Tahukah anda, bau mulut atau halitosis adalah antara masalah pergigian yang sangat sering dihadapi oleh kebanyakan individu?
Bau mulut biasanya terjadi disebabkan oleh tindakbalas bakteria di dalam mulut yang menghasilkan sebatian dan gas iaitu “Volatile Sulfur Compounds (VSC)” yang berbau busuk.
Walaubagaimanapun, ramai yang tidak menyedari mereka menghadapi masalah ini.
Atapun mungkin ada juga yang menyedari, namun disebabkan sudah terbiasa dengan bau nafas sendiri, menyebabkan mereka merasakan hal tersebut adalah biasa.
Namun anda harus ingat bahawa bau mulut anda yang tidak menyenangkan itu juga turut boleh dihidu oleh orang di sekeliling anda jika anda mempunyai masalah bau mulut.
Punca bau mulut
Ads
Selain itu, masalah bau mulut juga boleh terjadi disebabkan oleh:
-Merokok.
-Pengambilan makanan yang berbau seperti bawang, petai, jering dan durian.
-Mulut kering akibat dehidrasi/kurang air dalam badan.
-Penggunaan gigi palsu yang tidak dibersihkan setiap hari.
-Jangkitan kulat (kandidiasis).
-Penyakit gusi dan kerosakan gigi.
-Penyakit kencing manis yang tidak terkawal.
-Penyakit berkaitan kegagalan hati dan ginjal.
-Sinusitis atau resdung.
-Pembengkakan tonsil (tonsilitis).
Amalkan 9 Tip Ini
Ads
Bagi mengatasi masalah bau mulut, amalkan tips-tips berikut:
1.Berus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan teknik yang betul secara teratur.
2.Berus lidah serta bahagian dalam pipi.
3. Gunakan benang floss untuk membersihkan celah-celah gigi anda sekurang-kurangnya sekali sehari.
4.Amalkan berkumur-kumur dengan air kosong setiap kali selepas makan.
5. Banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari (2 liter).
6. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman yang manis serta makanan yang berbau kuat.
7. Amalkan mengunyah gula-gula getah tanpa gula selepas makan.
8. Berhenti merokok.
9. Lakukan pemeriksaan pergigian dan pencucian karang gigi secara rutin setiap 6 bulan atau sekurang-kurangnya setahun sekali.
Ads
Jika masalah bau mulut anda berlarutan, dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di klinik gigi berhampiran.
Setiap daripada kita pasti teruja melawat keluarga atau rakan terdekat yang baru melahirkan bayi.Dalam keterujaan menziarahi ibu baru bersalin dan bayi baru lahir, ada beberapa perkara yang perlu dipandang berat.
1. BERITAHU TERLEBIH DAHULU
Elak datang terlalu awal kerana sesetengah ibu bapa sebenarnya agak keberatan untuk menerima tetamu, lebih-lebih lagi sekiranya keadaan ibu masih memerlukan perhatian atau bayi yang dilahirkan kurang sihat.
Jika kita tidak pasti sama ada mereka bersedia menerima kehadiran tetamu, bertanya dahulu keadaan mereka. Dan sekiranya anda telah berjanji untuk melawat keluarga tersebut dalam tempoh tertentu, patuhilah masa tersebut.
2. TAK PERLU LUANGKAN MASA TERLALU LAMA
Beri ucapan tahniah kepada rakan anda, tanyakan khabar, dan berbual-bual ringkas sekadarnya. Walaupun bayi baru lahir selalunya tidur, mereka kerap juga diberikan perhatian.
Selalunya, ibu perlu menyusu badan dengan kerap pada awalnya dan kehadiran tetamu mungkin akan memberi sedikit kesukaran untuk mereka menyusukan bayi dengan selesa.
3. JANGAN AMBIL GAMBAR TANPA KEBENARAN
Memang comel melihat bayi. Walaupun mereka tidur, kita tetap leka dengan gelagat mereka.Tapi, sebelum mengeluarkan kamera atau smartphone, mintalah izin daripada ibu bapanya untuk diambil gambar bayi tersebut.
Sesetengah ibu bapa belum mahu memaparkan wajah bayi mereka kepada orang ramai atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, hormatilah pendirian mereka.
4. ELAK BAWA AHLI KELUARGA YANG SEDANG SAKIT
Jika ada antara anak anda yang sedang demam, selsema, dijangkiti ruam, atau sebagainya, tangguhkan dahulu melawat bayi baru lahir.
Seperti yang kita tahu, bayi amat sensitif dan mudah terkena jangkitan, lebih-lebih lagi semasa usianya baru menjangkau beberapa hari.Jika terpaksa membawa mereka, pastikan anda memesan supaya mereka tidak terlalu mendekati bayi dan menciumnya sesuka hati.
5. BASUH TANGAN KETIKA MAHU MEMEGANG BAYI
Jika anda ingin memegang bayi, pastikan tubuh anda dalam keadaan bersih. Lebih baik jika dapat mencuci tangan sebelum menyentuh dan memegang bayi untuk mengelakkan jangkitan.
6. FIKIR SEBELUM MENCIUMNYA
Apabila anda bersin, batuk, bernafas, termasuk mencium bayi, kuman boleh terbebas dan menular kepada orang di sekelilingnya, terutamanya bayi yang masih lemah antibodinya.
Apabila dicium-cium, kuman mudah berpindah dari mulut anda melalui air liur ke pipi atau bibir si kecil.
7. MEROKOK, WALAUPUN SEBELUM BERJUMPA BAYI
Ini penting tak kiralah sebelum berjumpa bayi atau semasa di luar rumah / hospital, seseorang tak sepatutnya merokok apabila mereka mendekati bayi.
Ini kerana, walaupun bayi tidak menghidu asap rokok secara terus daripada rokok, bau-bauan yang masih melekat pada baju menandakan partikel kimia itu masih berada pada tubuh anda. Bahkan, asap rokok basi ini lebih merbahaya berbanding asap rokok itu sendiri!
8. JANGAN KEJUTKAN BAYI YANG SEDANG TIDUR
Kita tak tahu betapa susahnya ibu bapa cuba menidurkan anak mereka tadi. Oleh itu, tolonglah jangan mengejutkan bayi sekiranya mereka sedang tidur semata-mata untuk mendukung atau mengambil gambar mereka.
Apabila bayi meragam, tentu ibu bapa akan berasa susah hati dan bertambah letih untuk memujuknya nanti.
9. JAGA PERCAKAPAN
Tak perlu beri nasihat sekiranya tidak diminta, lebih-lebih lagi jika si ibu dan ayah kelihatan tidak bermaya. Mungkin mereka belum bersedia menerima sebarang komen yang mungkin merimaskan, walaupun anda seorang yang lebih berpengalaman.
Ucapkanlah perkara-perkara yang baik dan boleh menenangkan hati mereka.‘KEEP IT SHORT AND SWEET’
sumber gambar: Instagram noradanish & Boss_ned
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Mengemop lantai berminyak memang memerlukan cara dan teknik yang teliti. Walaupun sudah dimop dengan pencuci lantai namun kesan minyak akibat proses memasak sememangnya sukar untuk ditanggalkan.
Selain cara mop yang salah mungkin juga anda terlupa untuk melakukan empat langkah ini ketika mengemop lantai. Empat cara ini anda kena tahu bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.
Anda perlulah mencuba tip yang diberikan ini. Selain harum insyaallah lantai anda juga kekal bersih untuk tempoh yang lama.
Mulakan langkah dengan menyapu seluruh kawasan rumah dengan bersih. Pastikan setiap habuk, sampah terutamanya helaian rambut yang gugur dikumpulkan terlebih dahulu. Ini penting supaya proses mengemop tidak terganggu.
Langkah 1 -Air Panas & Cuka
Sediakan air rendaman berisi air panas yang dicampurkan dengan sedikit cuka. Mopkan keseluruh lantai dengan bancuhan air ini. Pastikan mop dikembangkan ketika proses mengemop. Biarkan seketika sehingga kering.
Langkah 2 – Cecair Peluntur
Jika suka anda boleh juga menggunakan cecair peluntur seperti Clorox dalam bancuhan namun gunakan sedikit sahaja kerana ia meninggalkan bau yang agak kuat. Pastikan ia diletakkan sedikit sahaja dan moplah seperti biasa. Biarkan kering.
Langkah 3 – Pencuci Harum
Kemudian buat bancuhan air bersama pencuci lantai yang ada dipasaran. Pastikan pencuci ini jangan tersalah beli. Belilah pencuci yang harum seperti berbau bungaan seperti ros atau lemon. Ada sesetengah bau pencuci lantai yang berbau kurang enak dan buat kita rasa tidak selesa. Mopkan keseluruhan lantai dengan sekali cucian sahaja dan biarkan kering.
Langkah 4 – Air Bersih
Akhir sekali barulah dibilas dengan air bersih ke seluruh lantai. Pastikan penggunaan air bersih tanpa apa-apa bahan. Moplah seperti biasa dan biarkan hingga kering. Hasilnya lantai anda bukan hanya harum malah licin dan bersih.
Tip
* Pastikan proses mengemop dimulakan dengan bahagian bilik terlebih dahulu dan diakhiri dengan kawasan dapur.
* Anda boleh juga menggunakan bancuhan lain khusus untuk dapur kerana kawasan ini luar biasa minyaknya.
* Pastikan mop dikembangkan dengan tepat supaya lebih membantu anda melakukan kerja dengan lebih cepat dan sekata.
* Buka kipas pada volume yang tinggi supaya lebih cepat kering.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Unit penyaman udara mestilah diselenggara selalu supaya ia sentiasa sejuk dan tahan lama. Walaupun ia masih berfungsi dengan baik, penyelenggaraan dan servis adalah penting untuk memastikan ketahanan dan kebolehupayaan penyaman udara dalam memberi kesejukan mengikut kapasiti awal.
Untuk anda yang ingin membersihkan sendiri penyaman udara, lakukan teknik ini. Tak perlu lagi mengupah orang untuk mencuci atau melakukannya sendiri. Cukup mudah dengan tip ini.
• Tetapkan mode daripada “Cool” ke mod “Fan”, tetapkan kelajuan kipas ke tahap paling tinggi.
• Biarkan ia berjalan selama 15 minit.
• Kemudian barulah matikan aircond.
Mengapa tetapkan ke mode “Fan”?
• Tujuan kita tetapkan ke Mode “fan” kerana ia tidak akan mengaktifkan pemampat. Dengan itu hanya blower kipas fancoil sahaja berjalan dengan normal (tidak sejuk) dan udara bertiup.
• Ia akan mengeringkan kelembapan dalaman unit penghawa dingin anda dan membantu mengurangkan pengumpulan kotoran dan kulat (yang disebabkan oleh debu, kotoran dan kelembapan)
Pesanan : Jangan lupa untuk menetapkan semula ke mode “Cool” apabila anda menggunakannya lagi pada masa yang akan datang.
Tidak dinafikan musim panas begini ditambah pula dengan keadaan yang berpuasa menyebabkan kita bergantung kepada penghawa dingin untuk menyejukkan badan. Tetapi apabila datang bil elektrik yang melambung tinggi setiap bulan, siapa yang tahan kan.
Ada beberapa cara untuk jimatkan perbelanjaan bil elektrik di rumah anda seperti perkongsian dari Fawwaz Johari ini. Amalkan tips ini untuk membantu menjimatkan perbelanjaan bil elektrik di rumah anda.
Viral hari ini di media sosial mengenai bil elektrik yang tinggi setelah TNB menukarkan ‘Smart Meter’ yang baru menggantikan meter TNB yang lama.
Saya adalah salah seorang pekerja TNB. Posting saya ini bukanlah bertujuan untuk menjawab atau menjelaskan mengenai ura-ura bil elektrik yang dikatakan meningkat tersebut. Namun hanya untuk kongsikan kaedah dan cara yang anda boleh lakukan untuk menjimatkan bil elektrik di rumah anda.
Ingin saya nyatakan disclaimer disini bahawa kaedah dan cara ini bukanlah saranan daripada syarikat TNB, namun hanya sekadar perkongsian peribadi berdasarkan penggunaan elektrik di rumah kami di Melaka.
Sebelum saya mulakan, izinkan untuk saya kongsikan dahulu mengenai latar belakang kediaman kami di Melaka ini. Rumah yang kami duduki ini adalah rumah 2 tingkat. Ia ini mempunyai 4 bilik, dan setiap bilik dipasang dengan alat penghawa dingin. Di ruang tamu rumah pula dipasang dengan 2 set alat penghawa dingin.
Rumah ini secara kebiasaannya di diami oleh ibu bapa saya, dan setiap malam mereka akan memasang alat penghawa dingin di bilik mereka. Manakala bilik-bilik lain pula akan dipenuhi dengan adik beradik saya yang lain pada setiap kali hujung minggu dan setiap kali musim cuti.
Rumah ini telah dipasang dengan ‘Smart Meter TNB’ pada bulan Februari 2019 yang lalu. Di sini saya sertakan gambar bil elektrik terkini rumah saya pada bulan lepas, iaitu HANYA SEBANYAK RM 62.30. Di bawah ini saya kongsikan tips dan gambar-gambar tentang bagaimana cara ia dapat dilakukan.
1. Gunakan teknologi inverter.
Pertama sekali, bagi yang menggunakan alat penghawa dingin, pastikan anda menggunakan penghawa dingin yang mempunyai teknologi inverter. Kesemua penghawa dingin dan peti ais yang ada di rumah kami ini telah dilengkapi dengan teknologi inverter ini.
Harganya mungkin mahal sedikit berbanding dengan peralatan yang biasa, namun anda hanya perlu membayar harga tersebut sekali sewaktu pembelian, dan kemudian anda boleh dapat menikmati penjimatan elektrik yang berterusan dalam jangka masa yang panjang.
2. Peralatan elektrik berstatus “5 bintang”.
Apabila anda pergi ke kedai peralatan elektronik seperti One Living, Seng Heng, Home Pro, Courts Mammoth dan sebagainya, anda akan mendapati terdapat tanda 1-5 bintang pada setiap barangan elektronik yang dijual. Belilah barangan yang mempunyai 5 bintang. Bintang itu adalah Standard yang telah dikeluarkan oleh pihak Sirim untuk menyatakan “Energy Efficiency” peralatan tersebut. Peralatan yang efisien akan dapat lebih menjimatkan penggunaan elektrik di rumah anda.
3. Tidak menggunakan alat-alat pemanas elektrik.
Diantara peralatan yang tidak digunakan di rumah kami di Melaka ini termasuklah, pemasak nasi elektrik, cerek air elektrik dan water dispenser.
Bagi tujuan memasak, kami menggunakan gas api. Kami menanak nasi di dalam periuk dan menggunakan cerek api untuk memanaskan air. Pemanas elektrik yang digunakan di rumah kami ini hanyalah seterika dan ‘water heater’ untuk mandi.
4. Menggunakan lampu LED.
Kesemua lampu yang dipasang di rumah kami ini diperbuat dari LED. Penggunaan lampu LED ini dikatakan dapat mengurangkan 75% penggunaan elektrik berbanding dengan lampu-lampu biasa.
5. Mencabut plug selepas menggunakan alat elektrik.
Selepas menonton TV, mengecas telefon bimbit, menggunakan seterika, atau menggunakan mesin basuh, tutup suis dan cabut sekali plug yang digunakan. Sekiranya extension wire digunakan, cabut sekali plug extension wire tersebut apabila ianya tidak digunakan.
Melalui pengalaman di rumah-rumah yang pernah melakukan cara ini, kadar elektrik adakalanya dapat dikurangkan sebanyak RM15-RM50. Kadar penjimatan bergantung kepada jenis rumah dan jenis peralatan elektrik yang digunapakai. Untuk mendapatkan penjimatan yang lebih banyak, anda juga boleh mencabut plug ‘wifi’ di rumah anda pada waktu malam apabila semua orang tidur dan tidak menggunakannya.
6. Menggunakan ‘Turbine Ventilator’ di bumbung.
Untuk memastikan rumah berada di dalam keadaan sejuk, Turbine Ventilator telah dipasang di atap rumah ini. Turbine ventilator ini berfungsi untuk membenarkan udara-udara panas yang terperangkap di dalam bumbung untuk keluar. Kekosongan udara di bahagian bumbung itu pula akan menyebabkan udara panas lain yang ada di dalam rumah ditarik pergi ke bahagian atas bumbung tersebut. Dengan menggunakan Turbine Ventilator ini, suhu rumah dapat diturunkan.
7. Memanam pokok di dalam dan luar rumah.
Antara hobi ibu saya adalah menanam pokok. Ibu saya telah menanam pelbagai jenis pokok dan tumbuhan di sekeliling dan juga di dalam rumah kami. Bapa saya pula akan membantunya untuk menyiram pokok-pokok tersebut pada setiap hari.
Pokok diketahui dapat mengurangkan suhu udara. Dengan adanya pokok-pokok ini, udara di rumah kami biasanya berada pada suhu yang rendah. Oleh itu, kami jarang perlu membuka penghawa dingin di waktu tengahhari, melainkan pada hari yang benar-benar panas ataupun ketika tetamu datang ke rumah.
Di samping itu, pokok juga berfungsi untuk mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida. Dengan mempunyai pelbagai jenis pokok di sekeliling rumah kami, kami sekeluarga dapat menikmati udara yang segar dan pemandangan yang indah pada setiap hari.
8. Penggunaan elektrik penghawa dingin dapat dikurangkan dengan suhu sekeliling yang rendah.
Apabila sekeliling rumah bersuhu rendah, penghawa dingin tidak perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk menurunkan suhu kepada suhu yang dikehendaki.
Sebagai contoh, jika suhu sekeliling adalah 30°C, manakala suhu yang dikehendaki pula adalah 23°C. Maka perbezaan suhu adalah sebanyak 7°C, ini menyebabkan penghawa dingin perlu bekerja keras untuk menurunkan 7°C tersebut.
Bayangkan jika suhu sekeliling rumah hanya 25°C, penghawa dingin cuma perlu menurunkan suhu sebanyak 2°C untuk mendapatkan suhu yang dikehendaki. Maka dengan adanya pohon-pohon tanaman berserta dengan Turbine Ventilator, tenaga elektrik dapat dijimatkan dengan lebih banyak.
Kredit kepada ibu bapa saya iaitu Johari Judan & Dr Zorina Khalid kerana telah berusaha untuk menjaga alam sekitar. Dengan semangat mereka, kami dapat menikmati pemandangan yang indah, udara yang nyaman dan sejuk apabila pulang ke rumah di melaka, di samping ia dapat menjimatkan bil elektrik rumah kami.
[Nota tambahan: perkongsian ini mungkin tidak relevan bagi mereka yang tidak menggunakan alat penghawa dingin di rumah mereka]
Diharapkan perkongsian ini bermanfaat kepada anda semua untuk menjimatkan bil elektrik di rumah anda. Kongsikan kaedah-kaedah ini kepada rakan lain yang mempunyai masalah bil elektrik yang tinggi, dan selamat mencuba.