Berita

Majlis Kahwin Tinggal Dua Hari, Anggota Bomba Meninggal Dunia Akibat Komplikasi Tiroid

Share

Majlis kahwin tinggal dua hari, anggota Bomba meninggal dunia akibat komplikasi tiroid. Kegembiraan menjelang hari bahagia bertukar duka apabila seorang anggota bomba, Mohd Kasyfi Remali, 42, menghembuskan nafas terakhir semalam akibat komplikasi tiroid yang menyebabkan tekanan darah tinggi.

Majlis Kahwin Tinggal Dua Hari, Anggota Bomba Meninggal Dunia Akibat Komplikasi Tiroid

Allahyarham yang bertugas di Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, disahkan meninggal dunia pada jam 11.57 pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan.

Difahamkan, semua persiapan untuk menyambut hari perkahwinannya bersama wanita pilihannya, Zabida Jusoh, 40, telah pun selesai. Majlis akad nikah dijadualkan berlangsung Jumaat malam ini, manakala kenduri akan diadakan keesokan harinya dengan kehadiran lebih 500 tetamu.

Ini sepatutnya menjadi perkahwinan kedua buat Mohd Kasyfi setelah kehilangan isteri pertama pada Ogos tahun lalu akibat penyakit kanser payudara.

Menurut Zabida, yang kelihatan masih terkejut dan sebak, pemergian tunangnya itu amat sukar untuk diterima kerana mereka hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum bergelar suami isteri.

“Dia sangat teruja menjelang hari perkahwinan kami. Kami sudah tempah pelamin, dua pasang pakaian pengantin dan kek perkahwinan. Tapi sekarang semuanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sering.

Zabida turut berkongsi bahawa segala kelengkapan majlis sudah tersedia, termasuk hantaran dan barangan dapur untuk memasak. Namun kini, setiap kali melihat persiapan itu, hatinya terasa amat pilu.

Beliau juga mendedahkan bahawa arwah tidak pernah memaklumkan mempunyai sebarang masalah kesihatan serius. Namun semasa pemeriksaan HIV dua minggu lalu, doktor ada menyatakan tekanan darahnya tinggi, tanpa mencadangkan rawatan susulan.

Dua hari sebelum tragedi, pasangan itu baru sahaja pulang dari menempah kek perkahwinan, kek coklat pilihan arwah. Ketika singgah di sebuah restoran, tangan kiri Mohd Kasyfi tiba-tiba menggeletar dan dia mengadu pening kepala sebelum rebah. Keadaannya semakin merosot dan segera dikejarkan ke hospital.

“Dia sempat menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di kepala dan terus ditidurkan selepas itu. Kami masih berharap dia akan sembuh… tapi Allah lebih sayangkannya,” kata Zabida dengan linangan air mata.

Walaupun perkenalan mereka hanya empat bulan, Mohd Kasyfi sering berkongsi keinginan untuk membina kehidupan bersama dan membesarkan enam anak mereka tiga daripada perkahwinan terdahulu masing-masing.

Menurut Zabida, arwah sering meluahkan kepenatan menguruskan anak-anak sendiri, lebih-lebih lagi dengan bebanan tugas yang memerlukan syif tidak menentu. Ada kalanya, anak-anak terpaksa ditumpangkan di rumah adik-beradiknya.

Jenazah Mohd Kasyfi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sering, Kelantan. Turut hadir menziarahi keluarga ialah Timbalan Pengarah JBPM Kelantan, Aswafaizole Abdul Wahab yang menyampaikan sumbangan sebagai tanda simpati.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diberi tempat dalam kalangan orang beriman.

Sumber: Harian Metro

Baca artikel lain juga: Buat Majlis Birthday Anak Di Balai Bomba, Begini Mak Ni Dapatkan Kebenaran!

Pesakit Tiriod Tak Boleh Makan Sayur Ni, Malah Ada 3 Lagi Makanan Patut Pantang!

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my