Rentetan siri penderitaan rakyat Palestin yang tercetus kini membuatkan ramai antara kita berasa marah, sedih malah berasa sayu melihat penduduk Palestin terus menjadi mangsa kekejaman Israel.
Apatah lagi apabila melihat serangan letupan di hospital Al Ahli Arab di Gaza sehingga menyebabkan kehilangan nyawa yang sangat dahsyat. Sedikit sebanyak mengganggu emosi kita semua.
Begitu juga buat ahli keluarga pelakon Ramona Zamzam, kisah Palestin begitu dekat dengannya. Di mana mentuanya adalah berasal daripada Gaza!
Baru-baru ini melalui akaun Instagram miliknya, Ramona ada berkongsi mengenai keluhan anak perempuannya, Ivanna yang sedih kerana tidak dapat meluangkan masa dengan datuk sendiri meskipun tinggal serumah.
Menurut Ramona, anaknya berasa hairan susulan tindakan datuknya yang berasal daripada Gaza, Palestin itu yang kebelakangan ini lebih suka menyendiri.
“Anak perempuan saya datang kepada saya sebentar tadi dan bagitahu yang dia ingin luangkan lebih banyak masa dengan ‘seedo’ (panggilan atuk dalam Bahasa Arab).
“Dia pergi dan beberapa minit kemudian, dia datang dan bagitahu yang seedo tidak mahu meluangkan masa dengannya kerana katanya dia mengantuk.
Ads
“Saya kata, biarlah seedo tidur. Dia mungkin penat. Nanum, anak saya pelik sebab seedo sentiasa penat dan nak tidur,” tulisnya.
Tambah Ramona, bapa mentuanya itu difahamkan sengaja mengelak untuk meluangkan masa dengan cucunya kerana mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap keganasan yang berlaku di Palestin saat ini.
“Rupa-rupanya bapa mentua saya memang mengelak untuk bermain dengan Ivanna. Tidak lama selepas itu, bapa mentua beritahu yang dia terpaksa berbohong.
“Dia sebenarnya sedang menonton berita mengenai konflik di Palestin dan dia tidak mahu Ivanna melihat video-video pembunuhan yang boleh mengganggu fikirannya.
Ads
“Sejujurnya, fikiran kami sangat terganggu sejak beberapa minggu ini. Anak kecil saya tidak tahu apa-apa.
“Kalaulah anak saya tahu yang kedua-dua atuk dan neneknya berasal daripada Gaza dan mereka sangat terpukul menonton laporan berita hari-hari,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia kini sedang berusaha untuk memberikan sokongan moral buat keluarganya yang terkesan dengan musibah yang berlaku di negara kelahiran mereka.
Ads
“Ia merupakan tanggungjawab saya untuk menjaga keluarga Palestin saya dan pastikan mereka berasa selamat.
“Saya akui ada beberapa kali saya pernah putus harapan kerana ini bukan kali pertama hal seperti ini berlaku sejak saya mendirikan rumah tangga sembilan tahun lalu,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Ramona turut merakamkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang mengambil berat tentang dirinya dan keluarga.
“Saya berdoa agar pembunuhan beramai-ramai ini akan berhenti. Saya juga berharap agar satu hari nanti, anak saya akan membesar dan memahami asal usulnya serta tahu apa yang dunia telah lakukan kepada Palestin.
“Kepada rakan-rakan yang menghantarkan mesej dan bertanya tengang Rami dan keluarga, ia sangat bermakna buat kami,” ujarnya.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak berbumbung dengan sinaran matahari yang terik menyebabkan haba panas kuat terasa. Untuk mengurangkan haba masa, kita akan membuka sedikit tingkap namun cara ini cukup bahaya. Tak pasal-pasal nanti kereta kita hilang kena curi atau mungkin jika hujan turun dengan lebat habis basah tempat duduk dek tempias.
Biasanya kita akan start enjin kereta, lalu buka pintu dan tingkap luas-luas bagi mengeluarkan haba tersebut. Kemudian, membuka air-cond bagi membolehkan kereta kembali sejuk. Sebenarnya, ada cara lain yang lebih mudah dan praktikal. Hanya dengan pulas butang fungsi ini maka masalah anda dapat diselesaikan.
1. Flap air-cond ditutup sewaktu memandu untuk kekal sejuk.
Waktu memandu pastikan anda tutup flap air cond kereta supaya pengudaraan kereta beredar hanya dalam kereta sahaja dan kekalkan udara sejuk. Rasanya semua orang lakukan semua ni bukan?
2 Sewaktu parking, pastikan flap air cond dibuka.
Ketika parking kereta, buka flap aircond tadi. Jadi, udara panas tidak akan terperap di dalam kereta dan membuatkan kereta berbahang. Itulah tujuan flap aircond.
Kena cuba hari ni !
Sumber: Petua Ibu
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sebelum ini tular keadaan Pelakon kanak-kanak, Puteri Rafasya yang sebelum ini mengalami kemalangan di lokasi penggambaran kini dikhabarkan tidak mampu berjalan mahupun berdiri.
Memetik laporan Harian Metro, keadaan terkini kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ini bertambah parah sehingga terpaksa menerima rawatan di wad pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA), akibat mengalami masalah saraf.
Bukan itu sahaja, Puteri sebelum ini juga pernah dikejarkan ke zon kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kebas kaki dan air kencing yang keluar secara tidak sedar pada jam 3 pagi
“Sekarang, Puteri ada masalah dengan pundi kencing dan kakinya kebas. Bila kaki kebas memang situasi agak merisaukan sebenarnya. Puteri perlu dikejarkan ke zon kuning pada awalnya.
“Ia juga berkait rapat dengan saraf. Selepas pemeriksaan, Puteri akhirnya perlu ditahan di wad pediatrik HTA sehingga keadaannya beransur pulih. Keadaan Puteri agak teruk juga sebab masih perlu memakai lampin pakai buang” katanya.
Sementara itu, menurut ibu Puteri, Fatin Aliza Salmi, 33, perkara ini menambah kesulitan buat mereka apabila pihak terlibat bersikap lepas tangan mengenai kemalangan itu.
“Kalau diikutkan laporan perubatan, Puteri dianggarkan sudah boleh berjalan ketika ini. Tapi, jangankan berjalan, berdiri pun Puteri tidak boleh.
“Jadi, bila keadaan dilihat semakin memburuk, saya rasa sangat tertekan dan kecewa. Sehingga hari ini, kami masih tidak menerima sebarang bantuan atau kata putus daripada pihak terbabit. Saya tertanya-tanya adakah mereka perlu lepas tangan seperti ini
“Ia menyebabkan tulang pinggulnya retak berikutan badan Puteri menghempap kaki besi tripod. Kesannya amat besar apabila Puteri terpaksa menanggung derita tidak mampu duduk dan berjalan tanpa bantuan keluarga akibat tulang pinggul retak.” jelasnya.
Tambah Fatin, Persatuan Seniman Malaysia ada menghubunginya bagi bertemu pihak produksi dan keluarga pelaku untuk membincangkan hal terbabit.
Walau bagaimanapun, Dia sedang melihat perkembangan lanjut dan bercadang untuk melancarkan tabung bantuan bagi memudahkan urusan perubatan anaknya sekiranya masih tiada tindakan seterusnya.
Terdahulu, nama Puteri tiba-tiba menjadi sebutan selepas mengalami kemalangan di lokasi penggambaran drama Jaga Aku Selamanya di Beranang, Selangor, hujung bulan lalu.
Kemalangan berpunca apabila kerusi ditarik akibat perbuatan seorang kanak-kanak yang tidak sepatutnya berada di lokasi penggambaran dengan niat untuk bergurau. Ia menyebabkan tulang pinggulnya retak berikutan badan Puteri menghempap kaki besi tripod.
Setiap kesenangan yang dikecapi hari ini tidak mustahil sebelum itu punya jalan ceritanya yang tersendiri. Mungkin orang melihat kehidupan kita sekeluarga nampak senang semua ada, namun kesusahan hidup tiada siapa pun tahu melainkan diri sendiri.
Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, semoga kisah pengalaman hidupnya ini dapat menyuntik inspirasi buat yang membaca.
Ini perkongsiannya.
“Cikgu tak apalah. Banyak duit, boleh la melancong sana sini bawa family. Kami yang biasa-biasa ni mana la mampu.”
Aku kahwin 11 Jun 2009. Dari hari pertama perkahwinan hingga Disember 2018, aku tak pernah bawa keluarga melancong ke mana-mana.
Hampir 10 tahun perkahwinan, kami hanya ke tempat yang dekat dengan rumah seperti pantai, air terjun, supermarket or pasar malam je.
Gitu je lah pusing-pusingnya dalam tempoh hampir 10 tahun perkahwinan. Pergi pasar malam bawa isteri dan anak-anak tu umpama bawa mereka menikmati sakura gugur di Jepun dah rasa masa tu.Kerana hanya itu kemampuan aku.
Kegembiraan Buat Keluarga
Aku cuma cikgu biasa. Gaji kecik, hidup pula dikota raya yang sangat menyesakkan dada. Namun aku ada satu semangat. Aku ada satu rasa tanggungjawab. Aku ada satu kemahuan yang tinggi.
Aku ada satu perasaan yang ingin memberi kegembiraan dan kebahagiaan seberapa banyak yang aku mampu kepada keluarga aku.
Tapi aku poket aku tak mampu. Memang tak sampai akhir bulan dah kekeringan. Aku takkan sesekali membuat pinjaman hanya untuk berjoli sakan dan enjoy sana sini. Bukan begitu caranya.
Keluar Pagi Balik Pagi
Tahun demi tahun, tanggungjawab makin bertambah dengan bilangan anak dan kos sara hidup. Bermula 2015 aku tidak lagi boleh mengharap gaji secara bulanan. Aku mula menjual air tin, menjual air mineral. Jam 2 pagi ke NSK mencari air.
2016 aku jual kasut bundle di downtown Cheras. Masa tu mengajar sesi petang. Balik saja sekolah, mandi, makan nasi, terus angkut kasut muat but buka meja di downtown.
Dari jam 8 malam keluar, pulangnya jam 5 pagi. Tidur sekejap bangun ke sekolah pula. Begitulah rutinnya. Jual air tetap jual juga.
Kerja macam kerbau. Aku dah kerja mengalahkan kerbau. Masa rehat kerbau lagi banyak dari masa rehat aku. Keluar pagi balik pagi. Dah macam zombie aku rasa. Masa dengan keluarga makin tiada. Sedangkan kewangan tak adalah berubah sakan. Ada la skit-sikit tambahan.
Masa ni aku duduk berfikir. Kenapa rezeki aku sempit. Kenapa susahnya nak tarik rezeki. Kenapa Tuhan bagai menjauhkan rezeki dengan aku. Aku duduk, aku fikir, aku muhasabah diri betul-betul. Di mana silapnya. Kenapa begitu kejam kehidupan pada aku.
Aku bukan meminta lebih. Aku tak minta Ferrari. Aku tak minta rumah agam. Aku tak minta gaji beratus ribu sebulan. Aku cuma mahu kehidupan yang lebih selesa buat keluarga aku.
Aku rasa loser gila. Simpanan langsung tak ada. Apa yang dicari, cepat sahaja habis entah ke mana. Sedangkan aku tak mencuri, segala modal kerja buat aku modal yang halal.
Abah dan ma perasan aku memang kacau masa ni. 2016 tahun betul-betul ujian buat aku. Hubungan dengan isteri jadi jauh. Selalu juga bermasam muka. Aku pula jenis tak pernah meluah apa-apa masalah kepada sesiapa. Tidak kepada isteri. Tidak juga kepada ma dan abah.
Namun naluri seorang ibu tu tinggi. Sangat tinggi. Dia tahu aku tengah sangat susah. Ma tahu aku sangat serabut. Ma dapat rasakan hidup aku penuh kekacauan. Ma telefon aku,
“Li. Kembali pada Tuhan. Kita hidup berTuhan. Solat kena jaga. Jauhi maksiat. Jauhi segala benda yang Tuhan haram. Li kena pergi Mekah sucikan diri. Buang segala kekotoran yang melekat tu. Minta sungguh-sungguh pada Tuhan. Menangis, mohon betul-betul.”
“Nak pergi macamana, Li tak ada duit. Langsung tiada simpanan ni. Tak apalah. Ma ada simpan duit yang anak-anak bagi. Yang abah bagi saban bulan. Pergilah.”
3 minggu sahaja dari tarikh ma call aku, aku sudah memijak tanah haram. Seorang diri aku pergi mencari diri yang hilang. Mencari tujuan hidup yang makin kelam. Mencari kebahagiaan yang makin terendam.
Aku hadap segala ujian sendiri di sana. Demam seorang diri. Menggigil seorang diri. Aku panjat Bukit Ajyad. Aku cari tok guru orang kita yang menetap di sana.
Aku minta mereka doakan aku. Setiap orang asing yang aku temui sepanjang jalan menuju Masjidilharam, aku minta mereka doakan kau.
“Doa ana.”
Itu je yang aku ucap setiap kali jumpa sesiapa yang mendekati aku.
Untuk Bahagia Perlu Membahagiakan
Sebaik pulang dari umrah, aku merenung lebih dalam. Aku membaca perkongsian positif yang ada. Aku cari di mana punca keberkatan rezeki. Aku mencari bagaimana untuk hidup bahagia.
Dan apa yang aku jumpa, untuk bahagia kita perlu membahagiakan.
Dari situ aku turun padang membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Walau masa tu aku sendiri tak berduit, namun aku bantu sekadar yang mampu.
Setiap kali ziarah, aku minta mereka doakan aku dan para penyumbang.
“Doakan saya. Doakan saya. Doakan saya.”
Itu yang aku duduk ulang-ulang dari dulu. Benarlah, bila kita bantu orang, Tuhan akan hantar orang baik-baik mendekati kita. Yang percaya pada kita. Yang sudi mengirim duit sampai puluhan ribu pada aku untuk disalurkan kepada orang miskin dan anak yatim.
Betapa mereka percaya pada aku yang bil letrik tertunggak, yang bank call nak tarik kereta. Mereka serah bulat-bulat tanpa minta bukti, tanpa usul periksa.
Dan inilah ujian yang besar. Ujian keikhlasan dan ujian amanah orang.
Aku sampaikan 100% kiriman orang. Tidak ada seringgit aku ambil untuk diri waima untuk mengisi minyak motor. Tiada seringgit aku ambil untuk buat makan nasi walau aku tak berduit sesen untuk membeli makanan tika itu.
Itu amanah orang. Abah pesan, jaga amanah lebih dari jaga nyawa sendiri. Aku pegang itu ketat-ketat dalam hati.
2017 aku mula menulis buku. Walau keuntungan kecil, aku terus saja. Senaskah buku yang dijual, royalti aku sekitar RM1 sahaja. Kalau aku jual sendiri, dapat la dalam RM5 untung senaskah.
Walau senaskah orang nak COD, aku tunggu tepi jalan kadang sampai sejam. Hanya untuk RM5 tuan tuan.
Apa yang aku dapat, aku simpan sebahagian, sebahagian yang lain aku bagi kat ma abah, sebahagian yang lain aku belanja isteri dan anak-anak, sebahagian yang lain aku sedekahkan yang aku sendiri sampaikan dengan tangan ini.
Dari situ bermula perubahan dalam ekonomi aku. Tuhan kirim puluhan ribu netizen follow aku. Tuhan kirim orang baik-baik mendekati aku. Tuhan kirim orang-orang berjaya mendekati aku.
Mereka dengan rela, mereka dengan ikhlas mengheret tangan aku membuka peluang aku bekerjasama dengan mereka. Mereka ajar satu persatu dengan rela tanpa caj apa-apa.
Mereka hanya ingin berkawan dengan seorang cikgu biasa yang tiada apa-apa ini.
Mereka tidak kisah duduk semeja dengan orang yang bil letriknya dah sampai surat merah, yang saban bulan makan berhutang di kantin.
Sedikit demi sedikit aku mula menyimpan. Aku main kutu, aku potong tabung haji. Dan aku perbanyakkan sedekah dan zakat. Nafkah untuk isteri, duit bulanan untuk ma dan abah aku naikkan dari masa ke semasa bila income bertambah.
Aku tidam enjoy untuk diri sendiri. Tidak.
Aku masih naik Ex-5 buruk yang dibeli second hand sahaja. Telefon aku telefon second hand juga. Ada lebih, aku simpan sebahagian, beri pada keluarga sebahagian, dan sebahagian wajib untuk sedekah dan zakat.
Dan buat kali pertama aku bawa isteri, anak-anak, mak dan adik-adik ipar melancong ke Kundasang, Sabah pada 10 Disember 2018.
Itulah kali pertama kami melancong setelah simpanan dan kewangan aku makin kukuh. Ya tuan tuan. Kalian yang baru follow aku, inilah antara kisah kehidupan aku. Aku bukan kaya asal.
Aku bukan lahir atas dulang emas. Aku makan tidak disuap oleh dayang. Aku usaha. Aku usaha. Aku usaha. Dan yang pasti, kembalilah pada Yang Maha Esa. Kunci segala bahagia, kunci segala rezeki, kunci segala rahsia ada ditanganNya.
Semoga sedikit perkongsian ini tidak membuat aku rasa lebih dari sesiapa. Aku cuma seorang hamba. Aku cuma seorang bapa. Aku cuma seorang suami. Aku cuma seorang lelaki yang gigih mengubah nasib diri demi keluarga.
Aku sentiasa berdoa agar aku sentiasa menunduk. Tidak sombong tidak ujub.
“Tuhan jangan kau izin aku lupa. Jangan kau biarkan aku mendepang dada. Pasakkan hatiku pada kaki. Paksakan ku tunduk sehingga mati.”