Bagi pengguna Tiktok, anda pasti kenal dengan kanak-kanak ini yang sangat petah berbahasa inggeris dalam video-video yang dimuatnaik.
Pernah dia dikecam, namun sifat positif yang ditanamkan dalam dirinya dan juga sokongan ibunya tidak mematahkan semangat kanak-kanak ini untuk terus memparbaiki kelemahannya.
Baru-baru ini, sekali lagi video kanak-kanak yang bernama ur Ayeesha Azzaleea yang lebih mesra dipanggil Zaza ini kembali menjadi perhatian ramai.
Semuanya kerana kepetahannya berucap di hadapan hadiran yang lebih dewasa daripadanya.
Menerusi satu video tular dikongsikan oleh ibunya, Nonie Sarawanie, 42, ketika itu, Nur Ayeesha Azzaleea Mohamed Mukhriz dijemput sebuah syarikat untuk memeriahkan Majlis Inspirasi Kerjaya Bersama Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu.
Menurut Nonie, anaknya yang berusia sembilan tahun ini menerima jemputan khas untuk berkongsi pengalamannya sebagai pengguna kasut Medifeet di hadapan pentas.
“Kami menerima jemputan daripada pemilik syarikat tu sebab dia memang suka melihat keletah Zaza dan ingin berjumpa secara berdepan.
“Hadirin yang datang bukanlah calang-calang, kebanyakan semua ahli perniagaan hebat. Untuk sesi Zaza, dia dianggap sebagai tetamu undangan untuk selingan majlis selepas semua usahawan memberi ucapan.
“Zaza diberi masa 20 minit untuk bercakap. Pada mulanya saya bercadang nak bersama dengan Zaza untuk kongsikan pengalaman tetapi disebabkan saya tiada suara masa tu, dia bercakap seorang dan dia okay… akan cuba katanya.”
Menurut Nonie, Zaza diminta ‘mengajar’ dalam majlis tersebut kerana banyak videonya sebelum ini menujukkan lagaknya seorang pengajar bahasa Inggeris menggunakan slanga Amerika dan British.
Sebagai ibu yang memberi sokongan penuh terhadap minat anaknya, Nonie membantu Zaza membuat persiapan awal bahan mengajar dengan menyediakan slaid pembentangan.
“Lepas waktu subuh tu saya ambil masa sedikit untuk buat slaid menggunakan Power Point untuk Zaza bentangkan pasal kasut.
“Alhamdulillah dia dapat sampaikan dengan baik. Semua penonton terhibur dengan telatah dia seperti pensyarah. Maklumbalas hadirin masa Zaza memberi ucapan cukup membuatkan saya bangga.
“Mereka mungkin terkejut budak sembilan tahun berani bercakap di atas pentas dan boleh bangun untuk bertanya soalan seperti gaya seorang guru atau pensyarah,” kata si ibu.
Nonie juga turut berkongsi tip bagaimana anaknya ini dibentuk dan dididik sehingga dia mempunyai tahap keyakinan tinggi dan petah berkata-kata di khalayak.
Disebabkan Zaza seorang yang suka bercakap sejak kecil, Nonie menghantarnya ke sebuah kelas pengucapan awam di Taipan USJ, Selangor.
Ads
Nonie yang merupakan seorang guru turut membuat pemerhatian dan mendapati ramai murid boleh bercakap dengan kawan-kawan tetapi bila dipanggil ke hadapan atau naik ke pentas mereka takut untuk bercakap.
“Apa yang saya selalu buat, saya akan suruh Zaza bercakap di hadapan, saya dan suami akan jadi penonton.
“Contohnya apabila selesai tonton cerita atau baca buku, saya akan minta dia ulas semula di hadapan kami.
“Dari situlah dia begitu berani tampil di khalayak. Itulah yang dia belajar tentang penguasaan pentas dan hadirin,” jelas Nonie.
Jika anda mengikuti tiktok Zaza, kebanyakan komen yang diterima adalah berkaitan dengan slang Zaza(accent).
Seperti kanak-kanak lain, Zaza suka menonton video untuk belajar tatabahasa dan kosa kata bahasa Inggeris sebelum ia dipraktikkan.
“Zaza masih banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki. Ada juga yang menegurnya yang kadangkala tersalah dari segi tatabahasa bahasa Inggeris,
Ads
“Pada saya, ini semua proses pembelajaran. Saya pun faham di peringkat umur macam ini kita tidak boleh berharap lebih dari kemampuan dia,” ujarnya.
Seperti mana dapat dilihat pada videonya, rata-rata memuji keberanian si cilik ini mengendalikan majlis tersebut.
Dia kelihatan begitu bersahaja dan tidak kekok, walaupun menurut Nonie ini merupakan kali pertama anaknya berucap di hadapan orang dewasa.
“Ada juga sedikit komen kecaman menyentuh slang Zaza. Tapi pada saya, asalkan para hadirin faham dan seronok masa itu sudah cukup. Ada yang kata Zaza bukan dilahirkan di England jadi slang itu agak keterlaluan.
“Saya juga terima banyak sangat komen positif mengatakan anak mereka juga terinspirasi belajar Bahasa Inggeris selepas melihat video Zaza.
“Walaupun Zaza dilihat menguasai Bahasa Inggeris, ramai anggap saya membiarkan dia tidak menguasai Bahasa Melayu. Alhamdulillah seperti dalam video yang saya kongsikan dalam TikTok, Zaza pernah memenangi pertandingan bercerita Bahasa Melayu dan johan acara ‘story telling’ di sekolah,” ujar Nonie lagi.
Dalam pada itu, Nonie menegaskan bahawa tujuan dia berkongsi video Zaza di TikTok adalah untuk memberi inspirasi kepada anak-anak orang lain supaya dapat sama-sama belajar.
Isu rasuah sentiasa menjadi perbahasan yang dikupas saban tahun, namun ia datang dan pergi dalam masyarakat. Ini sekali gus memberi gambaran rasuah masih berlaku secara senyap ibarat api dalam sekam yang sebenarnya membarah dan merosakkan peradaban dan tamadun manusia.
Lantaran itu sebagai ibu ayah kita juga tidak mahu generasi kita terjebak dengan masalah rasuah yang mana kesannya cukup hebat hingga boleh melumpuhkan sebuah negara jika tidak dibendung dari awal.
Perlu diingat, orang tua-tua dahulu sering berpesan dalam mendidik anak-anak agar mempunyai akhlak yang baik dan jati diri yang teguh perlu bermula dari seusia kecil mereka. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Wajar sedari kecil sudah kita beri kefahaman yang jelas mengenai bahaya cengkaman rasuah agar bila mereka besar kelak tidak tersalah langkah dalam membuat pertimbangan.
Lantaran itu satu usaha transformasi dan gerakan moral inisiatif rakyat demi rakyat dibawakan oleh #RasuahBusters dan lebih 400 gabungan melalui 6 Tuntutan Rakyat dalam Politik #MalaysiaTanpaRasuah telah dilancarkan secara rasminya.
Ini sepertimana memetik laporan daripada Sinar Harian, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, usaha melibatkan kumpulan politik perlu kerana mereka adalah ‘decision maker’ dan pembuat dasar.
Katanya, selain itu pasukan Rasuah Busters juga mengajak seluruh rakyat Malaysia bangkit membenci rasuah demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Untuk itu, gerakan pasukan Rasuah Busters berusaha untuk memastikan kumpulan pertama ini yang melibatkan ahli politik adalah kumpulan pemimpin yang bebas rasuah.
“Untuk itu kita perlukan pemimpin yang berintegriti tinggi sahaja untuk berada di tampuk kepimpinan negara,” katanya dalam ucapan aluan majlis pelancaran gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah secara maya pada Sabtu.
Tambah Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, pasukan Rasuah Busters akan bertindak sebagai mata dan telinga untuk mendesak sebuah kerajaan serta kepimpinan politik yang bersih menerusi gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah.
Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, menerusi kempen Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang dilancarkan hari ini, terdapat enam tuntutan yang diberi perhatian oleh pasukan Rasuah Busters.
Katanya, tuntutan pertama adalah berhubung pelaksanaan dan sokongan penuh kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan keduanya mempercepatkan pembentangan dan perlaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik.
Menurutnya, tuntutan ketiga untuk memastikan kebebasan dan ketelusan institusi terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.
“Tuntutan keempat memperkenal dan mengadakan Pilihanraya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti, seterusnya pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 serta melaksanakan reformasi parlimen,” katanya.
Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual!
Bukan sahaja dapat eratkan hubungan dengan keluarga tersayang, tapi boleh lakukan aktiviti yang menceriakan bersama-sama. Hadiah menarik menanti anda sekeluarga!
Yuran hanya RM30.00 sahaja terhad untuk 50 famili sahaja. Satu famili 2 dewasa 2 kanak-kanak. Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520
Masalah penyakit yang dihadapi bukan penghalang bagi adik Muhammad Ammar Azman untuk terus menuntut ilmu sehingga berjaya memperoleh geran di bawah Program Pendidikan Anak-Anak Kakitangan Yayasan Sime Darby (YSD) bagi melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan (Pengajian Islam) di Universiti Selangor (Unisel).
Muhammad Ammar sebelum ini disahkan menghidap kanser otak ketika berusia 10 tahun. Anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini tidak patah semnaagat dan gigih belajar sehingga berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menghafaz al-Quran meskipun pada tempoh itu dia terpaksa menjalani enam pembedahan serta menjalani sesi radioterapi bagi memerangi kanser yang dihadapi.
“Saya agak keberatan untuk menyambung pelajaran selepas SPM kerana ibu bapa saya terpaksa menanggung hutang yang banyak akibat kesihatan saya.
“Mengambil kira masalah kewangan yang dihadapi, saya beritahu mereka bahawa saya tidak kisah jika terpaksa menangguhkan pengajian saya tetapi mereka tidak terima.
“Saya bernasib baik kerana ibu saya merupakan kakitangan Sime Darby Property Berhad, sekali gus melayakkan saya untuk mendaftar bagi geran YSD.
“Ia telah membuka jalan bagi saya melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Islam, yang saya amat minati,” katanya selepas majlis penyerahan anugerah tersebut baru-baru ini.
Muhammad Ammar, yang meminati pengajian al-Quran dan tidak teragak-agak lagi untuk melanjutkan pelajaran, disahkan bebas kanser sejak dua tahun lepas.
“Saya membaca al-Quran setiap hari dan bila ada peluang cuba menghafal setiap bacaan walaupun ia agak mencabar. Amalan itu telah menjadi rutin bagi saya.
“Bagaimanapun, paling penting tiada lagi sel kanser dikesan dalam tubuh saya, jadi sekarang saya boleh memberi sepenuh perhatian kepada pengajian diploma dan al-Quran saya,” katanya.
Bercita-cita menjadi guru pengajian Islam pada masa hadapan, Muhammad Ammar menggalakkan individu yang mempunyai pengalaman sama dengannya supaya tidak mudah putus asa dengan peluang pendidikan yang ada.
Muhammad Ammar merupakan antara 3,026 penerima biasiswa pada Majlis Anugerah Biasiswa (SAC) tahunan YSD iaitu sebahagian daripada komitmen yayasan tersebut dalam menyediakan pendidikan inklusif dan berkualiti.
Majlis disempurnakan Pengerusi YSD Tunku Tan Sri Imran Tuaku Ja’afar dan Presiden OKU Sentral yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi.
Dengan ‘Pendidikan untuk Semua’ sebagai tema tahun ini, SAC diadakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi mencerminkan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia.
Setelah seminggu beraya dan masing-masing sudah pulang ke kediaman masing-masing, rata-rata tidak lepaskan peluang untuk laksanakan ganti puasa puasa ramadan dan puasa enam.
Bila dah puasa ni, masuk pula pejabat, mula lah meriah kawan-kawan bawa makanan itu ini setelah seminggu bercuti. Kita pula yang jadi serba salah bila dijamu makanan tapi tak boleh makan sebab puasa ganti tersebut. Tapi… Sebenarnya, boleh ke kalau kita nak sesaja batalkan puasa tersebut ye? Hmm kalau nak tahu, jom semak jawapan dari Mufti Wilayah Persekutuan ini!
Soalan
Assalamualaikum, saya ada satu persoalan berkenaan dengan puasa ganti yang saya tinggalkan pada bulan Ramadan. Waktu saya ganti puasa tersebut, rakan saya menjemput saya untuk makan persoalannya, adakah boleh saya membatalkan puasa saya untuk memenuhi jemputan rakan saya itu. Sekian terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Puasa ganti Ramadan adalah fardhu ain dan wajib ditunaikan. Oleh itu, tidak boleh memutuskannya atau membatalkan secara sengaja malah berdosa besar sekiranya melakukannya. Di samping itu, wajib menyelesaikannya sehingga sempurna melainkan dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid, atau bermusafir.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Puasa Ramadan merupakan puasa yang wajib dikerjakan apabila tiba pada waktu yang ditetapkan. Ia telah ditetapkan oleh syarak ke atas setiap umat Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah, 183)
Namun, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa atas sebab keuzuran seperti sakit, musafir, haid dan sebagainya maka wajib ke atasnya untuk menggantikan semula pada hari yang lain. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain
(Surah al-Baqarah, 184)
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, hukum menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan adalah wajib. Oleh itu, tidak boleh untuk membatalkannya dengan sengaja tanpa uzur yang disyariatkan oleh syarak. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA, katanya:
Maksudnya: Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadhakan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat
Rwayat Abu Daud (2456)
Dalam hadis ini Rasulullah meminta penjelasan dari Ummu Hani’ samada beliau berpuasa qadha tertentu dan setelah dijelaskan ianya adalah berpuasa sunat maka Rasulullah SAW menjawab bahawa tidak berdosa untuk sengaja berbuka bagi puasa sunat. Ini bererti jika puasa qadha maka adalah tidak dibenarkan untuk berbuka dengan sengaja .
Imam Taqiyuddin al-Hisni menyebut di dalam karyanya kifayah al-Akhyar:
Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan puasa ganti, sekiranya puasa yang perlu digantikan segera (seperti puasa yang sengaja dibatalkan tanpa uzur) begitu juga, sekiranya puasa boleh dilewatkan ganti (puasa yang batal kerana uzur tertentu seperti musafir dan sakit), menurut pandangan yang sahih dan nas daripada Imam al-Syafi’e di dalam al-Umm bahawa tidak boleh membatalkannya kerana telah melakukan perkara yang wajib dan tidak ada keuzuran. Oleh itu, dia wajib menyempurnakannya sepertimana seseorang yang menunaikan solat pada awal waktu maka tidak boleh membatalkannya.
(Rujuk Kifayah al-Akhyar, 1/207)
Puasa ganti Ramadan merupakan fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang meninggalkannya. Oleh itu memutuskannya atau membatalkannya dengan sengaja adalah haram bahkan ia menyebabkan dosa yang besar. Syeikh Jamal menyebut di dalam hasyiahnya bahawa:
Maksudnya: (Menurut Imam Zakarian al-Ansari: haram membatalkan fardhu ain) sebahagian dari dosa besar sepertimana yang disebut oleh para ulama usul fiqh.
(Rujuk, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj, 2/353)
Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta penjelasan yang diberikan dapat disimpulkan bahawa puasa ganti Ramadan adalah fardu ain dan wajib ditteruskan. Oleh itu, tidak boleh memutuskannya atau membatalkan secara sengaja malah berdosa besar. Di samping itu, wajib menyelesaikannya sehingga sempurna melainkan dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid, atau bermusafir.
Gadis kudung kaki dan tangan terharu dapat sambung pengajian. Kekurangan fizikal bukan penghalang buat seorang remaja perempuan dari Kampung Padang Setebu, Kuala Berang untuk meneruskan impian dalam bidang kemahiran.