
Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, pelajar terbabit, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dikatakan telah berjaya menamatkan acara sejauh enam kilometer itu sebelum rebah tidak sedarkan diri sebaik melepasi garisan penamat di sekolah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelajar itu menyertai acara merentas desa peringkat sekolah bersama pelajar lain.
“Sebaik tiba di garisan penamat di padang sekolah, pelajar terbabit yang dikenali sebagai seorang yang aktif bersukan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
“Guru bertugas bersama pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) kemudian telah membawa pelajar itu ke khemah di situ dan memberikan bantuan pertolongan cemas, namun pelajar itu tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya di sini hari ini.

Katanya, guru terbabit terus menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan ke HSAH, pelajar itu meninggal dunia.
“Hasil temu bual pihak kita dengan bapa mangsa mendapati anak mereka itu sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit dan merupakan pelajar aktif bersukan.
“Semakan pihak kita juga mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis membenarkan anaknya menyertai acara sukan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan awal pihak polis ke atas mayat pelajar berkenaan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.
Kredit: Kosmo Online
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sembilan Sekeluarga Bakal Tunai Haji, Doa Bapa Di Arafah Termakbul

Sembilan sekeluarga bakal tunai haji, doa bapa di Arafah termakbul. Impian seorang bapa untuk membawa seluruh anak-anaknya menunaikan ibadah haji akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau bersama lapan ahli keluarganya terpilih menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini.
Sembilan Sekeluarga Bakal Tunai Haji, Doa Bapa Di Arafah Termakbul
Mohamad Hatta Abd Latif, 60, berkongsi kegembiraannya apabila beliau, isterinya, lima orang anak serta dua menantu turut terpilih menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
“Kami suami isteri pernah menunaikan haji pada tahun 2008 semasa mengiringi ibu mentua. Ketika berada di Arafah, saya berdoa agar suatu hari nanti dapat membawa anak-anak pula menunaikan haji.
“Empat bulan selepas pulang ke tanah air, saya terus mendaftarkan anak-anak untuk menunaikan haji. Syukur, tahun ini rezeki menyebelahi kami. Selain tujuh ahli keluarga terdekat, dua menantu turut sama menyertai kami. Perasaan teruja memang tidak dapat digambarkan,” katanya ketika ditemui pada Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor, hari ini.
Mohamad Hatta memaklumkan bahawa mereka sekeluarga dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 30 Mei nanti.

Dalam pada itu, anak bongsunya, Muhammad Hanif yang baru berusia 20 tahun, meluahkan rasa tidak percaya kerana diberi peluang menunaikan haji pada usia muda.
“Bila tahu terpilih, saya rasa terkejut sebab saya tahu bukan mudah untuk ke Tanah Suci. Pada mulanya saya rasa ragu-ragu, tertanya-tanya sama ada saya betul-betul bersedia atau tidak. Tapi selepas menghadiri kursus, rasa yakin itu makin bertambah,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan merasmikan Kursus Haji Perdana peringkat negeri.
Kursus ini menyaksikan seramai 8,338 jemaah dari Selangor membuat persiapan akhir sebelum berangkat ke Mekah. Selangor mencatatkan jumlah jemaah tertinggi, terdiri daripada 3,609 lelaki dan 4,729 wanita.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Kanak-kanak Dilarang Sertai Musim Haji 2025
Tabung Haji Umum Dividen 3.25% Bagi Tahun Kewangan 2024, Tertinggi Sejak 2018
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Suami Isteri Maut Ford Mustang Terbabas Di Jalan Segamat-Kuantan Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad

Suami isteri maut, Ford Mustang terbabas di Jalan Segamat-Kuantan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad. Pemergian pasangan suami isteri yang juga pemilik kedai emas, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya Nur Syamimi Rosli, 36, akibat kemalangan jalan raya pada Isnin lalu memberi kesan yang amat mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada golongan yang pernah menerima bantuan daripada mereka.
Suami Isteri Maut Ford Mustang Terbabas Di Jalan Segamat-Kuantan Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad
Menurut bapa kepada Allahyarhamah Nur Syamimi, iaitu Rosli Ramli, 61, pasangan itu sangat pemurah dan tidak lokek untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan. Malah katanya, mereka sangat mudah tersentuh melihat penderitaan insan lain.

“Mungkin asbab daripada sifat pemurah mereka, ALLAH permudahkan urusan perniagaan barang kemas diusahakan hingga berjaya membuka dua kedai emas termasuk di Pekan.
“Dulu dia (Nur Syamimi) menjual barang kemas termasuk barang perhiasan suasa dan perak secara kecil-kecilan termasuk di pekan sehari.
“Berkat usaha mereka, perniagaan barang kemas yang diusahakan lebih 10 tahun lalu itu semakin maju dan boleh dibanggakan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada Selasa.
Rosli yang merupakan pesara guru turut berkongsi bahawa pasangan itu sering bergerak bersama setiap kali menghantar barang kemas kepada pelanggan. Malah, pertemuan terakhir mereka berlaku dua hari sebelum kejadian, ketika pasangan itu menghantar anak ketiga untuk bermalam di rumahnya.
“Saya cuma dapat tahu mereka ke Segamat semalam (Isnin) untuk bertemu pelanggan sebelum menerima khabar mengejutkan ini,” ujarnya.
Beliau menerima berita kemalangan yang meragut nyawa anak dan menantunya sekitar jam 3 petang daripada anak bongsunya.

“Masa terima panggilan saya baru hendak makan tengah hari.
“Anak beritahu kakak dia dan suami kemalangan dan kedua-duanya maut di tempat kejadian,” katanya lagi.
Rosli menyifatkan kehilangan mereka sebagai satu tamparan hebat kerana perniagaan yang diusahakan bersama kini sedang berkembang pesat.
“Mereka pergi waktu perniagaan sedang maju tapi ALLAH lebih sayangkan mereka,” katanya, sambil mengenang kembali tragedi kehilangan anak keduanya, Allahyarham Mohd Shazwan, dalam kemalangan pada tahun 2011.
Pasangan ini meninggalkan empat orang anak perempuan berusia antara dua hingga 11 tahun, iaitu Nur Izzara Eryna (11), Nur Airaa Eryna (7), Nur Naura Eryna (4), dan Nur Qairaa Eryna (2).

Adik bongsu Nur Syamimi, iaitu Nur Izzah Ezani Rosli, 26, turut berkongsi bahawa kakak dan abang iparnya sangat baik dengan pekerja mereka dan tidak pernah berkira.
“Pada Jumaat lalu mereka sempat belanja kek untuk pekerja kedai emas di Pekan.
“Pada pagi Isnin, mereka singgah di kedai untuk ambil barang kemas yang dipesan pelanggan.
“Masa itu hanya abang ipar yang turun ambil barang manakala kakak hanya tunggu dalam kereta,” katanya.
Berita tentang kemalangan tragis yang menimpa kakak dan abang iparnya itu sangat mengejutkan seluruh ahli keluarga.

Jenazah pasangan ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada kira-kira jam 10.45 pagi, Selasa. Sebelum itu, jenazah dibawa dari kediaman keluarga di Taman Syahbandar menaiki dua van jenazah dan tiba di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Pekan pada jam 9 pagi untuk disolatkan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Mohd Izuddin dan Nur Syamimi maut selepas kereta Ford Mustang yang mereka naiki terbabas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan berhampiran simpang Felda Pemanis, Segamat. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Anak Bongsu Genap Setahun, Zaquan Adha, Ayu Raudhah Ziarah Pusara- Selamat Ulang Tahun, Anak Syurgaku…
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Potong Rambut Serentak, Anak-Anak Dara Almy Nadia Dipuji Comel & Menawan

Suasana meriah dan penuh gelak tawa jelas terpancar dalam video terbaru yang dikongsi oleh pelakon Datin Almy Nadia di media sosial yang juga merupkan isteri kepada pelakon Dato’ Mohd. Fairuz Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz.
Dalam perkongsian tersebut, Almy membawa kelima-lima anak daranya ke salon untuk sesi potong rambut serentak. Moment ini bukan sahaja mencuri perhatian warganet, tetapi juga menjadi bukti kebahagiaan dan keakraban keluarga kecil ini.
Yang paling mencuri perhatian sudah tentu si kecil bongsu, yang masih bayi, turut dibawa bersama. Meskipun belum memerlukan potongan rambut, kehadirannya melengkapkan suasana ceria di salon. Bayangkan saja betapa happening-nya bila lima anak dara cantik Almy memenuhi ruang salon, masing-masing bersedia untuk gaya rambut baru.

Dalam video tersebut, Almy kelihatan sibuk menguruskan anak-anaknya sambil memastikan mereka selesa. Anak-anak dara Almy, yang semuanya memiliki wajah comel dan menawan, menjadi tumpuan ramai. Ramai memuji wajah mereka yang cantik dan menyebut betapa mereka mewarisi iras kecantikan ibu mereka, Almy Nadia.


Di ruangan komen, warganet tidak henti-henti melontarkan pujian kepada Almy dan anak-anaknya. Ada yang memuji wajah comel dan berseri kelima-lima anak dara Almy, malah ada juga yang menyatakan mereka seperti kembar kerana semuanya memiliki wajah yang hampir sama. “Subhanallah, comel-comel semuanya. Memang anak-anak Almy ni ikut rupa mama!” komen salah seorang pengikut.
Selain itu, ramai yang mengagumi cara Almy menguruskan lima anak serentak dengan tenang dan penuh kasih sayang. “Hebatnya Almy, bawa lima anak potong rambut serentak. Nampak sabar dan happy je. Memang supermom!” tulis seorang warganet lagi.
Sesi potong rambut itu juga menunjukkan betapa rapatnya hubungan adik-beradik dalam keluarga ini. Anak-anak Almy dilihat saling berbual dan ketawa, menambah suasana harmoni dalam salon. Sesi tersebut bukan sekadar untuk memperbaharui gaya rambut, tetapi juga masa berkualiti bersama keluarga.
Keakraban keluarga Almy Nadia sering menjadi inspirasi kepada peminat. Selain berbakat dalam bidang lakonan, Almy juga dikenali sebagai ibu penyayang yang sentiasa mementingkan kebahagiaan anak-anak. Walaupun sibuk dengan pelbagai tanggungjawab, beliau tetap memastikan setiap momen bersama keluarga adalah bermakna.

Sungguh, perkongsian Almy kali ini bukan sahaja memberi inspirasi, malah menyuntik rasa kagum terhadap wanita hebat yang mampu menguruskan rumah tangga dengan penuh dedikasi. Semoga Almy Nadia dan keluarga sentiasa diberkati dan terus menjadi contoh terbaik buat ibu-ibu di luar sana!
Sumber: almynadiaofficial
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

