Botol makanan seperti sos spageti memang adakalanya susah nak dibuka. Puas cuba buka dengan kain pengelap atau sekuat hati dengan tangan tapi penutup botol masih juga susah nak dibuka.
Kadang-kadang kalau nak cepat rasa sakit hati juga. Tambah lagi kalau dalam bulan puasa, pulang daripada kerja dan masa yang singkat itulah buat kita rasa nak marah. Melambatkan proses memasak.
Jangan marah-marah kerana ada caranya untuk buat penutup botol ini cukup mudah nak dibuka. Cuba petua ini.
Ads
Rendam Air Panas
Sebelum merancang hendak masak, kenalah set kan minda lebih awal sebab kena ambil masa untuk buka penutup ini dengan mudah. Begini caranya. Tuangkan air panas ke dalam mangkuk dan terbalikkan botol sos ini ke dalam air panas. Sementara itu bolehlah menghiris bawang atau bahan-bahan memasak yang lain. Bila dah siap semua bahan, cubalah buka penutup botol dan lihat hasilnya. Botol boleh dibuka dengan mudahnya.
Guna Sudu Besi
Jangan tak tahu sudu besi juga banyak kegunannya dalam mengamalkan pelbagai petua. Untuk membuka penutup botol ini, ambil sudu besi dan ketuk di sekeliling penutup botol. Jika boleh ambillah sudu yang bersaiz besar dan berat. Lakukan langkah ini beberapa kali diseluruh kawasan penutup botol. Sesekali cubalah membukanya.
Ads
Ketuk Pada Dinding
Ini bukan kelakar tapi petua yang sangat berkesan. Ketuk penutup botol pada dinding yang agak keras, dengan cara menegakkan botol. Pegang botol seperti biasa dan ketuklah pada dinding. Menggunakan kayu pintu dapur yang keras adalah pilihan paling tepat.
Ads
Selamat mencuba!
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, hasrat ziarah keluarga Nurly Sahirah tak kesampaian. Hajat seorang pengantin baharu untuk menyantuni keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik bulan lalu tidak kesampaian apabila dia sendiri maut dalam kemalangan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, Setiu, pagi Rabu.
Menurut adiknya, Wan Zainul Abidin Wan Abdul Halim, 33, abangnya, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, dalam perjalanan ke Besut bagi bertemu sekumpulan penunggang motosikal dari Kedah untuk merancang lawatan ke rumah keluarga Allahyarham Nurly Sahirah.
“Mereka dah janji nak berjumpa di Besut. Niat nak berbincang tentang ziarah keluarga arwah Nurly. Tak sangka abang pula yang pergi dulu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, malam tadi.
Tambahnya, arwah yang tinggal di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu, baru sahaja melangsungkan pernikahan pada Jumaat lepas, bersamaan 1 Muharam, dan merancang mengadakan majlis kesyukuran pada September akan datang.
“Dia pernah cakap nak buat kenduri kesyukuran perkahwinan, nak raikan sekali bersama ahli keluarga, tapi semuanya hanya tinggal kenangan,” ujarnya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Wan Nazirah Wan Pauzi, 37, serta tiga anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu berusia antara 9 hingga 13 tahun yang masih bersekolah di SMK Sultan Sulaiman dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1).
Arwah juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Tekukur, selain dikenali sebagai seorang hafiz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran serta aktif dalam misi kebajikan termasuk membaik pulih pondok di Thailand dan program khatan serta ibadah korban.
Solat jenazah Allahyarham Wan Hasbullah diadakan di Masjid Khalifah, Kuala Terengganu malam tadi dan dihadiri lebih 2,000 jemaah sebelum jenazah dikebumikan sekitar jam 10 malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi semalam, arwah maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 yang ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang sedang membelok ke simpang kanan.
Kembar seiras yatim piatu genggam ijazah kelas pertama, hadiah terindah buat nenek. Pasangan kembar seiras yatim piatu, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Daliana Muhammad Yusof, 23 tahun berkongsi kegembiraan meraikan majlis graduasi mereka.
Pasangan kembar ini menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-24 University College TATI (UC TATI) di sini. Lebih manis lagi, kejayaan itu hadiah terindah kepada nenek mereka iaitu Wan Zaharah Ahmad, 79.
Siti Nur Masmera Dalina dan Siti Nur Mastika Daliana masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Peralatan) dengan Kepujian pada majlis konvokesyen yang berlangsung pada Ahad.
Lebih menggembirakan apabila mereka berjaya menerima Ijazah Kelas Pertama atas pencapaian akademik yang luar biasa.
Pasangan kembar seiras yatim piatu berkongsi kegembiraan meraikan majlis graduasi mereka bersama segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-24 University College TATI (UC TATI) di sini.
Wan Zaharah telah menjaga pasangan kembar itu sejak kecil setelah pemergian ibu bapa mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Siti Nur Masmera Dalina dan Siti Nur Mastika Daliana masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Peralatan) dengan Kepujian.
Lebih menggembirakan apabila mereka berjaya menerima Ijazah Kelas Pertama atas pencapaian akademik yang luar biasa.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa kami akan berada di sini meraih ijazah dan menerima penghargaan yang begitu bermakna.
“Segala yang kami capai adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi nenek kami iaitu Wan Zaharah selain bantuan diberikan oleh pihak universiti,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Selain itu, Siti Nur Mastika Daliana, turut berkongsi rasa syukur dan bangga atas kejayaan mereka meraih ijazah dalam bidang kejuruteraan.
“Kami sentiasa saling memberi semangat antara satu sama lain. Nenek juga sangat berjasa dalam hidup kami dan saya sangat hargai kasih sayang dan pengorbanan daripada nenek yang tiada galang ganti.
“Walaupun banyak cabaran yang dihadapi, kami tahu bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kesusahan,” ujarnya.
Sementara itu, nenek kepada pasangan kembar berkenaan, Wan Zaharah berkata, dia berasa bersyukur apabila cucu kembarnya yang dibesarkan sejak kecil berjaya menamatkan pengajian dalam bidang diminati.
“Saya seorang suri rumah dan kehilangan suami, Awang Ngah Sulong ketika pasangan kembar itu berusia 15 tahun.
“Saya sangat bangga dan terharu dengan kejayaan mereka. Walaupun kami tidak mempunyai banyak harta, saya selalu berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh.
“Mereka telah membuktikan bahawa usaha yang gigih serta berkat doa tidak pernah sia-sia dan mereka kini berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya sambil menitiskan air mata kegembiraan.
Sementara itu, Wan Zaharah turut berterima kasih kepada pihak pengurusan UC TATI yang telah memberi peluang dan bantuan biasiswa asasi kepada cucunya bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.
“Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Terengganu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atas sumbangan dana kebajikan kepada Siti Nur Masmera Dalina dan Siti Nur Mastika Daliana hingga mereka berjaya menamatkan pengajian di UC TATI,” ujarnya.
Pada majis itu, Siti Nur Masmera Dalina telah dianugerahkan Anugerah Rektor atas kecemerlangannya yang tidak hanya terhad kepada bidang akademik tetapi juga aktif dalam kokurikulum.
Siti Nur Masmera Dalina juga merupakan contoh teladan kepada pelajar lain dengan penglibatannya yang aktif dalam pelbagai program universiti dan pencapaian akademik yang konsisten.
Sementara itu Rektor UC TATI, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, beliau turut memuji keberanian dan semangat kedua-dua kembar tersebut.
“Mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita tetapi kepada usaha dan komitmen yang kita tunjukkan,” ujarnya.
Mengetahui ada sahaja ahli keluarga atau kenalan rapat ada disahkan positif Covid-19 hati sudah resah dan gelisah apatah lagi andai dikhabarkan insan tersayang sudah pergi selamanya angkara Covid-19. Hati siapa yang tidak luluh dan sedih, dan inilah yang dirasai oleh Abdul Rahim Daim yang berkongsi kisahnya di Harian Metro baru-baru ini apabila adiknya Abdul Malik Daim, 43, meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps, Serdang disusuli ibu tercinta, Patimah Babu, 75, keesokkan hari di Hospital Sungai Buloh.
Lebih memeritkan ketika itu, tujuh daripada sembilan ahli keluarga lain termasuk isteri dan tiga anaknya turut disahkan positif apabila melakukan ujian saringan Covid-19, selepas anak, adik dan ibunya mengadu deman dan batuk pada hari raya ketiga.
Ketika dihubungi, Abdul Rahim berkata beliau tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri baru-baru ini menjadi kenangan terakhir sebelum wabak itu meragut nyawa dua insan yang tersayang.
“Bimbang melihat keadaan kesihatan anak, adik dan mak, saya tanpa berfikir panjang membawa mereka dan ahli keluarga lain melakukan ujian saringan Covid-19 dan perkara yang takuti akhirnya terjadi apabila ibu dan beberapa ahli keluarga yang lain disahkan positif apabila keputusan ujian saringan diperoleh pada malam itu.
“Hanya saya dan anak perempuan negatif ketika itu, jadi saya kemudian meminta yang positif buat persiapan untuk pergi ‘assessment’ di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam keesokan paginya tanpa menunggu van ambulans datang ke rumah,” katanya kedengaran tenang ketika menceritakan kembali kejadian itu.
Katanya, selepas menjalani penilaian CAC di Stadium Melawati, ibunya dibawa ke Hospital Sungai Buloh selepas pernafasannya kurang baik di samping mengalami komplikasi buah pinggang dan kencing manis, manakala adiknya yang obes pula dihantar ke PKRC Maeps.
“Ahli keluarga yang lain pula diarah melakukan kuarantin di rumah,” katanya yang menetap di Puchong.
“Pada pagi Sabtu, 22 Mei saya ada telefon adik kerana dia ada minta hantarkan pakaian dan sejadah, namun panggilan saya tidak dijawab sehinggalah saya dapat panggilan supaya datang ke hospital Serdang, dan dimaklumkan adik saya telah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.
“Mereka cuba diselamatkan tapi gagal, kemungkinan dia dah tiada semasa di Maeps pada pukul 9.00 pagi lagi,” kongsinya sambil mengesahkan video pasukan perubatan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang pesakit di Maeps yang tular adalah adiknya.
Dugaan yang diterima tidak terhenti di situ sahaja apabila belum pun sempat menyelesaikan urusan dokumentasi kematian adiknya, Abdul Rahim tidak lama selepas itu menerima panggilan daripada doktor dari Hospital Sungai Buloh yang memaklumkan ibunya pula dalam keadaan tenat.
“Kami sekeluarga sempat buat panggilan video dengan mak memohon maaf atas salah silap selama membesarkan kami adik-beradik, dan itulah perbualan terakhir kami sebelum beliau disahkan meninggal dunia sekitar pukul 2.00 pagi,” katanya.
Abdul Rahim yang adalah kakitangan Media Prima Berhad berkata jenazah ibu dan adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya pada petang Ahad.
Ditanya mengenai punca jangkitan Covid-19 boleh berlaku dalam kalangan keluarganya, Abdul Rahim berkata beliau sendiri kurang pasti, namun tidak menafikan memang menjadi kebiasaan baginya untuk menghantar belanja, belikan lauk dan makanan ke rumah ibunya sebelum beliau ke tempat kerja.
“Perkara yang berlaku menjadi satu pengajaran yang cukup bermakna buat ahli keluarga saya.
“Sehubungan itu saya ingin berpesan kepada rakyat Malaysia, jangan kita leka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kita tidak ketahui dari mana Covid-19 itu berada dan kita tidak tahu siapa yang pembawanya,” katanya.