
Wanita sering digambarkan sebagai tulang belakang keluarga. Dari seorang ibu yang tak pernah kenal penat, isteri yang setia memahami, hinggalah anak perempuan yang ringan tulang membantu. Dalam memastikan semua orang di sekeliling sihat dan bahagia, mereka sering melupakan satu perkara penting iaitu kesihatan diri sendiri.
Ramai wanita terlalu sibuk mendahulukan keperluan orang lain, hingga lupa bahawa tubuh dan jantung wanita mereka juga perlukan perhatian dan kasih sayang yang sama. Dalam diam, jantung terseksa menanggung tekanan, keletihan, dan gaya hidup tidak seimbang yang akhirnya membawa kepada pelbagai masalah kesihatan.
Selama ini, ramai percaya bahawa sakit jantung hanyalah penyakit lelaki. Tapi hakikatnya, masalah jantung wanita juga semakin meningkat. Wanita berisiko tinggi, malah sering kali lebih berbahaya kerana simptomnya tidak jelas dan mudah terlepas pandang. Banyak kes menunjukkan semakin ramai wanita muda kini dikesan mengalami penyakit jantung, namun ramai hanya menyedarinya apabila keadaan sudah serius.
Sakit jantung pada wanita jarang datang dalam bentuk klasik seperti sakit dada yang kuat. Ia lebih halus, lebih senyap dan itulah bahayanya. Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuklah rasa letih melampau tanpa sebab, rasa loya atau pening, sesak nafas, serta sakit di bahagian rahang, bahu, belakang atau perut.
Ada juga yang alami degupan jantung tidak teratur. Ramai wanita anggap semua ini cuma tanda keletihan biasa, padahal ia mungkin jeritan lembut dari jantung yang sedang meminta perhatian. Inilah punca utama mengapa masalah jantung wanita sering dikesan lewat.
Gaya hidup moden menjadikan wanita hari ini berisiko lebih tinggi. Antara puncanya termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi, serta stres berpanjangan. Kurang tidur, pemakanan tidak seimbang, dan gaya hidup tidak aktif turut mempercepatkan risiko. Bagi wanita selepas menopaus, penurunan hormon estrogen menambah lagi cabaran, menjadikan jantung lebih mudah terjejas tanpa disedari.
Sakit jantung bukan sekadar tentang diri sendiri. Ia tentang anak yang masih memerlukan pelukan ibu setiap malam. Tentang suami yang menanti senyuman di depan pintu. Tentang keluarga yang berharap kita terus ada. Kadang-kadang, kita terlalu ingin menjadi kuat untuk semua orang sehingga terlupa bahawa kekuatan itu hanya bermakna kalau kita masih di sini untuk terus memberi kasih.
Mulakan dengan langkah kecil hari ini. Amalkan gaya hidup sihat seperti jaga pemakanan, bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, kawal stres dan dapatkan tidur yang cukup. Lakukan pemeriksaan kesihatan berkala, terutama jika ada sejarah penyakit jantung dalam keluarga. Paling penting, dengar bahasa tubuh sendiri. Bila tubuh beri isyarat, jangan diam. Bila jantung berbisik, dengarlah.
5. Jangan abaikan pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan berkala ialah pelukan lembut untuk diri sendiri. Ia tanda kita peduli. Periksa tekanan darah, paras gula dan kolesterol sekurang-kurangnya sekali setahun, terutamanya kalau ada sejarah keluarga berkaitan penyakit jantung.
Kita selalu berjanji untuk menjaga semua orang, tapi jarang berjanji untuk menjaga diri sendiri. Sedangkan jantung yang kita abaikan inilah yang selama ini setia berdegup, memastikan kita terus hidup untuk mereka yang kita sayang. Jangan tunggu sehingga terlambat untuk menghargainya.
Sayangi diri, demi mereka yang kita cintai. Percayalah bila seorang wanita menjaga jantungnya, dia sebenarnya sedang menjaga seluruh dunia kecil yang bergantung padanya.
Nak tahu sama ada jantung anda sihat atau tidak? Lakukan pemeriksaan di Klinik Pakar Jantung Dr. Rahim kerana masalah jantung wanita berhak dijaga dengan penuh kasih sayang.