
Keluh kesah rakyat yang berhadapan dengan kesusahan akibat Pandemik Covid-19 mula mendapat perhatian pihak atasan.
Terbaru, dalam satu perkongsian di laman facebooknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat prosedur operasi standard (SOP) perlu dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih.
Dalam titah baginda juga berkata, tindakan ‘mengurung’ rakyat yang sudah hampir dua bulan tidak lagi relevan memandangkan statistik Covid-19 harian masih mencatatkan jumlah kes yang tinggi.
Saya telah berjumpa dengan YAB Datuk Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor, YB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan, dan YB Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor pada hari ini (4 Julai 2021). Dalam perjumpaan tersebut saya telah menitahkan agar kerajaan negeri mempercepatkan lagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan pandemik Covid-19 yang kini dalam keadaan yang kritikal.
Jelas baginda lagi, statistik kes yang tidak menunjukkan penurunan manakala rakyat semakin tertekan sehingga mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk.
Sehingga kini, statistik Covid-19 masih menunjukan jumlah kes harian yang tinggi. Rakyat kini sudah dikurung hampir dua bulan dan saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk. Di samping itu, masalah sosioekonomi juga tertimbul akibat situasi ini yang berpanjangan. Saya berpendapat bahawa SOP patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih. Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan.
Dalam pada itu, TMJ turut meminta supaya rakyat disaring secara meluas dan diberikan vaksin secepat yang mungkin.
Penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi juga perlu diperkenalkan secepat mungkin untuk semua orang dan digunakan secara meluas khususnya untuk sektor-sektor yang penting selain daripada para barisan hadapan, khususnya sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas. Rakyat juga patut disaringkan secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin.
Saya juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk Bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif, termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperolehi vaksin secara pembelian terus. Dengan ini, saya berharap kita akan berjaya mengatasi pandemik ini. Allah Peliharakan Sultan.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Jom sertai pertandingan Pilihan Keluarga Bulan Ini. Caraya mudah, klik sahaja link INI atau imbas QR code yang ada di poster. Hadiah menarik menanti anda!
‘Jangan Sampai Terhenti Doa Ibu Untuk Kita.’ Teguran Ustaz Ini, Bikin Netizen Sebak.

Sudah tentu kita pernah dengan kata-kata ini, ‘Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Namun, diharap kita bukan dari golongan itu. Kita perlu menghargai dan membalas jasa ibu bapa kerana mendidik dan membesarkan kita dari kecil hingga ke dewasa.
Jangan sikap kita itu mengakibatkan doa ibu terhenti buat kita. Sebagaimana perkongsian ini. Moga jadi iktibar bersama.
Jagalah hati ibumu. Kerana di situ terletak segala keajaiban.
Bila hati ibu gembira, segala nikmat dunia akan kita rasa. Nikmat akhirat tak usah nak cerita la. Itu dah tentu lebih hebat dan tiada taranya.
Bila hati ibu sedih sebab kita, hidup kita pasti akan jadi susah. Buat apa pun serba tak kena. Kita akan hilang banyak perkara, sama ada yang kita nampak atau pun tak nampak.
Tapi ibu ni memang manusia istimewa.
Walau macamana sedih pun dia dengan kita, dia tak akan sesekali buang kita dari doanya. Bahkan dia akan tetap akui kita anaknya, walau seluruh dunia mungkin membenci kita.
Di depan kita mungkin dia akan ignore kita. Tapi di belakang kita dia angkat tangannya kepada Allah. Dia akan sebut bahawa dia redha dan maafkan kita.
Dia halalkan segala makan minum kita. Dia nak hidup kita bahagia dunia dan akhirat.
Kalau kita bernasib baik, ibu kita akan layan kita macam biasa. Dia tak akan tunjuk yang dia terasa hati dengan kita. Tapi dalam hatinya hanya Allah saja yang tahu.
Jangan sombong dengan ibu kita. Jangan celupar mulut kita dengan ibu kita. Tak ada kita tanpa ibu. Tak ada manusia sehebat ibu.
Kita nak dibandingkan dengan ibu, kita ni sangat hina. Tak payah sembang bagus la. Kita memang hina, ibu sangat mulia.
Walaupun kita kadang-kadang kita rasa tak suka dengan ibu kita. Walaupun kadang-kadang kita rasa tak setuju dengan ibu kita.
Walaupun kadang-kadang kita terasa hati dengan ibu kita. Telan sajalah. Anggap saja itu ujian dan godaan syaitan untuk jauhkan kita dari rahmat seorang ibu.
IBU KORBAN SEGALA
Sejak dari hari pertama ibu jadi isteri ayah kita, sejak dari hari itulah ibu akan berkorban untuk kita.
Kendong kita ke hulu ke hilir selama 9 bulan. Ibu tak akan mengeluh dan buang kita.
Waktu bersalin, sakitnya ibu rasa. Darah banyak yang keluar. Urat banyak yang putus. Ibu tak akan merungut dan benci kita.
Semua tu bagai tak ada sebaik saja dengar bunyi tangisan kita. Segala sakit, susah dan penat hilang dalam sekelip mata.
Masa kita kecil, ibu jaga kita lebih dari jaga nyawa dia sendiri. Malam tak tidur kalau kita tak tidur. Siang ambil cuti kalau kita sakit.
Selagi kita tak kenyang, ibu tak akan makan. Selagi kita tak tidur, ibu tak akan habis urusannya di dapur.
Sampai kita tua, ibu tetap pandang kita macam anaknya yang masih kecil. Dijaganya kita. Dimasaknya untuk kita. Dinasihatnya kita. Dibebelnya kita.
Hebatnya seorang ibu.
Jangan sampai terhenti doa ibu untuk kita. Susah hidup kita nanti. Sebab itu kita kena selalu gembirakan hati ibu. Usaha untuk penuhi permintaannya. Dengar dan ikut cakap ibu.
Kena selalu minta ibu doakan kita. Doa ibu mustajab. Tidak ada hijab antara ibu dengan Allah SWT.
Beruntunglah orang yang masih ada ibu. Jagalah hati ibu baik-baik.
Berhati-hati bila bercakap. Mulut jangan celupar. Pilih perkataan bila kita bercakap. Jangan ikut perasaan.
Nada suara mesti rendah. Jangan angkat suara dengan ibu. Jangan sampai perasaannya terguris. Semakin ibu tua, semakin sensitif hatinya.
Kena selalu beringat. Apa layanan kita terhadap ini kita, begitulah nanti layanan anak kita terhadap kita.
Bagi yang ibunya telah tiada, jangan lupa untuk terus doakan ibu setiap masa. Walau telah hilang 1 sumber doa dan kekuatan, jangan pula kebaktian kita terhenti bersama nyawa ibu. Teruskan berdoa semoga Allah ampunkan segala dosa ibu.
Selamat pagi semua.
Ingatlah ibu kita. Akan ada 1 masa kita rasa sangat susah, tak ada siapa pun yang akan sanggup tolong kita dunia akhirat lebih dari ibu kita.
Ya Allah, ampunkan dosa ibuku. Rahmatilah hidupnya dunia dan akhirat. Masukkan dia ke dalam syurgaMu tanpa hisab!
Kredit: Khairul Anuar Basri
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Usah Biar Duri Dalam Hubungan Mentua-Menantu. Ini Tip Jadi Menantu Favourite!

Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua. Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak@pasangan dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:
- Bagi mentua, ingatlah bahawa menantu itu pilihan anak kita. Tentu ada yang menarik dan baik tentangnya yang membuatkan anak kita tertarik. Pada menantu pula, walau macam mana jahat pun mentua di mata kita, cuba fikirkan bahawa pasti ada kualiti baik dalam dirinya kerana merekalah orang yang bersusah payah membesarkan individu yang kita pilih menjadi pasangan hidup kita.
- Jangan sesekali memburukkan mentua@menantu pada pasangan@anak kita. Mungkin dia sedar atau tahu tentang perangai keluarga@pasangannya, tetapi rasa kasih atau menyebabkan mereka tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh orang tua atau pasangan mereka itu.
- Sentiasalah bersikap positif terhadap menantu@mentua kita. Ini membuatkan kita dapat melihat mereka daripada perspektif berbeza. Ia akan secara perlahan-lahan dapat meleraikan segala kekusutan.
- Jangan terlalu sensitif. Sebagai mentua, ada kalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang `anak’ lagi dalam keluarga. Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.

Bagaimana Menghapus ‘Duri’
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.

10 cara jadi menantu favourite!
- Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
- Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
- Murah hati
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
- Ringan tulang
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
- Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
- Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
- Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.

- Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
- Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
- Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Suami Sanggup Berhutang Demi Kepuasan Isteri Tapi Akhirnya Merana. Kisah Benar Ini Jadikan Iktibar.

Rumahtangga yang bahagia pastinya idaman semua pasangan suami isteri.
Namun pastinya ada cabaran yang ditempuhi. Saling berbincang dengan pasangan antara cara untuk kekalkan keharmonian rumahtangga.
Begitulah perkongsian yang dipaparkan ini. Apabila pasangan yang tiada komunikasi dan berbincang secara telus boleh menjejaskan hubungan suami isteri. Malah ada yang membawa kepada penceraian!
Kisah sepasang suami isteri ini harus dijadikan iktibar apabila suami terpaksa berhutang demi kepuasan isteri.
Akhirnya, keluarga berkenaan telah hadapi masalah kewangan hingga isteri menuntut cerai!
_____________________
ISTERI TUNTUT CERAI
Seorang lelaki hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat. Di tangannya kemas menggenggam segulung kertas. Mungkin itu surat saman. Tak tahulah apa kesnya.
Setelah selesai prosedur di kaunter, beliau dibawa masuk ke bilik khidmat nasihat. Di sana suasana tenteram. Ditemani sebuah meja, kerusi dan sekotak tisu.
Saya rangkul buku catatan dan beberapa akta dan enakmen berkaitan. Biar ada rujukan. Mana tahu tengah sesi nanti saya perlukan.
Bilik khidmat nasihat saya masuk dan memberi salam. Lelaki ini menjawab salam saya. Kepalanya sedang tunduk. Matanya berkaca. Melihat saya beliau bangun dan menghulurkan salam.
“Waalaikumsalam. Eh takpa encik. Duduklah”
Mata yang berkaca tadi dilap semahu mahunya. Mungkin malu seorang lelaki menangis. Ya. Memang ramai lelaki yang hadir. Jarang yang menangis. Rata rata memang pandai cover.
“Ustaz, tolong saya..”
Suara lelaki ini lemah. Mukanya keruh. Rambutnya kusut. Tangannya kuning. Pelik juga saya. Dia buat apa sampai kuning begitu.
“InsyAllah, saya akan tolong. Sekejap ya”
Saya salin semua maklumatnya dalam buku catatan. Catatan ini amat penting bagi orang yang pelupa seperti saya. Nanti kalau dia datang lagi tak perlu saya soal lagi. Pengalaman mengajar saya begitu.
Setelah selesai. Saya meneliti borang khidmat nasihat yang lelaki ini isi. Didalamnya, beliau tanda permohonan khidmat nasihat bagi kes “Permohonan Cerai”. Seksyen 47. Ohh.
“Ustaz, isteri saya tuntut cerai. Saya masih sayangkan dia dan anak anak. Anak kami lima orang. Yang paling bongsu baru setahun. Saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa isteri dan anak anak. Ustaz, tolong saya..”
Saya dah agak. Tepat sangkaan saya. Segulung kertas yang digenggam tadi sememangnya saman dan permohonan cerai. Turut disertakan iqrar dari si isteri.
Lalu dokumen itu saya minta darinya dan saya teliti. Sebaris demi sebaris borang Jawi 6 dan ikrar sang isteri.
MASALAH KEWANGAN KERAP BUAT PINJAMAN
Lalu fahamlah saya, isterinya menuntut perceraian atas faktor tidak sefahaman. Di dalam ikrar dijelaskan panjang lebar. Semuanya berpunca dari nafkah yang tidak mencukupi. Untuk mendapat kepastian, saya bertanya adakah benar dakwaan isteri tersebut.
“Betul ustaz. Saya memang akui. Sejak setahun yang lalu saya tak dapat sempurnakan nafkah kepada isteri. Tapi bukan saya sengaja. Setiap bulan gaji saya negatif”
Lalu saya teliti slip gaji lelaki ini. Ya Rabbi. Baki gajinya tak sampai empat angka. Anak 5 orang tu. Tinggal pula di bandar. Memang bukan setakat sangkut lagi. Tenggelam dah.
“Encik, kenapa sikit sangat baki gaji ni?kenapa banyak tolak? Loan apa yang encik buat ni?”
“Ustaz, semua anak saya bersalin di hospital swasta. Itu memang kehendak isteri. Saya tak cukup duit, tapi saya ikutkan sahaja kehendak dia. Sebab itu saya buat loan peribadi kat bank setiap kali isteri mengandung. Puas dah overlap.
Lepas tak boleh pusing, saya pinjam lagi kat koperasi. Duit kawan kawan pun banyak yang saya pinjam untuk beli barang dapur, susu, pampers semua. Masuk anak kelima ni pun saya pinjam lagi. Last last saya tak dapat pusing, saya pinjam ahlong. Saya memang tak dapat bayar. Hari hari diorang cari saya. Isteri saya tak tahan dan salahkan saya. Sebab itu dia tuntut cerai ni.. Ustaz tolong saya. Saya tak nak bercerai”
Kali ini lelaki ini tidak malu lagi. Air mata yang ditahan tahan dari tadi melimpah akhirnya membasahi pipi. Di saat ini kotak tisu yang bisu tadi amatlah membantu.
Allahu.
Saya tak tahu samada ceritanya itu benar atau tidak. Tetapi sebagai manusia biasa saya tetap simpati kepadanya.
“Beginilah encik. Kes ini baru peringkat sebutan pertama. Mahkamah akan tanya encik dahulu. Sekiranya encik tak setuju cerai, kes ini akan diteruskan dengan Jawatankuasa Pendamai di jabatan agama, kemudian jika tak selesai juga kes ini akan dibawa kepada Hakam keluarga. Tak selesai juga, Hakam kuasa penuh.”
Saya terangkan step by step Seksyen 47 dan 48 Akta Undang Undang Keluarga kepadanya. Bermula dari jawatankuasa pendamai hinggalah kepada lantikan hakam berkuasa penuh. Semuanya ikut prosedur.
MASIH SAYANG RUMAHTANGGA
Air mata mula dikesat. Lelaki ini mencatat step step prosedur yang saya terangkan. Dari jawatannya saya tahu. Lelaki ini bukan calang calang orang. Bijak. Tetapi bila tiba masalah rumahtangga begini, tak katalah. Siapapun akan buntu.
“Encik, masalah apapun yang kita hadapi pasti ada jalan penyelesaian. Sabar ya. Cubalah bincang elok elok dengan isteri. Mana tahu dia tertekan. Tak kata kat dialah, siapa yang tak tertekan kalau ahlong asyik datang rumah” saya memujuknya.
Lelaki ini terus lap air matanya. Tisu yang basah dipegangnya tadi mula menguning. Pelik saya.
“Encik, maaflah saya nak tanya, kenapa dengan tangan tu? Pasaipa kuning”
“Ohh, begini ustaz. Isteri saya dah keluar rumah dengan anak anak semua. Dia balik rumak mak ayah dia. Saya dok sensoranglah kat rumah tu. Jadi saya kononnya nak masaklah sebab jimat sikit. Dah gaul ikan dengan kunyit.
Tiba tiba ada orang ketuk pintu rumah. Saya basuh tangan lebih kurang sajalah. Bukak pintu ada sorang hantar surat ni ha. Minta saya sign.
Lepas baca surat ni saya terus hilang lapar. Sedih saya. Terus tak jadi makan. Call member dia suruh datang khidmat nasihat kat sini”
Allahu. Begitu kisahnya.
Selesai sesi khidmat nasihat. Lalu lelaki ini meninggalkan saya dengan sekuntum senyuman kelat. Sempat menitipkan ucapan terima kasih.
Saya tak tahu apa kesudahannya di Mahkamah. Saya juga tak tahu cerita sebenar apa yang berlaku antara mereka. Namun saya dapat belajar dua perkara.
KENA TAHU PENGURUSAN KEWANGAN KELUARGA
Pengurusan kewangan dan komunikasi suami isteri.
Ya. Itu key pointnya. Jika kita tak mampu, buatlah cara tak mampu. Jangan ikut trend orang.
Berbincanglah dengan pasangan terutama berkaitan pengurusan kewangan. Percayalah, ramai kini yang terjerat dengan hutang. Menyebabkan gaji mereka negatif setiap bulan.
Buat anda yang mempunyai sebarang masalah perundangan yang memerlukan nasihat, sila berhubung dengan kami di JBG. Untuk melayakkan anda mendapat bantuan guaman, anda mestilah:
●Warganegara Malaysia ; dan
●Bagi bantuan guaman dalam kes mahkamah anda mestilah :
✔️ Memenuhi kriteria yang ditetapkan
✔️ Lulus ujian kemampuan (sumber kewangan tidak melebihi RM50, 000.00 setahun); dan
✔️Mempunyai kes yang bermerit
Semoga tulisan ini memberi pengajaran buat kita semua.
Sekian wassalam.
Sumber: Anas Jamaluddin,