Pendakwah selebriti, PU Riz meluahkan rasa kecewa apabila tindakan individu dengan mudah mengatakan lebih selesa untuk tidak berhijab kerana menganggap itulah dirinya.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail berasa terkilan apabila memberitahu dia jarang untuk memberi komen mengenai aurat wanita.
“Jarang saya nak komen, tapi kalau melampau dan sebut ‘lebih selesa tak bertudung, inilah diri saya yang sebenarnya’, kita manusia tak lari dari kesilapan.”
Suami kepada selebriti Noor Neelofa itu menjelaskan tidak wajar apabila seorang manusia menidakkan tuntuan Allah SWT.
Ads
“Tapi, dalam Agama ini ada bahagian yang dipanggil malu dengan dosa dan cuba sebaiknya taubat apabila tersilap.
“Kita semua pun buat dosa, tapi janganlah sampai nafi apa yang disuruh Allah. Ada larangan keras bagi yang mempamerkan dosa-dosa yang dilakukan,” katanya.
HANYA PERINGATAN
Dalam pada itu, PU Riz memberitahu tidak menghukum mana-mana pihak malah hanya mahu memberi peringatan secara terbuka kepada pengikutnya di media sosial.
Ads
“Belajarlah, jangan buat tak tahu. Kita tak hukum sesiapa cuma kita ingatkan sahaja. Kalau raasa perasaan dan hati jadi sandaran semata-mata, memang akan binasa hidup ini. Syariat Tuhan hadir bagi membimbing manusia,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan terima kasih kepada nasihat dan peringatan PU Riz untuk terus kekal istaqamah.
Ads
Untuk rekod, Neelofa dan PU Riz mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021. Mereka dikurniakan Muhammad Bilal, 2, dan Abdullah Abbas, 1.
Trend pelajar sekolah dan IPT toreh tangan bila stres, masalah kesihatan mental yang serius. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, fenomena toreh tangan atau self-harm semakin mendapat perhatian di kalangan masyarakat, terutamanya apabila ia melibatkan murid sekolah.
Tindakan ini sering dikaitkan dengan tekanan emosi atau stres yang dialami oleh pelajar, yang kadangkala tidak mereka luahkan kepada sesiapa. Situasi ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal tetapi juga mencerminkan masalah kesihatan mental yang serius.
Kebanyakan murid tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk meluahkan perasaan apabila mereka menghadapi stres. Toreh tangan menjadi pilihan kerana mereka merasakan kesakitan fizikal itu dapat “mengalihkan” perhatian daripada kesakitan emosi yang sedang dirasai.
Tekanan Akademik
Tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, memenuhi harapan ibu bapa dan guru, serta mengimbangi aktiviti kokurikulum sering menjadi punca utama stres dalam kalangan pelajar. Mereka mungkin merasakan beban ini terlalu berat untuk ditanggung.
Masalah Perhubungan Sosial
Konflik dengan rakan sebaya, buli, atau rasa tidak diterima dalam kumpulan tertentu juga boleh menyebabkan murid berasa terasing. Mereka yang mengalami situasi ini sering memilih untuk mendiamkan diri dan akhirnya melampiaskan tekanan dengan mencederakan diri sendiri.
Pengaruh Media Sosial
Media sosial juga memainkan peranan besar dalam fenomena ini. Pendedahan kepada kandungan yang menunjukkan atau “menggalakkan” perbuatan self-harm boleh memberi idea kepada murid untuk mencubanya sebagai cara menyelesaikan masalah.
Kurangnya Sokongan Emosi
Murid yang tidak mendapat sokongan emosi daripada keluarga, guru, atau rakan sebaya sering kali merasa tiada tempat untuk meluahkan masalah mereka. Toreh tangan menjadi cara untuk mereka menangani emosi yang dirasakan sukar diungkapkan.
Implikasi Toreh Tangan terhadap Murid
Kesan Fizikal
Luka daripada torehan, jika tidak dirawat dengan betul, boleh menyebabkan jangkitan atau komplikasi kesihatan yang lain. Dalam kes yang lebih parah, ia boleh meninggalkan parut kekal yang mempengaruhi keyakinan diri.
Kesan Psikologi
Murid yang sering mencederakan diri sendiri berisiko untuk mengalami masalah mental seperti kemurungan, kebimbangan melampau, atau bahkan gangguan personaliti. Mereka juga cenderung merasa rendah diri dan kehilangan motivasi dalam kehidupan.
Prestasi Akademik
Stres yang tidak diuruskan dengan baik boleh menjejaskan fokus dan keupayaan murid untuk belajar. Akibatnya, prestasi akademik mereka mungkin merosot.
Langkah-Langkah Mengatasi Fenomena Ini
Pendidikan Kesihatan Mental
Pihak sekolah boleh mengadakan program kesedaran kesihatan mental untuk mendidik murid tentang cara menguruskan stres dengan sihat. Ini termasuk memperkenalkan teknik relaksasi, mengamalkan mindfulness, dan memahami kepentingan meminta bantuan.
Kaunseling dan Sokongan
Emosi Kaunselor sekolah memainkan peranan penting dalam mendekati murid yang menunjukkan tanda-tanda tekanan. Ruang untuk mereka berbincang dan meluahkan perasaan tanpa rasa takut atau malu perlu diwujudkan.
Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak mereka. Komunikasi yang terbuka, kasih sayang, dan perhatian yang konsisten adalah kunci untuk memastikan anak-anak merasa disayangi dan didengari.
Kawalan Media Sosial
Pendidikan tentang penggunaan media sosial yang bijak perlu diberikan kepada murid. Mereka perlu diajar untuk tidak terpengaruh dengan kandungan yang tidak sihat dan berbahaya.
Kerjasama Guru
Guru perlu mengenal pasti murid yang mungkin menunjukkan tanda-tanda tekanan seperti perubahan sikap, kehadiran yang tidak konsisten, atau penurunan prestasi. Bantuan awal boleh diberikan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Trend toreh tangan di kalangan murid sekolah adalah satu isu serius yang memerlukan perhatian menyeluruh daripada ibu bapa, guru, dan masyarakat. Tindakan mencederakan diri sendiri bukanlah cara yang betul untuk menangani stres.
Oleh itu, usaha kolektif perlu dilakukan untuk memberi pendidikan, sokongan, dan bantuan kepada murid agar mereka dapat mengatasi tekanan dengan cara yang lebih positif dan sihat. Dengan pendekatan yang holistik, fenomena ini dapat dibendung sebelum ia membawa kepada kesan yang lebih buruk.
Setiap kali musim perayaan, kanak-kanak pasti teruja menerima duit raya. Bagi ibu bapa pula, timbul persoalan di mana tempat terbaik untuk menyimpan duit raya anak-anak? Ramai yang memilih untuk memasukkannya ke dalam akaun bank kerana dianggap sebagai langkah selamat.
Namun, tahukah anda bahawa simpanan dalam bank mungkin bukan pilihan yang paling menguntungkan? Ini kerana wang yang disimpan tidak berkembang dengan sendiri, melainkan kita menambahnya secara manual. Berbanding itu, terdapat pilihan simpanan lain yang mampu memberikan dividen dan keuntungan lebih tinggi dalam jangka masa panjang.
Jadi, bagaimana cara terbaik untuk memastikan duit raya anak-anak berkembang dan tidak sekadar “tidur” dalam akaun bank? Ikuti perkongsian Akhtar Syamir Nor Azmanmengenai pilihan simpanan yang lebih bijak dan menguntungkan!
Kita ni selalu rasa simpanan yang kita tengah buat tu bagus dan bertambah. Bila tengok amaun simpanan tu meningkat, kita rasa bangga dan berjaya menyimpan duit.
Tapi sebenarnya itu hanyalah satu simpanan yang merugikan. Rugi bukan dari segi duit berkurang, tetapi rugi dari segi duit tak bertambah dengan sendirinya. Ianya hanya bertambah bila kita tambah duit.
Kalau boleh saya gunakan ayat English ni, ianya hanyalah satu “false sense of successful saving”.
Kenapa? Kerana kita rasa duit bertambah tetapi ianya hanya bertambah bila kita tambah duit tu sendiri, bukan duit tu bekerja untuk kita.
Ada ke duit yang tambah sendiri? Ada, melalui dividen dan keuntungan. Ada beza ke? Mestilah ada. Kalau simpan dalam bank, duit tu tak berkembang. Kalau di tempat lain, dapat 3% setahun, 5% setahun, 8% setahun.
Sebagai contoh, anak Neelofa dapat duit raya RM14,000. Kalau 8% dah untung RM1,120 setiap tahun. Kalau 5%, untung RM700, kalau 3% dah untung RM420 setahun. Kalau simpan dalam bank, nak dapat RM140 pun belum tentu.
Nampak tak kat sini? Kita asyik ingat simpan kat bank tu bagus. Bagus kalau kita berniat nak guna bila-bila. Tapi duit raya anak bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya. Jadi, kalau tiada keperluan, baik simpan elok-elok.
Kat mana nak simpan?
Contoh paling mudah ialah di Tabung Haji. Dividennya dalam 3% dan simpanan tu punya Zakat, Tabung Haji akan bayarkan.
Boleh juga simpan di ASB dengan dividen lebih kurang 5%. Simpanan pun selamat dan stabil.
Nak simpan di SSPN-i pun boleh. Ada juga pulangan dan boleh fokus pada pendidikan anak.
Yang paling penting, semua simpanan ini jangka masa panjang. Kita sebagai ibu-bapa jangan gelojoh nak untung cepat. Kalau boleh, nak simpan hari ini, esok dah kaya raya. Takde yang macam tu, kalau ada, confirm kena scam.
Berapa lama nak simpan? Simpanlah sehingga anak-anak dah besar dan bersedia untuk masuk universiti. Dalam 15 ke 20 tahun macam tu. Kalau simpanannya lama, 5% yang nampak kecil pada tahun pertama akan menjadi besar pada tahun ke 20.
Ada satu lagi tempat simpanan yang bagus iaitu menyimpan dalam pelan simpanan dan pelaburan AIA Public Takaful. Konsep simpanan ni lebih menarik kerana ianya simpanan jangka masa panjang dengan tempoh bayaran jangka masa pendek.
Simpan 20 tahun tapi tempoh bayaran 5 tahun sahaja (minimum RM1,000 sebulan) atau simpan 20 tahun, tapi tempoh bayaran hanya 10 tahun (minimum RM500 sebulan).
Simpanan yang berpotensi tinggi, selamat dan jadi hibah jika berlaku kematian kepada penyimpan. Jadi, takdelah simpanan tu dibekukan nanti dan tak perlu difaraidkan.
Seawal usia anak 14 hari dah boleh join. Nak buat untuk pendidikan anak boleh, nak buat untuk pembahagian harta pusaka yang mutlak atau untuk persaraan diri sendiri pun boleh juga.
Kalau nak menyimpan dengan lebih baik, saya boleh uruskan. Bulan depan takde dah pelan simpanan gerenti lulus ni.
Mula merancang simpanan, jika kita gagal merancang, kita sebenarnya sedang merancang hutang pertama anak iaitu hutang pendidikan.
Kisah kejayaan tidak pernah hadir tanpa perjalanan yang penuh liku. Begitu juga dengan pengasas dan Pengarah Urusan KueMue, Mohd Juwaidy Bin Suhaimi, yang kini berjaya mencipta nama dalam industri teknologi makanan di Malaysia.
Di sebalik kejayaan itu, tersimpan cerita inspirasi seorang anak muda dari Alor Setar, Kedah yang pernah menempuh kesusahan hidup namun tetap cekal menggapai impian.
Dilahirkan pada tahun 1991 di Alor Setar, Kedah, Mohd Juwaidy merupakan anak keempat daripada 11 orang adik-beradik. Kehidupan keluarga besar ini penuh dengan cabaran.
Namun, kesusahan itulah yang membentuk semangat juangnya. Membesar dalam keluarga sederhana, Juwaidy sudah terbiasa melihat ibu bapanya berusaha keras untuk memastikan setiap anak mendapat pendidikan terbaik.
“Kami pernah makan nasi berlaukkan garam sahaja. Tapi mak dan ayah selalu pesan, pendidikan adalah jalan keluar dari kesusahan.”- Mohd Juwaidy
“Adik-beradik ramai, semua kena kongsi. Tidur bersepah dengan hanya tiga bilik. Ada masa, makanan pun tak cukup. Kadang-kadang pergi sekolah tak bawa duit belanja. Jadi, waktu tu saya fokus pada SPM. Saya tahu, kalau nak ubah hidup keluarga, saya kena berjaya dalam pelajaran,” kenang Juwaidy kisah silamnya kepada Majalah Keluarga.
Namun pengalaman hidup dalam kesusahan itu menjadi pembakar semangat buat Juwaidy untuk berusaha keras dan membawa perubahan kepada keluarganya.
Berbekalkan semangat dan sokongan keluarga, Juwaidy mengorak langkah jauh dalam pendidikan. Beliau menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di peringkat Sarjana di Imperial College London, sebuah institusi terkemuka yang diiktiraf sebagai universiti kedua terbaik di dunia. Berada di peringkat global bukanlah sesuatu yang mudah, namun Juwaidy membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu bersaing di persada antarabangsa.
“Belajar di luar negara membuka mata saya tentang betapa pentingnya teknologi dan inovasi dalam memajukan kehidupan seharian,” kata Juwaidy yang kini memanfaatkan ilmu tersebut dalam perniagaannya.
Selepas kembali ke tanah air, Juwaidy melihat peluang untuk menggabungkan ilmu kejuruteraan dan minatnya dalam bidang makanan. Bermula dengan idea mencipta alat yang memudahkan penghasilan biskut secara pantas dan konsisten, beliau menubuhkan KueMue dengan membekalkan tiga versi produk Bakineer.
Selepas menamatkan pengajian, Juwaidy bekerja selama empat tahun dalam bidang pengurusan sebelum memutuskan untuk berhenti dan memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan.
Ketika bekerja, beliau melihat abang ketiganya, Fakhri, yang menjalankan perniagaan menghasilkan biskut tart nenas secara kecil-kecilan. Namun proses pengeluaran biskut yang sangat perlahan kerana dilakukan secara manual.
“Saya nampak abang Fakhri bersungguh-sungguh buat semperit, tapi prosesnya makan masa yang lama. Dari situ, timbul rasa nak bantu dengan mencipta sesuatu yang boleh mempercepatkan kerja,” ujar Juwaidy.
Dengan menggunakan ilmu kejuruteraan yang dimilikinya, Juwaidy mula mencipta mesin Bakineer untuk memudahkan penghasilan biskut secara pantas dan konsisten. Nyata, abang ketiga dalam keluarga itu, menjadi pencetus idea dan inspirasi utama kepada permulaan perniagaanya.
Namun, perjalanan perniagaan bukanlah mudah. Juwaidy memulakan perniagaan KueMue pada tahun 2017 selepas kembali ke Malaysia. Pada awalnya, promosi dan jualan produk tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan. Ketika berdepan dengan kesukaran itu, ada masa di mana Juwaidy berasa ingin berhenti dan meninggalkan perniagaan.
“Kadang-kadang rasa nak ‘give up.’ Tapi bila saya fikirkan keluarga, anak-anak yang masih kecil, adik-adik yang ramai di bawah saya, dan ibu bapa yang pendapatan mereka tidak seberapa, saya tak boleh berhenti. Saya kena buat untuk mereka. Fokus saya adalah untuk keluarga kami terus survive,” katanya penuh emosi.
“Saya nak tunjuk pada anak-anak dan adik-adik yang kita boleh berjaya kalau berusaha. Jika saya gagal sekalipun, saya nak mereka tahu saya dah cuba buat yang terbaik. Tapi kalau saya give up, itu bukan contoh yang baik untuk mereka. Jadi, saya tak boleh putus asa,” tambahnya.
Usaha keras Juwaidy mula membuahkan hasil. Melihat kejayaannya, adik-beradik beliau yang dahulunya masih di bangku sekolah kini telah berjaya dalam bidang masing-masing termasuk ada yang menyambung pengajian ke peringkat PhD di London, ada yang menamatkan Sarjana di universiti tempatan.
“Saya bangga dengan pencapaian mereka. Tapi saya juga sedar, ini semua kerana kami tak pernah putus asa. Saya mahu mereka tahu, walau susah macam mana sekalipun, kita kena terus usaha dan jangan pernah berputus asa,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Di bawah kepimpinannya, syarikat ini berjaya memperkenalkan beberapa produk inovatif seperti Bakineer 1.0, 2.0, dan 3.0 alat baking yang memudahkan kerja baker dan pengusaha kecil menghasilkan biskut dengan kualiti setanding kilang. Produk-produk ini telah mendapat sambutan hangat di pasaran dan menjadi solusi utama bagi pengusaha biskut di seluruh Malaysia.
Bagi Juwaidy, kejayaan KueMue bukan sekadar pencapaian peribadi. Sebaliknya, ia adalah satu platform untuk membantu lebih ramai usahawan kecil bangkit dan berjaya dalam perniagaan mereka. Beliau percaya bahawa teknologi yang mudah digunakan dapat memberikan impak besar kepada mereka yang ingin memulakan bisnes dari rumah.
“Saya mahu produk kami menjadi pemangkin kepada usahawan kecil, terutamanya suri rumah yang mahu menjana pendapatan sendiri. Teknologi seharusnya memudahkan hidup mereka, bukan membebankan,” jelas Juwaidy tentang visinya.
Membanggakan, lebih daripada 1000 jualan dalam 2 tahun, sesuatu yang begitu inspirasi!
Namun tiada kejayaan yang hadir tanpa cabaran, dan setiap langkah pertama sering kali penuh liku. Menurutnya cabaran dalam perniagaan menguji ketahanan mental dan fizikal buatnya untuk terus melangkah dalam perniagaan.
“Saya masih ingat waktu saya bekerja seorang diri, memikul segala tanggungjawab dan mempromosikan perniagaan ini sendirian selama setahun. Dari menguruskan operasi harian hingga memasarkan produk, semuanya dilakukan dengan tenaga dan usaha sendiri.
“Ia bukan perjalanan yang mudah, penuh dengan cabaran dan detik yang menguji ketahanan mental dan fizikal. Namun, pengalaman itu mengajar saya erti ketabahan dan nilai setiap langkah kecil yang diambil. Dari permulaan itulah saya belajar untuk menghargai setiap pencapaian, walaupun sekecil mana sekalipun.”
“Kini, saya amat bersyukur dikurniakan staf seramai 5 orang yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berdedikasi tinggi. Mereka sentiasa bekerja tanpa mengira masa, memberi komitmen sepenuhnya demi memastikan setiap tugas diselesaikan dengan cemerlang.”
“Usaha mereka yang luar biasa adalah tulang belakang kejayaan kami, dan saya tidak mungkin dapat melangkah sejauh ini tanpa mereka. Terima kasih atas keikhlasan dan kerja keras kalian, semoga kita terus maju bersama,” ujarnya
Walaupun bersaiz kompak, Bakineer mampu menghasilkan biskut dengan cepat dan konsisten seperti di kilang. Tak perlu mesin besar atau ruang luas dengan alat ini boleh tingkatkan produktiviti baking hingga berkali ganda hanya di rumah.
Ia direka dengan teknologi dan aksesori tambahan yang memudahkan pergerakan, mempercepatkan proses, serta memastikan hasil biskut lebih sempurna. Berbeza dengan cara manual, Bakineer mampu meningkatkan produktiviti sehingga beberapa kali ganda. Jadi, bukan saja dapat jimat masa dan tenaga, malah lebih menguntungkan!
Bakineer 1.0 : Produk utama dari KueMue sesuai untuk penghasilan tart nenas & semperit panjang. Bakineer 1.0 berupaya menghasilkan biskut-biskut ini pada kadar 6-7 kali ganda lebih pantas dari proses manual.
Bakineer 2.0: Upgrade dari versi 1.0, hadir dengan aksesori hos untuk penghasilan biskut yang menggunakan acuan nozel berbentuk kon. Hos yang dipasang ke gajet baking memudahkan pergerakan dan memberikan fleksibiliti kepada pengguna dalam menghasilkan biskut seperti semperit bunga (dahlia), butter cookies dan lain-lain produk yang menggunakan nozzle. Versi ini boleh juga menghasilkan tart nenas, semperit panjang, chocolate cookies dan lain2.
Bakineer 3.0: Versi terbaharu ini adalah lebih kompak berbanding versi-versi sebelumnya dengan berat sekitar 1kg sahaja. Bakineer 3.0 direka khas untuk mempercepatkan proses penghasilan semperit dahlia pada kadar yang lebih pantas berbanding versi 2.0, dengan kehadiran adapter yang boleh mengeluarkan dahlia sebanyak 4 biji serentak dalam satu-satu masa. Versi 3.0 hadir dengan set acuan untuk penghasilan pelbagai jenis produk termasuklah semperit bunga (dahlia), butter cookies, maruku, putu mayam, mee, kuetiau, pasta, churros dan apa sahaja biskut yang menggunakan acuan bernozel.
Setiap pencapaian dan kejayaan tidak akan mungkin terjadi tanpa keluarga yang sentiasa berada di sisi, menjadi tunjang kekuatan. Izinkan saya merakamkan penghargaan ini kepada mereka yang menjadi cahaya di setiap langkah perjalanan hidup saya.
“Papa (Suhaimi Bin Ahmad), Mama (Nor Ashikan Aziz), segala yang MJ (nama timangan) capai hari ini adalah hasil didikan, doa, dan pengorbanan kalian. Terima kasih kerana membesarkan kami 11 beradik dengan penuh kasih sayang. Dan terima kasih juga kerana percaya pada impian MJ walaupun ia kelihatan mustahil di mata orang lain. Kalian adalah inspirasi abadi dalam hidup MJ.”
“Sayang (Syuhada Syuroa Kamal), terima kasih kerana sentiasa berdiri di belakang saya, menjadi pendorong, dan memberi cinta tanpa syarat – di waktu susah dan senang. Anak-anak kita (Nourelle & Kaif) adalah penyambung semangat saya untuk terus berusaha dan membina sesuatu yang bermakna. Kehadiran kalian adalah anugerah terbesar dalam hidup saya, dan segala yang saya lakukan ini adalah untuk masa depan kita bersama.”
“Fakhri, terima kasih kerana menjadi pencetus idea kepada Bakineer. Jangan pernah berputus asa, dan teruskan usaha dan lakukan yang terbaik untuk kembangkan perniagaan anda. Kejayaan menanti mereka yang tidak berhenti mencuba.”
“Adik-adik, setiap langkah yang saya ambil ini adalah untuk menunjukkan bahawa apa saja boleh dicapai jika kita percaya pada diri sendiri dan berani mencuba. Saya mahu kalian tahu bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk kita jadi lebih baik. Jangan pernah sesekali berhenti tanpa mencuba hingga ke garisan penamat.”
Kisah yang sungguh inspirasi! Tentu ramai ingin mengetahui lebih lanjut ciptaan Mohd Juwaidy Bin Suhaimi. Jadi saksikan episod akhir INNOVATHON Musim 2 pada 18 Januari 2024, Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104). Juga boleh mengikuti episod akhir ini di Astro Vaanavil (saluran 201), Astro AEC (saluran 306) dan Astro Showcase (saluran 413) dan aplikasi Astro Go dan sooka.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di