
Sudah kehilangan kedua-dua ibu bapa, kini seorang kakak berdepan kebimbangan apabila satu-satunya adik lelaki yang dimilikinya, seorang penuntut UKM, dipercayai hilang sejak kira-kira lima minggu lalu.
Kisah penuntut UKM hilang itu cukup meruntun hati apabila mengenangkan nasib dua beradik yang sudah kehilangan tempat bergantung sejak beberapa tahun lalu.
Nur Fatihah Mat Daud, 33, dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan adiknya, Muhammad Shafik Hidayat, 22, yang merupakan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penuntut UKM Hilang, Kakak Sangka Adik Mengikuti Pengajian Seperti Biasa
Nur Fatihah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kehilangan adiknya kira-kira tiga hari lalu menerusi mesej yang tular di aplikasi WhatsApp.
“Saya dapat pesanan mesej yang memaklumkan adik saya sudah lama tidak hadir ke kelas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Pihak universiti juga ada menghubungi saya untuk maklumkan mengenai perkembangan kehilangannya, namun sehingga kini dia masih belum ditemui,” katanya kepada Bernama.
Kali terakhir mereka berhubung adalah pada 3 Oktober lalu ketika Nur Fatihah menghantar adiknya menaiki bas untuk ke Kajang.
Selepas itu, mesej yang dihantar tidak lagi berbalas. Namun, dia menyangka adiknya berada dalam keadaan baik dan mengikuti pengajian seperti biasa.

Hanya Tinggal Dua Beradik
Lebih meruntun hati, kedua-dua beradik itu sudah kehilangan ibu bapa kira-kira empat hingga lima tahun lalu.
“Selepas kedua-dua ibu bapa kami meninggal dunia kira-kira empat, lima tahun lepas, saya hanya ada dia sahaja kerana kami dua beradik.
“Jadi, saya amat berharap agar adik saya dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurut Nur Fatihah, adiknya juga tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepadanya sebelum ini.
Kakak Rayu Bantuan Orang Ramai
Muhammad Shafik Hidayat merupakan penuntut tahun tiga Fakulti Sains Citra UKM yang dilaporkan tidak hadir ke universiti sejak kira-kira lima minggu lalu.
Usaha pihak universiti untuk menghubunginya menerusi panggilan telefon turut tidak berhasil.
Nur Fatihah dan pihak universiti masing-masing telah membuat laporan polis berhubung kehilangan pemuda berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat Muhammad Shafik Hidayat diminta segera menghubungi pihak universiti atau balai polis berhampiran.
Semoga segala usaha pencarian dipermudahkan dan Muhammad Shafik Hidayat ditemukan dalam keadaan selamat, sekali gus dapat kembali ke pangkuan kakak tersayang.
BACA LAGI : Ibu Tinggal Bersendirian Selepas Kehilangan Suami, Kasih Sayang Anak-Anak Jadi Kekuatan Hidup
Sumber: Kosmo Online!

