“Alahai, malunya nak buat ujian pap smear ni, boleh tak tak yah buat? Lagi pun saya ok, tak ada sakit apa-apa pun. Lagi pun selepas kelahiran anak pertama dulu saya pernah buat sekali, ini anak dah masuk tiga, tak perlulah kot, sekali cukuplah ye….”

Kaum Ibu Jangan Mengelat Jika Diminta Buat Pap Smear. Dr Ni Bagi Sebab Kenapa Ianya Penting!

Mungkin ini antara alasan yang diberikan oleh ramai wanita bila diminta untuk melakukan ujian pap smear. Sedangkan ujian ini sangat penting untuk dilakukan, lebih-lebih lagi inilah salah satu cara untuk dapat mengesan kenser pangkal rahim diperingkat lebih awal lagi, jika ada.

Menurut perkongsian info yang diberikan oleh Dr. hawa Fatimah, My Health Clinic Pekan & Kuantan bahawa Di Malaysia, sebanyak 60% kes kanser pangkal rahim di kesan apabila penghidapnya sudah berada di tahap 3 dan 4. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan betapa kurangnya kadar keprihatinan rakyat Malaysia terhadap bahayanya kanser pangkal rahim.

Sangat dukacita jika kanser serviks dikesan terlalu lewat sedangkan terdapat kaedah saringan awal iaitu Pap smear. Pap Smear adalah proses pemeriksaan, pengesanan dan diagnosis awal tisu serviks yang diperlu dijalankan setiap tahun. Melalui pemeriksaan Pap smear, pengesanan awal kanser serviks bukan sahaja mudah, malah ia dapat cepat dan selamat.

Kaum Ibu Jangan Mengelat Jika Diminta Buat Pap Smear. Dr Ni Bagi Sebab Kenapa Ianya Penting!

Walaupun pemeriksaan Pap smear adalah mudah, selamat dan tidak menyakitkan,  namun masih ramai antara masyarakat kita yang memanandang mudah perkara ini dan sering mengabaikannya. Bayangkan, statistik dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyatakan 11.9% wanita enggan melakukan pemeriksaan Pap smear kerana alasan takut dan 6.9% wanita pula memberi alasan malu untuk melakukan pemeriksaan tersebut.

Oleh kerana alasan-alasan tersebut hanya 2 daripada 5 orang wanita Malaysia melakukan Pap smear secara berkala. Pemeriksaan Pap smear disarankan pada wanita berusia 21 tahun ke atas yang aktif mengamalkan hubungan kelamin. Jika hasil pemeriksaan didapati normal, pemeriksaan Pap smear dapat diulang secara berkala setiap 3 tahun sekali sehingga monopause. Namun demikian, jika keputusan tidak normal, beberapa pemeriksaan lanjutan akan disarankan demi memastikan sama ada terdapat sel kanser ataupun hanya jangkitan kuman.

Jika anda merancang untuk melakukan pemeriksaan Pap smear, pastikan

  1. Anda tidak sedang mengalami menstruasi
  2. Elakkan penggunaan sebarang douche
  3. Elakkan melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya 24 jam sebelum pemeriksaan Pap smear dijalankan.
  4. Hadirlah untuk berbincang dengan doktor anda tentang sebarang masalah yang sedang anda hadapi ketika itu, contohnya seperti kehamilan, keputihan yang tidak normal, jangkitan kuman air kencing, penggunaan alat/ubat perancang keluarga atau apa sahaja masalah sakit puan yang dihadapi sebelum ini.

Keputusan pap smear boleh didapati dalam beberapa hari sahaja dan anda boleh berjumpa dengan doktor anda untuk penerangan lanjut. Jika negatif atau normal, ini bermaksud sel pangkal rahim anda berada dalam keadaan sihat dan tiada sel kanser dijumpai. Namun demikian, jika keputusannya adalah positif atau tidak normal, ini bererti terdapat kelainan pada sel pangkal rahim anda. Walaupun tidak normal, tidak bererti anda menghidap kanser pangkal rahim.

Jangkitan kuman pada pangkal rahim misalnya oleh chlamydia, candida ataupun gonorrhea, boleh menyebabkan sel pangkal rahim meradang dan memerlukan rawatan segera. Sesudah dirawat, sel pangkal rahim boleh kembali menjadi normal.  Sesudah rawatan selesai, doktor anda akan menjadualulang pemeriksaan pap smear bagi memastikan sememangnya tiada sel-sel kanser pangkal rahim.Jika terdapat tanda-tanda kesihatan, segeralah bertemu dengan doktor anda  bagi menjalankan pemeriksaan pap smear sebelum terlambat.

Ekstra Tips

  1. Selain melakukan pap smear sebagai usaha menyaring kanser pangkal rahim, pengambilan vaksin HPV yang ditawarkan.
  2.  Amalkan gaya hidup yang sihat seperti menjauhi rokok, amalkan hubungan kelamin yang selamat, elakkan bertukar-tukar pasangan.
  3. Amalkan pemakanan yang sihat.
  4. Perlu bersenam.
  5. Dapatkan berat badan yang ideal  bagi mengurangkan risiko kanser.

Ingatlah bahawa didiagnosis sebagai penghidap kanser bukanlah hukuman mati. Dewasa ini, dengan perkembangan pesat dalam bidang perubatan moden mendapati berbagai-bagai cara dan usaha boleh diambil bagi mengawal dan merawat penyakit ini sehingga penghidap kanser masih mampu untuk hidup seperti biasa.

Oleh itu, saringan dan pengesanan awal kanser pangkal rahim sangat penting. Konsult doktor anda sekarang bagi maklumat yang lebih jelas tentang kanser servik dan bagaimana anda boleh mencegahnya.

sumber : DR HAWA FATIHAH, MY HEALTH CLINIC PEKAN & KUANTAN

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI