Hidangan raya pastinya tak lengkap kalau tak ada pencuci mulut kan. Dah fikirkan apa nak buat untuk pencuci mulut? Apa kata cuba resipi yang satu ini sememangnya cukup sedap.
Cara yang dibuat juga ringkas, pasti membuatkan sekeluarga menyukainya.
Untuk ibu-ibu yang nak mencuba, ini resipi yang dikongsikan oleh Zulaikha Ghazali.
Terajin pulak buat puding lumut butter untuk pencuci mulut harini .
Nampak macem sodap nanti malem kita rasa yepppp
(Resepi langkah2 dalam gambar)
Bahan-bahan
Ads
Cara membuat:
1.Campurkan semua bahan dan kacau sebati :
– Dua biji telur
– Santan 200ml
– 4 cawan air
– Gula 3/4 cawan gula ( ikut selera korang kalau nak manis boleh lebihkan gula kalau tasuke manis boleh kurangkan )
-1/2 sb garam
2. Kemudian masukkan sebungkus serbuk sehingga dan pewarna hijau. Apabila semuanya ada dan tuangkan ke dalam periuk.
3. Masak sambil kacau di atas api perlahan . Bila dan mendidih dan jadi ketul – ketul cemtu boleh tutup api . Sejukan kejap .
4. Bila dah sejuk sikit boleh tuang dalam bekas . Kalau tuang masa panas jadi tak cantik sebab ada mendapan air . Kemudian sejukan .
Setiap hari, sebaik matahari terbit, tugas seorang isteri sudah bermula. Sama ada bekerja atau pun tidak kesibukannya sama sahaja. Terkejar ke sana, terkejar ke sini demi memastikan keluarga tersayang tidak berkurang satu apa pun.
Namun pada saat-saat begini banyak hati wanita yang mendongkol marah dan geram. Apa tidaknya. Sedang si isteri bertungkus lumus mengerjakan apa yang patut, ada suami bersantai-santai di sofa sambil menonton televisyen dan membaca surat khabar.
Bukan mahu mendabik dada, tetapi memang kenyataannya. Rutin seorang wanita bermula sebaik celik mata sebelum subuh hinggalah saat melabuhkan tubuh di katil. Letih yang dirasakan memang tidak terucap dengan kata-kata.
Namun berlainan sekali dengan rutin seorang lelaki@suami (maaf, mungkin tidak semua). Bangun pagi sarapan sudah tersedia. Pulang dari pejabat, selepas makan malam sudah boleh berehat sambil menonton rancangan kegemaran di ruang tamu. Aduhai…seronoknya menjadi seorang lelaki@suami!
Rasanya ini bukanlah satu isu yang baru. Malah sejak bertahun-tahun perkara ini sering menjadi topik perbincangan hangat. Namun ia masih menjadi satu tabu dalam rumah tangga. Walaupun kini semakin banyak suami yang ringan tangan membantu dalam menguruskan kerja-kerja di rumah, namun bebanan tugas masih 90 peratus terletak di `batu jemala’ isteri.
Saling membantu
Kita sudah sedia maklum yang Islam amat menuntut agar setiap pasangan suami isteri mengamalkan sikap saling bantu membantu. Nabi Muhamad SAW sendiri sentiasa membantu isteri-isteri Baginda dalam hal ehwal rumah tangga dan urusan anak.
Sikap Baginda ini sepatutnya menjadi ikutan para lelaki bergelar suami. Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud): “Aku adalah sebaik-baik suami yang berbuat baik kepada ahli keluargaku. Contohilah aku.”
Sudah sewajarnya para suami mengambil iktibar daripada hadis tersebut dalam melayari bahtera rumah tangga. Walaupun Baginda (s.a.w) sibuk menjalankan tugas sebagai Rasul, pemimpin ummah dan Negara dan sebagai panglima perang, namun Rasulullah (s.a.w) tetap dapat meluangkan masa membantu isterinya membuat kerja rumah seperti menjahit pakaian yang dan membaiki kasut.
Suami sebagai ketua keluarga seharusnya menjadi pemimpin dan pelindung. Bukan hanya tahu memberi arahan semata-mata. Apatah lagi sekarang ini kebanyakan pasangan suami isteri berkerjaya. Jadi rasanya tidaklah salah jika mereka saling membantu dalam menguruskan rumah tangga.
Memang banyak lelaki yang mempunyai ego tinggi. Tetapi ini bukanlah masa untuk menunjukkan ego. Dalam urusan rumah tangga ini para suami perlu belajar untuk mengurangkan rasa ego dan membantu isteri membuat kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak, mengurus anak, membersihkan rumah dan sebagainya. Lagipun banyak kebaikan dalam kita bekerjasama menguruskan rumah tangga. Antara manfaat paling besar ialah dapat merapatkan lagi hubungan dan menambahkan rasa kasih sayang.
Andai suami enggan membantu, isteri jangan cepat berputus asa. Sebaliknya cubalah bersikap bijak dan menegur secara baik dan lemah lembut. Tindakan ini sangat bersesuaian dengan peranan isteri sebagai penasihat dalam rumah tangga selain dapat menjaga keharmonian rumah tangga.
Mengajak suami
Dalam menguruskan rumah tangga, kerjasama suami dan isteri amatlah diperlukan. Lantaran itu hal ini elok dibincangkan bersama. Perbincangan akan memberi ruang untuk kita lebih saling mengenali dan `menguraikan’ apa yang tersimpul dan terpendam.
Banyak isteri yang mahu menjadi `isteri mithali’ sehingga takut untuk meminta suami membantu kerja rumah. Ini bukan soalnya kerana `membiarkan’ suami begitu sahaja boleh menyebabkan dia menjadi “pemalas’! Lagipun bukan suami tidak pernah melakukannya sebab kerja-kerja rumah bukanlah suatu yang asing sewaktu dia hidup bujang dahulu.
Mungkin cara terbaik untuk meminta bantuan suami adalah dengan mengajak dia menemani anda sewaktu anda sedang melakukan kerja-kerja tersebut. Misalnya ketika anda hendak memasak, ajak dia bersembang dengan anda di dapur.
Suami mungkin mulanya akan berasa janggal dan menolak permintaan anda. Tetapi cubalah pujuk dia dengan lembut dengan alas an mahu berkongsi banyak cerita menarik dengannya sambil anda membuat kerja rumah. Bila dia selalu bersama, anda boleh meminta dia membantu membuat kerja yang mudah seperti memotong sayur atau bawang. Nanti setelah terbiasa, dia tidak akan kekok lagi membantu anda.
Selain itu dengan selalu melihat anda sibuk membuat kerja rumah, mungkin suami akan perasan betapa sibuknya anda di rumah. Baik juga secara bergurau anda luahkan betapa penatnya anda dan betapa seronoknya jika suami dapat membantu.
Juga manfaatkan cuti hujung minggu untuk membuat kerja rumah bersama-sama lebih-lebih lagi menjelang hari raya nanti. Ia tidak semestinya diisi dengan berjalan-jalan sahaja. Mengisi hujung minggu dengan membuat kerja membersihkan rumah bersama-sama, termasuk anak-anak sekali, pasti lebih menyeronokkan dan menyenangkan daripada melakukannya sendiri.
Hargai suami
Apabila suami ringan tulang membantu kerja rumah, jangan pula anda berat mulut untuk memujinya. Ini penting kerana itu tandanya anda menghargai bantuannya. Ini pasti membuat dia berasa lebih gembira dengan apa yang dilakukan. Penghargaan dapat diberikan dalam bentuk ucapan terima kasih mahupun pelukan hangat.
Namun andai suami masih berat tangan untuk membantu, jangan berputus asa. Sentiasa panjatkan doa kepada Allah agar melembutkan hati suami. Amalkan juga membaca surah al-Insyirah sebagai doa pelembut hati. Baca ayat ini ketika memasak atau menyediakan minuman sambil berdoa agar suami dilembutkan hati dan ringan tulang untuk membantu anda menyelesaikan kerja rumah.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Andai ada kesalahan yang anak-anak kita lakukan, acap kali juga kita akan mudah marah-marah hingga keterlaluan. Alasan kita biasanya untuk mendidik, apa yang kita buat ke atas mereka, kita rasakan betul dan wajar.
Namun, sekali sekala kita juga sering terlupa bahawa apa yang telah kita lakukan itu tiada kewajarannya dan akhirnya akan timbul rasa sesal di dalam diri. Perasaan yang sama juga telah dirasai oleh seorang ayah ini dan ini kisahnya dikongsikan agar turut memberi manfaat dan panduan untuk ibu ayah yang lainnya dalam mendidik anak-anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Didikan Terbaik
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Sesal Menyapa
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Anak Anugerah Agung
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
sumber : WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
UNIQSAAS rasmi universiti al-Quran pertama Malaysia selepas dimasyhurkan Sultan Pahang. Penubuhan universiti ini menjadi sejarah baharu dalam pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.