Kesihatan tubuh badan amat penting untuk kita dapat menjalani rutin hidup dengan sempurna termasuk bekerja dan menguruskan rumahtangga.
Sehubungan itu, ramai yang menjaga pemakanan bersenam untuk kekal sihat. Namun kadang kala kita berasa badan letih dan tidak bertenaga.
Menurut perkongsian Doktor Zubaidi Hj Ahmad, katanya menjaga kesihatan usus adalah penting agar segala nutrien makanan mudah diserap. Jika sebaliknya ia akan menjejaskan kesihatan kita.
Nak tahu cara bagaimana menjaga usus kekal sihat. Ikuti panduan kesihatan beliau.
Ikuti perkongsian ini.
KEKALKAN USUS SIHAT
Tahukah anda usus kita terutama usus besar penuh dengan bakteria dan organisma lain? Beberapa bakteria berkenaan sebenarnya sangat penting untuk kesejahteraan kita.
Kajian terkini menunjukkan mengekalkan usus yang sihat membantu memastikan nutrien penting diserap daripada makanan yang kita makan. Usus sihat juga menjamin sistem imun yang sihat dan mencegah beberapa penyakit serius seperti kanser kolon.
Kebanyakan orang sekali-sekala mengalami masalah penghadaman kecil seperti sembelit, cirit-birit dan kembung atau keadaan yang lebih serius seperti gastritis dan kesakitan abdomen yang berkaitan dengan ulser peptik. Namun begitu, penting untuk memberi perhatian kepada sebarang tanda atau simptom berkaitan masalah usus seperti pendarahan, kesakitan dan sebarang kesukaran atau perubahan corak pembuangan air besar serta penurunan berat badan.
Dapatkan rawatan awal walaupun sesetengah tanda atau simptom boleh dirawat tanpa penggunaan ubat-ubatan atau rawatan. Jangan abaikan masalah ini dan membiarkannya melarat.
Gaya hidup dan tabiat makan boleh menjejaskan kesihatan sistem penghadaman anda. Ada enam langkah mudah yang anda boleh lakukan setiap hari untuk menjaga kesihatan usus:
Ads
1. Makan lebih serat
Anda perlu mengambil lebih banyak makanan yang kaya dengan serat. Kehadiran serat membantu melembutkan najis dan mencegah sembelit serta mengurangkan simptom beberapa gangguan penghadaman contohnya, buasir dan sindrom iritasi usus.
Untuk mengekalkan usus yang sihat, anda memerlukan serat daripada pelbagai jenis sumber makanan seperti roti mil penuh, beras perang, buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang dan oat.
Panduan Diet Malaysia menyarankan kita mengambil sekurang-kurangnya 25 gram serat setiap hari. Separuh daripada bijian yang diambil haruslah terdiri daripada bijirin penuh. Anda digalak meningkatkan pengambilan serat secara beransur-ansur untuk mencegah masalah kembung dan ketidakselesaan perut terutama jika anda tidak biasa dengan pengambilan makanan tinggi serat.
2. Banyak minum air
Ads
Air membantu melembutkan najis dan menggalakkan peredaran melalui sistem penghadaman anda. Serat bertindak seperti span dan menyerap air. Tanpa cecair, serat tidak boleh melakukan tugasnya dan akan menyebabkan sembelit. Air juga memberi faedah kesihatan lain – tiada kalori! Secara purata, anda harus mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari (kira-kira dua liter) dan pada bila-bila masa apabila anda rasa dahaga!
3. Hadkan pengambilan kafein
Minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, kola dan minuman ringan boleh meningkatkan asid di dalam perut, seterusnya menyebabkan pedih ulu hati bagi sesetengah orang. Jika anda tidak boleh berhenti minum kopi atau teh, hadkan pengambilan kepada satu atau dua cawan sehari.
4. Dapatkan pro dan prebiotik secukupnya
Terdapat ribuan bakteria yang hidup di dalam usus anda. Sesetengahnya bakteria baik yang memberi faedah kepada kesihatan dan pada masa sama usus kita juga ada bakteria yang memudaratkan. Mengekalkan keseimbangan bakteria baik dan bakteria tidak baik adalah penting.
Bagaimanakah anda boleh mencapai keseimbangan ini? Salah satu cara mudah dengan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik (yang mengandungi bakteria baik) dan juga mengambil prebiotik (‘makanan’ untuk bakteria baik) secukupnya.
Ads
Probiotik yang juga dipanggil ‘bakteria baik’ terdapat secara semula jadi di dalam usus dan dalam beberapa jenis makanan seperti yogurt, minuman susu berkultur, keju dan tempe.
Prebiotik ialah bahan yang menggalak pertumbuhan atau aktiviti mikro organisma seperti probiotik yang menyumbang kepada kesihatan usus. Prebiotik terdapat dalam makanan yang tinggi serat seperti pisang, bijirin penuh dan beberapa jenis sayuran (lik dan bawang).
Sesetengah produk komersial mengandungi serat khas yang dipanggil inulin dan oligofruktosa (frukto-oligosakarida) yang juga prebiotik.
5. Makan diet berkhasiat yang rendah lemak
Makanan berlemak tinggi seperti makanan bergoreng, burger, sosej dan hidangan berminyak melambatkan penghadaman dan boleh menyebabkan sakit perut serta pedih ulu hati. Beberapa kajian juga menunjukkan pengambilan lemak yang tinggi juga boleh mempengaruhi komposisi bakteria usus.
6. Banyak bersenam
Hadkan aktiviti sedentari seperti bermain permainan komputer atau menonton televisyen. Sebaliknya lakukan lebih banyak aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari atau menari. Sebarang senaman yang meningkatkan kadar pernafasan dan denyutan jantung juga memberi faedah kepada penghadaman anda. Ini merangsang otot usus, sekali gus menyebabkan makanan diedarkan dengan lebih cekap melalui usus anda.
Pastikan anda memupuk tabiat membuang air besar yang baik seperti pergi ke tandas sekali sehari dan elakkan daripada menahan keinginan untuk membuang air besar. Satu lagi tabiat yang perlu dipupuk adalah mendapatkan saringan kesihatan tetap untuk mengesan sebarang masalah seawal mungkin. Mengabaikan kesihatan usus anda boleh mengakibatkan masalah yang serius.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Biasa kita dengar rungutan, bila umur sudah meningkat memang susah untuk turunkan berat badan. Katanya puaslah kawal makan namun bila timbang masih tidak dapat berat badan ideal. Lantaran itu betul ke bila sudah berumur itu bermakna memang susah untuk turunkan berat badan?
Menjawab persoalan ini, Puan Nurfarah Hanani Amir Hamzah, pegawai dietetik berkongsi info dan faktanya untuk anda lebih faham apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan berat badan ideal walau usia telah mencapai 40 tahun ke atas.
Ini dikupas secara detail bersama Keluarga di dalam segmen video Medic Keluarga dan semoga bermanfaat.
Ekstra Usaha
Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tapi memang betul bila usia kita semakin meningkat, badan kita lebih mudah untuk menyimpan lemak. Bahkan kita pun boleh lihat komposisi tubuh antara yang berumur 20an, 30an, 40an sudah berbeza, lemak lagi banyak, tulang kita pun merosot sidikit dan efeknya metabolisma rendah jadi itulah cabarannya. Perlu ektra usaha untuk kurus. Pemakanan seimbang penting dan senaman sangat penting.
Berat ideal juga berbeza mengikut usia, di mana jika umur bawah 60 tahun BMI adalah 18.5-22, tapi umur 60an mesti target BM adalah 22 ke atas. Perbezaan ini akan jadikan pengambilan pemakanan pun ada beza juga.
Pilih Aktiviti
Disarankan lihat faktor risiko dalam pemilihan senaman yang boleh amal berterusan, biasanya saya cadangkan berjalan sahaja berbanding jogging, berkebun pun boleh juga. Sebab bila berumur untuk melakukan senaman yang berat , bimbang tidak sesuai dengan kesihatan tubuh badan, maklumlah bila sudah berumur mulalah terasa lutut sakit dan sebagainya.
Pun begitu perlu difahamkan, surirumah yang sibuk menjaga anak, membasuh baju atau kerja rumah itu tidak boleh dianggap aktiviti aktif untuk dapat efek badan kurus. Ini sebabnya badan sudah terbiasa. Kita perlu tambah aktiviti, contoh jika suka berkebun jadi itulah aktiviti senaman bagi wanita tersebut. Kalau tak ada aktiviti lain, boleh sahaja pergi gim, tapi dapatkan khidmat pakar.
Pilih Tinggi Nutrisi
Pemakanan yang sesuai boleh high nutrision, seimbang, start sekarang jangan tunggu 40 tahun. Lebihkan minum susu untuk jaga tulang. Sehari 2 gelas sehari, pagi petang, atau pagi malam. Orang dewasa disarankan ambil yang low fat atau high kalsium.
Manakala pengambilan suplimen tidak jadi wajib, namun jika ada masalah penghadaman jadi perlu ambil suplimen (makanan tambahan) tapi selagi boleh makan lebih baik daripada sayur-sayuran dan buah-buahannya. Namun ada orang lebih percaya suplimen, terlalu bergantung dan hingga tidak lagi mengambil makanan yang original.
Cari supplement yang disahkan KKM, percaya lebal yang diyakini, dan saya tidak galakkan jenis jus-jus sebab kita sendiri tidak tahu berapa kandungan vitaminC di dalamnya. Jadi ia adalah makanan sahaja. Supliment itu adalah yang mengandungi vitamin, mineral, folid acid, omega.
Selain itu jika konsep sneck sihat malam boleh diambil jika lapar, disarankan Cuma ambil 1 gelas susu, 3 sudu out atau 1 keping roti Sebab lepas tu kita tidur, agak rugi sebab sudah bersenam tetapi kita tambah lemak lagi.
Ibu adalah penjaga rumah, jika membudayakan makanan sihat satu famili akan sihat. Jadi seorang ibu perlu ada kesedaran, start awal untuk sediakan makanan sihat. Pertama kurangkan penggunaan garam, kurangkan sedikit demi sedikit lama kelamaan toleransi kita pada garam semakin kurang dan seterus dapat membantu keluarga makan makanan sihat.
Untuk anda yang ingin mendengar lebih banyak info yang dikongsikan bolehlah menonton video ini.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Melihat derita yang dilalui oleh pesakit kanser, memang sukar untuk diungkapkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Pun begitu, bila dilihat dari sisi semangat yang mereka ada, jujur terbukti mereka ini cukup luar biasa. Hakikatnya, bukan calang-calang orang mampu diuji sedemikian.
Menyentuh tentang makna sembuh sepenuhnya bagi pesakit kanser, ayuh kita fahami perkongsian yang diberikan oleh Dr. Rushdan Noor ini melalui akaun fbnya. Jom semak
MAKSUD “KANSER SEMBUH SEPENUHNYA”
Semua pesakit kanser mahu penyakit kanser mereka disahkan SEMBUH SEPENUHnya. Begitu juga pakar kanser yang tentu akan merasa satu kepuasan jika berjaya merawat pesakit kanser sehingga sembuh. Walau bagaimanapun perkataan sembuh sepenuhnya daripada penyakit kanser tidak sama dengan penyakit bukan kanser.
Penyakit ketumbuhan fibroid (bukan kanser) yang dikesan pada rahim seorang wanita boleh dianggap sembuh sepenuhnya jika pembedahan mengeluarkan rahim dilakukan. Begitu juga ketumbuhan-ketumbuhan bukan kanser yang lain akan dianggap sembuh sepenuhnya jika ketumbuhan itu dikeluarkan.
Penyakit kanser BELUM boleh dianggap sembuh sepenuhnya walaupun kanser sudah tidak dapat dikesan (melalui semua jenis ujian) selepas rawatan ataupun pakar bedah sudah mengeluarkan kanser tersebut daripada badan. Pakar kanser hanya akan nengatakan bahawa buat masa ini ujian-ujian yang dijalankan menunjukkan tidak ada kanser yang wujud dalam diri pesakit. Dalam istilah perubatan, kami gunakan perkataan “no evidences of disease” (NED) ataupun “disease free”. Ini bukan bermaksud pesakit kanser sudah sembuh sepenuhnya.
Boleh Datang Semula
Kanser berbeza dengan penyakit bukan kanser kerana kanser masih boleh datang kembali selepas rawatan walaupun ujian-ujian pengesanan yang dilakukan tidak menunjukkan adanya kanser. Ada beberapa sebab mengapa keadaan ini berlaku di antaranya adalah:
1.Kanser adalah penyakit yang asalnya disebabkan berlaku kelainan genetik yang bertanggungjawab mengawal pembiakan sel. Walau pun kanser sudah dihapuskan sepenuhnya, kelainan genetik itu masih wujud.
2. Pendedahan kepada punca terjadinya kanser itu masih terus berlaku samada disedari ataupun tidak disedari oleh pesakit. Banyak jenis kanser yang tidak diketahui puncanya, jadi pesakit tidak tahu apa yang perlu dielakkan.
3. Ujian-ujian mengesan kanser yang ada pada hari ini tidak 100% tepat. Setiap ujian samada ujian darah ataupun pengimejan diagnostik seperti CT scan, MRI dan PET scan mempunyai kelemahan dan tidak 100% tepat. Jadi jika PET scan melapurkan tidak ada “hot spots” bukan bermaksud 100% tidak ada sel kanser di dalam badan.
4. Sel-sel kanser boleh berubah menjadi kebal kepada rawatan dan walaupun pembedahan serta rawatan kemoterapi/radioterapi dijalankan telah berjaya menghapuskan hampir kesemua sel kanser, sel kanser yg terselamat boleh berubah menjadi kebal dan lambat laun boleh membiak semula selepas beberapa lama mendiamkan diri. Sel-sel kanser ini selalunya daripada kanser jenis yang ganas ataupun kanser peringkat lewat.
5.Kaedah rawatan kanser yang ada pada hari ini walaupun terbaik setakat ini, namun bukan 100% berkesan. Banyak faktor yang mempengaruhi keberkesanan rawatan termasuk jenis kanser, peringkat kanser, jenis rawatan, dos rawatan, jangkamasa rawatan dan lain-lain lagi. Faktor sistem di dalam badan pesakit juga memainkan peranan, contohnya pesakit yang mempunyai kelemahan sistem pertahanan lebih sukar dirawat. Rawatan dianggap kurang berkesan jika tempoh “disease free” yang dialami oleh pesakit adalah singkat.
Negatif Selama 10 Tahun
Walau bagaimanapun memang ada pesakit yang akan sembuh sepenuhnya tetapi pakar kanser tidak dapat mengesahkannya dalam jangkamasa yang singkat. Peluang untuk sembuh sepenuhnya bergantung kepada jenis kanser, peringkat kanser dan banyak lagi faktor. Kanser di peringkat awal mempunyai kadar penyembuhan yang paling tinggi.
Umumnya seseorang pesakit kanser itu dianggap sembuh sepenuhnya jika semua kaedah ujian pengesanan kanser melapurkan keputusan negatif selama 10 TAHUN. Maksudnya pesakit kanser perlu menjalani rawatan susulan selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum boleh dianggap SEMBUH SEPENUHNYA (ada juga kes terpencil di mana kanser datang kembali selepas 10 tahun).
Jangan Terpedaya
Pesanan saya kepada orang awam adalah amalkan gayahidup sihat dan lakukan saringan kanser kerana mencegah lebih baik daripada berubat. Manakala pesanan saya kepada pesakit kanser pula adalah jangan berhenti menghadiri klinik kanser untuk pemeriksaan susulan walaupun anda sudah tamat menjalani rawatan dan pakar kanser sudah memaklumkan yang anda sudah tidak memerlukan rawatan lanjut. Hampir 80% kes-kes kanser berulang dikesan pada 2 tahun pertama dan 20% lagi pada tahun-tahun berikutnya.
Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan pengamal rawatan alternatif ataupun penjual produk suplemen/herba yang mendakwa pesakit mereka sudah SEMBUH SEPENUHnya selepas rawatan yang mereka berikan. Malahan kajian menunjukkan pesakit yang dirawat dengan kaedah alternatif mempunyai kadar penyembuhan dan jangkahayat yang lebih rendah daripada pesakit yang dirawat dengan kaedah rawatan kanser konvensional.
Di samping itu saya dapati ada juga pesakit-pesakit kanser yang sudah menjadi “jurucakap pakar kanser” memberi testimoni menceritakan amalan-amalan mereka termasuk mengambil produk-produk tertentu untuk kekal bebas daripada kanser sedangkan mereka baru sahaja beberapa bulan selesai menjalani rawatan kanser.
Seorang pesakit kanser berbeza dengan pesakit-pesakit yang lain walaupun menghidap kanser yang sama. Dapatkan maklumat daripada pakar kanser yang merawat anda. Saya bimbang jika anda mengelak daripada sesuatu yang tidak perlu dielakkan dan mengamal sesuatu yang boleh memudaratkan.
sumber : Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Garam dan lada hitam bukan sahaja bermanfaat di dalam makanan, malah membantu membuang toksik dalam badan. Itu petua yang dikongsikan oleh penyampai radio Sinar, Abby Fana baru-baru ini.
Menurutnya lagi, selain baik untuk membuang toksik, ramuan yang sudah tersedia di dalam rumah dan baru diamalkannya itu juga berupaya untuk merawat strok.
Sebelum tidoq…k.bed nk pijak2 garam kasaq & lada hitam ni…sekurang2nya 5 min…@ustazhanafiah kata petua ni elok utk buang toksik2 dlm badan & juga baguih utk mereka yg mengalami stroke. K.bed nak buat video demonstrasi ttp memandangkan ia melibatkan bhg kaki maka kita tunjuk gambaq jer naaa. Mlm ni merupakan sesi kali ke 2… Bahan2 : 2 kg garam kasar 100 g lada hitam #naksihatdengarnasihat #sembangsinar #allaura_by_abbyfana,” kongsi Abby menerusi akaun Instagramnya.
Perkongsian Abby itu mendapat perhatian ramai yang mahu mencuba sendiri di rumah.
“Sepupu saya strok sebelah kanan. Dia pun buat macam ni. Alhamdulillah.. Beransur pulih tangan kanannya dapat digerakkan semula dengan sendiri,” tulis @maisarahassan.
Malah, ada yang berpendapat kaedah yang sama boleh menghalau gangguan jin.
“Lepas tu tabur keliling rumah kan ‘pagar’ rumah orang kata,” saran @saraarisufy.
“Dalam perubatan Islam pun kata bagus amalkan macam ni, boleh halau jin,” tulis salah seorang pengguna.
“Ustaz saya cakap, amalkan juga minum bancuhan garam, limau nipis dan cuka untuk buang benda-benda tak elok dalam badan,” tambah pengguna lain pula.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
GM Klang melangkah ke era baharu dengan pelanjutan waktu operasi 10 pagi hingga 10 malam, menjadikannya lebih daripada pusat borong – kini sebagai hab komuniti dan gaya hidup moden yang hidup siang dan malam di Klang.