Khairul Aming wakili Malaysia ke 1 Billion Followers Summit, kacak berbaju Melayu. Khairul Aming menjadi inspirasi pempengaruh tempatan yang cukup terkenal dalam dunia digital di Malaysia.
Khairul Aming Wakili Malaysia Ke 1 Billion Followers Summit, Kacak Berbaju Melayu
Terbaharu pempengaruh berusia 32 tahun itu mencuri perhatian apabila terpilih sebagai panelis dan penceramah di acara global, 1 Billion Followers Summit, yang menghimpunkan pempengaruh dari seluruh dunia. Turut bersama dalam acara itu adalah pasukannya dan pencipta kandungan terkenal, Sofyank.
Dalam sesi perkongsian yang penuh inspirasi, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman membincangkan peranannya sebagai pempengaruh yang bertanggungjawab. Beliau menekankan pentingnya membuat kajian sebelum menyokong sebarang produk atau isu, terutama yang melibatkan kepentingan awam.
Khairul Aming menceritakan pendekatannya dalam memastikan jenamanya sentiasa dipercayai. “Saya tidak sewenang-wenangnya mempromosikan sesuatu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara sensitif seperti pautan derma. Jika ia ternyata satu penipuan, saya yang perlu bertanggungjawab,” katanya. Beliau juga menyeru rakan pempengaruh untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan bertindak berhati-hati dalam setiap tindakan.
Kepercayaan Jenama Melalui Ketelusan
Sebagai pengasas produk makanan terkenal Sambal Nyet, Khairul Aming menjelaskan bagaimana beliau membina jenama yang dipercayai. Menurutnya, kepercayaan pengguna kini bergantung kepada nilai-nilai yang sejajar dengan golongan muda.
“Empat tahun saya menghasilkan kandungan tentang makanan dan masakan sebelum mengeluarkan produk. Dalam tempoh itu, saya fokus untuk membina kepercayaan,” ujarnya. Apa yang membezakan jenama beliau adalah ketelusan dalam menangani isu.
“Jika ada masalah seperti botol pecah, tersalah label, atau kelewatan pengeposan, saya tidak menyembunyikan perkara itu. Sebaliknya, saya kongsikan kepada audiens dan mencari jalan penyelesaian secara terbuka,” tambahnya. Langkah ini, menurutnya, membina hubungan kukuh antara beliau dan pelanggan.
Khairul Aming juga berkongsi perancangan untuk membuka sebuah kilang baharu pada Mei, menunjukkan usaha berterusan dalam memperkembangkan perniagaannya.
Ads
Kuasa Media Sosial Dalam Misi Kemanusiaan
Dalam aspek sosial, Khairul Aming mengimbau pengalaman beliau semasa membantu mangsa banjir baru-baru ini. Dengan hanya satu hantaran di Instagram, beliau berjaya mengumpulkan bantuan dalam masa yang singkat.
“Dalam 24 jam, ramai yang tampil memberikan respons. Ratusan sukarelawan dan sumbangan barangan fizikal seperti makanan serta pakaian diterima,” katanya. Hasilnya, sebanyak 60,000 mangsa banjir menerima bantuan perubatan dan keperluan asas dalam tempoh lima hari.
Beliau percaya, keaslian dan kepercayaan yang dibina bersama warga maya adalah faktor utama kejayaan misi tersebut.
Gaya Dan Identiti Tersendiri
Warga maya turut memuji keperibadian Khairul Aming yang tetap mengekalkan identiti budaya dalam setiap penampilan. Dalam acara tersebut, beliau memilih untuk mengenakan baju Melayu, mencerminkan rasa bangga terhadap budaya sendiri walaupun berinteraksi di pentas antarabangsa.
Ads
Bahasa Inggerisnya yang fasih dan jelas juga menarik perhatian ramai. Walaupun mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, beliau tetap mengekalkan intonasi khas Malaysia dalam pertuturan, sesuatu yang warganet anggap unik dan membanggakan.
Inspirasi Buat Generasi Muda
Khairul Aming bukan sahaja ikon pempengaruh yang berjaya, tetapi juga seorang usahawan yang menggunakan pengaruhnya untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Pendekatannya yang penuh ketelitian, ketelusan, dan keaslian menjadikan beliau contoh terbaik untuk generasi muda.
Seperti yang diakui ramai, “Khairul Aming adalah lambang bagaimana seorang pempengaruh boleh mencipta impak positif bukan hanya dalam perniagaan, tetapi juga dalam membantu masyarakat.”
13 pelajar UNITAR dapat Perodua Axia sempena kempen pengambilan pelajar baharu semester Januari 2025. Kumpulan Pendidikan UNITAR baru-baru ini telah mengadakan satu majlis istimewa di Kampus Induk UNITAR untuk meraikan pencapaian 13 pelajarnya yang terpilih.
13 Pelajar UNITAR Dapat Perodua Axia Sempena Kempen Pengambilan Pelajar Baharu Semester Januari 2025
Dalam acara yang penuh meriah itu, setiap pelajar menerima sebuah kereta baharu Perodua Axia 1.0L X lengkap dengan pendaftaran jalan raya (OTR) selama setahun.
Majlis ini merupakan penutup kepada kempen khas sempena pengambilan pelajar baharu bagi semester Januari 2025, yang bertujuan menghargai kesungguhan pelajar dalam menyambung pelajaran ke peringkat tinggi serta penglibatan mereka dalam program rujukan dan pengambilan pelajar baharu UNITAR.
Daripada 13 pemenang yang diraikan, 12 orang mewakili kampus-kampus UNITAR di seluruh negara, manakala seorang lagi dipilih melalui inisiatif “Student-Get Student”, iaitu program rujukan pelajar oleh pelajar.
Menurut Datuk Puvan Balanchandran, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan UNITAR, acara penghargaan ini merupakan simbol terima kasih institusi kepada para pelajar yang memilih UNITAR sebagai tempat menimba ilmu.
“Kami di UNITAR sentiasa komited untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang memberi kesan, menginspirasikan serta menarik minat pelajar. Majlis ini adalah penghargaan kami kepada pelajar yang memberi kepercayaan kepada UNITAR dan untuk menyambut permulaan perjalanan akademik mereka,” jelas beliau.
Datuk Puvan turut menambah bahawa inisiatif seperti ini mencerminkan aspirasi UNITAR untuk memberi impak yang lebih luas kepada pelajar, bukan sekadar dalam bentuk pendidikan tetapi juga dalam memperkasakan kehidupan mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial UNITAR, Timothy Johnson, berkata pihaknya sentiasa mencari pendekatan yang kreatif dalam menghargai penglibatan pelajar sambil menekankan pentingnya pendidikan.
“Kami komited dalam mencari cara inovatif untuk menghargai usaha dan penglibatan pelajar. Melalui insentif seperti ini, kami mahu membentuk komuniti pelajar yang aktif dan bersemangat untuk terus melanjutkan pelajaran,” katanya.
Majlis anugerah ini menegaskan komitmen UNITAR dalam menyediakan pendidikan yang inklusif, berpatutan dan memberi impak jangka panjang, sambil membuka peluang yang melangkaui bilik kuliah untuk para pelajar.
Remaja OKU sebabkan kematian warga emas kerana ditegur main motosikal didakwa. Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) intelektual dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa, atas tuduhan membunuh seorang warga emas dalam kejadian pertengahan Jun lalu.
Remaja OKU Sebabkan Kematian Warga Emas Kerana Ditegur Main Motosikal Didakwa
Tertuduh berusia 18 tahun itu dibawa ke hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan sepanjang prosiding berlangsung.
Berdasarkan pertuduhan, remaja terbabit didakwa menyebabkan kematian Shamsudin Mohamed, 60, di kawasan tepi jalan berhampiran sebuah kedai runcit di Kampung Buluh, Gual Ipoh, di sini sekitar jam 6 petang pada 16 Jun lalu.
Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau jika tidak dijatuhkan hukuman mati, penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta tidak kurang 12 kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan, memaklumkan mahkamah bahawa tiada tawaran jaminan diberikan memandangkan kesalahan yang didakwa adalah tidak boleh dijamin.
Remaja berkenaan tidak diwakili peguam dalam prosiding itu. Mahkamah menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan perubatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dengan sebatang besi hingga mengalami kecederaan parah di bahagian muka.
Siasatan awal mendapati insiden itu berpunca akibat perselisihan lama apabila mangsa beberapa kali menegur remaja terbabit kerana menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar kampung.
Mangsa, Shamsuddin Mohamad, mengalami kecederaan parah pada wajah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 5.30 petang. Suspek dipercayai seorang remaja lelaki berumur 18 tahun, yang dikatakan berdendam kerana pernah ditegur oleh mangsa berhubung cara menunggang motosikal secara merbahaya di kampung tersebut.
Menurut adik tiri mangsa, Hasnah Ghazali, 40, ketika kejadian abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di bangsal bersebelahan sebuah kedai runcit. Suspek kemudiannya datang dan mengajak mangsa ke bahagian belakang premis tersebut sebelum memukulnya.
“Abang saya rebah dan tidak sedarkan diri selepas dipukul,” katanya kepada media pada Jumaat.
Hasnah memaklumkan kejadian disedari oleh seorang lelaki yang kebetulan berada di kawasan itu. Beliau dimaklumkan mengenai insiden berkenaan sekitar jam 5.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
Kubur Zara Qairina akan digali semula ikut peruntukan undang-undang. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan proses menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dalam masa terdekat bagi tujuan bedah siasat. Tindakan ini dibuat mengikut peruntukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
Kubur Zara Qairina Akan Digali Semula Ikut Peruntukan Undang-undang
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, memaklumkan langkah tersebut diambil selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti serta menilai laporan siasatan kes berkenaan. Penilaian itu mendapati prosedur ini penting untuk mendapatkan maklumat serta bukti tambahan bagi melengkapkan siasatan.
“Aturan bagi proses menggali semula kubur dan bedah siasat jenazah akan dilakukan segera berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
“Prosedur ini adalah langkah penting untuk memastikan semua bukti dapat dikumpulkan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, PDRM kekal komited menegakkan keadilan dan menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang, berpandukan fakta serta keterangan yang dikumpulkan.
“Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Sebelum ini, AGC turut mengesahkan keperluan menggali semula kubur remaja berusia 13 tahun itu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. Keputusan tersebut dibuat selepas laporan siasatan awal PDRM dikaji sepenuhnya oleh jabatan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, keluarga mangsa membuat laporan polis tambahan pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang, termasuk permohonan agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan inkues diadakan. Ia berikutan tiada bedah siasat dilakukan selepas beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, kata peguam keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri.
Pada 6 Ogos lalu, AGC mengembalikan laporan siasatan awal kepada polis bagi melengkapkan siasatan kes kematian pelajar itu.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai sebelum meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
World Quran Convention 2025 mengetengahkan tema ‘Trade With Allah’ berasaskan Surah Al-Saff sebagai panduan utama solusi ekonomi Islam global. Program dua hari ini membuka ruang memahami keseimbangan antara spiritual dan ekonomi moden.