
Pasangan suami isteri rentung dalam kebakaran rumah di Kota Belud. Sepasang suami isteri ditemukan rentung selepas kediaman mereka di Kampung Sangkir musnah dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Mangsa, Mamat @ Jamrin Sinti, 47, dan isteri beliau, Noorijah Rashid, 47, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik mandi rumah mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 2.52 pagi.
Susulan panggilan itu, seramai 10 anggota bomba bersama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal satu tingkat terbakar sepenuhnya. Turut terbakar, sebuah kereta Proton Saga.
“Sebaik api berjaya dikawal jam 3.22 pagi, terdapat dua mangsa ditemui rentung di bilik mandi rumah berkenaan,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
“Operasi ditamatkan jam 4.55 pagi,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, jenazah pasangan itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud bagi tujuan bedah siasat.
“Lelaki berkenaan bekerja sebagai penoreh getah dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Dua Beradik Terkurung Dalam Kebakaran, Ditemui Berpelukan Tanpa Suara
Ibu Sedih Anak Cacat Kekal, Mangsa Kebakaran Ketika Bermain Dengan Rakan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my