Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima anak murid perempuan berusia sembilan tahun, Mei lalu.
Tertuduh yang juga bapa kepada enam anak itu menafikan semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya. Kes guru amang seksual murid ini mengejutkan ramai pihak kerana melibatkan pelajar sekolah rendah.
Pertuduhan Terhadap Guru Bahasa Melayu
Berdasarkan kertas pertuduhan, perbuatan itu didakwa berlaku di dalam bilik darjah sebuah sekolah rendah pada 8, 13 dan 15 Mei lalu. Tertuduh berdepan dengan enam pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Akta ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. Oleh kerana tertuduh merupakan individu berautoriti terhadap mangsa, hubungan amanah turut menjadi faktor pemberatan kesalahan dalam kes guru amang seksual murid ini.
Keputusan Mahkamah dan Hujahan Pendakwaan
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, yang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu dikategorikan sebagai tidak boleh dijamin (non-bailable offence). Namun, mahkamah mempunyai budi bicara mempertimbangkan jaminan atas faktor tertentu.
Ads
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin. Beberapa syarat tambahan turut dikenakan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan bagi memastikan kehadiran tertuduh pada prosiding akan datang.
Tarikh Sebutan Semula Kes
Hakim menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan lantikan peguam dan serahan dokumen kepada pihak pembelaan. Kes guru amang seksual murid ini dijangka mendapat perhatian umum kerana melibatkan aspek keselamatan pelajar di sekolah.
Orang ramai diingatkan untuk sentiasa peka terhadap tanda-tanda gangguan atau penderaan dalam kalangan pelajar dan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan insiden seperti kes guru amang seksual murid berulang.
Ramai yang mengatakan beruntungnya jemaah haji tahun ini kerana dijangkakan hari wukuf adalah jatuh pada hari Jumaat dan itu bermakna jemaah haji tahun ini cukup bertuah kerana ianya merupakan Haji Akhbar (hari Haji yang paling agung)
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji. Tanpa wukuf, ibadah haji akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW yang ditanya mengenai ibadah haji bersabda, haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).
Ulama bersepakat ibadah wukuf di Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula daripada waktu gelincir matahari (Zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (Subuh) pada hari kesepuluhnya.
Dalam pada itu, dimaklumkan, ibadah wukuf tahun ini akan jatuh pada hari Jumaat bersamaan 8 Julai 2022.
Apa keistimewaan wukuf jika jatuh hari Jumaat?
Ramai mengatakannya raya haji tahun ini ialah Haji Akbar. Apa dimaksudnya dengan Haji Akbar? Ini penjelasan Mufti mengenainya.
Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:
1- Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.
2- Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
3- Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada’.
4- Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.
5- Kedua-dua hari tersebut merupakan hari ‘raya’.
6- Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.
7- Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat
Apakah yang dimaksudkan dengan Haji Akbar?
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan berkaitan maksud sebenar Haji Akbar. Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menamakan satu hari dengan nama hari Haji Akbar (hari Haji yang paling agung). Hari yang agung ini disebut di dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Inilah adalah satu pengumuman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar iaitu hari Raya Korban bahawa sesungguhnya Allah berlepas diri daripada orang-orang musyrik dan perjanjian-perjanjian mereka. Begitu juga dengan Rasul-Nya. Sehubungan dengan ayat ini, Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadith bahawa pada tahun itu juga iaitu tahun kesembilan Hijrah, Nabi SAW telah mengutus Ali RA untuk mengumumkan berkenaan ayat-ayat ini pada hari Raya Korban di Mina. Kandungannya adalah selepas daripada tahun ini, orang musyrik tidak boleh lagi melakukan haji dan tawaf di Baitullah. Dalam masa yang sama, tidak boleh juga melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang”. [Lihat: Tafsir al-Jalalayn, 240]
Makna Haji Akbar
Di dalam tafsir al-Thabari, imam al-Thabari telah mendatangkan beberapa pendapat bersama dengan riwayat-riwayat atau athar-athar samada daripada Nabi SAW, sahabat RA dan juga para tabi’in yang menyokong pendapat tersebut dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Di sini kami ringkaskan dengan memilih beberapa pendapat seperti yang berikut:
Pertama: Haji Akbar adalah hari Arafah.
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، يَوْمُ عَرَفَة
Maksudnya: Ibn Abbas RA mengatakan: “Haji Akbar adalah hari Arafah”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 116/14]
Kedua: Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah).
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”. [Riwayat Abu Daud, (1945)][Sanadnya adalah sahih menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth]
Ketiga: Haji Akbar adalah hari-hari haji keseluruhannya.
عَنْ مُجَاهِد: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، حِيْنَ الحَجّ، أَيَّامُهُ كُلّهَا
Maksudnya: “Hari Haji Akbar adalah ketika waktu haji serta kesemua harinya”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]
Selain itu juga, Imam al-Nawawi berkata dalam menentukan makna Haji Akbar ini ketika beliau mensyarahkan hadith pada bab “tidak akan melakukan haji bagi orang yang musyrik dan tidak akan boleh melakukan tawaf dalam keadaan telanjang, beliau berkata:
“Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan apa yang dikehendaki dengan makna Hari Haji Akbar. Dikatakan ia adalah Hari Arafah. Telah berkata Malik, al-Syafie dan jumhur bahawa ia adalah hari al-Nahr. Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan daripada al-Syafie bahawa ia adalah hari Arafah. Ini adalah khilaf yang ma’ruf (diketahui) oleh mazhab al-Syafie. Telah berkata ulama’ bahawa dikatakan Haji Akbar itu adalah untuk menjauhkan atau membezakan dengan Haji Ashghar iaitu umrah. Manakala, hujah bagi sesiapa yang berpegang dengan Haji Akbar ini adalah Hari Arafah adalah dengan hadith yang masyhur iaitu “Haji itu Arafah”. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 116/9]
Pendapat Yang Dipilih
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, pendapat pertama dan kedua adalah pendapat yang masyhur dalam menentukan makna Haji Akbar ini. Setelah melihat pandangan para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Akbar adalah Hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah atau hari Raya Korban sepertimana pendapat yang kedua.
Selain itu juga, ini adalah pendapat Imam al-Thabari setelah beliau menceritakan pendapat-pendapat berkaitan masalah ini. Imam al-Thabari berkata:
“Pendapat yang utama dan sahih disisi kami adalah sesiapa yang mengatakan bahawa Hari Haji Akbar adalah Hari al-Nahr (10 Zulhijjah) disebabkan zahirnya (jelasnya) khabar-khabar daripada sekumpulan sahabat-sahabat Nabi SAW bahawa Ali RA telah mengumumkan apa yang diperintahkan kepadanya oleh Rasulullah SAW kepada kaum Musyrikin, lalu beliau membaca kepada mereka surah “براءة (al-Taubah)” pada hari al-Nahr. Selain itu juga, berkenaan dengan khabar-khabar yang telah kami sebutkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW telah bersabda pada hari al-Nahr: “Adakah kamu semua tahu, hari apakah ini?”. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Ini adalah Hari Haji Akbar”. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]
Tambahan pula, Syeikh al-Mubarakfuri memberi peringatan serta menyanggah pemahaman sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ini adalah apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat. Disebabkan itu, ia dinamakan Haji Akbar. Beliau berkata:
قَدْ اشْتَهَرَ بَيْنَ الْعَوَّامِ أَنَّ يَوْمَ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ كَانَ الْحَجُّ حَجًّا أَكْبَرَ وَلَا أَصْلَ لَهُ
Maksudnya: “telah tersebar dan masyhur dalam kalangan orang awam bahawa apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar. Kenyataan atau pemahaman ini adalah tidak mempunyai asal sama sekali”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 27/4]
Perbezaan Haji Akbar (الحج الأكبر) dan Haji Ashghar (الحج الأصغر)
Soalan: Apakah perbezaan di antara Haji Akbar dan Haji Ashghar
Jawapan: Adapun makna Haji Ashghar yang dilihat oleh jumhur adalah umrah. Adapaun Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa perkara ini telah menjadi perselisihan dalam menentukan makna Haji Ashghar. Jumhur mengatakan makna Haji Ashghar adalah umrah dan dikatakan juga bahawa Haji Ashghar itu adalah hari Arafah. Manakala Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah) kerana padanya (hari 10 Zulhijjah) disempurnakan manasik-manasik (perbuatan-perbuatan) haji yang lain. [Lihat: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 321/8]
Tambahan pula, Imam al-Thabari mengatakan bahawa sebab yang betul ia dinamakan dengan Haji Akbar adalah kerana Haji Akbar adalah haji dan haji lebih besar daripada umrah dengan penambahan amalan-amalan yang ada padanya. Disebabkan itu ia dinamakan Haji Akbar disebabkan amalan pada waktu haji lebih banyak berbanding amalan pada waktu umrah. Adapun Haji Ashghar (kecil) adalah umrah kerana amalan padanya lebih sedikit berbanding amalan ketika menunaikan haji. Oleh sebab itu, ia dinamakan dengan Haji Ashghar disebabkan kurangnya amalan pada waktu umrah berbanding amalan pada waktu haji. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 130/14]
Berdasarkan pendapat di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Haji Ashghar adalah umrah dan bukannya hari Arafah berdasarkan pendapat jumhur.
Penutup
Kesimpulannya, Haji Akbar adalah hari Nahr (يوم النحر) iaitu hari Raya Korban yang disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ini kerana, pada hari tersebut akan dilaksanakan manasik-manasik haji seperti tawaf, bersa’ie (antara safa dan marwah) ,melontar, berkorban, bercukur dan lain-lain perkara lagi. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesempatan dan peluang untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Amin.
Betullah kata orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih baik di negara sendiri. Namun tidak semua kehidupan di negara orang itu meninggalkan kisah pahit. Di mana pun kita berada, setiap darinya ada keistimewaan tersendiri. Malah jika kita menghargainya pasti kita akan merasai kenikmatan itu.
Bagi perantau-perantau terutamanya pelajar yang sedag menuntut ilmu di luar negara, pastinya setiap kali kedatangan Ramadan dan Syawal akan menggamit rasa sayu dalam hati mereka.
Ini kerana kehadiran bulan yang penuh dengan kemuliaan ini pasti akan menggamit seribu satu memori lebih-lebih lagi bersama keluarga tercinta. Namun kenangan beraya diperantauan juga ada memori indah yang pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Walaupun kemeriahannya tidak seperti beraya di negara sendiri tapi tetap menusuk di sanubari.
Seorang pelajar bernamaNur Athirah Faqihah Mohammad Shariff yang merupakan penuntut tahun empat Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam jurusan Syariah Islamiyah meluahkan antara cabaran terbesar berpuasa di perantauan ialah berpuasa selama 15 hingga 16 jam adalah cuaca yang tidak menentu.
Ketika tahun pertama menjadi pelajar Mesir, agak susah untuk menyesuaikan diri kerana cuaca di sana yang begitu panas sehingga mencecah 40 celcius berbanding di Malaysia. Ini membuatkan dia pernah terfikir untuk berbuka puasa lebih awal namun hanyalah sekadar keinginan sahaja.
Berkongsi pengalaman mengenai persiapan sahur pula, Nur Aisyatul Mardhiah Noor Idzwan yang merupakan pelajar jurusan bahasa Arab di universiti yang sama mengatakan mereka mula menyediakan makanan sahur selepas menunaikan solat tarawih yang selesai selepas jam 11.00 malam.
“Jadi, bermula jam 12.00 malam atau 1.00 pagi makanan sahur mula dimasak bersama rakan serumah dan bersahur sebelum azan Subuh iaitu pada jam 3.00 pagi.”
Menariknya, ketika berbuka puasa ada satu aktiviti di sini yang dinamakan maidaturrahman iaitu menyediakan makanan secara percuma. Bukan hanya ambil makanan secara percuma, mereka juga menyediakan kerusi dan meja untuk sesiapa sahaja duduk di tempat tersebut untuk berbuka puasa beramai-ramai.
Walaupun pelbagai pilihan makanan disediakan seperti ayam dan daging namun Mardhiah tetap merindui ikan patin tempoyak dan durian yang merupakan kegemarannya kerana tidak dijual di Mesir.
Mengenai persiapan raya , mereka perlu dilakukan dengan lebih awal kerana sekiranya lambat barang masakan akan habis.
Antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah ketika tahun pertama di Mesir, mereka terpaksa membuat rendang telur kerana ayam, daging dan ikan telah kehabisan.
Bergelar anak perantau bukanlah satu perkara mudah, pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui dalam menempuh liku-liku kehidupan.
Antara ujian paling berat adalah ketika Covid-19 melanda dunia kerana suasana perayaan tidak semeriah sebelum ini dan mereka terpaksa duduk di rumah sahaja.
Bagi mengubati kerinduan kepada masakan ibu, mereka akan memasak juadah seperti ketupat dan rendang pada malam raya supaya dapat merasai suasana seperti makan bersama keluarga ketika raya pertama.
Malah, dia juga tidak melepaskan peluang membuat panggilan video untuk merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Sanak saudara yang berkumpul turut bertanya khabar tentang dirinya yang sudah lima tahun tidak pulang ke pangkuan keluarga.
Nur Aisyatul Qani’ah Noor Idzwan memberitahu, ketika Hari Raya pertama pelajar Malaysia di Mesir akan berkumpul untuk menikmati juadah istimewa seperti rendang ayam, laksa, bihun sup dan lemang.
Hari Raya kedua pula mereka akan menziarahi rakan Nusantara dan begitu jugalah Hari Raya seterusnya di rumah rakan Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei untuk mengeratkan silaturrahim.
Tular sebuah video menyentuh hati memaparkan seorang anak lelaki berusia 12 tahun dengan penuh kasih sayang menguruskan ibunya di wad hospital. Tingkah lakunya yang tenang dan tidak kekok menyentuh hati ramai, mengundang sebak dalam kalangan netizen
Pengorbanan kanak-kanak dikenali sebagai Iman yang baru berusia 12 tahun menjaga ibunya yang diserang strok membuatkan ramai kagum dan menitis air mata.
Muat naik video berdurasi 51 saat menerusi perkongsian di laman sosial TikTok @norasni31 telah meraih tontonan hingga 2.8 juta.
“Iman anak tunggal. Sepanjang aku kat sini dia seorang diri menjaga ibunya yang mengalami strok.
“Tidak duduk diam dia untuk memastikan keadaan ibu betul-betul selesa.
“Dialah yang akan tukarkan lampin ibunya dan lap badan yang merupakan ibu tunggal. Dia buat semuanya seorang diri tanpa bantuan sesiapa pun.
“Ibunya hanya ada Iman,” kongsinya.
Menurut wanita itu, Iman sebagai satu-satunya waris perlu ‘menghadam’ segala maklumat dan perkembangan kesihatan bondanya daripada pihak hospital.
“Doktor sendiri tidak tahu sama ada Iman faham atau tidak. Apa yang diterangkan dan apa yang perlu dibuat pada usia 12 tahun.
“Semoga Iman kuat dalam menjalankan tanggungjawab biarpun masih terlalu muda.
“Kita yang dewasa ini pun belum tentu dapat melakukan apa yang dilakukan Iman, sanggup berjaga siang dan malam.
“Semoga ALLAH permudahkan urusan kamu dik,” coret Norasni.
Meninjau diruangan komen, rata-rata meluahkan rasa sebak dan simpati.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
UNIQSAAS rasmi universiti al-Quran pertama Malaysia selepas dimasyhurkan Sultan Pahang. Penubuhan universiti ini menjadi sejarah baharu dalam pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.