Terkini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya mulai 21 April 2025 secara berperingkat.
Perkara ini, yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 14 Februari melalui surat pekeliling ikhtisas (SPI), akan dikuatkuasakan mulai 21 April nanti.
Menurut kenyataan tersebut, kementerian memainkan peranan utama dalam menanam semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid dan pendidik.
Ads
Lencana Jalur Gemilang hendaklah disemat pada bahagian kanan baju seragam, melibatkan pelajar dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi, serta Institusi Pendidikan Guru Malaysia.
Sebagai negara yang berbilang bangsa, penggunaan lencana ini mengingatkan murid tentang kepentingan memupuk perpaduan yang dilambangkan melalui elemen-elemen dalam bendera.
Ads
“Lencana ini bukan hanya sekadar hiasan, tetapi simbol penting yang perlu dihormati,” katanya.
Ads
Katanya, lencana Jalur Gemilang harus dipakai dengan kemas, bersih, dan tidak rosak.
“Lencana Jalur Gemilang yang telah pudar atau rosak perlu diganti dengan lencana yang baharu. Hal ini bagi memastikan lencana Jalur Gemilang dipertahankan dalam keadaan baik.”
Sumber Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Terkini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memberi amaran mengenai angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di perairan negara dari 29 hingga 31 Disember.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi, METMalaysia memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter dijangka melanda perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kenaikan paras air laut turut diramalkan berlaku di kawasan perairan berkenaan bermula Ahad hingga Isnin dengan risiko limpahan air laut di pesisir pantai.
Menurut METMalaysia, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter turut dijangka membadai kawasan perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan hingga Selasa.
Di kawasan perairan Condore dan barat laut Reef North, angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan melebihi 60 km/j dan ombak lebih 4.5 meter dijangka berlaku hingga Selasa.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” menurut kenyataan itu.
Amaran kategori kedua pula dikeluarkan bagi kawasan perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak hingga 4.5 meter.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut METMalaysia.
Sumber: METMalaysia. & Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Wanita 36 tahun meninggal dunia, doktor pakar tinggalkan pesakit lepas bersalin. Dua orang doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.
Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum.
“Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Dunia dikejutkan berita duka apabila seramai 179 orang terkorban dalam nahas pesawat Jeju Air penerbangan 7C2216 yang terhempas di Muan International Airport, Korea Selatan, pada pagi Ahad. Hanya dua mangsa selamat dalam nahas pesawat.
Pesawat berkenaan yang berlepas dari Bangkok membawa 181 orang, meletup dan terbakar selepas melanggar tembok semasa mendarat.
Selepas kejadian tragis itu, dua perkara yang mendapat perhatian dunia adalah kata-kata salah seorang daripada dua mangsa yang terselamat dan mesej terakhir mangsa nahas.
Memetik laporan agensi berita Yonhap, mangsa, seorang pramugara berusia 33 tahun yang hanya dikenali sebagai Lee, merupakan kru penerbangan pesawat Jeju Air mendedahkan dirinya hanya sedar setelah diselamatkan.
“Ketika saya sedar, saya sudah diselamatkan,” katanya kepada doktor, menurut Pengarah hospital itu Ju Woong, dalam satu sidang media.
Dalam pada itu, mesej terakhir nahas begitu menyentuh hati seluruh dunia apabila mangsa sempat menghantar kepada ahli keluarga sebelum nahas paling buruk di korea itu.
Media tempatan melaporkan mesej itu berbunyi,
“Perlukah saya buat wasiat?
Penerima mesej, dikenali sebagai Encik A, berada di lapangan terbang bersama keluarganya ketika kejadian. Dia berkata, “Saya tidak dapat menghubungi mereka selepas diberitahu ada masalah dengan pesawat.”
Dalam laporan lain, seorang penumpang memberitahu melalui mesej bahawa seekor burung tersangkut pada sayap pesawat, menyebabkan ia gagal mendarat.
Agensi berita News1 turut melaporkan mesej lain yang dihantar berbunyi, “Patutkah saya ucapkan kata-kata terakhir saya?”
Dunia berduka dengan insiden tragis ini. Ia melibatkan pesawat B737-800 milik Jeju Air itu berlaku ketika ia cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer ke barat daya Seoul pada Ahad.
Pesawat yang disyaki mengalami kegagalan gear pendaratan itu dilaporkan mendarat tanpa roda, menyebabkan ia tergelincir daripada landasan dan melanggar dinding pagar luar landasan.
Nahas yang berlaku sekitar 9 pagi itu menjadikan insiden ini sebagai tragedi penerbangan paling dahsyat di Korea Selatan dan ketiga paling maut yang melibatkan syarikat penerbangan Korea.