
Batuk, demam dan badan tidak bermaya mungkin dianggap perkara biasa. Namun, apabila gejala semakin serius, ia boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang memerlukan perhatian segera.
Sempena Hari Pneumonia Sedunia yang disambut pada 12 November setiap tahun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai mengenai bahaya penyakit pneumonia atau jangkitan paru-paru.
Menurut KKM, pneumonia merupakan penyakit pernafasan yang menyebabkan kantung udara kecil dalam paru-paru dipenuhi cecair atau nanah akibat jangkitan kuman sehingga mengganggu pernafasan.
Kenali Tanda-Tanda Pneumonia
Menerusi perkongsian Pakar Perunding Kesihatan Respiratori dan Perubatan Dalaman, Dr. Nurul Yaqeen Mohd Esa, penyakit pneumonia boleh berpunca daripada jangkitan bakteria, virus, atau kulat.
Antara gejala yang perlu diberi perhatian termasuklah mengalami demam tinggi, batuk berkahak yang kadangkala bercampur darah, serta rasa sakit dada ketika bernafas atau batuk.
Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami sesak nafas, berpeluh berlebihan dan menggigil, serta rasa keletihan dan badan menjadi lemah.
Kanak-kanak kecil, warga emas, individu yang mempunyai sistem imun lemah serta pesakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung lebih berisiko mengalami pneumonia.
Pencegahan Dan Rawatan Awal Penting
Menurut Dr. Nurul Yaqeen, rawatan pneumonia bergantung kepada punca jangkitan. Antibiotik digunakan bagi jangkitan bakteria, manakala rawatan antiviral mungkin diperlukan untuk jangkitan virus tertentu.
Selain mendapatkan rawatan doktor, langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan diri, mengelakkan kontak rapat dengan individu yang sakit dan mendapatkan vaksin yang disarankan juga penting.
Buat ibu bapa, jangan abaikan perubahan kesihatan anak, khususnya jika mereka mengalami kesukaran bernafas, terlalu lemah atau tidak mampu minum. Dapatkan rawatan segera sekiranya tanda tersebut berlaku.
Sempena Hari Pneumonia Sedunia, jadikan kesedaran ini sebagai peringatan untuk menjaga kesihatan diri dan insan tersayang.
BACA LAGI: Musim Tengkujuh, Waspada Jangkitan Kuman di Kalangan Kanak-Kanak
Sumber:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, Pakar Perunding Kesihatan Respiratori dan Perubatan Dalaman

