
Puding kastard tiramisu biskut cream crackers, pemanis mulut menggoda selera. Tiramisu merupakan pencuci mulut yang semakin mendapat tempat di hati ramai penggemar makanan manis.
Puding Kastard Tiramisu Biskut Cream Crackers, Pemanis Mulut Menggoda Selera
Gabungan tekstur kastard yang lembut dan berkrim bersama rasa lemak manis biskut kraker menjadikan hidangan ini pilihan sempurna untuk dinikmati bersama keluarga. Lebih menarik, resipi ini tidak memerlukan ketuhar, hanya dimasak atas dapur dan disejukkan sebelum dihidang, menjadikannya sangat praktikal untuk disediakan pada bila-bila masa.
Resipi ini juga sangat sesuai untuk pelbagai majlis seperti rumah terbuka, jamuan kecil, atau sebagai hidangan penutup selepas makan malam. Aroma vanilla dan lapisan serbuk milo, koko atau nescafe menambah keistimewaan kepada hidangan ini, memberikan sensasi seperti menikmati tiramisu versi tempatan yang lebih ringkas tetapi tetap lazat.
Resipi Puding Kastard Tiramisu Cream Crackers
Bahan-bahan:
1 tin susu cair
1 tin susu pekat manis
5 tin air (guna tin susu yang sama sebagai sukatan)
8 sudu besar tepung kastard
1 sudu teh esen vanila
Sedikit pewarna kuning (jika suka)
Serbuk milo/ koko/nescafe secukupnya
Biskut Cream Crackers secukupnya
Cara Penyediaan:
- Masukkan susu cair, susu pekat, air, tepung kastard, esen vanila dan pewarna kuning ke dalam periuk.
2. Masak di atas api sederhana sambil sentiasa dikacau sehingga adunan menjadi pekat, likat dan berkilat.
3. Setelah pekat, tutup api dan terus ke langkah seterusnya.
4. Sediakan loyang bersaiz lebih kurang 10×10 inci dan basahkan sedikit dasar loyang tersebut.
5. Tuangkan dua senduk adunan kastard ke dalam loyang.
6. Taburkan serbuk milo, koko atau nescafe di atas lapisan kastard.
7. Susun biskut Cream Crackers di atasnya.
8. Ulang langkah menuang kastard, menabur serbuk dan menyusun biskut sehingga adunan kastard habis.
9. Untuk lapisan terakhir, taburkan lebih sedikit serbuk milo atau koko sebagai hiasan.
10. Simpan puding dalam peti sejuk selama 4 hingga 5 jam atau sehingga betul-betul mengeras.
11. Potong dan sedia untuk dihidangkan.
Puding Kastard Tiramisu Biskut Cream Crackers adalah pencuci mulut yang bukan sahaja mudah disediakan, malah sangat memikat rasa. Ia merupakan alternatif ringkas kepada tiramisu klasik yang tetap mengekalkan keistimewaan dari segi rasa dan persembahan.
Hidangan ini pasti menjadi kegemaran seisi keluarga, apatah lagi apabila dinikmati dalam keadaan sejuk yang menyegarkan. Cubalah sendiri di rumah untuk menikmati keenakan setiap lapisan.
Sumber: Pn Habsah Ngah via Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Baca artikel lain juga: Puding Roti Masak Guna Air Fryer, Mudah Dan Cepat
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my