
Bukan mudah melayan kerenah bayi yang kerap meminta susu, lebih-lebih lagi ketika masih dalam fasa berpantang. Itulah pengalaman yang dilalui pelakon Che Puan Juliana Evans apabila anak ketiganya, Tengku Ismail, dikatakan kuat menyusu sehingga meminta susu setiap satu jam.
Selepas selamat melahirkan bayi lelaki pada 10 Oktober lalu, Juliana atau nama sebenarnya Che Puan Juliana Sophie Johari Evans mengakui rutin penyusuan kali ini cukup mencabar dan memberikan pengalaman berbeza buat dirinya.
Menerusi perkongsian di Threads, isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah itu mendedahkan dia perlu mengepam susu badan dengan lebih kerap pada waktu siang bagi memenuhi permintaan si kecil.

Pengalaman tersebut ternyata bukan sesuatu yang asing buat golongan ibu, khususnya mereka yang pernah berdepan situasi bayi kerap meminta susu sehingga perlu menyesuaikan rutin harian dan waktu rehat.
Juliana Evans Akui Jenuh Susukan Anak Ketiga
Menurut Juliana, dia memilih untuk mengepam susu pada waktu siang dan menyusukan anak secara terus ketika hendak tidur.
Bagaimanapun, disebabkan bayinya kerap meminta susu, dia turut memberikan susu formula sebagai tambahan apabila diperlukan.
“Wow memang ramai parents agree yang baby boy minum banyak! My newborn demand susu setiap satu jam. So I pump more during the day dan latch only bila nak tidur sama-sama.
“Tapi sebab dia demand sangat so saya campurkan, sudah bagi susu badan and formula kadang-kadang. Jenuh bagi susu badan. Mummies yang fully breastfeeding tu, you have my utmost respect!” kongsinya.
Ramai Ibu Faham Situasi Juliana Evans
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai, khususnya ibu yang pernah melalui pengalaman sama ketika menyusukan bayi.
Ada yang mengakui perlu mengepam susu lebih kerap, malah sesekali memberikan susu formula sebagai tambahan bagi memenuhi keperluan anak.
“Agree and same here, baby boy lagi kuat minum susu rupanya. Pumping time kena jaga betul especially bila dia kerap minum setiap satu jam, tak cukup memang campur dengan formula untuk top up,” komen seorang pengguna.
“Top up susu formula is okay, we try our best to fulfill his demand,” tulis seorang lagi.
Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman ahli keluarga mereka berjaya menyusukan bayi kembar lelaki sepenuhnya selama dua tahun.
Terdahulu, Juliana turut mengajukan pertanyaan kepada pengguna Threads mengenai pengalaman ibu bapa lain berhubung bayi lelaki yang dikatakan kuat menyusu.
Perkongsian pengalaman dalam kalangan ibu ini memperlihatkan bahawa setiap bayi mempunyai corak penyusuan yang berbeza. Ada bayi yang mahu menyusu dengan lebih kerap, terutama ketika melalui fasa tumbesaran tertentu.
Walaupun ada yang berkongsi pengalaman bayi lelaki lebih kuat menyusu, keperluan susu sebenarnya berbeza mengikut individu dan tidak semestinya ditentukan oleh jantina bayi.

Juliana Evans Kini Ibu Kepada Tiga Cahaya Mata
Untuk rekod, Juliana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan dan kerabat diraja Selangor serta Johor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Haj pada 30 April 2017.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Ruby Ehsan Putri, 7, Tengku Saidatul Ihsan Putri, 3, dan Tengku Ismail.
Pengalaman yang dikongsikan pelakon berkenaan juga menjadi peringatan bahawa perjalanan penyusuan setiap ibu tidak sama. Ada yang dapat menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu badan, manakala ada juga yang memerlukan kaedah penyusuan gabungan mengikut keadaan masing-masing.
Sesungguhnya, setiap ibu mempunyai cabaran penyusuan tersendiri. Apa yang penting, keperluan bayi dipenuhi dan ibu mendapat sokongan serta rehat yang mencukupi sepanjang membesarkan si manja.
BACA LAGI : “Tak Perlu Semua Baharu” Juliana Evans Kongsi Tip Jimat Sambut Anak Ketiga
Sumber : Threads Juliana Evans

