Picit jerawat, guna produk tidak sah, remaja 15 tahun meninggal dunia. Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Vietnam dilaporkan meninggal dunia selepas memicit jerawat pada kulit wajahnya dan menggunakan produk sapuan yang tidak diketahui kesahihannya di rumah.
Picit Jerawat, Guna Produk Tidak Sah, Remaja 15 Tahun Meninggal Dunia
Menurut kenyataan rasmi daripada Hospital Nasional Penyakit Tropika Vietnam, remaja berkenaan mengalami kejutan septik berpunca daripada jangkitan bakteria Staphylococcus aureus yang memasuki tubuh melalui luka jerawat yang telah meradang.
Gambar sekadar hiasan.
Media tempatan Hoa Học Trò melaporkan, bakteria tersebut dengan pantas merebak ke seluruh tubuh mangsa sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada otak dan paru-paru.
Walaupun menerima rawatan intensif termasuk sokongan pernafasan serta rawatan penapisan darah berterusan, mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda positif terhadap rawatan dan akhirnya disahkan meninggal dunia.
Seorang pakar kulit dari hospital berkenaan menjelaskan, tabiat memicit jerawat menggunakan tangan yang tidak bersih boleh merosakkan lapisan kulit dan membuka laluan kepada bakteria untuk menembusi bahagian lebih dalam.
Ads
“Jika tidak ditangani segera, jangkitan tersebut boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti selulitis atau sepsis. Oleh itu, orang ramai disarankan untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan bertauliah sekiranya ingin mengeluarkan jerawat, bukan melakukannya sendiri di rumah,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan tangan ke wajah, dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan produk rawatan jerawat yang tidak jelas kandungan atau keselamatannya.
Bagi mereka yang menggunakan solekan, beliau menegaskan pentingnya memilih produk jenis non-komedogenik yang tidak menyumbat liang pori, selain memastikan kulit dibersihkan dengan betul setiap kali selepas bersolek.
Yuran tadika, taska naik hingga 25 peratus tahun depan, ibu ayah rancanglah bajet dengan bijak. Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan.
Kenaikan itu adalah susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.
PERSATUAN TADIKA ISLAM MALAYSIA (PERTIM) DAN PERSATUAN PENDIDIK INSTITUSI PENDIDIKAN NEGERI JOHOR, YANG MENAUNGI PENGUSAHA TADIKA, SELAIN PERSATUAN PENGASUHAN DAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK BERDAFTAR MALAYSIA YANG MENAUNGI PENGUSAHA TASKA MENGESAHKAN KENAIKAN YURAN PERKHIDMATAN DITAWARKAN KIRA-KIRA 4,500 AHLI MEREKA SUSULAN KENAIKAN KOS OPERASI.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.
PADA PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2025 JUMAAT LALU, KERAJAAN BERSETUJU MENAIKKAN KADAR GAJI MINIMUM KEPADA RM1,700 SEBULAN DARIPADA RM1,500 KINI BERKUAT KUASA 1 FEBRUARI TAHUN DEPAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norazlina Adom, berkata yuran baharu taska seluruh negara akan naik antara 13 hingga 20 peratus mulai tahun depan, susulan pengumuman gaji minimum baharu.
Katanya, kira-kira 3,000 taska di seluruh negara termasuk 250 di Johor akan mengenakan yuran baharu itu mulai Januari depan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor berkata, pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan itu sangat dialu-alukan susulan bebanan kerja kakitangan taska yang berat dalam memastikan keselamatan bayi serta kanak-kanak jagaan mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah dijangka susulan pengumuman gaji minimum baharu mulai Februari depan.
Katanya, peningkatan kos operasi perkhidmatan dan barangan sudah pasti dipindahkan kepada pengguna yang akan merasai bebanan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” katanya.
Bas ekspres bawa pelajar UMPSA rempuh belakang treler LPT 1. Sebuah bas ekspres yang membawa seramai 28 penumpang termasuk 20 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terlibat dalam satu insiden mencemaskan apabila kenderaan itu melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menghala ke Timur, awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas milik LA Holidays Travel and Tours Sdn. Bhd. yang sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Terminal Sentral Kuantan.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, hasil siasatan awal mendapati bas yang dipandu oleh lelaki berumur 38 tahun itu telah melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Nissan MK262 yang sedang berada di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
“Ketika insiden berlaku, lori berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dilanggar dari arah belakang oleh bas yang membawa penumpang termasuk pelajar universiti tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan melibatkan semua individu terlibat termasuk pemandu dan kelindan lori, serta pemandu bas itu sendiri. Kesemua penumpang telah dipindahkan ke bas gantian untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mereka di Kuantan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaan ketika berada di lorong yang sama dengan treler tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA, Haykal, memaklumkan bahawa semua 20 pelajar UMPSA yang menaiki bas berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pelajar tiba di kawasan Masjid UMPSA, Kampus Gambang sekitar jam 3.56 pagi dan disambut oleh pasukan MPP yang turut membantu memastikan setiap pelajar dihantar pulang ke kolej kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.
Lelaki belanja RM1,000 sebulan semata nak buat ulasan hotel. Lain orang lain ‘peelnya.’ Seorang eksekutif kanan di sebuah institusi kewangan sanggup membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan untuk menginap di hotel berlainan hampir setiap hujung minggu sebelum menulis ulasan dan pengalaman penginapan di laman sesawangnya.
Dalam tempoh empat tahun sejak 2020, Burhanuddin Abdul Jalil, 55, telah menempah dan menginap di 169 hotel meliputi 234 hari penginapan.
“Sebelum 2020, hobi saya lebih kepada fotografi dan subjek kegemaran saya ialah landskap, iaitu merakam pemandangan alam yang menarik dari tempat atau bangunan tinggi di merata tempat, termasuk di Indonesia.
“Apabila ada larangan perjalanan akibat COVID-19, saya bingung tak tahu nak buat apa. Jadi, saya ambil peluang tempah hotel di sekitar ibu negara memandangkan premis penginapan ketika itu masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard tertentu,” katanya kepada Bernama.
Burhanuddin atau mesra dipanggil Bob, berkata aktiviti itu yang pada awalnya dilakukan bagi mengatasi kebosanan kerana tidak dapat bergerak jauh, kini menjadi satu “ketagihan” dan “keseronokan” untuk beliau.
“Kawan-kawan juga asyik meminta pandangan hotel mana yang menarik untuk mereka inap, jadi timbul idea untuk saya menulis ulasan setiap hotel saya pergi. Tambahan pula saya juga pandai mengambil gambar,” katanya, menambah beliau tidak ditaja oleh mana-mana hotel untuk membuat ulasan itu.
Burhanuddin berkata beliau menulis dan memberikan ulasan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang secara terperinci, termasuk lokasi, susun atur perabot di dalam bilik serta kemudahan dan layanan staf.
“Saya menulis dalam esei ringkas menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami. Alhamdulillah, saya terima banyak maklum balas positif, dan ulasan saya membantu orang ramai di luar sana membuat keputusan untuk memilih hotel yang ideal buat mereka,” katanya.
Selain menulis di laman sesawangnya https://hanuds.wixsite.com/hanudds, beliau juga menyumbang artikel untuk Facebook Hotel Review Malaysia.
Berkongsi tip, Burhanuddin berkata ada beberapa aplikasi dalam talian yang boleh digunakan sebagai panduan dan perbandingan harga hotel.
Lazimnya harga lebih murah sekiranya tempahan dibuat dua atau tiga bulan lebih awal dari tarikh daftar masuk, katanya.