Malaysia kini mempunyai kereta elektrik pertama! Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan kereta elektrik pertama Proton e.Mas 7 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Memetik laporan Bernama, Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama negara iaitu Proton e.MAS 7 yang ditawarkan pada harga bermula RM109,800 dengan tawaran rebat sebanyak RM4,000 bagi 3,000 pembeli pertama.
Model berkenaan dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam ucapannya mengumumkan bahawa ia akan menjadi kenderaan rasmi ASEAN 2025 sebagai sokongan kepada kenderaan sifar emisi dan teknologi kenderaan mesra alam di Malaysia.
3000 pembeli pertama dapat harga istimewa
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C itu ditawarkan menerusi dua varian iaitu e.MAS 7 Premium pada harga RM123,800 dan e.MAS 7 Prime (RM109,800).
Ads
Bagaimanapun, bagi 3,000 pembeli pertama, e.MAS 7 Premium ditawarkan pada harga RM119,800 manakala e.MAS 7 Prime (RM105,800).
Untuk makluman, e.MAS 7 dipacu oleh motor elektrik bersepadu “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.
Ads
Menerusi bateri Aegis ‘short blade’ ia mempunyai kemampatan tenaga lebih tinggi, selamat dan tahan lebih lama.
Varian Prime dilengkapi versi 49.52 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 345 km dan Premium mendapat pek 60.22 kWj dengan jarak mencecah 410 km (WLTP).
Ads
Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30 peratus hingga 80 peratus.
Sumber: Bernama
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
SUV elektrik tiba-tiba berhenti di lebuh raya, keluarga trauma insiden mengejut. Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik yang dibeli kurang setahun lalu tiba-tiba berhenti sendiri ketika sedang dipandu di lebuh raya.
Peristiwa itu dikongsikan oleh pemilik kenderaan, Izwan Hassan, 33, menerusi media sosial selepas insiden berlaku pada 1 Mei ketika beliau bersama ahli keluarga dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pulau Pinang.
Izwan memaklumkan insiden berlaku di lorong kanan Lebuhraya Cheras-Kajang dengan kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j apabila SUV buatan China itu secara tiba-tiba membrek sendiri tanpa sebarang amaran, hanya memaparkan mesej ‘Power System Failure’ di skrin. Keempat-empat tayar juga terkunci seperti dirempuh sistem keselamatan kecemasan.
Menurut Izwan, situasi tersebut hampir menyebabkan perlanggaran kerana kenderaan lain datang dari belakang, namun beliau berjaya menghubungi pihak lebuh raya untuk bantuan segera.
“Kurang 10 minit, peronda lebuh raya tiba dan membantu mengawal lalu lintas. Saya cuba hidupkan semula sistem tetapi tidak berjaya. Walaupun gear dialihkan ke mod neutral, kereta tetap tidak boleh digerakkan kerana tayar terkunci,” katanya.
Kira-kira sejam kemudian, lori tunda dari pihak insurans sampai dan menarik kenderaan itu ke pusat servis kerana pada waktu kejadian pusat tersebut sudah tutup.
Disebabkan itu, Izwan dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan kerana rancangan untuk pulang ke kampung terpaksa dibatalkan.
Keesokan harinya, beliau menghubungi pusat servis namun kecewa dengan sambutan yang diterima apabila diberitahu tiada kakitangan mencukupi dan temu janji diperlukan. Selepas desakan, mereka memaklumkan bahawa bateri 12 volt mengalami masalah dan siasatan lanjut perlu dijalankan.
Kenderaan tersebut memerlukan beberapa hari untuk dibaiki dan tiada kereta ganti disediakan kerana habis stok. Akhirnya, selepas beberapa kali berunding, Izwan dan keluarganya dihantar pulang ke Melaka oleh pihak berkenaan.
Tambah Izwan, ini bukan masalah pertama sejak pembelian EV itu. Sebelum ini, beliau pernah membuat aduan mengenai pengecas rumah yang rosak sejak Februari, namun tiada tindakan diambil walaupun beberapa kali dihubungi.
Pada 5 Mei, pusat servis mengesahkan bateri 12 volt perlu ditukar kerana voltan terlalu rendah. Kos penggantian sebanyak RM418 tidak ditanggung waranti kerana kenderaan telah melebihi had 20,000 km.
Lebih mengejutkan, Izwan diberitahu tiada sistem amaran untuk kerosakan bateri kecil tersebut, yang menyebabkan kenderaan secara automatik menghentikan pergerakan tanpa amaran.
Izwan menjelaskan perkongsian ini dibuat sebagai peringatan kepada pengguna EV agar lebih berhati-hati dan peka terhadap sebarang tanda masalah pada kenderaan mereka.
Hilang kaki bukan penghalang semangat Nik Haziera Saffiya terus beruaha. Kehilangan kaki bukanlah pengakhiran segalanya, malah ia tidak mematahkan semangat seorang remaja, Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi untuk terus berusaha dan mencipta peluang baru dalam hidup.
Walaupun berdepan dugaan besar, gadis berusia 18 tahun itu tetap optimis dan mula merancang langkah untuk meneruskan kehidupannya sebaik sahaja kesihatannya semakin pulih. Dengan menggunakan tongkat dan alat bantuan lain, dia kini sedang belajar menyesuaikan diri dengan keadaannya.
“Setahun lalu, kaki saya kehilangan keupayaan untuk bergerak selepas dilenyek lori dalam satu kemalangan yang turut melibatkan kakak saya. Namun, saya menerima takdir ini dengan hati yang reda dan tidak pernah meratapi nasib. Ini adalah ujian Allah yang harus saya tempuh dengan sabar,” katanya.
Menurut Haziera, kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, turut mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tersebut. Akibatnya, kaki kanan Haznita terpaksa dipotong hingga ke paras pinggul pada Februari 2024.
“Walaupun ramai yang simpati dengan keadaan kami, kami menerima ketentuan ini dengan lapang dada. Kehidupan kami berjalan seperti biasa. Kakak teruskan perniagaannya, manakala saya masih menjalani rawatan susulan sebelum kaki saya dipotong pada pertengahan Januari lalu,” tambahnya.
Haziera kini sedang menjalani rawatan di Hospital Temerloh selepas kemalangan tragis yang berlaku pada Februari 2024 itu. Dalam insiden tersebut, Haznita yang membonceng motosikal mengalami kecederaan serius pada kaki kanan, manakala Haziera pula mengalami komplikasi darah beku di paru-paru, patah bahu, serta kecederaan pada tulang pelvis dan pinggang.
Walaupun diuji dengan keadaan fizikal yang berubah, Haziera tidak pernah hilang semangat. Dia kini sibuk merancang masa depannya selepas pulih sepenuhnya.
“Saya sepatutnya berada di Tingkatan 5 ketika kemalangan berlaku. Namun, kerana keadaan saya, saya terpaksa menangguhkan persekolahan selama setahun. Insya-Allah, saya akan kembali ke sekolah pada sesi baru nanti untuk menamatkan pelajaran hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sebelum itu, saya akan melatih diri menggunakan tongkat sehingga mahir. Meskipun impian saya untuk menjadi seorang askar kini tidak dapat dicapai, saya tetap bersemangat untuk mencuba perkara baharu. Baru-baru ini, saya mendapat tawaran untuk menyertai latihan sukan memanah bagi paralimpik, dan saya sangat teruja untuk mencuba bidang tersebut,” katanya dengan senyuman penuh keyakinan.
Haziera turut menjelaskan bahawa keluarga, terutamanya ibu bapa dan adik-beradiknya, adalah sumber kekuatannya.
“Ayah pernah berkata, walaupun kami kehilangan kaki, kami tetap ada ‘tiga kaki’ kerana sokongan daripada keluarga. Kata-kata itu benar-benar memberi semangat kepada saya dan kakak untuk teruskan hidup tanpa rasa kekurangan,” ujarnya.
Haziera juga mendapat sokongan moral daripada rakan-rakan dan guru-guru yang sentiasa menghulurkan bantuan serta melawat mereka dari semasa ke semasa.
Bagi Haziera, pengalaman ini bukan sahaja mendidiknya untuk lebih tabah, malah mengajarnya bahawa kekuatan sebenar datang daripada hati yang reda dan fikiran yang positif.
Walaupun laluan hidupnya kini berbeza, Haziera yakin setiap cabaran yang dihadapinya adalah peluang untuk membina masa depan yang lebih cerah. Dengan sokongan keluarga, rakan, dan semangat yang tidak pernah luntur, Haziera terus melangkah ke hadapan, membuktikan bahawa kehilangan kaki bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
“Saya percaya, selagi ada usaha, pasti ada jalan. Ujian ini adalah peluang untuk saya bangkit dan menunjukkan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk menyerah,” katanya penuh azam.
Ibu sedih anak cacat kekal, mangsa kebakaran ketika bermain dengan rakan. Seorang ibu meluahkan kesedihannya di media sosial apabila anaknya mengalami kecederaan serius akibat insiden kebakaran yang dipercayai berpunca daripada perbuatan rakan sendiri.
Menurut perkongsiannya, kejadian malang itu berlaku ketika seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan bermain api di dalam longkang menggunakan petrol yang dibawa sendiri dalam botol. Tindakan itu menyebabkan api menyambar kawasan sekeliling dan terkena anaknya yang berada berdekatan ketika itu.
“Salah seorang budak tu bermain api dalam longkang sambil bawa botol berisi minyak petrol. Minyak tu memang dia sendiri yang beli. Masa dia simbah petrol, api terus marak dan terkena anak saya yang sedang bermain,” tulisnya menerusi ruangan komen.
Apa yang lebih memilukan, menurut ibu itu, ketika anaknya sedang bergelut menahan kesakitan, seorang lagi budak menolak mangsa dan individu sama didakwa menyimbah petrol sekali lagi. Akibatnya, api semakin marak dan menyebabkan bahagian rambut, tangan, telinga dan kaki anaknya melecur teruk.
Anaknya hanya berjaya diselamatkan apabila pakciknya tiba di lokasi dan memadamkan api menggunakan bajunya sendiri.
Kini, mangsa telah menjalani tiga kali pembedahan dan mengalami kecacatan kekal pada kedua-dua belah kaki. Dia tidak lagi mampu berjalan seperti biasa dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Ipoh setiap minggu.
Menurut ibu itu lagi, meskipun kejadian sudah berlaku lebih tiga bulan, tiada sebarang tindakan diambil terhadap individu terlibat. Kes dilihat seperti digantung tanpa sebarang penyelesaian.
“Dah lebih tiga bulan. Anak saya dah jalani tiga pembedahan. Sekarang kami ulang-alik ke Hospital Ipoh setiap minggu. Dia tak boleh berjalan, kakinya rosak kekal disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab,” ujarnya sebak.
Beliau turut berharap agar kisah ini dapat disebarkan kepada umum supaya nasib anaknya mendapat perhatian dan keadilan dapat ditegakkan.
“Fokus sekarang nak rawat anak dulu. Semoga Allah beri kesembuhan, dan semoga urusan kami juga dipermudahkan. Saya nak bekerja semula, tapi keadaan belum mengizinkan,” katanya lagi.
Si ibu merayu agar pihak bertanggungjawab tampil menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya agar kejadian seumpama ini tidak berulang pada kanak-kanak lain.