab tak tahan gelak.
Allahu, seronoknya punya anak-anak di sisi.
Anak-anak bukan hanya amanah dan tanggungjawab. Tapi sebetulnya cara Allah agar hidup kita terisi dengan pelbagai warna kegembiraan dan kebahagiaan.
Kerana sebenarnya tanpa mereka, percayalah kehidupan seperti bumi kosong yang tiada apa. Anda akan lebih rela berdepan pelbagai karenah mereka, dari menghadapi hidup yang terasa kosong tanpa apa.
Hargai anak-anak. Berbahagialah hidup bersama mereka.
Enggan menoleh ke belakang lagi selepas melalui episod sedih berdepan perceraiannya bersama bekas suami, Nurul Shuhada kini tekad menetap di Australia bersama dua anaknya.
Tambahnya lagi, dia kini mengakui kehidupannya semakin baik walau berada jauh di rantau orang bagi menyambung pengajiannya di sana.
Memetik laporan Kosmo!, sebelum ini Shuhada atau mesra dipanggil Shu pernah mempertikaikan tentang nasib dirinya sehingga diduga dengan pelbagai masalah hidup, termasuk perceraian.
“Dulu saya memang terfikir mengapa Allah berikan saya ujian sebegini, apa salah saya. Tetapi saya bersangka baik dengan Allah dan Dia gantikan saya dengan benda lebih baik.
“Jika dulu hidup bagaimana, tetapi sekarang ini Allah memberikan kepada saya kualiti hidup yang lebih baik.
“Allah izinkan saya untuk bersama dengan kedua-dua anak dan menetap di sini.
“Saya bukan hendak berlagak, tetapi saya hendak kalian semua percaya Allah tidak akan membebankan kita dengan perkara yang kita tidak mampu.
“Setiap daripada kita mempunyai ujian hidup masing-masing. Saya juga bukan orang baik dan tidak lari daripada berbuat dosa, tetapi paling utama perlu meletakkan Allah sebagai nombor satu, insya-Allah,” katanya dalam satu siaran langsung TikTok.
Terdahulu, Shu memaklumkan dia dan kedua anaknya sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan.
Malah, dia juga tidak menolak untuk terus menetap di Australia dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh masa terdekat.
Terdahulu, Nurul Shuhada Mat Shukri mendirikan rumah tangga dengan Hafidz pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.
Sering kali kita dihidangkan dengan kisah ibu tiri yang pemarah dan suka mendera. Namun jarang yang mengangkat martabat dan berkongsi kisah manis dengan wanita kedua dalam hidup selepas ibu kandung.
Berbeza dengan pengacara TV bagi program 9999, Anim Ezati yang baru-baru ini berkongsi kisah yang sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu tiri yang menjaga dirinya sejak kecil lagi.
Menerusi entri di Instagram (IG), Anim berkongsi gambar bersama ibu tirinya beserta kapsyen menyentuh hati.
“Seorang wanita yang cukup tabah, cekal, ikhlas dan kuat semangat. Menjadi ibu tunggal besarkan kami lima beradik tanpa membezakan kasih sayang. Dia lah Ibu tiri yang ku anggap Ibu Bapa kandungku.
Terima kasih Mak sebab jaga Anim dengan baik lepas Abah dan Mama pergi. Sayang mak. Sangat,”ungkap Anim Ezati menerusi laman instagramnya.
Membaca di ruangan komen, rata-rata mengakui tersentuh dengan kapsyen yang ditulis oleh Anim dan ada yang mengakui ibu tiri Anim seorang yang baik dan tabah.